Khamis, April 17, 2014

Artikel: Penambahbaikan Pencapaian Hak Asasi Manusia di Malaysia Menerusi Semakan Berkala Sejagat (UPR).

Logo 
Presiden ABIM:
Cikgu Haji Amidi Abdul Manan.

Saudara Raimi Ab Rahim, Setiausaha
Agung ABIM. Juga mantan
Presiden PKPIM.

Saudara Jufitri Joha,
Naib Presiden ABIM.

Ketua Biro Tugas-Tugas Khas
(Undang-Undang) ABIM, Saudara
Mohd Khairul Anwar Ismail.  
12hb September 2012: Setiausaha Agung ABIM, Saudara Mohamad Raimi Ab Rahim serta Pengerusi Grup Peguam ABIM (GPA), Khairul Anwar Ismail telah mewakili Malaysia dalam 2nd Regional Consultation of ASEAN Intergovernmental Commission on Human Rights with Civil Society Organization on ASEAN Human Rights Declaration di Manila, Filipina. 
Suasana Pejabat PBB 
di Geneva.
Oktober 2013: Saudara Anwar dan 
Saudara Jufitri di Geneva, 
Switzerland.
Mac 2014: Dua wakil ABIM sewaktu
di Geneva.
Mac 2014: Saudara Anwar dan Saudara Raimi 
berkesempatan bertemu cendekiawan Islam, 
Prof Dr Tariq Ramadan di Geneva.
PENAMBAHBAIKAN PENCAPAIAN HAK ASASI MANUSIA DI MALAYSIA MENERUSI SEMAKAN BERKALA SEJAGAT (UPR) DI GENEVA, SWITZERLAND

1.0 Muqaddimah
Tanggal 20 Mac 2014 merupakan satu tarikh di mana sessi penerimaan muktamad Semakan Berkala Sejagat (UPR) bagi Negara Malaysia telah berlangsung di Palais des Nations di Geneva, Switzerland. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menghantar dua orang wakil iaitu Naib Presiden Mohamad Raimi Ab. Rahim dan Ketua Biro Undang-Undang Mohd Khairul Anwar Ismail. Kedua-dua mereka telah diberikan status ECOSOC yang membolehkan memasuki dewan dan memberikan pernyataan dan komen terhadap sidang kali ini.

2.0 Hak Asasi Manusia dan UPR
UPR merupakan satu proses yang unik yang diperkenalkan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) disebabkan proses pembaharuan PBB semasa Kofi Annan menjadi Setiausaha Agung. Ia diwujudkan melalui resolusi perhimpunan Agung PBB 60/251 pada 3 April 2006 sebagai satu mekanisme untuk menilai prestasi hak Asasi setiap negara Anggota (iaitu sebanyak 193 buah negara) terhadap kepatuhan kepada beberapa ketetapan oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB.
Sesi pada 20 Mac yang lepas merupakan pusingan terakhir di dalam proses UPR kali kedua bagi Negara kita di mana proses ini akan berlangsung setiap 4 tahun sekali. Proses UPR kali pertama telah diadakan pada tahun 2009. Ini bermakna Malaysia akan melalui proses ini semula selepas 4 tahun daripada sekarang iaitu pada tahun 2017.
ABIM telah mengikuti dan mengambil bahagian di dalam proses UPR kali kedua ini secara dekat sejak pusingan pertama lagi iaitu sejak 24 Oktober 2013, di mana ABIM pada ketika itu diwakili oleh Naib Presiden Jufitri Joha dan Ketua Biro Undang-Undang Mohd Khairul Anwar Ismail.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada kerajaan Malaysia kerana telah berjaya mengambil bahagian di dalam proses ini dengan jayanya dan Malaysia telah mengambil pendirian yang tegas dan membanggakan pada sesi ini apabila telah memutuskan untuk menerima 182 syor dan menolak 50 lagi syor daripada keseluruhan 232 syor yang telah dikemukakan oleh negara-negara anggota PBB semasa pusingan pertama Oktober yang lepas. Ini juga merupakan satu pendirian tegas Malaysia dengan mengambil kira pelbagai aspek penting seperti aspek undang-undang, agama, budaya serta nilai di dalam negara.
ABIM menyedari kepentingan UPR ini sebagai salah satu mekanisme penting di dalam proses penilaiaan prestasi hak asasi sesebuah negara tetapi di dalam masa yang sama ABIM turut menyedari bahawa ianya boleh juga memberi implikasi negatif terhadap masa depan negara dan agama terutamanya berhadapan dengan tekanan-tekanan antarabangsa terhadap syor-syor yang bertentangan dengan undang-undang, agama, budaya serta nilai di dalam negara. Oleh itu persiapan dan persediaan serta penegasan wakil kerajaan amatlah dituntut di dalam hal ini.

3.0 Hak Asasi Manusia dan Islam
Hak Asasi manusia merupakan suatu yang perlu dipelihara dan dimuliakan bukan semata-mata atas dasar mematuhi standard kesejagatan (universality) yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tetapi ia bagi mematuhi standard kemuliaan insan (karamah insaniah) yang telah dijamin oleh Allah sejak kedatangan Islam lagi sepertimana Allah telah berfirman di dalam Surah Al-Isra’ ayat 70 yang bermaksud: ”Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan”.
Di atas dasar kemuliaan insan ini kami menyokong segala usaha ke arah penambahbaikan prestasi hak asasi manusia di dalam negara melalui apa-apa kaedah sekalipun termasuk melalui mekanisme UPR. Oleh itu kami memandang berat segala syor ke atas Malaysia sepanjang proses UPR ini dalam pelbagai aspek seperti aspek pendidikan, kesihatan, perumahan, wanita, kanak-kanak, orang asli, pekerja asing, pemerdagangan manusia, hak pelarian, immigran, pemohon suaka politik, orang-orang yang tidak bernegara, aspek undang-undang dan kehakiman, pembasmian kemiskinan, pembasmian rasuah serta pelbagai aspek lagi.
Tanpa menafikan bahawa prestasi hak asasi manusia di dalam negara ini ialah di antara yang terbaik di dunia apabila hak-hak setiap rakyat dan warganegara dititikberatkan tetapi kami tetap memandang masih punya ruang dan peluang untuk terus konsisten dan terkehadapan dalam aspek hak asasi ini.
Perjuangan terhadap hak asasi ini juga amat selari dengan konsep Maqasid as-Syariah apabila konsep maqasid itu sendiri bertujuan untuk menjaga kepentingan (maslahah) setiap individu di mana para Ulama telah menetapkan beberapa tingkatan keutamaan iaitu pemeliharaan agama (hifzud-Din), pemeliharaan nyawa (hifzun Nafs), pemeliharaan akal (Hifzul ’Aql), pemeliharaan harta (Hifzul Mal) dan pemeliharaan keturunan (Hifzun Nasab).
Oleh yang demikian pertimbangan hak asasi perlu dilihat merangkumi hak individu, keluarga, masyarakat dan negara tetapi mestilah di dalam kerangka yang telah ditetapkan oleh Syariah agar tujuan Syariah (maqasid) bagi pemeliharaan hak-hak ini tercapai.

4.0 Hak Asasi Manusia dan PAC, SOSMA
Melihat kepada penyertaan Malaysia di dalam proses UPR sejak kali pertama dijalankan pada tahun 2009, kami mengakui bahawa telah banyak usaha ke arah perlaksanaan penambahbaikan prestasi hak asasi manusia oleh kerajaan Malaysia, di antaranya kami menghargai dan mengiktiraf usaha kerajaan membentuk Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Nasional (NHRAP)  pada 4 disember 2013 di dalam usaha pihak kerajaan untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di negara ini. Lima teras utama pembangunan NHRAP seperti berikut cuba diberikan keutamaan iaitu 1) hak sivil dan politik, 2) hak ekonomi, sosial dan budaya 3) hak orang kurang upaya, 4) hak orang Asli dan peribumi Sabah dan Sarawak, dan 5) obligasi antarabangsa.
Selain itu transformasi Undang-undang yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 16 September 2011 adalah sangat dialu-alukan apabila memansuhkan beberapa Undang-Undang pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, Akta Buang Negeri 1959 dan berikutnya turut memansuhkan Akta Kediaman Terhad 1933. Ianya telah disambut baik oleh seluruh rakyat bersama dengan janji untuk memperkenalkan undang-undang baru yang lebih baik di bawah peruntukan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan iaitu bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi bertujuan memelihara keamanan dan kerukunan rakyat negara ini.
Namun demikian, pengenalan Akta Pencegahan Jenayah (PCA), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Perhimpunan Aman 2012 telah sedikit mencacatkan usaha transformasi Undang-undang seperti yang telah dijanjikan oleh Perdana Menteri. Wakil tetap Malaysia di Geneva, Datuk Mazlan Muhammad semasa sidang akhir penerimaan muktamad laporan UPR Malaysia telah menjustifikasikan tindakan ini dengan menjelaskan bahawa kerajaan telah mengambil langkah perlindungan yang mencukupi di dalam melindungi dan mempromosi hak asasi dan tindakan memperkenalkan undang-undang pencegahan yang baru ini dibuat mengikut Undang-undang antarabangsa.
Sesungguhnya tindakan ini agak menjejaskan konsistensi kerajaan di dalam usaha mempromosi pembaharuan undang-undang, malah tindakan ini seolah-olah membawa Malaysia kembali ke belakang apabila Undang-undang baru yang diperkenalkan ini tidak dapat memberikan kebebasan dan keadilan yang sewajarnya kepada orang yang ditahan atau dituduh. SOSMA misalnya membenarkan seorang pegawai polis berpangkat tinggi untuk melanjutkan tempoh tahanan sehingga 28 hari sementara PCA pula membenarkan seseorang tertuduh ditahan sehingga dua tahun tanpa bicara. Perkara ini sesungguhnya bertentangan dengan Perkara 10 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) iaitu setiap orang adalah berhak dengan samarata sepenuhnya kepada pembicaraan adil dan terbuka oleh suatu tribunal bebas dan saksama, dalam penetapan hak-hak dan tanggungannya dan sebarang tuduhan jenayah terhadapnya. Ia turut bertentangan dengan perkara 9 dan 11 Perisytiharan yang sama. Lebih menyedihkan pengenalan undang-undang baru ini dibuat dengan tergesa-gesa tanpa memberi ruang kepada sesi dialog bersama masyarakat umum, NGO-NGO serta institusi yang berkaitan.
ABIM kekal dengan pendirian bahawa kerajaan seharusnya memansuhkan kesemua undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara kerana ianya jelas merupakan perlanggaran serius terhadap hak kebebasan manusia. Undang-undang tersebut juga jelas bercanggah dengan prinsip teras hak asasi manusia sejagat yang memerlukan seseorang individu didakwa di mahkamah sekiranya disyaki melakukan kesalahan. Semangat Perlembagaan Persekutuan dan UDHR hendaklah dihormati agar keadilan dapat diberikan sewajarnya.

5.0 Hak Asasi Manusia dan Karamah Insaniah
Atas dasar memperjuangkan karamah insaniah, ABIM bukan sahaja memperjuangkan hak rakyat di negara ini tetapi perjuangan ABIM turut merentasi sempadan kaum dan negara dengan memperjuangkan nasib saudara kami yang terdiri daripada golongan pelarian seperti kaum Uyghur, Syria dan juga golongan yang tidak bernegara seperti kaum Rohingya yang memohon hak pencari suaka dan orang pelarian di negara ini. Di peringkat dunia mereka ini dilindungi di bawah Konvensyen Berkaitan Status Orang-Orang Pelarian 1951 dan Protokolnya 1967 juga di bawah Konvensyen Berkaitan Status Orang-Orang Tidak Bernegara 1954, di mana Malaysia tidak menjadi pihak kepada kedua-dua Konvensyen ini. Selain itu hak mereka juga terpelihara di bawah Perkara 14 UDHR iaitu 1) Setiap orang berhak memohon dan menikmati perlindungan politik dalam negara lain daripada sebarang aniaya; 2) Hak ini tidak boleh dituntut bagi pendakwaan yang benar-benar timbul daripada kesalahan bukan politik atau daripada tindakan yang bertentangan dengan tujuan-tujuan dan prinsip-prinsip Bangsa-Bangsa Bersatu.
Walaupun kerajaan Malaysia telah banyak memberikan bantuan, sokongan di dalam usaha pihak kami dan NGO lain membantu golongan pencari suaka dan orang pelarian ini, namun kami masih menghadapi beberapa batasan dan kekangan disebabkan tiada undang-undang khusus yang melindungi golongan ini di Malaysia. Walaupun sebahagian mereka yang datang ke negara ini telah memperoleh dokumentasi daripada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR), namun sebahagian mereka masih lagi ditangkap, ditahan serta dijatuhkan hukuman di bawah kesalahan imigresen. Kami juga masih menghadapi masalah mempertahankan sebilangan mereka untuk hak transit di negara ini apabila sebahagian mereka telah ditangkap dengan dinafikan hak berjumpa peguam seterusnya dihantar pulang ke negara asal mereka yang bergolak seterusnya mengancam nyawa mereka dan keluarga mereka.
ABIM sangat menghargai segala bantuan dan sokongan pihak kerajaan buat kami menguruskan golongan pencari suaka dan orang pelarian ini bagi memberikan keadilan dan kebebasan sewajarnya di atas dasar kemanusiaan, namun ABIM masih lagi mengharap agar pihak kerajaan dapat menimbangkan secara serius untuk menjadi pihak yang menandatangi kedua-dua Konvensyen yang telah disebutkan di atas pada masa hadapan iaitu Konvensyen Berkaitan Status Orang-Orang Pelarian 1951 dan Protokolnya 1967 juga di bawah Konvensyen Berkaitan Status Orang-Orang Tidak Bernegara 1954.

6.0 Hak Asasi Manusia dan Kedudukan Islam dalam Perlembagaan
Selain itu, ABIM turut mengambil berat tentang beberapa pendirian kerajaan terhadap syor-syor yang dianggap kontroversi yang berkaitan dengan Islam dan Perlembagaan seperti syor berkenaan kebebasan beragama, syor berkaitan pengiktirafan amalan hubungan sejenis oleh golongan Lesbian Gay Bi-seksual Transgender (LGBT) iaitu agar Seksyen 377 Kanun Keseksaan dimansuhkan, syor berkaitan sistem perundangan Syariah yang perlu dikaji semula, isu perundangan kalimah Allah dan berbagai-bagai lagi. Syabas buat kerajaan Malaysia di atas pendirian yang jelas dan tegas dengan mengambil kira pelbagai faktor sebagai asas penolakan syor-syor ini.
Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam sebagai agama Persekutuan. Ini turut menjadikan Undang-undang negara asasnya ialah agama selain mempengaruhi asas pembentukan undang-undang lain di dalam negara yang turut bercirikan agama. Selain masih kuat berpegang kepada asas agama, Malaysia juga masih lagi berpegang teguh dengan nilai kesopanan dan ketatasusilaan sepertimana yang termaktub secara jelas di bawah Rukun Negara.
Oleh yang demikian, cadangan untuk memansuhkan Seksyen 377 Kanun Keseksaan agar tidak menjadikan pelaku hubungan homoseksual atas dasar suka sama suka adalah satu cadangan yang agak melampau, bukan sahaja ianya bertentangan dengan ajaran agama malah ia turut bertentangan dengan nilai moral dan tatasusila yang sudah sebati dengan masyarakat Asia. Kami telah mengikuti perkara ini sejak awal lagi dan kami menyaksikan bagaimana kerajaan bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan tuntutan daripada gabungan NGO di dalam negara seperti COMANGGO tetapi juga terpaksa berhadapan dengan NGO luar negara serta negara-negara anggota PBB yang kebanyakan mereka juga mempersoalkan undang-undang negara kerana menjadikan pelaku homoseksual ini sebagai jenayah. Kami menyanjung tinggi ketegasan kerajaan tanpa kompromi atas dasar menghormati keluhuran undang-undang, agama serta  nilai-nilai moral di dalam negara.
Hubungan sejenis oleh golongan LGBT ini juga tidak diterima sebagai satu hak yang universal di peringkat Asia Tenggara. ABIM melalui dua wakilnya iaitu Mohamad Raimi dan Mohd Khairul Anwar telah terlibat di dalam deraf akhir Perisytiharan Hak Asasi ASEAN semasa sidang kemuncak ASEAN di Phnom Penh di Manila, Filipina pada November 2012, di mana cubaan untuk mengiktiraf hak amalan LGBT ini telah ditolak oleh ASEAN di atas alasan ianya bertentangan dengan nilai-nilai ASEAN. Ini membuktikan bahawa sejarah dan budaya ASEAN masih lagi kuat menjunjung nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan serta adab ketimuran selain daripada faktor pertentangan dengan amalan masyarakat beragama.
Adapun berkenaan dengan dakwaan diskriminasi terhadap golongan LGBT ini, ABIM berpendapat bahawa di antara jalan penyelesaiannya ialah dialog di antara golongan ini dan pihak-pihak atau institusi yang berkaitan bagi mencari jalan penyelesaiannya. Mengiktiraf hak amalan hubungan sejenis melalui undang-undang iaitu pemansuhan Seksyen 377 Kanun Keseksaan tidak menyelesaikan masalah diskriminasi seperti yang didakwa tersebut malah ianya bakal memberikan implikasi yang lebih besar kepada masyarakat dan negara.
Seterusnya cabaran utama bagi negara dalam aspek kebebasan ialah apabila merujuk kepada kebebasan beragama. Adalah penting bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat memahami asas perundangan negara yang pada hakikatnya membenarkan kebebasan beragama. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan berkenaan Islam agama Persekutuan hendaklah dibaca sekali dengan Perkara 11 yang membenarkan agama-agama lain diamalkan tertakluk kepada penyebaran, membuktikan satu hubungan toleransi yang baik bagi sebuah negara yang mempunyai penduduk pelbagai agama seperti di negara ini.

7.0 Penutup
Akhirnya, ABIM mengiktiraf dan menyambut baik penyertaan Malaysia di dalam proses UPR ini dan mengharapkan agar pihak kerajaan akan terus berusaha bersungguh-sungguh di dalam usaha untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia selaras dengan komitmen antarabangsa serta kehendak agama, budaya, serta nilai sesebuah Negara. ABIM sebagai sebuah NGO Islam yang menjunjung tinggi nilai karamah insaniah akan menyokong penuh tanpa berbelah bagi sebarang usaha kerajaan ke arah penambahbaikan ini.
Selain itu ABIM mengharapkan agar proses dialog perlu terus diaktifkan di antara pihak kerajaan dan NGO agar komunikasi dua hala dapat dijalankan supaya semua pihak dapat memainkan peranan yang efektif di dalam membantu pihak kerajaan agar kita dapat bersama-sama menyumbang kepada penambahbaikan prestasi hak asasi manusia di dalam negara. Selain itu ABIM juga percaya bahawa proses dialog ini boleh mendekatkan jarak kumpulan-kumpulan yang berbeza di dalam negara supaya titik pertemuan dapat ditemukan dan akhirnya sebarang krisis antara kaum, dan agama dapat dielakkan seterusnya dapat mengekalkan keharmonian di dalam negara tercinta ini.

Disediakan oleh,
Mohd Khairul Anwar Ismail,
Ketua Biro Undang-Undang ABIM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...