Isnin, Mei 12, 2014

28hb Mei 2006: MyTeam FC lawan Malaysia Bawah 20 Tahun.

28hb Mei 2006: MyTeam FC lawan 
Malaysia Bawah 20 Tahun.
I
Bermula dengan pencarian ke-13 negeri pada 18 Februari 2006, pasukan MyTeam yang dibimbing oleh Serbegeth Singh telah menentang pasukan kebangsaan yang dibarisi pemain bawah 20 tahun termasuk tiga pemain senior iaitu K. Nanthkumar, Indra Putra Mahyuddin, dan Muhamad Khaironnisam Shahbudin selaku kapten pasukan. Perlawanan bersejarah ini berlangsung pada 29hb Mei 2006 (Isnin), di Stadium Bukit Jalil.
Khairy dan sahabat baik beliau, Jason Lo (Ketua Pegawai Eksekutif Maya Team Sdn Bhd), adalah individu di sebalik tabir pembentukan MyTeam. Ideanya adalah untuk mendapatkan 22 pemain bukan profesional yang dipilih daripada ujian pemilihan yang diadakan merentas Malaysia bagi bertanding merentasi skuad kebangsaan Malaysia.
Idea ini telah diwar-warkan sebagai satu revolusi bola sepak tempatan dan satu kempen media besar-besaran telah dilancarkan untuk menarik minat di kalangan muda-mudi untuk mencungkil bakat mereka. Perlancaran program ini telah dilakukan di Planet Hollywood, Kuala Lumpur.
Syarat-syarat menyertai skuad ini adalah seperti berikut: Pemain yang tidak menggunakan bola sepak sebagai kerja utama; berumur 17 tahun ke atas; dan boleh berlari 100m dalam 12 saat.
Kru MyTeam telah menjelajah ke 13 buah negeri di Malaysia untuk memilih tiga pemain terbaik di setiap negeri yang mereka kunjungi untuk diserapkan ke dalam skuad utama. Antara 39 permain yang berjaya menyertai MyTeam, hanya 22 yang berjaya masuk ke senarai terakhir pasukan MyTeam.

II
Menjelang perlawanan tersebut, satu kontoversi telah berlaku di mana Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada masa itu, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad mengatakan bahawa MyTeam hanyalah pasukan ‘mi segera’.
Terdapat juga satu spekulasi mengenai pasukan kebangsaan yang akan bermain menentang MyTeam. Sebahagian memberi petunjuk bahawa FAM akan menghantar pasukan bawah 20 tahun untuk bermain menentang MyTeam. Manakala segelintir peminat mengatakan bahawa pasukan utama Malaysia akan hadir. Akhirnya, pasukan Malaysia yang bermain menentang MyTeam adalah merupakan satu campuran pemain senior dan bawah 20 tahun yang diuruskan oleh K. Rajagobal (kini Datuk) iaitu jurulatih pasukan bawah 20 tahun Malaysia.
Saat memalukan hampir terjelma buat skuad Malaysia yang bagaimanapun bangkit melakar kemenangan tipis 2-1 mengatasi pasukan MyTeam dalam aksi sengit di Stadium Nasional, Bukit Jalil. 
MyTeam memeranjatkan Malaysia dengan mendahului pada awal babak pertama sebelum tewas dengan jaringan Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Farderin Kadir. Selepas tertinggal 0-1 di babak pertama, skuad diterajui himpunan pemain bawah 20 tahun itu membuktikan kemampuan di hadapan lebih 50,000 penonton untuk mencipta kecewa lawan yang dibentuk menerusi program Realiti TV berkenaan. 
Turut hadir menyaksikan perlawanan berkenaan ialah Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) dan Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Datuk Azalina Othman. 
Pada awalnya, rentak berhati-hati dipertontonkan kedua-dua pasukan, tetapi skuad kebangsaan cepat mengancam menerusi tandukan Mohd Asraruddin pada minit kelima yang berjaya didakap kemas penjaga gol MyTeam, Amir Shariffudin Yunus. 
Bersemangat dengan percubaan itu, Malaysia sekali lagi membuat asakan, berpunca daripada hantaran Indra Putra Mahayuddin yang bagaimanapun dirembat Mohd Noralif Zainal sipi daripada sasaran pada minit kesembilan. 
Hanya pada minit ke-14, MyTeam mengancam apabila kapten, Hasmizan Kamarodin menyelinap ke barisan depan untuk meledakkan rembatan kencang yang turut tersasar daripada sasaran. 
Pasukan kebangsaan tidak membuang masa dengan mengatur serangan untuk menembusi benteng pertahanan lawan. Pasukan kebangsaan tidak mendapat penyudah yang baik apabila beberapa percubaan di depan gawang lawan tidak membuahkan hasil dan memberi kesempatan kepada MyTeam untuk mencuba nasib.
Kelekaan seketika benteng Malaysia menyaksikan Mohd Soliahudin Said cantik mengumpan ke kanan untuk T. Arun Kumar menyepak lambung yang sama sekali melepasi jangkauan penjaga gol, Amini Ahmad Tabarani, untuk gol pembukaan MyTeam pada minit ke-24. 
Namun, episod gembira MyTeam tersentak apabila Hasmizan dilayangkan kad merah kerana menolak Mohd Zaquan Adha pada minit ke-25. Dua belas minit kemudiannya, giliran Zaquan menerima nasib sama apabila diperintah keluar padang setelah mengutip kad kuning kedua ekoran bentesan terhadap benteng MyTeam. 
Skuad kebangsaan mengeluarkan ketiga-tiga pemain senior - Indra, K Nanthakumar dan Khaironnisam Shahabuddin - pada permulaan babak kedua untuk keseluruhan cabaran dipikul pemain skuad bawah 20 tahun kebangsaan. 
Kembali kepada kesebelasan pemain muda turut menjelmakan kebangkitan skuad kebangsaan yang bingkas menyamakan kedudukan hasil sepakan percuma cantik Mohd Aidil Zafuan pada minit ke-64. Sembilan minit kemudiannya, Farderin Kadir berpeluang mencipta kelebihan Malaysia tetapi rembatannya selepas gerakan solo daripada sebelah kiri berjaya ditampan kemas penjaga gol MyTeam, Amir Shariffudin. 
Farderin bagaimanapun tidak tersilap untuk gol kedua apabila cantik melencongkan bola sepakan percuma deras daripada jarak 25 meter yang langsung tidak mampu dihalang Amir Shariffudin.  Selepas beberapa lagi asakan Malaysia, MyTeam bangkit melawan pada beberapa minit terakhir, tetapi tiga cubaan yang berpunca daripada penyerang gantian, Fairus Alias, gagal menembusi gawang Malaysia. 
Pasukan kebangsaan yang dibimbing oleh K. Rajagobal berkata para pemainnya tidak bermain seperti biasa dalam perlawanan separuh masa pertama apa lagi dengan percubaan kali pertama anak buahnya bergabung dengan tiga pemain senior kebangsaan.
Kita mensia-siakan kesemua peluang yang kita perolehi dalam separuh masa pertama. Kami sepatutnya boleh terus mematikan harapan pasukan lawan pada 20 minit pertama dan menggunakan peluang keemasan semasa seorang pemain MyTeam dibuang padang,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan. Katanya, beliau amat kecewa kerana perlawanan hari ini adalah perlahan dan tidak seperti yang diharapkannya.
Serbegeth pula berkata keputusan perlawanan ini tidak boleh menjadi kayu pengukur tentang kejayaan pasukan amatur itu. “Jika keputusan yang menentukan kejayaan MyTeam maka kami telah gagal tetapi saya yakin pasukan ini telah berjaya kerana mereka telah mempamerkan mutu permainan yang bagus,” katanya.
Katanya, latihan selama enam minggu yang dijalankan memang mencukupi baginya melatih pasukan itu dan terserah kepada pihak pengurusan yang akan membuat pengumuman tidak lama lagi tentang masa depan pasukan itu.

III
Antara pemain yang paling menyerlah dalam skaud MyTeam ialah Muhammad Azmi Muslim, yang pada asalnya adalah seorang pemandu ‘forklift’ di kawasan tempat tinggal beliau di Georgetown, Pulau Pinang. Kehadiran rancangan realiti TV, MyTeam Musim Pertama (menentang Malaysia Bawah-20) mengubah angan-angan anak Tanjong Malim ini.
Produk MyTeam ini sempat menjengah ke dalam bola sepak pro negara pada musim 2008 sebelum menyerlah pada musim 2009 bersama pasukan MyTeam dalam saingan Liga-M. Azmi merupakan seorang ‘fullback’ dan boleh diletakkan di sebelah sayap kerana kemampuan ‘offensive’ beliau yang agak baik. Dilahirkan pada 7hb Oktober 1986, Azmi Muslim juga sempat menjadi anggota skuad yang menjuarai pingat emas Sukan SEA 2009.
Perlawanan ini telah menarik minat kebanyakan peminat bola sepak Malaysia, namun masih ada yang meragui bahawa program MyTeam akan merevolusikan bola sepak Malaysia. Sungguhpun menang dalam perlawanan ini, namun persembahan pasukan Malaysia dikatakan agak hambar jika dibandingkan dengan sebuah pasukan amatur berlawan dengan mereka.
  • MYTEAM: Amir Shariffudin Yunus, Mohd Soliahuddin Said, Mohd Kamal Wira Abdul Samah, Hasmizan Kamarodin, Mohd Firdaus Mat Nor, Muhammad Azmi Muslim, Lee Khang Yeong, Arun Kumar, Terence Pream Kumar, Lam Tien Guan, S Sathiyaseelan. 
  • PILIHAN MALAYSIA: Amini Ahmad Tabarani, Khaironnisam Shahabuddin, Mohd Sabre Mat Abu, Mohd Nasriq Bahrum, K Nanthakumar, Mohd Zaquan Adha, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Khyril Muhydeen, Mohd Asraruddin, Mohd Aidil Zafuan, Mohd Noralif Zainal. 



IV
Walaupun peraturan FAM menyebut mana-mana pasukan yang mahu beraksi di liga elit Malaysia perlu bermula daripada bawah, Penerbit Eksekutif MyTeam, Khairy Jamaluddin bingkas bangkit mempertahankan kewibawaan pasukannya. Beliau berkata, kemampuan pemain skuad MyTeam sudah teruji dan pertemuan dengan skuad Malaysia yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil cukup untuk menceritakan kebolehan pemainnya.
Hasrat Khairy ialah biarlah skuad itu bertanding sebagai satu pasukan tetapi andai ada pengurusan kelab atau mana-mana pasukan yang berminat mendapatkan pemain skuad MyTeam, tawaran mereka tetap dialu-alukan.
Biarpun tidak semua rakyat Malaysia dapat menerima kehadiran MyTeam, Khairy berpendapat, matlamat sebenar penubuhan skuad yang dikendalikan jurulatih Serbegeth Singh itu berjaya dicapai. “Pertamanya, matlamat kami ialah untuk meningkatkan tumpuan serta minat penonton terhadap bola sepak tanah air. Itu berjaya kami lakukan kerana perlawanan MyTeam-Malaysia disaksikan penonton yang jumlahnya mencapai lima atau enam kali ganda daripada yang hadir menyaksikan perlawanan akhir Piala FA.”
Keduanya, kita berjaya menarik minat pihak swasta untuk turut serta menjayakan bola sepak negara. Ketiga, kami melakukan kaedah pemilihan yang lebih telus hingga ke akar umbi dan yang terakhir, kami menyeru badan induk kebangsaan itu supaya merangka semula sistem bola sepak tanah air.”
Memang ada yang berkata bahawa penubuhan MyTeam tidak mampu menyelesaikan masalah yang sedang melanda bola sepak negara. Itu memang benar kerana MyTeam bukanlah jawapan kepada apa yang sedang berlaku di dalam bola sepak ketika ini,” katanya. Khairy berkata, apa yang perlu diambil perhatian oleh FAM ialah mengenai kaedah yang diamalkan pengurusan MyTeam yang bersungguh-sungguh merangka satu program untuk mengasah bakat pemain selain mewujudkan keseronokan yang didakwa mampu menyumbang kepada kemajuan bola sepak.

V
Daripada fantasi menjadi realiti; apabila pasukan MyTeam yang lebih dikenali sebagai program realiti televisyen (TV) membuat penampilan dalam kancah bola sepak Liga Perdana musim 2006/2007 bermula 22hb Disember 2006. Membariskan beberapa pemain daripada program realiti TV, skuad itu dikenali sebagai UPB-MyTeam turut diperkuatkan beberapa pemain profesional tempatan.
Selepas berakhirnya program realiti TV MyTeam, mereka telah mengambil langkah drastik apabila bergabung dengan United Plantations Berhad (UPB) Perak FC untuk membentuk pasukan UPB-MyTeam. Skuad itu membariskan 15 bakat baru yang dicungkil menerusi program realiti TV serta menambat beberapa pemain profesional tempatan.
Mereka yang dilamar untuk menyarung jersi skuad UPB-MyTeam ialah ketua pasukan bola sepak kebangsaan ketika itu, Muhammad Kaironnisam Shahabuddin Hussain; bekas pemain Selangor dan MPPJ, Mohd. Harris Safwan Kamal, Mohd. Faizal Abdul Rashid, Mohd. Nizaruddin Yusof dan Yosri Dermarajoo. Skuad UPB-MyTeam dilatih oleh jurulatih Bojan Hodak dan dibantu oleh dua bekas pemain Selangor, Khan Hung Meng dan Rashid Hassan. Meskipun bergelar Naib Juara Liga Perdana 2007 dan pada asalnya menerima penajaan yang lumayan, UPB-MyTeam kemudiannya diselubungi kontroversi kegagalan membayar gaji pemain, serta kemerosotan prestasi, yang akhirnya membawa kepada pembubaran kelab tersebut. Masalah kewangan yang kritikal ini menyebabkan pasukan tersebut menarik diri daripada saingan Piala Malaysia 2009, sebelum digantung oleh FAM.
-------------------------------------------------
Sumber:
  1. http://www.mstar.com.my/artikel/?file=/2006/5/29/TERKINI/Mutakhir/My_Team_tewas_kepada_pasukan_kebangsaan;
  2. http://ahmadaki.wordpress.com/2009/06/30/msl-kedah-vs-upb-myteam/;
  3. http://switchimageproject.blogspot.com/;
  4. http://ww2.utusan.com.my/utusan/special.asp?pr=LigaM2007&y=2006&dt=1220&pub=LigaM2007&sec=Berita&pg=lb_02.htm;
  5. https://www.facebook.com/blow.wind.3;
  6. http://kyspeaks.com/2006/05/29/ky-saw-myteam-vs-malaysia-at-bukit-jalil/;
  7. http://www.shaolintiger.com/2006/05/30/myteam-vs-malaysia-under-20s-the-finale-at-bukit-jalil/.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...