Isnin, Mei 05, 2014

4hb Mei 2014: Terengganu ikat Gergasi Merah, 0-0.

4hb Mei 2014: Terengganu ikat Gergasi Merah, 0-0.
4hb Mei 2014: Alhamdulillah, Sahabat Kelab Jersi Kita (KJK) dan Retro Bola Sepak (RBS) berkesempatan menyaksikan perlawanan Liga Super di antara Selangor FA dan Terengganu FA di Stadium Shah Alam. Untuk rekod, Terengganu FA tidak pernah berjaya mengutip 3 mata penuh di Stadium Shah Alam sejak tahun 2008.
Kesebelasan utama Selangor ialah: Farizal Marlias, Bunyamin Umar, Shahrom Kalam, Rizal, Azmi Muslim, Shukur Jusoh, S. Veenod, Andik Vermansah, S. Kunanlan, Thamil Arasu, dan Paulo Rangel. Pemain simpanan pula ialah: Hamsani Ahmad, Hazwan Bakri, Hadi Yahya, Nazmi Faiz, Afiq Azmi, Fittri Shazwan, dan P. Rajesh.
Selangor gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sekadar mencatat keputusan seri 0-0 ketika menentang Terengganu pada aksi Liga Super tersebut. Keputusan tersebut menyaksikan skuad Gergasi Merah kini kekal di tangga kedua liga dan berkongsi 28 mata dengan pendahulu, Pahang dan mereka hanya dipisahkan menerusi perbezaan jaringan.
Dalam aksi di depan kira-kira 25,000 penyokong, kedua-dua pasukan mengamalkan corak permainan berhati-hati dan permainan lebih banyak berlegar di kawasan tengah padang. Beraksi di hadapan penyokong sendiri yang ramai ternyata gagal dimanfaatkan barisan pemain Selangor apabila sekadar melakukan beberapa percubaan tepat pada separuh masa pertama. Antaranya, menerusi rembatan kencang pemain import dari Indonesia, Andik Vermansyah yang terus ke dakapan penjaga gol Terengganu, Mohd Syarmiza Yusoff.
Selangor menerusi kapten, Mohd. Bunyamin Umar hampir berjaya mendahului perlawanan tetapi pemain kelahiran Kedah itu gagal memanfaatkan hantaran A. Thamil Arasu apabila penjaga gol Terengganu, Mohd. Sharmizal Yusof mudah menangkap percubaan tepat tersebut pada minit ke-30.
Skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim hampir berjaya membolosi gawang Selangor menerusi dua percubaan tepat daripada Javier Estupinan namun percubaan itu masih gagal menembusi pintu gol skuad Gergasi Merah pada minit ke-48 dan 53.
Bersambung babak kedua, pengendali Selangor, Mehmet Durakovic yang menyedari kelemahan jentera tengah skuad itu bertindak memasukkan kali pertama perancang tengah, Nazmi Faiz Mansor. Kemasukan bekas pemain PKNS FC itu jelas membawa perubahan kepada tempo permainan Selangor yang terus melakukan gerakan lebih berbahaya pada 25 minit terakhir perlawanan. 
Bagaimanapun, keampuhan benteng skuad Sang Penyu yang diketuai Vincent Bikana nyata sukar ditembusi sehingga menenggelamkan kelibat penyerang import, Paulo Rangel yang masih segar dengan ledakan hatrik ketika menewaskan Maziya SRC pada perlawanan terakhir Piala AFC, akhir bulan lalu. 
Kedua-dua pasukan saling mengasak benteng pertahanan masing-masing tetapi keputusan tanpa jaringan kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan tersebut dilihat adil buat kedua-dua pasukan selepas berehat selama dua minggu. Berikut merupakan baki perlawanan Selangor untuk Liga Super 2014:
BULAN MEI DAN JUN 2014:
  • 10hb Mei 2014: Selangor lawan Pahang (Stadium Darul Makmur);
  • 17hb Mei 2014: Selangor lawan Sime Darby (Stadium Shah Alam);
  • 24hb Mei 2014: Selangor lawan JDT (Stadium Shah Alam);
  • 10hb Jun 2014: Selangor lawan Terengganu, (Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah);
  • 13hb Jun 2014: Selangor lawan ATM (Stadium Shah Alam);
  • 17hb Jun 2014: Selangor lawan Kelantan (Stadium Sultan Muhammad IV);
  • 21hb Jun 2014: Selangor lawan Sarawak (Stadium Shah Alam);
  • 25hb Jun 2014: Selangor lawan PKNS (Stadium Shah Alam).
-----------------------------------------------
Sumber:
  1. https://www.facebook.com/selangorfanatik;
  2. https://www.facebook.com/UltraSelCurva?fref=ts;
  3. https://www.facebook.com/groups/432310200203275/?fref=ts;
  4. https://www.facebook.com/selangorfc?fref=ts;
  5. https://www.facebook.com/asianadotmy?hc_location=timeline;
  6. https://www.facebook.com/UKOUTLAWMANIA;
  7. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/LigaSuper_Selangorputihmatalagi/Article/;
  8. http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz30pt5Am4h

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...