I
20hb
Ogos 2014: Selangor tewas, 0-2,
kepada PDRM FA.
Alhamdulillah,
pada 20hb Ogos 2014, Sahabat Kelab
Jersi Kita (KJK) berkesempatan meluangkan masa dan bergambar kenangan
bersama bekas bintang skuad Gergasi Merah, Abang Azman Adnan, usai
menyaksikan perlawanan PDRM-Selangor di Stadium Shah Alam. Bersama-sama rakan-rakan
bekas pemain seperti Mubin Mokhtar, Azlisham Ibrahim, Nazrulerwan Makmor, Fauzi
Pilus dan rakan-rakan lain, Azman kini bersama berganding bahu membimbing skuad
PDRM FA. Seperti yang kita sedia maklum, Ketua Jurulatih PDRM FA, Coach Dollah
Salleh kini sedang membimbing skuad Harimau Malaya. Saya tumpang gembira,
melihat Sahabat KJK yang begitu ceria bila dapat beramah mesra bersama Abang
Azman Adnan, yang sememangnya terkenal dengan keramahannya kepada peminat dan
penyokong, sedari zaman menjadi bintang Malaysia era 90an.
II
Selangor
pernah benam PDRM,
10-1 pada 1993.
Dalam
perlawanan tersebut, Selangor tewas 0-2 kepada pasukan Juara Liga Perdana 2014,
PDRM FA di Wilayah Gergasi Merah, Stadium Shah Alam (SSA), ketika perlawanan
kedua peringkat kumpulan Piala Malaysia 2014. Kejayaan Selangor membelasah
pasukan yang sama dengan jaringan 10-1 pada 21 tahun yang lalu tidak dapat
diulangi semula. Azman Adnan merupakan antara individu yang berjaya
menjaringkan gol ketika itu iaitu sebanyak 4 gol.
Dalam
perlawanan yang berlangsung pada musim 1993 itu, pemain yang mencatatkan nama
sebagai penjaring pada perlawanan itu adalah Azman (4 gol), Zolts Bucs, Zainal
Nordin, A. Jayakantan, K. Gunalan, Anuar Abu Bakar dan Ismail Ibrahim. Ini
adalah kemenangan terbesar Selangor yang terakhir mencatatkan 10 gol. Sehingga
kini, kemenangan paling besar pun adalah 7-1 sahaja ke atas Perlis (Liga Super
2011 - Pusingan Kedua di SSA).
III
Dollah
Salleh hadiri sesi
latihan PDRM.
Mantan
Ketua Jurulatih PDRM FA, Abang Dollah Salleh telah membuat kejutan keapda
anggota pasukan The Cops apabila hadir ketika sesi latihan skuad tersebut.
Beliau turut memberikan pesanan berguna serta motivasi buat bekas naak buahnya.
Untuk rekod, Dollah pernah beraksi untuk Selangor ketika penghujung 80an,
selain pernah membimbing skuad The Red Giants untuk muncul Juara Treble 2005.
Ketika itu, Selangor dibintangi oleh Jamsari sabian, Bambang Pamungkas, Brian
Fuentes, Elie Aiboy dan bintang lain. Beliau juga pernah mengendali skuad
Selangor MPPJ FC, yang muncul Juara Piala Malaysia 2003, Juara Piala Sumbangsih
2004 dan Juara Liga Perdana 2004.
IV
Ultrasel
dan SSFC bersatu sokong Selangor.
Beberapa
bekas pemain dan selebriti seperti Coach Dollah Salleh, Haji Reduan Abdullah,
Jamsari Sabian, Shahril Arsat dan Adi Putra turut hadir memberikan sokongan
kepada kedua-dua buah pasukan.
Meskipun
stadium kelihatan lengang – antara lain kerana terdapat siaran langsung
disiarkan di kaca TV, terdapat perkara menarik yang berlaku di SSA pada
perlawanan Selangor-PDRM. Anggota Komrads UltraSel dan Otai-otai SSFC dilihat
melaungkan ‘chants’ bersama di Pintu 10 stadium, sebelum sepak mula perlawanan.
Terdahulu,
suasana penyatuan ini hanya biasa dilihat ketika perlawanan di tempat lawan, di
mana penyokong Selangor perlu duduk berhampiran tanpa mengira kelompok atau
kelab yang diwakili. Semoga semangat perpaduan ini dapat dikekalkan, atas
semangat dan solidariti buat skuad Merah-Kuning.
V
Selangor
belum pernah tewas kepada
PDRM sebelum ini.
Sepanjang
rekod perlawanan yang diketahui, Selangor belum pernah tewas kepada PDRM dalam
pertemuan Liga-M sejak 1921. Namun, kali ini tidaklah semudah ini dengan
The Cops membawa reputasi juara Liga Perdana 2014 serta meledakkan 3 gol tanpa
balas di tempat lawan, ketika menewaskan Sime Darby FC dalam perlawanan
sebelumnya.
Pertemuan
terakhir kedua-dua pasukan adalah 3 tahun lalu, iaitu pada hari Sabtu, 24hb September
2011, di mana PDRM tumpas 1-4, kepada Selangor di Paroi, dalam saingan Pusingan
Kedua Piala Malaysia (peringkat kumpulan).
