I
27hb
Ogos 2014: Selangor tumpas, 1 - 2
kepada Sime Darby.
Alhamdulillah,
pada 27hb Ogos 2014, Sahabat Kelab Jersi Kita (KJK) dan Retro Bola
Sepak (RBS) sempat menyaksikan perlawanan di antara pasukan Selangor yang berdepan
Sime Darby di Stadium Shah Alam untuk aksi perlawanan pusingan
kedua kumpulan D, kempen Piala Malaysia 2014 yang bermula jam 8.45 malam pada
hari Rabu.
Menariknya,
kali ini Sahabat KJK dan RBS turut ditemani oleh dua bekas bintang Liga-M yang
pernah menyarung jersi Selangor, Abg Shahril Arsat dan Abg Jamsari Sabian.
Terkenal dengan keramahan dan sifat tidak sombong mereka, kedua-duanya juga
pernah menjulang Piala Malaysia bersama skuad The Red Giants.
II
Pada
perlawanan pusingan pertama kumpulan yang berlangsung pada Sabtu sebelumnya di
Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor telah menewaskan Sime
Darby 2-0 menerusi jaringan Paulo Rangel dan Hazwan Bakri.
Anak
didik Mehmet Durakovic gagal mengulangi untuk memastikan jaminan selesa di
peringkat seterusnya walaupun mendahului lawan. Kini, laluan Juara Piala
Malaysia 32 kali ini dilihat sedikit berliku menjelang pertemuan malam nanti
menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sudah pun mengesahkan slot di
pusingan seterusnya.
III
Turun
dengan barisan terkuat, tuan rumah mempunyai beberapa peluang terhidang yang
gagal diterjemahkan dengan jaringan gol seharusnya menjadi pengajaran. Selangor
dibarisi oleh: Farizal, Kunalan, Shahrom, Panter, Azmi, Andik, Veenod,
Nazmi, Rizal, Hazwan, dan Rangel. Paulo Rangel dan Shahrom Abd Kalam
antara pemain berpeluang meletakkan tuan rumah di hadapan namun sebaliknya
berlaku.
Namun,
kerja keras pemain Selangor akhirnya membuahkan hasil apabila Ahmad Hazwan
tenang menewaskan Mohd Sufian selepas tidak dikawal pertahanan lawan. Pergerakan
gandingan menarik pemain Selangor, Ahmad Hazwan bersama rakan pasukannya Paulo
Rangel menghasilkan gol menarik pada minit ke-63 pada separuh masa kedua
perlawanan.
IV
Kegembiraan
itu tidak bertahan lama apabila pemain gantian, Fahrul Razi Kamaruddin meledak
jaringan penyamaan pada minit ke-75 untuk mengejutkan tuan rumah. Tekanan
berterusan menyaksikan Farizal sekali lagi tertewas menerusi tandukan Mateo
Roskam yang memanfaatkan hantaran Juzaili Samion pada minit ke-82 dan keputusan
itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Selepas
mengharungi empat perlawanan, Selangor mengutip 6 mata dan berada di tempat
kedua kumpulan D. Menang-kalah-seri: semuanya adat permainan. Perjuangan
pasukan Belia (Bawah 19 Tahun) Selangor untuk mempertahankan kejuaraan yang
dimenangi tahun lepas berakhir bila tewas kepada pasukan Perak, 1-2 di Stadium
Hang Tuah pada peringkat suku akhir. Peluang masih ada dan masih ada yang
kekal yakin bahawa The Red Giants mampu ke peringkat seterusnya.
V
Seperti
biasa, soal Stadium Shah Alam yang lengang kembali menjadi perbualan ramai
pihak. Ada yang menghentam, ada yang memboikot, ada juga yang memberikan
cadangan-penyelesaian. Kita semua ada kenangan masing-masing ketika muda/kecil.
Stadium yang penuh, ‘scoreboard’ yang berfungsi baik, pengumuman nama-nama
pemain sebelum perlawanan bersama gambar seperti di Stadium Larkin sekarang. Selingan
tendangan penalti separuh masa, dan dapat hadiah buat penyokong terpilih.
Apalah
kiranya, kita meriahkan lagi Stadium Shah Alam khususnya, supaya jadi kenangan
indah buat generasi kecil dan yang lebih muda. Perkara pokok, kita perlu penuhi
stadium dulu, beri sokongan padu buat pemain, setiap kali berkelapangan. Kalau
bukan kita, siapa lagi. Kita boleh terus mengkritik pengurusan, tapi sementara
kita memberi cadangan konstruktif, kita perlu sedar, di depan kita, para pemain
skuad Merah-Kuning sedang berjuang atas nama Selangor.
VI
Kini,
tarikan SSA mungkin kurang, tidak semegah era 90an dulu. Tapi, sokongan tidak
boleh surut. Tarikan stadium satu hal, kesetiaan penyokong satu hal yang
lain. Itu kita perlu jelas dan semat dalam jiwa bersama. Ya, kita mesti
menghargai sejarah silam. Tapi, realiti hari ini juga perlu kita tanggapi dan
dokong. Selagi ada kelapangan dan kemampuan, turun ke stadium, beri sokongan. Ini
pasukan kita - Selangor Darul Ehsan.
Maju
Selangor. Viva Selangor. Forza Selangor. Bersama memartabatkan jersi serta liga
tempatan kita. Padu.
--------------------------------------------
Sumber:
- https://www.facebook.com/asianadotmy?fref=ts;
- https://www.facebook.com/DuniaSukanOnline?fref=nf;
- https://www.facebook.com/groups/285351638583/?fref=ts;
- https://www.facebook.com/UltraSelCurva?fref=ts;
- https://www.facebook.com/selangorfanatik?fref=ts;
- https://www.facebook.com/selangorfc?fref=ts;
- http://www.astroawani.com/news/;
- https://www.facebook.com/shahfreshtilldeath?fref=ts;
- https://www.facebook.com/zaid.ayid?fref=photo.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan