Isnin, September 20, 2010
Bila yang bersekolah dilabel keldai!
Antara dadah yang berjaya dirampas oleh pihak Kastam dan PDRM.
Keratan akhbar berkenaan isu 'keldai dadah.'
Salam. :)
Merujuk kepada Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah Ayat ke-195 yang bermaksud: “Janganlah kamu lemparkan dirimu ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah SWT mengasihi orang-orang yang berbuat baik.”
Ayat di atas jelas menunjukkan larangan (baca: keharaman) ke atas Umat Islam daripada menganiayai dan melakukan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kebinasaan atau kemudharatan kepada diri mereka.
Seperti yang kita sedia maklum, sejak dua tiga tahun yang terakhir ini, banyak isu yang dipaparkan di dada-dada akhbar berkenaan kes penyeludupan dadah melibatkan individu yang diperdaya sehingga ditahan di Penjara Soto Del Real, Madrid dan beberapa penjara di negara lain.
Menggunakan e-mel palsu, menawarkan kerja kosong serta menyiarkan iklan menerusi internet dan SMS adalah antara taktik sindiket jenayah antarabangsa memperdaya rakyat negara ini, terutama wanita, untuk menjadi perantara membawa dadah.
Sekiranya pelumba motosikal haram dipanggil sebagai ‘mat rempit’; mereka yang terpedaya (untuk menjadi perantara membawa dadah) ini dilabel sebagai ‘keldai dadah.’
Keldai dadah digunakan sindiket untuk menyeludup dadah haram bagi mengelak diri mereka dikesan atau ditangkap pihak berkuasa, sekali gus membolehkan mereka mengaut keuntungan. Statistik menunjukkan bahawa seramai 365 wanita rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana terbabit menjadi ‘keldai dadah’ sejak hampir 20 tahun lalu.
Antara modus operandi sindiket berkenaan ialah menawarkan kerja mudah atau perjalanan percuma ke luar negara. Tawaran juga dibuat menerusi internet, akaun bank atau iklan atas nama mangsa. Zaman-zaman gawat ekonomi dewasa ini, siapa yang tak kecur dengan tawaran lumayan sedemikian. Aduhai...
Mereka yang terpedaya diberikan pakaian mahal serta bagasi percuma. Dalam kebanyakan kes, mereka tidak mengetahui bahawa di dalam bagasi tersebut telah disimpan dadah yang mungkin meletakkan nyawa mereka seperti di hujung tanduk.
Malah, terdapat kes di mana pelajar sekolah dan mahasiswa IPT tempatan yang diberikan rokok yang telah dicampur bahan larangan sehingga membuatkan mereka ketagih. Taktik pengkhianat negara (baca: sindiket keldai dadah) tersebut nyata sangat licik dan tidak memilih mangsa.
Justeru, memetik Ayat ke-195 daripada Surah al-Baqarah yang telah disebutkan sejak awal tadi, adalah sangat penting untuk kita memelihara diri kita dan sedaya-upaya berhati-hati dalam setiap tindakan kita; supaya kita tidak termakan tipu-daya dengan tawaran daripada sindiket-sindiket dadah tersebut.
Kita tidak boleh hanya pejam mata dan memeluk bahu (sambil buat tak tahu) kerana mana tahu -- esok lusa kita pula yang terkena? Nau'zubillah.
Pihak berkuasa juga sewajarnya mengetatkan kawalan di pintu masuk serta keluar lapangan terbang atau sempadan negara kita.
Dan, (seperti yang disebutkan sedari awal tadi) yang paling penting adalah kesedaran diri sendiri. Berwaspadalah.
Bukan apa, khuatir nanti -- demi nak dapatkan pekerjaan yang baik (bersama niat yang baik) -- terperosok ke penjaralah pula jadinya. Natijahnya, mereka yang terpelajar pun dipanggil keldai. Keldai dadah. Aduhai!
** p/s :: Tapi, kalau yang di bawah ini pun satu masalah juga. :)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan
Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...
-
Meluaskan Pengaruh Sememangnya pertumbuhan ekonomi dan luasnya pengaruh tidak harus dijadikan piawai yang mengukur keberhasilan dan keceme...
-
Nostalgia Liga Malaysia: Shahril Arsat. Shahril Arsat merupakan anggota skuad ‘ treble ’ Piala Malaysia 1995, ...
-
“ Dalam suatu budaya demokrasi… prasangka orang yang tidak mengetahui adalah lebih senang untuk dihapuskan daripada prejudis orang yang be...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan