Sabtu, Ogos 23, 2014

Seputar Majlis Tahlil dan Kesyukuran Eid Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) 2014.



Logo ABIM.

Presiden ABIM:
Cikgu Haji Amidi Abdul Manan
Juga mantan Presiden PKPIM.

I
Seputar Majlis Tahlil dan Kesyukuran Eid 
Angkatan Belia Islam Malaysia 
(ABIM) 2014.
Alhamdulillah, pada 20hb Ogos 2014, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan kerjasama Koperasi Belia Islam (KBI) telah menganjurkan ‘Majlis Tahlil dan Kesyukuran Eid 2014’. Majlis yang berlangsung dari pukul 11 pagi hingga jam 3 petang ini dianjurkan di Dewan Pembangunan Belia Islam, Sekretariat ABIM Pusat, Taman Cemerlang, Kuala Lumpur.
Selain dihadiri oleh ramai tetamu daripada pelbagai latar-belakang, majlis ini turut mendapat liputan daripada Perbadanan Radio dan Televisyen Turki, TRT Türk. Semoga dengan kehadiran para tetamu dan petugas akan membawa seribu rahmat kepada semua. Syabas dan terima kasih kepada semua jawatankuasa yang bertungkus lumus memastikan kelancaran program terjamin.
Sementelahan, majlis bacaan tahlil dan doa selamat khusus buat Allahyarhamhu Abu Qassim Nor Azmi (mantan Exco ABIM Pusat 2011-2013) turut diadakan, sebagai memperingati pemergian pemimpin belia yang berjasa tersebut. Majlis diadakan selepas Solat Zohor secara berjemaah ditunaikan. 

Ibadah umrah khusus buat Allahyarhamhu 
Abu Qassim Nor Azmi telah disempurnakan oleh 
budiman, Omarah Alharaki dan Sohib Edris (sambil 
memegang telefon bimbit dengan wajah Abu). Allahyarhamhu 
Abu merupakan di antara sosok awal yang bangkit memperjuangkan 
isu Syria di Malaysia dan mereka berdua sempat bertemu 
dengan beliau. Semoga ALLAH SWT menerima 
ibadah umrah ini.
Surat takziah daripada Kedutaan 
Australia. Pemergian Allahyarhamhu 
Abu Qassim Nor Azmi dirasakan 
sehingga ke tanah Australia.
Surat takziah buat Allahyarhamhu 
Abu Qassim Nor Azmi daripada sahabat-sahabat 
Syria. Beliau pernah bersama memperjuangkan 
isu Syria pada awal pembabitan ABIM 
dalam menangani isu Syria secara 
lebih serius.
Surat takziah tanda
simpati daripada Pergerakan
Youth For Syria (Y4S).
II
Latar belakang.
Abu merupakan anak ketiga daripada enam beradik, dan lahir di Hospital Kuala Pilah pada 30hb November 1986. Bapa beliau, Nor Azmi Hashim bekerja sebagai Ketua Pembantu Tadbir di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Negeri Sembilan, manakala ibu beliau, Habibah Sarkawi, kelahiran Pontian, merupakan Juruteknik Kanan di Unit Ukur Bahan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan. Beliau telah mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati, Saudari SnSadrina Mohd Isa, yang cukup dikasihinya.
Allahyarhamhu merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di mana sebelum itu menuntut di Pusat Matrikulasi UIAM di Petaling Jaya. Beliau bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pedas, Rembau dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Besar Burhanuddin, Kuala Pilah.
Jawatan terakhir disandang oleh beliau ialah sebagai Pegawai Statistik di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Cyberjaya. Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Pembantu Pengurus, Bank OCBC Al-Amin; Guru Matematik dan Fizik, Sekolah Menengah Setiabudi (bersebelahan dengan UIAM); dan Pelatih Akademik [Academic Trainee IIUM (MSc Statistics UM)].

III
Aktif bersama NGO, cemerlang 
bidang akademik.
Antara jawatan yang pernah beliau pegang ketika menganggotai Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan gerakan pelajar ialah selaku: Exco Majlis Belia Malaysia; Ketua Biro Penerangan Abim Pusat 2011-2013; Ahli Parlimen Belia (Percubaan) P131 Rembau 2012; Ahli Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) 2010-2011; Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Sesi 2010/2011; Naib Presiden Antarabangsa PKPIM Sesi 2009/2010; EXCO Pendidikan dan Penyelidikan PKPIM Sesi 2008/2009; dan Setiausaha Majlis Perhubungan Kampus, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), 2008.
Allahyarhamhu Abu juga merupakan bekas Naib Presiden I, ALUMNI SMKA Pedas Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); Ketua Jawatakuasa Perhubungan, Sekretariat Perhubungan dan Informasi, Persatuan Pelajar Sains UIAM; dan Setiausaha Agung, Persatuan Pra-Pelajar Sains, Pusat Matrikulasi UIAM.
Selanjutnya, antara anugerah yang pernah dikecapi oleh beliau ialah: Anugerah Dekan 2008, Kulliyyah Sains, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); Anugerah Dekan 2007, Kulliyyah Sains, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); Anugerah Tokoh Pelajar Mithali Keseluruhan, SMKA Pedas, 2004; Tokoh Mulidurrasul SMKA Pedas, 2003; dan Anugerah Khas Tokoh Maal Hijrah Kuala Pilah, 2001.

IV
Hasil Tulisan dan buah fikir.
Selain itu, antara penulisan beliau dalam isu pendidikan ialah: “Kenyataan Exco Pendidikan dan Penyelidikan PKPIM Semperna Hari Guru” (2009); “Kenyataan Jawatankuasa Pendidikan dan Penyelidikan PKPIM: Sokong Pendirian GMP” (MahasiswaKini); “PPSMI: Kembali Ke Pangkal Jalan” (Berita Harian); “Teladani Cina Mempelajari BM” (Berita Harian, Majalah I); “Kenyataan Menteri Pelajaran: Satu Penilaian”; “Respon Terhadap kenyataan GPMS”; “Respon PKPIM: PPSMI di P-36”; “Pandangan PKPIM: Persidangan Meja Bulat (PMB) ke-5”; dan “Syor Persidangan Khas PPSMI”.
Berkenaan isu ekonomi, beliau menulis: “Liberalisasi Bukan Perkara Baru Mahasiswa”; “Briged Bakti Malaysia Komited Dekati Mat Rempit”; “Pandangan PRK 2009: Syor Tolak Calon Kepartian”; “Cabaran Kehidupan Kampus” dan “AUKU”. Beliau juga menulis berkenaan isu semasa iaitu: “Chin Peng & Kedamaian” serta “Generasi Al-Quds” (Harian Metro, Majalah I).

YDP YADIM yang juga mantan
Presiden PKPIM, Dr Asyraf
Wajdi Dusuki turut hadir.
YB Nurul Izzah menyantuni
ibu dan keluarga Allahyarhamhu.
Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy 
Jamaluddin turut menghadiri majlis tahlil 
Allahyarhamhu Abu Qassim. YB juga turut memberi 
sokongan kepada ayahanda kepada Almarhum, 
Dr Nor Azmi Hashim dalam Majlis Tahlil Arwah 
di Senawang, Negeri Sembilan.
V
Perjalanan Terakhir.
Seperti yang kita sedia maklum, Abu Qassim telah pergi menghadap Pencipta-NYA pada 17hb Ogos 2014 yang lalu, setelah terlibat dalam satu nahas jalan raya yang tragik. Jenazah Allahyarhamhu telah dibawa ke Masjid Tanah Putih Baru Kuantan, Pahang (diuruskan, dimandi dan dikafan terus) dan dibawa ke rumah keluarga beliau di Taman Tuanku Jaafar, Senawang, Seremban.
Sesungguhnya, kematian itu pasti. Mati itu adalah antara rahsia ALLAH SWT agar kita sentiasa bersiap siaga dalam ketaqwaan bagi orang yang berfikir. Mati itu tidak mengenal umur. Ia datang tak kira waktu. Ingatlah firman ALLAH SWT, “Di manapun kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, kendatipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi dan kukuh....” (Surah An-Nisa’, Ayat 4:78).
ALLAH SWT telah berkali kali menjanjikan dalam Al-Quran, “Maka tidak seorang pun mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka, iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyenangkan hati sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan…” (Surah As-Sajadah, Ayat 32:17).
Dalam usia yang muda, fikrahnya jelas dan komitmennya tinggi. Sepertimana yang pernah dicatat sendiri oleh beliau dalam laman facebooknya, “Kecil bukan kerana halus sosok fizikalnya, tetapi kerana jiwanya yang kerdil, besar bukan kerana gedempol tubuhnya, tetapi kerana mindanya yang agung, jiwa yang suci dan semangatnya yang berkobar.”

VI
Madrasah ABIM-PKPIM.
Cikgu Amidi Abdul Manan, Presiden ABIM yang agak akrab dengan Allahyarhamhu Abu menukilkan bahawa, keikhlasan dan kesungguhan Allahyarhamhu -  dengan ilmu dan akhlak mulia merupakan suatu yang dihargai. Tidak rugi berdampingan dan didampingi dengan orang-orang yang baik seperti beliau. 
Pemergian Ahmad Ammar dan Abu Qassim tidak lain mendedahkan kepada kita betapa berkualitinya produk tarbiah PKPIM-ABIM. Mahasiwa baru wajar menyertai PKPIM di universiti. Memetik kata-kata mantan Presiden PKPIM yang kini merupakan Setiausaha Agung ABIM, Saudara Faisal Abdul Aziz menyatakan bahawa, keberkatan daripada keikhlasan guru dan aktivis dalam menggerakkan institusi pendidikan ABIM dan madrasah jamaah ABIM-PKPIM telah melahirkan dua tokoh muda yang dikagumi masyarakat. 
Pertama, Ahmad Ammar Ahmad Azam Ab Rahman yang merupakan graduan Sekolah Rendah Islam SRI ABIM Al-Huda, Gombak dan kedua, Abu Qassim Nor Azmi yang merupakan bekas pelajar Taski ABIM Seremban dan juga graduan madrasah PKPIM.
Menurut Saudara Faisal lagi, “Benarlah perumpamaan Almarhum Muhammad Al-Ghazali bahawa ‘atas faktor keberkatan’ Masjid Zaman Nabi - walau tidak sehebat Masjid zaman kini dari segi kemewahan fizikal dan material, tetapi telah melahirkan generasi yang jauh lebih hebat daripada generasi kini.”

VII
Hidup biar berjasa.
Mohon jasa baik semua sahabat untuk sedekahkan Al-Fatihah dan mendoakan yang baik-baik buat beliau. Tiada apa yang buruk sepanjang mengenali pejuang ummat ini. Kembalilah dengan tenang, Abu. Tiada yang tertangguh walau sesaat, yang hidup ini, teruslah beramal dan membuat kebajikan dan manfaat. Semoga ALLAH mencucuri rahmat dan keampunan kepada Allahyarhamhu, keluarganya dan kita semua.
Jadikanlah kenangan indah yang diwariskan Allahyarhamhu sebagai inspirasi untuk kita menggapai sebaik-baik khatimah. Semoga umat mendapat manfaat daripada inspirasi perjuangan beliau. Kepetahannya dalam berpidato, dan keramahannya dalam berbicara; akan dikenang sampai bila-bila. Legasi, iltizam serta semangatnya akan terus segar dalam jiwa anak-anak muda. 

VIII
Berehatlah Abu Qassim Nor Azmi.
Kepada balu Allahyarhamhu Abu, Saudari SnSadrina Mohd Isa, semoga terus dikurnia ketabahan dan kekuatan berpanjangan. Hanya ALLAH SWT yang layak membalas kesetiaan seorang isteri menanti kepulangan suaminya. “Maka apabila telah tiba ajal mereka (waktu yang telah ditentukan), tidaklah mereka dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak pula mereka dapat mendahulukannya.” (Surah An-Nahl, Ayat 61).
Sebagai khatimah, Sahabat Abu yang juga merupakan aktivis ABIM-PKPIM, Saudara Adli Zakuan, menulis bahawa “…moga kita semua diberi kekuatan untuk menerima pemergian Arwah untuk lebih kuat meneruskan perjuangan. Hidup dia berjasa dan jasa dia hidup. Segala usaha dia tak akan terkubur tapi terus makmur. Rasa sedih pilu dan rindu pada dia akan kita guna sebagai bahan pembakar semangat untuk bangkit dan terus berjuang lebih padu. Gengam bara api biar sampai jadi Abu. Bangkit!”
Abu telah kembali, semoga seribu Abu kan bangkit lagi.
Selamat pulang, Abu. Kami akan menyusulimu.
Allahummaghfirlahu warhamhu wa’afihi wa’fuanhu. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...