Pertemuan
paling sengit pernah dicatatkan adalah pada 9hb Ogos 2008 – Suku Akhir Kedua Piala
Malaysia, apabila PDRM yang dibarisi
pemain handal masa itu telah mendahului Selangor 3-2, namun penalti Frank
Seator pada minit-minit terakhir telah menyelamatkan maruah Selangor daripada
tumpas kepada Polis pertama kali dalam sejarah, selain layak ke Separuh Akhir Piala
Malaysia 2008 atas kelebihan gol di tempat lawan dengan agregat, 3-3.
VI
Isu
kad merah Bunyamin.
Terdapat
pandangan yang menyatakan bahawa keputusan perlawanan banyak dipengaruhi oleh
keputusan pengadil. Bermula daripada kad merah kapten Selangor, Bunyamin Omar sehinggalah
kekasaran yang melibatkan S. Kunanlan, ramai yang mula menyatakan bahawa ini
merupakan bukti terhadap siri kegagalan dan kelemahan pihak pengadilan, selepas
timbul beberapa kontroversi dalam perlawanan Piala Malaysia membabitkan pasukan
lain.
Ya,
secara realistiknya, kad merah untuk Bun pada minit awal permainan iaitu minit
ke-16 tampak memberikan kesan yang sangat besar khususnya pada bahagian
pertahanan Selangor. Kendatipun, jika dilihat dengan lebih mendalam, pemain
Selangor seperti Andik Vermansyah telah beraksi bersungguh-sungguh, dan cuba
membuat hantaran kepada bahagian depan. Namun, Paulo Rangel yang dikawal ketat
oleh pertahanan PDRM menyebabkan penyerang berbisa itu gagal membuat sentuhan
penyudah.
Kesungguhan
para pertahanan Red Giants juga wajar dipuji, di mana jika tidak, lebih
daripada 2 gol akan dibolosi. Kepada penyokong Selangor, usah terlalu awal
melatah. Masih ada 4 lagi baki perlawanan, di mana para pemain menuntut
sokongan padu semua. Sokong; jangan hanya waktu gagah. Sokong juga waktu rebah.
Viva Selangor!
VII
Mehmet
pertahan anak buah.
Tatkala
para peminat mula melaungkan rasa tidka puas hati akibat persembahan longgar
dan longlai yang dipamerkan oleh para pemain Selangor, Ketua Jurulatihnya,
coach Mehmet Durakovic tegar mempertahankan anak buahnya.
Beliau
yang juga merupakan seorang bekas pemain import Merah-Kuning yang berjasa
ketika era 90an dan pernah menjadi ketua pasukan skuad kebangsaan Australia,
menyatakan bahawa, “Kehilangan Bunyamin menyukarkan
kami menyaingi PDRM. Kami berusaha untuk mencari keputusan seri tetapi kami
melakukan kesilapan lagi sehingga PDRM memperolehi gol kedua. Sungguh pun
begitu, saya tetap bangga dengan pemain saya yang beraksi 10 orang kerana
mereka berusaha mencari gol dan tampil dengan aksi melawan.”
VII
Skuad
Piala Belia Selangor
tunjuk taring.
Menariknya,
tanggal 20hb Ogos juga menyaksikan misi mempertahankan kejuaraan Piala Belia (Bawah
19 Tahun) diteruskan, di mana pasukan Belia Selangor telah menentang pasukan Belia
PDRM FA. Terdahulu, Selangor menjuarai Piala Belia 2013 selepas mengalahkan
Kelantan, 2-1.
Perlawanan
menentang PDRM tersebut berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka, pada jam
4.15 petang. Syabas atas semangat dan perjuangan adik-adik semua. Ketinggalan
1-2 pada separuh masa, mereka bangkit untuk mendahului 4-2, dan diakhiri dengan
4-3.
Pada
21hb Ogos (Khamis) pula, Selangor berdepan cabaran pasukan Bawah 19 Tahun ATM, pada
jam 4.15 petang di Stadium Universiti Multi Media (MMU), Melaka. Perlawanan
berkesudahan seri, 0-0. Selangor diletakkan dalam Kumpulan D bersama PDRM, ATM
dan Perlis. Moga pasukan yg di uruskan oleh K.Santhanaraju (Exco FAS), dilatih
oleh Nazliazmi serta dibantu oleh Zaidi Rohmat, Shuhaimi Hamid dan Khairulanwar
Md Isa ini akan berjaya mempertahankan kejuaraannya.
Maju
Selangor. Viva Selangor. Forza Selangor. Bersama memartabatkan jersi serta liga
tempatan kita. Padu!
--------------------------------------------
Sumber:
- https://www.facebook.com/asianadotmy?fref=ts;
- https://www.facebook.com/DuniaSukanOnline?fref=nf;
- https://www.facebook.com/groups/285351638583/?fref=ts;
- https://www.facebook.com/UltraSelCurva?fref=ts;
- https://www.facebook.com/selangorfanatik?fref=ts;
- https://www.facebook.com/selangorfc?fref=ts;
- http://www.astroawani.com/news/;
- https://www.facebook.com/zaid.ayid?fref=photo.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan