Isnin, April 11, 2011

Ustaz Fadzil Noor: Murabbi Dalam Kenangan



Ustaz Fadzil Noor, ketika usia mudanya. Serius dan matang.
Ustaz Fadzil sewaktu aktif bersama ABIM.


“... Kalau boleh saya tak nak berhenti bercakap sebab saya berucap dengan orang yang saya kasihi dan saya sayang.”
-- Diucap oleh Almarhum Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor ketika majlis penutupan Muktamar PAS ke-48, muktamar yang terakhir sebelum beliau menghembuskan nafasnya terakhir.
_______________________________________________________


Kehidupan awal
Ustaz Fadzil Noor merupakan seorang pemimpin dan tokoh politik yang dihormati dan disegani oleh semua lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa, ekoran daripada penampilan peribadinya di dalam semua aspek kehidupan. Berbekalkan ilmu pengetahuan yang tinggi terutamanya ilmu-ilmu agama, perwatakan yang sederhana serta sentiasa berdampingan dengan masyarakat, beliau dianggap sebagai pemimpin berkarisma.

Semuanya itu hasil daripada latar belakang keluarganya dan juga pendidikan, di mana telah membentuk beliau sebagai seorang insan yang berperibadi tinggi dan dihormati. Ustaz Fadzil@Ali bin Mohd Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah. Moyang Almarhum ialah Tuan Guru Hj Idris yang lebih dikenali sebagai Tuan Syeikh Idris Al-Jarumi yang merupakan seorang ulama terkenal di Kedah dan berasal dari Patani, Selatan Thailand.

_______________________________________________________

Pendidikan
Sejarah awal pendidikan Ustaz Fadzil bermula sekitar tahun 1946. Waktu itu beliau mengikuti pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Setar sehingga tahun 1949. Kemudian menyambung pelajaran di peringkat menengah di Maktab Mahmud sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi di tempat yang sama hingga tahun 1962.

Tahun 1963 beliau telah menyambung pelajaran ke seberang laut dengan mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir dengan mendapat biasiswa kerajaan negeri Kedah. Di Universiti Al-Azhar, beliau mengambil jurusan Perundangan Islam (Syariah) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1967 dengan memperolehi ijazah Sarjana Muda dalam lapangan tersebut. Sekembalinya dari Mesir, beliau mengajar di Maktab Mahmud dan kemudian sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

_______________________________________________________

Perkahwinan
Ustaz Fadzil telah mendirikan rumah tangga dengan sepupunya Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Setar, Kedah. Kemudian, setelah berkahwin, turut bersama melanjutkan pelajaran ke Al-Azhar bersama suaminya. Hasil perkahwinan, beliau dikurniakan lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna’izzah, Muhamad Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas. Beliau bukan sahaja berjaya sebagai ahli politik malah merupakan ketua keluarga yang mithali dalam mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang dan bertanggungjawab.

_______________________________________________________

Ulama yang sederhana, dalam mendampingi pimpinan dan masyarakat.
Bakat Kepimpinan
Sememangnya diakui bahawa beliau memiliki bakat kepimpinan yang tinggi. Bakat kepimpinan beliau mula terserlah sejak di bangku sekolah terutamanya ketika menuntut di Maktab Mahmud, di mana beliau memiliki kebolehan berpidato dan mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan dan bahas. Keistimewaan yang ada pada beliau boleh berhujah secara spontan dan berkemahiran tinggi dalam ilmu mantiq. Pada tahun 1967, sewaktu di Al-Azhar, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Kesatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

____________________________________________

Ustaz Fadzil sewaktu jaman belianya. Tenang dan berpengaruh.
Dipecat daripada jawatan pensyarah
Pada 1973, beliau telah ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah bahagian pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tahun 1978. Semasa berkhidmat di UTM, beliau telah dipecat oleh pihak pentadbir UTM ekoran bertanding dalam pilihan raya pada tahun 1977 di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah.

Di dalam kes Fadzil Mohamed Noor v Universiti Teknologi Malaysia [1981] 2 MLJ 196, FC tersebut, Mahkamah Persekutuan ketika itu memutuskan bahawa di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971), kuasa untuk melaksanakan tindakan disiplin ke atas kakitangan universiti hanya boleh dilaksanakan oleh Jawatankuasa Disiplin dan bukan oleh Lembaga Universiti -- yang seharusnya bertindak selaku forum rayuan terhadap keputusan Jawatankuasa Disiplin tersebut.

Ketua Hakim Negara ketika itu, Raja Azlan Shah (kini Duli Yang Maha Mulia Sultan Paduka Seri Sultan Perak) memutuskan bahawa, oleh kerana fungsi dan peranan peranan kedua-dua badan tersebut adalah berbeda dan terpisah, tindakan disiplin oleh pihak Lembaga Universiti dalam memecat Ustaz Fadzil diputuskan sebagai tidak sah di sisi undang-undang dan mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM membayar ganti rugi. Setelah isu tersebut selesai, beliau kembali bertugas sebagai pensyarah dan beberapa bulan kemudian beliau telah meletakkan jawatan kerana menceburkan diri sepenuh masa dalam perjuangan PAS.

_______________________________________________________

 
Ustaz Fadzil Noor sewaktu berucap di atas pentas ABIM.
Muktamar ABIM, sewaktu era DSAI menjadi Presidennya.
Wacana bersama DSAI, sewaktu di zaman belianya. Ustaz Fadzil duduk no.2 dari kanan, di sebelah DSAI.

Penglibatan dalam PUM dan ABIM
Ustaz Fadzil Noor pernah menjadi Setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976), Setiausaha Penerangan ABIM (1973-1974) dan Timbalan Presiden ABIM (1974-1978). ABIM yang ditubuhkan pada tahun 1971 telah mengisi kelompangan dunia ‘anti establishment’ akibat PAS yang menyertai kerajaan campuran. Ustaz Fadzil ialah orang penting ABIM selain daripada Ustaz Wahab Zakaria, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman.

Beliau disifatkan oleh DSAI sebagai orang yang banyak dirujuk oleh DSAI dalam menggerakkan ABIM sebagai gerakan sosio-dakwah yang penting dalam dekad 70an. Jaringan kader ABIM di seluruh negara ini juga akhirnya telah membawa ramai pemimpin dan ahli ABIM menyertai PAS pada awal tahun 80an, terutamanya selepas DSAI menyertai UMNO.

* Untuk kupasan ringkas berkenaan biodata DSAI, boleh rujuk pautan ini: DSAI: Mantan TPM Malaysia.

Sepanjang penglibatan dalam ABIM sebagai sosok utama perjuangan, Ustaz Fadzil turut terlibat dalam demontrasi menentang isu kemiskinan di Baling, Kedah tahun 1974. Beliau juga terkenal sebagai penggiat tarbiah dalaman ABIM. Beliau banyak bergerak mengisi program usrah, tamrin dan seminar perkaderan di pelbagai tempat. Gerakan belia Islam ini juga banyak menerbitkan buku-buku fikrah dan harakah yang dituang oleh tokoh-tokoh seperti Hasan Al Banna, Sayyid Qutb, Maududi, apatah lagi ABIM menjadi gerakan fenomenal di kampus pada dekad 70an.

Kemudian, bersama-sama beberapa pemimpin kanan ABIM yang lain, beliau menyertai PAS menjelang pilihan raya dan bertanding atas tiket PAS. Antaranya ialah Nakhaei Haji Ahmad (Dato' Haji), Haji Abdul Hadi Awang (Datuk Seri), Ustaz Abdul Halim Arshad dan Ustaz Yahya Othman.

* Untuk biodata ringkas Ustaz Nakhaie Ahmad, boleh klik pada pautan ini: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/06/ustaz-nakhaie-ahmad-mantan-ydp-yadim.html

Ustaz Hadi Awang yang merupakan Ketua (Yang DiPertua/Pengerusi) ABIM Terengganu, kemudiannya menjadi tokoh pemidato terkenal PAS. Beliau berjaya mengumpul pengikut yang ramai di Masjid Rusila, Marang dan seluruh negara, menerusi ceramah-ceramahnya yang keras dan berkesan.

* Untuk kupasan ringkas berkenaan biodata Ustaz Hadi Awang, boleh rujuk pautan ini: Ayah Chik: Presiden PAS.

Ustaz Fadzil juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) tahun 1974, sebuah NGO yang penting di negara ini yang telah mewadahkan ulamak-ulamak untuk mengerakkan kesedaran Islam kepada masyarakat dan kerap kali juga dilihat bertelagah dengan kerajaan dalam banyak isu yang bersangkutan dengan syariat dan akidah. Beberapa tokoh PUM juga kini menjadi tonggak penting kepada PAS seperti Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin.

* Untuk kupasan ringkas berkenaan sejarah ABIM, boleh rujuk pautan ini: ABIM: Imbauan Empat Dasawarsa.

_______________________________________________________

Menerima kemasukan Dr Hassan Ali, mantan Pengarah Biro Tata Negara (BTN) ke dalam PAS.
Majalah Pembaharu.
Tegas sebagai Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen.
Turut kelihatan, YB Mahfuz Omar dan Haji Mat Sabu.
Ustaz Fadzil Noor berucap sewaktu Muktamar PAS. Kenangan.
Politik
Beliau mula bertanding dalam Pilihanraya Umum 1978 menentang Datuk Senu Abdul Rahman tetapi kalah. Pada tahun 1981, beliau dipilih sebagai Naib Presiden PAS dan kemudian Timbalan Presiden pada 1982. Pada 30 Mac 1989 beliau dipilih sebagai Presiden PAS selepas pengunduran Tuan Guru Haji Yusof Rawa.

Beliau merupakan ADUN Bukit Raya untuk lima penggal berturut-turut walaupun cuba bertanding bagi kerusi Parlimen beliau tewas, sehinggalah pada Piliharaya Umum 1999, beliau berjaya mengalahkan Datuk Othman Abdul untuk menduduki kerusi Parlimen Pendang dan mengekalkan kerusi ADUN Anak Bukit (sebelum itu Bukit Raya). Pada tahun yang sama, beliau dilantik sebagai Ketua Pembangkang menggantikan Lim Kit Siang yang kalah dalam pilihanraya umum itu.

Pada 1998, beliau dilantik sebagai Pengerusi GERAK (Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia). Gerak ditubuhkan oleh PAS, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan disertai oleh 15 pertubuhan bukan kerajaan dan individu untuk menegakkan keadilan selepas pemecatan dan penahanan DSAI.

Ustaz Fadzil adalah orang yang menubuhkan GERAK, dan dengan GERAK itulah beliau merintis penubuhan Barisan Alternatif yang merupakan satu tahaluf siyasi ke arah pembentukan Malaysia Baru. Waktu itu, DSAI sudah berada di dalam penjara. Di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor, GERAK dilancarkan pada 27 September 1998 di Markaz Tarbiah, Taman Melewar. Puluhan ribu rakyat dan ratusan wartawan dari dalam dan luar negara hadir ke majlis pelancaran tersebut.

_______________________________________________________


Pengasas KIDU dan SMIDU.
KIDU.
SMIDU dan KIDU
Ustaz Fadzil juga telah mengasaskan Sekolah Menengah Islam Darul Ulum (SMIDU) dan Kolej Islam Darul Ulum (KIDU). SMIDU ialah sebuah Sekolah Agama Rakyat yang terletak di sempadan Pokok Sena dan Kuala Nerang, Kedah. Bersama dengan KIDU, kedua-dua gabungan ini dinamakan sebagai Muassasah Darul Ulum.

Dalam satu ucapannya, Ustaz Fadzil menyatakan, “…adalah menjadi harapan saya agar Muassasah Darul Ulum yang sama-sama kita asaskan ini akan dapat melahirkan ulamak yang mampu mendokong dan melaksanakan Islam sebagai cara hidup, melahirkan intelektual Islam yang berkemampuan dalam berbagai bidang kehidupan dan mampu menangani permasalahan ummah dan negara.”

SMIDU ditubuhkan pada tahun 1992 di bawah pentadbiran Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah di atas nama Markas Tarbiah Watta’lim. Kemudian pada 1998, nama sekolah ini dengan rasminya ditukar kepada nama sekarang, Sekolah Menengah Islam Darul Ulum.

_______________________________________________________

Allahyarham Dato' Harun Idris (mantan MB Selangor) yang ketika itu
menyertai Parti Semangat 46 pimpinan Ku Li, bersalaman dengan
Ustaz Hadi Awang dan Ustaz Fadzil Noor,
Ustaz Fadzil Noor berjabat mesra dengan Tengku Razaleigh (Ku Li).
Era Gagasan Rakyat-Angkatan Perpaduan Ummah:
Pak Syed Husin Ali, Ustaz Fadzil dan Ku Li.
Pengisytiharan kerjasama parti PAS, NasMa, PSRM dan SDP.
Ustaz Fadzil Noor dan Ustaz Nakhaie Ahmad mewakili PAS.
Isi kandungan Persefahaman PAS-NasMa-PSRM-SDP 1986. 
NST melaporkan bahawa DSAI, ketika itu bintang UMNO yang semakin meningkat naik,
membidas kerjasama PAS dan CCC sebagai pakatan ekstremis yang akan gagal.
CCC
Tahalluf Siyasi: CCC, APU dan BA.
Ustaz Fadzil bersama-sama kepimpinan ulamak yang diterajui oleh Almarhum Ustaz Yusuf Rawa, Ustaz Nik Aziz, Ustaz Hadi Awang dan Ustaz Nakhaie Ahmad turut merintis jalan baru dalam lembaran perjuangan PAS.

* Untuk kupasan ringkas mengenai biodata Ustaz Nakhaie Ahmad, boleh rujuk pautan ini: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/06/ustaz-nakhaie-ahmad-mantan-ydp-yadim.html

PAS yang pada asalnya diberikan imej sebagai parti Islam radikal oleh sesetengah pihak, telah menjalankan kerjasama dengan pemimpin Cina yang tidak sehaluan dengan kepimpinan parti MCA. PAS telah menubuhkan ‘Chinese Concultative Council’ (dan kemudiannya dikenali sebagai ‘Community Coalition Congress’) bagi menarik masyarakat Cina khususnya, dan masyarakat bukan Melayu umumnya.

Pada 14 April 1986, NST melaporkan bahawa DSAI (yang telah menyertai UMNO dan menjadi Ketua Pemudanya) melabelkan pakatan PAS dengan beberapa NGO Cina menerusi CCC sebagai ‘kerjasama antara dua kumpulan ekstrimis.’ Meskipun CCC dilihat sebagai gagal oleh sesetengah pihak, PAS akhirnya berjaya menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) sebagai sayap baru parti PAS pada 23 Mei 2010. DHPP dianggotai oleh masyarakat belum Islam yang menyokong parti PAS.

Kerjasama bersama CCC turut diikuti eksperimen PAS dalam beberapa PRU menerusi kerjasama dengan – antara lain - NASMA, PSRM, SDP, Semangat Melayu 46, DAP, PRM dan KeADILan (PKR). PAS – bersama-sama parti-parti dan NGO lain – bekerjasama di bawah beberapa payung nama dalam menghadapi komponen UMNO-BN yang dilihat gah dan gagah di bawah pimpinan Dr Mahathir-Musa Hitam-Ghafar Baba-Sanusi Junid-Daim Zainuddin-DSAI. Antara nama gabungan pembangkang yang dicatatkan dalam sejarah politik tanahair ialah Angkatan Perpaduan Ummah-Barisan Rakyat, Barisan Alternatif dan terbaru, Pakatan Rakyat.

* Untuk kupasan ringkas berkenaan sejarah CCC, boleh rujuk pautan ini: Dalam Kenangan: Majlis Perundingan Orang Cina (CCC).

____________________________________________________



Tun Dr Mahathir dan Ustaz Fadzil Noor.
Tun Dr M dan Ustaz Fadzil menandatangani persefahaman berkenaan
sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin, usai Syarahan Perdana 2002.
Perpaduan Ummah
Pada 8 Mei 2002, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dato’ Dr. Seri Mahathir Mohamad (kini Tun) yang juga merupakan Presiden UMNO telah dipertemukan dengan Almarhum Dato’ Fadzil Nor (Presiden PAS merangkap Ketua Pembangkang Parlimen ketika itu) di Balai Tun Syed Nasir, DBP.

Majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) dan Timbalan Presiden PAS ketika itu, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang ini disaksikan di secara langsung di seluruh negara.

Program ini adalah suatu peristiwa penting dalam sejarah politik negara kita. Ianya mendapat liputan secara langsung oleh RTM. Program penuh gemilang ini antara lain ialah hasil usaha Presiden ABIM ketika itu, Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman dan (Allahyarham) Dato’ Rahim Bakar, ketika itu adalah Pengerusi Dewan Bahasa & Pustaka.

_______________________________________________________

Membaca Kitab Suci Al-Quran.
Sekitar majlis pengebumian Ustaz Fadzil.
Meninggal dunia
Beliau menerima rawatan selepas melakukan pembedahan pintasan jantung pada 10 Jun 2002. Sebelum itu beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Terengganu kerana mengadu sakit dada. Beliau meninggal dunia pada 23 Jun 2002 di Unit Rawatan Rapi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia akibat sakit jantung pada jam 10.30 pagi. Jenazah beliau diterbangkan oleh pesawat Hercules dari Selangor ke Kedah.

Jenazah Ustaz Fadzil Noor disemadikan di madrasah di tempat kelahiran beliau di Madrasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah sesuai dengan wasiat beliau. Sewaktu jenazah beliau hendak disemadikan, dilaporkan kurang lebih 60,000 rakyat hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada beliau, sehinggakan setiap orang yang datang berebut-rebut untuk mengangkat jenazah beliau. Hal yang demikian menyebabkan jalan raya sesak teruk sehingga 20km.

_______________________________________________________

Ustaz Nik Aziz, Almarhum Ustaz Hassan Shukri dan Almarhum Ustaz Fadzil Noor.
Almarhum Ustaz Hassan Shukri, Ustaz Fadzil Noor dan Ustaz Hadi Awang.
Ustaz Fadzil dalam kenangan.
Ustaz Fadzil dan Ustaz Hadi Awang sedang menyantuni penyokong PAS. Nostalgik.
Penutup
Setiap yang mengaku rakyat Malaysia perlu dan mesti mengenali bapa kebangkitan ini: Ustaz Fadzil Noor. Perjuangan PAS dan Ustaz Fadzil Noor dalam menggerakkan pemurnian semula penyelewengan demokrasi termasuk pelbagai akta yang menyekat dan mencabul hak asasi rakyat di negara ini adalah sesuatu yang sewajarnya kita teladani.

Allahyarham sepanjang hayatnya adalah pejuang yang gigih, sabar, komited dan sederhana. Demi kepentingan perjuangan Islam dan kebajikan rakyat, Ustaz Fadzil Nor akan bersahabat dengan sesiapa sahaja walaupun orang itu dulu adalah lawan beliau. Sifat tidak berdendam menjadikan beliau dihormati oleh kawan dan segani oleh lawan.

Untuk jasa dan sumbangan ustaz Fadzil Noor kerana menggerakkan barisan rakyat, moleklah jika pembaca beragama Islam menghadiahkan al-Fatihah untuk Almarhum. Al-Fatihah.

*************************************

Sumber dan pautan:
i. Kes undang-undang: Fadzil Mohamed Noor v Universiti Teknologi Malaysia [1981] 2 MLJ 196, FC;
ii. Halim Mahmood. Senario Pemilihan UMNO, 1986. Semenyih: Marwilis Publisher;
iii. Kamal Amir. Era Melayu Baru, 1993. Petaling Jaya: Warkah Tulin Sdn Bhd;
iv. Kamal Amir. Episod Gelora Melayu, 2007. Petaling Jaya: Putrajaya Bumi Communications Sdn Bhd;
v. Ruhanie Haji Ahmad. Musa Hitam: Serene in the Storm, 1987. Petaling Jaya: Media Indah Sdn Bhd;
vi. Subky Latif. Istimewa Terkenang: Siri Koleksi Rencana Terpilih Siasah, 2009. Kuala Lumpur: Media Icon Sdn Bhd;
vii. Syed Hussein Al-Attas. Musa A Traitor?, 1986. Kuala Lumpur: AlNujum Sdn Bhd;
viii. Yahaya Ismail. Siapa Kebal: Mahathir atau Raja-Raja Melayu?, 1993. Kuala Lumpur: Dinamika Kreatif Sdn. Bhd.;
ix. Yahaya Ismail. Siapa Presiden UMNO 1987: Mahathir-Tengku Razaleigh?, 1987. Kuala Lumpur: Dinamika Kreatif Sdn. Bhd.;
x. Zabidi Mohamed. Lelaki UMNO Terakhir: Iktibar Untuk Pejuang Islam, 1999. Kuala Lumpur: Zabidi Publication;
xi. Zainuddin Maidin. Mahathir Di Sebalik Tabir, 1994. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd;
xii. Zakri Abadi. Mahathir Machiavelli Malaysia?, 1990. Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise;
xiii. http://tehranifaisal.blogspot.com/;
xiv. http://syababghardhuffaz.blogspot.com/2007/06/dato-ustaz-hj-fadzil-noor.html ;
xv. http://muslimeen-united.blogspot.com/2010/05/memperingati-almarhum-ustaz-fadzil-noor.html ;
xvi. http://fauwazfadzil.blogspot.com/2009/03/al-marhum-ayahanda-ustaz-fadzil-noor.html ;
xvii. http:// www.aizatlegendz.blogspot.com/ ;
xviii. http://ahmadazam.blogspot.com/;
xix. http:// greensyndicate.blogspot.com ; dan
xx. http://fauwazfadzil.blogspot.com/2009/03/al-marhum-ayahanda-ustaz-fadzil-noor.html .

Sasterawan ulung: Pramoedya Ananta Toer (Pak Pram).

Pramoedya Ananta Toer (lahir di Blora, Jawa Tengah, 6 Februari 1925 – meninggal di Jakarta, 30 April 2006 pada umur 81 tahun), secara luas dianggap sebagai salah seorang pengarang yang produktif dalam sejarah sastera Indonesia.

Beliau telah menghasilkan lebih daripada 50 buah karya (novel sejarah, semi-autobiografi, cerpen, esei, dan sebagainya) dan diterjemahkan ke dalam lebih daripada 41 bahasa asing. Beberapa karya utamanya, antara lain Cerita dari Blora (1952), Kuartet/Serial Pulau Buru (1980 - 1988), Gadis Pantai (1982), dan Arok Dedes (1999).

Nama asal Pramoedya adalah Pramoedya Ananta Mastoer, sebagaimana yang tertulis dalam koleksi cerpen semi-otobiografinya yang berjudul Cerita Dari Blora. Kerana nama keluarga Mastoer (nama ayahnya) dirasakan terlalu aristokratik, beliau menghilangkan awalan Jawa “Mas” daripada nama tersebut dan menggunakan “Toer” sebagai nama keluarganya.

Pada 1960-an, beliau ditahan oleh kerajaan pimpinan Soeharto kerana “pandangan pro-Komunis Tiongkoknya”. Bukunya dilarang pengedarannya, dan beliau ditahan tanpa pengadilan di Nusakambangan di lepas pantai Jawa, dan akhirnya di Pulau Buru di kawasan timur Indonesia.

Selain pernah ditahan selama 3 tahun sewaktu zaman penjajahan dan setahun sewaktu Orde Lama, sepanjang Orde Baru, Pramoedya telah 14 tahun ditahan sebagai tahanan politik tanpa proses pengadilan.

Antara karya agung beliau ialah novel Keluarga Gerilya yang diterbitkan pada tahun 1950 sejurus selepas beliau dibebaskan dari Penjara Bukit Duri, Jakarta oleh Belanda.

Dalam dunia sastera antarabangsa, sasterawan Indonesia ini dijuluki “Albert Camus Indonesia”. Menurut Los Angeles Time, beliau termasuk dalam 100 pengarang dunia yang karyanya harus dibaca. Kedudukan beliau sejajar dengan John Steinbejk, Graham Greene dan Bertolt Berecht.

Akibat penyakit radang paru-paru yang dihidapinya semakin kronik dan disertai komplikasi penyakit jantung dan diabetes, Pram akhirnya menutup lembaran kisah hidupnya pada hari Minggu tanggal 30 April 2006. Jenazahnya dimakamkan di permakaman Umum Karet Bivak Jakarta Pusat. Selamat Jalan Pak Pram.

Antara senarai anugerah dan pencapaian Pak Pram :-
• Freedom to Write Award dari PEN American Center, AS, 1988;
• Penghargaan dari The Fund for Free Expression, New York, AS, 1989;
• Wertheim Award, “for his meritorious services to the struggle for emancipation of Indonesian people”, dari The Wertheim Fondation, Leiden, Belanda, 1995;
• Ramon Magsaysay Award, “for Journalism, Literature, and Creative Arts, in recognation of his illuminating with briliant stories the historical awakening, and modern experience of Indonesian people”, dari Ramon Magsaysay Award Foundation, Manila, Filipina, 1995;
• UNESCO Madanjeet Singh Prize, “in recognition of his outstanding contribution to the promotion of tolerance and non-violence” dari UNESCO, Perancis, 1996;
• Doctor of Humane Letters, “in recognition of his remarkable imagination and distinguished literary contributions, his example to all who oppose tyranny, and his highly principled struggle for intellectual freedom” dari Universitas Michigan, Madison, AS, 1999;
• Chancellor’s distinguished Honor Award, “for his outstanding literary achievements and for his contributions to ethnic tolerance and global understanding”, dari Universitas California, Berkeley, AS, 1999;
• Chevalier de l'Ordre des Arts et des Letters, dari Le Ministre de la Culture et de la Communication Republique, Paris, Perancis, 1999;
• New York Foundation for the Arts Award, New York, AS, 2000;
• Fukuoka Cultural Grand Prize (Hadiah Budaya Asia Fukuoka), Jepun, 2000;
• The Norwegian Authors Union, 2004;
• Centenario Pablo Neruda, Chili, 2004 dan banyak lagi.

Pak Rendra (Wahyu Sulaiman Rendra ).

Allahyarham Willibrordus Surendra Broto Rendra atau Wahyu Sulaiman Rendra -- yang lebih dikenali sebagai WS Rendra (lahir di Solo, Jawa Tengah, 7 November 1935 – meninggal dunia di Jakarta, 6 Ogos 2009 pada umur 74 tahun) adalah penyair ternama yang kerap dijuluki sebagai “Burung Merak”.

Profesor Harry Aveling, seorang pakar sastera dari Australia yang besar perhatiannya terhadap kesusasteraan Indonesia, telah membicarakan dan menerjemahkan beberapa bahagian puisi Rendra dalam tulisannya yang berjudul “A Thematic History of Indonesian Poetry: 1920 to 1974”.

Karya Rendra juga dibicarakan oleh seorang pakar sastera dari Jerman bernama Profesor Rainer Carle dalam bentuk disertasi yang berjudul Rendras Gedichtsammlungen (1957—1972): Ein Beitrag Zur Kenntnis der Zeitgenossichen Indonesischen Literatur. Verlag von Dietrich Reimer in Berlin: Hamburg 1977.

Menurut Sayyid Quthub seorang intelektual dari Mesir yang hidup di awal abad 20, “orang yang hidup bagi dirinya sendiri akan hidup dan mati sebagai orang kerdil dan orang yang hidup bagi orang lain akan hidup dan mati sebagai orang besar.”

Sesunguhnya, WS Rendra adalah seorang pejuang kemanusiaan yang tulen melalui karya seninya. Dunia Melayu kehilangan seorang lagi tokoh yang sukar dicari ganti.

Beliau menghembuskan nafas terakhir setelah dirawat di Rumah Sakit Mitra Keluarga Depok, Jawa Barat, akibat komplikasi penyakit. Berita kesedihan ini membawa suasana kelam pada semua yang menjiwai karyanya.


Antara anugerah yang diterimanya :-
• Hadiah Pertama Sayembara Penulisan Drama dari Bahagian Kesenian Departmen Pendidikan dan Kebudayaan , Yogyakarta (1954);
• Hadiah Sastra Nasional BMKN (1956);
• Anugerah Seni dari Pemerintah Republik Indonesia (1970);
• Hadiah Akademi Jakarta (1975);
• Hadiah Yayasan Buku Utama, Departmen Pendidikan dan Kebudayaan (1976);
• Penghargaan Adam Malik (1989);
• The S.E.A. Write Award (1996);
• Penghargaan Achmad Bakri (2006);
• dan banyak lagi.

Antara puisi beliau yang paling diingati ialah "Puisi Pertemuan Mahasiswa." Berikut bait-bait indah penuh idealisme sebugar semangat perjuangan kental Pak Rendra :-

Puisi Pertemuan Mahasiswa
Matahari terbit pagi ini
mencium bau kencing orok di kaki langit,
melihat kali coklat menjalar ke lautan,
dan mendengar dengung lebah di dalam hutan

Lalu kini ia dua penggalah tingginya
Dan ia menjadi saksi kita berkumpul di sini memeriksa keadaan

Kita bertanya:
"Kenapa maksud baik tidak selalu berguna?"
"Kenapa maksud baik dan maksud baik bisa berlaga?"
Orang berkata:
"Kami ada maksud baik "
Dan kita bertanya:
"Maksud baik untuk siapa?"

Ya ! Ada yang jaya, ada yang terhina
Ada yang bersenjata, ada yang terluka
Ada yang duduk, ada yang diduduki
Ada yang berlimpah, ada yang terkuras
Dan kita di sini bertanya:
"Maksud baik saudara untuk siapa?
Saudara berdiri di pihak yang mana?"

Kenapa maksud baik dilakukan
tetapi makin banyak petani yang kehilangan tanahnya
Tanah-tanah di gunung telah dimiliki orang-orang kota
Perkebunan yang luas
hanya menguntungkan segolongan kecil saja
Alat-alat kemajuan yang diimpor
tidak cocok untuk petani yang sempit tanahnya

Tentu kita bertanya:
"Lantas maksud baik saudara untuk siapa?"

Sekarang matahari, semakin tinggi
Lalu akan bertahta juga di atas puncak kepala

Dan di dalam udara yang panas kita juga bertanya:
Kita ini dididik untuk memihak yang mana ?
Ilmu-ilmu yang diajarkan di sini
akan menjadi alat pembebasan,
ataukah alat penindasan?

Sebentar lagi matahari akan tenggelam
Malam akan tiba
Cicak-cicak berbunyi di tembok
Dan rembulan akan berlayar
Tetapi pertanyaan kita tidak akan mereda
Akan hidup di dalam bermimpi
Akan tumbuh di kebon belakang

Dan esok hari matahari akan terbit kembali
Sementara hari baru menjelma
Pertanyaan-pertanyaan kita menjadi hutan
Atau masuk ke sungai menjadi ombak di samodra

Di bawah matahari ini kita bertanya:
Ada yang menangis, ada yang mendera
Ada yang habis, ada yang mengikis
Dan maksud baik kita berdiri di pihak yang mana!

Jakarta 1 Desember 1977.


Al-Fatihah buat Almarhum Pak Rendra.

Sabtu, April 02, 2011

Penjaga gol yang menjaringkan gol.

Dalam era bola sepak dengan corak permainan terbuka, penjaga gol yang menjaringkan gol bukanlah fakta yang asing bagi kita. Meskipun berada kurang lebih 100 ela jauhnya dari pintu gol lawan, penjaga gol tidak pernah sunyi daripada menghiburkan kita dengan gol-gol yang hebat dan mengejutkan.

Jaringan sulung oleh penjaga gol yang direkodkan ialah pada April 1900, apabila penjaga gol Manchester City, Charlie Williams -- yang cuba membuat “clearance” dari jarak jauh – membuat jaringan sewaktu menentang Sunderland.

Siapakah penjaga gol yang kerap menjaringkan gol?

Rogerio Ceni (100 gol)
Rekod ini dipegang oleh penjaga gol Brazil, Rogerio Ceni. Pada tanggal 27 Mac 2011, Ceni, 38, akhirnya berjaya menjaringkan gol ke-100 nya apabila beliau menjaringkan gol kedua Sao Paulo pada minit ke-54 sewaktu membenam musuh ketat pasukannya, Corinthians, 2-1 dalam Kejohanan Paulista.

Beliau bukan sahaja cekap sebagai penjaga gol, tetapi juga hebat dalam mencetak jaringan: melalui sepakan penalti mahupun tendangan percuma. Kerana kehebatannya itu, beliau digelar sebagai pemain yang mempunyai “tangan Oliver Kahn dan kaki David Beckham.” Pada tahun 2005, beliau menjaringkan 21 gol untuk musim tersebut.

Namun, beliau hanya pernah bermain sekali dalam Piala Dunia: 10 minit terakhir sewaktu perlawanan menentang Jepun di Jerman.

Jose Luis Chilavert (62 gol)
Jose Luis Chilavert, lagenda bola sepak Paraguay, merupakan pakar bola mati. Beliau sering menjaringkan gol menerusi sepakan penalti: baik untuk negara mahupun kelab yang diwakilinya.

Chilavert menggemparkan dunia bola sepak dengan sepakan percuma lencong menakjubkan sewaktu menentang Argentina pada di Bueno Aires. Pada 1999, beliau menjadi penjaga gol pertama menjaringkan hat-trick sewaktu Velez Sarsfield mennetang Ferro Carril Oeste.

Beliau merupakan satu-satunya penjaga gol yang menjaringkan hat-trick. Rekod ini dicatatkan pada November 1999, apabila beliau menyempurnakan 3 sepakan penalti untuk Vélez Sársfield sewaktu menang 6-1 ke atas Ferro Carril Oeste.

Pada tahun 2000, beliau dan penjaga gol berasal dari Argentina, Roberto Bonano yang beraksi untuk River Plate menjaringkan gol untuk pasukan masing-masing dalam perlawanan Copa Mercosur.


Rene Higuita (41 gol)

Rene Higuita, bekas penjaga gawang Colombia yang dijuluki dengan gekaran “El Loco” atau “Si Gila” ini, memang merupakan sosok penjaga gawang yang kontroversial. Aksinya yang sering keluar jauh dari kawasan pertahanan bahkan ikut serta dalam mengambil tendangan percuma mahupun penalti memang sulit untuk dilupakan.

Aksinya yang paling diingati adalah “Scorpion Kick” (Sepakan Kala Jengking) -- keadaan di mana ketika melompat, badan ditekuk ke belakang dan kaki ditarik melengkung (seolah-olah kala jengking) -- menahan tendangan Jamie Redknapp dalam perlawanan persahabatan menentan England pada bulan September 1995.

Antara kesilapan terbesar Higuita ialah sewaktu kempen Piala Dunia Itali 1990. Seperti biasa, beliau mengambil risiko yang tak sepatutnya dengan membawa bola menuju ke kawasan padang lawan. “Blunder” pun tercipta.

Roger Milla berjaya merampas bola daripada Higuita yang berada dalam situasi terdesak untuk menggeleceknya. Namun, sudah terlambat. Bola semakin menuju ke arah gawang Colombia, sebagaimana Colombia menuju ke arah pintu keluar dari kejohanan tersebut.

Jorge Campos (40 gol)
Tidak seperti penjaga gol lain yang menjaringkan gol menerusi penalti atau sepakan percuma, Campos kerap membuat jaringan menerusi permainan terbuka. Hal ini demikian mungkin kerana beliau memulakan kerjayanya selaku penyerang.

Mungkin ramai dalam kalangan kita yang agak skeptikal terhadap ketinggian beliau: 5 kaki 8 inci. Beliau dilihat sebagai terlalu rendah atau kecil untuk mencapai status bintang dunia. Namun, rekod jaringan dan prestasinya menutup mulut pengkritik.

Sekedar berkongsi, beliau mereka sendiri jersi dan pakaian bola sepaknya – dengan warna yang pelbagai dan menarik perhatian ramai. Dan, beliau menafikan khabar angin yang menyatakan beliau seorang gay.

Dimitar Ivankov (42 gol)
Ramai penjaga gol yang menjaringkan gol berasal dari Amerika Selatan. Dimitar Ivankov, penjaga gol skuad Bulgaria, terkecuali. Beliau memulakan kerjayanya di Levski Sofia. Beliau juga pernah memenangi Liga Super Turki sewaktu mewakili Bursaspor pada 2010. Beliau merupakan antara pemegang rekod sebagai penjaga gawang paling prolifik di Eropah.


Hans-Jorg Butt (32 gol)
Beliau merupakan penjaga gol Bayern Munich yang berasal dari Jerman. Beliau pernah bermain untuk Hamburger SV, SL Benfica, Oldenburg dan Bayer Leverkusen. Beliau telah menjaringkan 32 gol termasuk 3 gol dalam kejohanan Liga Kejuaraan UEFA dan satu gol dalam Piala Liga Jerman.

Nota kaki :-
• Sejelasnya, sebelum 1912, sudah ramai penjaga gol yang mencatat jaringan secara kerap. Kendatipun, hal ini demikian adalah kerana peraturan ketika itu yang membenarkan penjaga gol memegang bola sehingga ke garisan tengah.

• Seperti yang kita sedia maklum, dan seperti yang saya nyatakan dalam entri sebelum ini, bekas penjaga gol Malaysia, Syamsuri Mustafa juga tercatat sebagai penjaring gol. Beliau melakukannya sewaktu pasukan negara tewas kepada Vietnam.

Salam. :)


Sumber:
• calvinayre.com;
• georgesjournal.wordpress.com;
• http://sekedar-tahu.blogspot.com/2010/01/rogerio-ceni-kiper-yang-menjadi-top.html#ixzz1ILRvo4wh;
• http://worldrec.info/2006/09/10/rogerio-ceni-soccer-the-worlds-highest-scoring-goalkeeper/;
• http://www.sportsreviewer.com/806/rene-higuita-the-scorpion-kick-keeper-of-colombia-to-run-for-mayor/;
• promomagazine.com;
• s490.photobucket.com;
• sportable.com; dan
• truthminber.net

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...