Khamis, Januari 17, 2013

Piala Sumbangsih 2000: Kuala Lumpur lawan Brunei.


Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, 15hb April 2000.
Perlawanan Piala Sumbangsih atau dikenali juga sebagai Piala Sultan Haji Ahmad Shah, merupakan perlawanan pembuka tirai bagi dalam musim Liga Malaysia. Perlawanan ini pertama kali diperkenalkan pada Liga Malaysia musim 1985, walaupun perlawanan diadakan pada 31 Disember 1984. Juara Piala Malaysia 1984 (Selangor) bertarung dengan Pahang, naib juara Piala Liga 1984 (Selangor juga juara Liga 1984). Sehingga musim 1992, juara Piala Malaysia akan bertemu dengan Juara/Naib juara Liga Malaysia. Format telah ditukar pada musim 1993, di mana juara Piala Malaysia akan berebut Piala Sumbangsih dengan Juara Piala FA pula (atau Naib Juara Piala FA, jika pemenang Piala Malaysia juga adalah Juara Piala FA).

Bermula musim Liga Malaysia 2011, format Piala Sumbangsih kembali ditukar. Juara Piala Malaysia pada musim sebelumnya akan menentang Juara Liga Super Malaysia pada perlawanan pertama musim tersebut. Kuala Lumpur adalah pasukan tunggal yang memenangi Piala Sumbangsih di bawah dua nama: pada tahun 1987 atas nama ‘Wilayah Persekutuan FA’ dan pada tahun 1988 di bawah nama ‘Kuala Lumpur FA (KLFA)’. Kejayaan ini menyaksikan skuad KLFA menjuarai Piala Sumbangsih sebanyak tiga kali iaitu pada 1988, 1995 dan 2000.

Sementelahan, Brunei FA menutup Abad ke-20 dengan menjuarai Piala Malaysia untuk pertama kali pada 1999, di mana perlawanan akhir yang pertama melibatkan kedua-dua pasukan dari Borneo. Kejayaan Brunei juga menyaksikan Stadium Merdeka digunakan untuk kali terakhir sebagai gelanggang akhir Piala Malaysia.

KLFA berjaya menjulang Piala Sultan Ahmad Shah selepas menewaskan Brunei 2-1 pada perlawanan Sumbangsih yang berlarutan sehingga masa tambahan di Stadium KLFA, Cheras, semalam. Penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof menjaringkan gol emas ketika masa tambahan ‘sudden-death’ baru berusia seminit, selepas kedudukan sebenar terikat 1-1. Nizaruddin melonjak tinggi menanduk masuk gol kemenangan itu selepas menerima hantaran cantik pemain pertahanan, Azali Mat Jusoh. Kejayaan itu bagaimanapun hanya memberikan satu mata buat pasukan juara Piala FA itu pada perlawanan yang juga pembuka tirai Perdana Satu kerana peraturan masih mengikut format liga.

Sebaliknya, permulaan yang mengecewakan buat juara Piala Malaysia, Brunei walaupun memiliki kelebihan satu gol sehingga babak akhir permainan. Riwandi Wahit menanduk masuk gol pembukaan seawal minit kesembilan untuk Brunei mendahului tetapi M. Eswaran menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki tiga minit untuk ditamatkan yang memaksa masa tambahan.

Mulanya, pasukan tuan rumah bagai serba tidak kena pada awal babak pertama dengan permainan agak kucar-kacir, membolehkan Brunei menguasai bahagian tengah dan membuka permainan dengan serangan-serangan berbahaya. Keadaan itu bijak diambil kesempatan pasukan pelawat yang menggunakan peluang terbaik itu untuk mengejutkan Kuala Lumpur dengan gol awal.

Norsillmy Taha menyilangkan bola sepakan bebas sebelah kanan menuju ke depan gawang Kuala Lumpur dan Riwandi pantas menghulurkan kepala menanduk menewaskan Shaharudin Ahmad. KLFA berusaha bangkit tetapi gagal menembusi barisan pertahanan lawan. Pergerakan penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof dikunci ketat manakala bahagian tengah Kuala Lumpur pula gagal berfungsi.

Begitupun, tuan rumah hampir berjaya menyamakan kedudukan tiga minit sebelum berakhir babak pertama apabila sepakan bebas Rosle Derus menyinggah tiang dan K. Nanthakumar lewat untuk menyambar bola muntah sebelum pantas dikeluarkan Rosli Liman. Brunei bagai tidak bernafsu untuk menambah jaringan pada babak kedua apabila mereka lebih banyak bertahan dan memberi peluang Kuala Lumpur melancarkan serangan-serangan bahaya.

Nizaruddin berkesempatan melepaskan tendangan di depan gawang pada minit ke-75 dan 80 tetapi sempat dihalang. Jurulatih warga kota, Mat Zan Mat Aris membawa masuk seorang lagi penyerang, Mohd. Farid Dewan yang menampakkan kegarangan KLFA. Eswaran akhirnya menghadirkan gol penyamaan yang dinanti-nanti sebelum Nizaruddin menghadirkan keceriaan buat Kuala Lumpur. Keputusan akhir, KLFA 2, Brunei 1.

------------------------------------------------------------------------------------------
Sumber dan rujukan:
  1. http://chedinsphere.blogspot.com/2013/01/piala-malaysia-1978-selangor-lawan.html;
  2. http://chedinsphere.blogspot.com/2013/01/1982-asian-all-stars-lawan-brazilian.html;
  3. http://chedinsphere.blogspot.com/2013/01/brazil-lawan-malaysia-stadium-bukit.html;
  4. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/piala-aff-suzuki-2012-sebuah-gambus-luka.html;
  5. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/boca-juniors-lawan-jemputan-selangor-xi.html;
  6. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/3hb-mei-1986-sabtu-perlawanan-piala.html;
  7. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/19hb-mei-1999-malaysia-xi-lawan-arsenal.html;
  8. http://malaysiafootball-dimos.blogspot.com/2007/11/sejarah-charity-shieldpiala-sumbangsih.html;
  9. http://www.facebook.com/eddie.ichigo;
  10. http://www.facebook.com/quril?fref=ts;
  11. http://www.utusan.com.my/utusan/.

Malaysia lawan Manchester United (22hb Julai 2001).


2001: Azmin cuba menghalang bola daripada
ditanduk oleh Ole Gunnar  Solksjaer.
2001: Aksi Solksjaer di Bukit Jalil.
2001: Iklan promosi.
Alan Harris, bekas jurulatih kebangsaan yang mempunyai
reputasi hebat, tetapi masih gagal membawa kejayaan besar
buat skuad negara. Namun, skuad negara berjaya mencapai
kedudukan ranking FIFA yang agak baik untuk seketika.
Andy Cole turut menjadi penyumbang gol
United sewaktu bertemu Malaysia.
2001: Penyerang kebangsaan, Fareed Shah Hassan,
dikawal ketat oleh Chadwick dan Wes Brown.
2001: Selepas Hai-O merampas bola daripada Giggs
di kawasan Malaysia, Giggs mengejar Hai-O untuk merampas
kembali bola, sehingga ke kawasan United. Hai-O
mempamerkan aksi yang baik ketika ini.
Indra Putra cuba menyaingi Veron.
Juan Sebastian Veron, sewaktu membuat
penampilan pertama untuk United di Bukit Jalil.
2001: Ferguson dan Veron. Meskipun pembelian
bintang Argentina yang bernilai £28.1 ini dicatatkan sebagai
antara yang paling mahal dalam sejarah Britain, Veron gagal
menyesuaikan diri dengan corak permainan United.
2001: Nistelrooy bersama Ferguson.
Meskipun dilaporkan mengalami perselisihan dengan
Ferguson selepas lima musim bersama United, Nistelrooy
menyatakan bahawa beliau tetap berterima kasih
dan menghargai jasa pengurus tersebut. 
2001: Beckham meraikan jaringan
Nistelrooy di Bukit Jalil.
Ahmad Shahrul Azhar dicabar hebat
oleh Ryan Giggs.
Norhafiz Zamani Misbah cuba merampas bola 
daripada kaki Dwight Yorke.
2001: Subkhiddin menyaksikan Ahmad Shahrul Azhar
dan Roy Keane bertukar cenderamata pasukan.
2001: Meskipun diakui sebagai ketua pasukan
yang bagus, Ahmad Shahrul dikritik kerana mengejar
Beckham untuk saling bertukar jersi.  
2001: Dua bintang; Beckham dan
Zainal Abidin Hassan.
Nidzam dan Azmin Azram bergambar kenangan bersama
Fabien Barthez, pemenang Piala Dunia 1998, sewaktu kunjungan
Manchester United ke Malaysia pada 2001. Red Devils menang, 6-0.
Tiket perlawanan Malaysia-United, 2001.
Stadium Bukit Jalil, 22hb Julai 2001.
Pada 22hb Julai 2001, satu perlawanan persahabatan di antara Malaysia dan Manchester United telah diadakan. Berlangsung di Stadium Bukit Jalil, perlawanan persahabatan ini digelar sebagai ‘The Star Challenge Cup’. Perlawanan ini dianggap sebagai persiapan untuk skuad Bawah-23 tahun negara untuk menghadapi Sukan SEA XXI di Kuala Lumpur pada Septembr 2001. Antara tetamu kehormat ketika itu ialah DYMM Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Almarhum) dan Raja Permaisuri Agong ketika itu, Tuanku Siti Aishah. Skuad Manchester United yang hadir ketika itu dibarisi oleh pemain yang memenangi tiga kejohanan pada 1999 dan beberapa muka baru bertaraf dunia.

Untuk jelajah kali ini, skuad Manchester United menjelajahi tiga buah negara: Malaysia, Singapura dan Thailand. Seramai 180,000 orang menyaksikan ketiga-tiga perlawanan tersebut, di mana skuad The Red Devils dilaporkan mempunyai 4.5 juta peminat setia di ketiga-tiga buah negara itu. Jelajah selama 13 hari ini diraikan dengan penuh meriah, di mana David Beckham yang hadir dengan gaya rambut botak, mempamerkan aksi yang menarik meskipun beraksi di bawah keupayaan sebenar.

Seramai 80,000 orang penonton memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil, salah-sebuah stadium terbesar di dunia. Namun, sewaktu sesi latihan – yang dihadiri oleh 10,000 orang penyokong setia The Red Devils -- Nistelrooy yang memuji keindahan Stadium Bukit Jalil, turut menyatakan kekecewaannya terhadap kualiti padang di stadium tersebut. Jurulatih negara ketika itu ialah Alan Harris yang mula melatih skuad senior kebangsaan pada 5hb Disember 2000, menggantikan Haji Abdul Rahman Ibrahim.

Bintang baru United, Ruud van Nistelrooy mudah merobek gawang Malaysia untuk gol pembukaan seawal minit ke-7 menewaskan Kamarulzaman Hassan dengan tendangan leret setelah menyambar bola yang dihantar oleh Dwight York dengan menggunakan belakang tumitnya. Nistelrooy yang berpindah ke Red Devils pada 2001 dengan nilai £19 juta, menjaringkan 150 gol dalam 219 penampilan selama lima tahun bersama kelab tersebut.

Dua penyerang negara, Akmal Rizal Ahmad dan Nizaruddin Yusof nyata sukar bergerak apabila dikawal ketat Jaap Sam dan Denis Irwin. Akmal dan Nizaruddin, masih mampu menggugat Barthez menerusi tendangan jarak jauh masing-masing pada awal permainan tetapi percubaan mereka jauh daripada sasaran. Percubaan Shukor Adan pada minit ke-26 pula terkena Nizaruddin yang berada di kotak penalti. Ryan Gigs nyata licik di bahagian kiri dan kerap menghuru-harakan pertahanan Malaysia ditambah aksi Beckham di sebelah kanan dan Roy Keane di bahagian tengah.

United melancarkan serangan bertubi-tubi terutama menerusi gerakan bahagian tengah tetapi gol kedua United hadir pada minit ke-29 berlaku apabila York melorongkan bola kepada Bekcham yang tidak dikawal di sebelah kanan untuk ketua pasukan England itu mudah menewaskan Kamarulzaman menolak masuk gol kedua. Bintang Belanda, Nistelrooy sekali lagi merobek gawang Malaysia pada minit ke-35 dan kali ini mudah melambungkan bola melepasi Kamarulzaman untuk gol ketiga United, selepas menerima hantaran daripada Roy Keane.

Pada babak kedua, Sir Alex Ferguson menukar tujuh pemain termuda bintang mereka, Beckham dan Gigs, mankala jurulatih Malaysia, Alan Harris cuma mengeluarkan empat pemain. Namun gol keempat United begitu pantas hanya seminit sebaik babak kedua bermula apabila Andy Cole bebas menggelecek bola dalam kotak penalti sebelum menewaskan penjaga gol gantian, Azmin Azram Aziz, ketika juruhebah stadium sedang mengumumkan senarai pertukaran pemain. Akmal mengejut Barthez pada minit ke-68 apabila merembat kencang dari jarak 35 meter, hanya menyaksikan bola mengenai palang gol ketika menjaga gol Perancis itu sudah tertewas.

Luke Chadwick turut melakar nama sebagai penjaring United dengan mudah menewaskan Azmin menerusi rembatan leret minit ke-70, selepas melepasi hadangan Nizam Jamil. Andy Cole terus meranapkan skuad negara apabila membuat rembatan dari luar kotak penalti untuk gol keenam United minit ke-77, selepas menerima hantaran cantik Nicky Butt.
  • Pemain Malaysia: 1-Kamarulzaman Hassan, 21-Azmin Azram Aziz dan Mohd. Syamsuri Mustafa (penjaga gol); 3-S. Jayaprakash, Rezuan Radzy, 17-Mazuki Yusof, 5-Norhafiz Zamani Misbah, K. Rajini, 6-Mohd. Nizam Jamil dan 2-Abd. Aziz Ismail (pertahanan); 4-Subri Sulong, 7-Ahmad Shahrul Azhar, 12-K. Rajan, 16-Chow Chee Weng, Mohd. Shawal Johadi, Mohd. Syaiful Sabtu, 26- Rosdi Talib, 25-Mohd. Shukor Adan, 11-Juzaili Samion, 13-Indra Putra Mahayuddin dan D. Surendran (tengah); 20-Hairuddin Omar, 14-Akmal Rizal Ahmad Rakhli, 10-Nizaruddin Yusof, 24-Rudie Ramli, Fadzli Shaari dan 19-Mohd. Fareed Shah (penyerang);
  • Pemain Manchester United: 1-Fabien Barthez dan Raimond van ger Gouw (penjaga gol); 6-Jaap Stam, 2-Gary Neville, 12-Phil Neville, 5-Ronny Johnsen, 14-Wes Brown dan 3-Denis Irwin (pertahanan); 8-Roy Keane, 18-Paul Scholes, 7-David Beckham, 19-Nicky Butt, 11-Ryan Giggs, 4-Juan Sebastian Veron dan 19-Quinton Fortune (tengah); 10-Ruud van Nistelrooy, 17-Andy Cole, 9-Dwight Yorke, 20-Ole Gunnar Solksjaer dan 15-Luke Chadwick (penyerang);
  • Pengadil: Subkhiddin Mohd Salleh.

-----------------------------------------------------------------------------

2001: Kelibat bintang United di
Stadium Nasional, Singapura.

Pada 2001, Red Devils turut mengadakan perlawanan
persahabatan dengan Singapura. Barthez mengejutkan
Stadium Kallang, apabila menggantikan Van Nistelrooy
dan beraksi sebagai pemain sayap dalam aksi
yang berakhir dengan kemenangan, 8-1.
Tiket perlawanan Singapura-United, 2001.
Singapura, 24hb Julai 2001.
Kemudian, pada 24hb Julai 2001, skuad The Red Devils mengunjungi Stadium Nasional Singapura, untuk menghadapi ‘Courts Cup’. Manchester United menang 8-1, dengan Indra Sahdan Daud menjaringkan gol tunggal Singapura pada minit ke-37. Fabien Barthez membuat kejutan apabila masuk ke padang dengan jersi pemain biasa, dan bermain di posisi sayap kiri untuk Manchester United. Ruud van Nistelrooy menjaringkan satu gol, Ole Gunnar Solskjaer (2 gol), Dwight Yorke (2 gol), Phil Neville (1 gol), Beckham (1 gol) dan Ryan Giggs (1 gol).
--------------------------------------------------------------------------

2001: Thailand yang dipimpin oleh Kiatisuk Zico
Senamuang, berjaya mempamerkan aksi cemerlang
sehingga United hanya mampu menang 2-1. Sedikit tentang Zico di sini: 
http://chedinsphere.blogspot.com/2012/11/nostalgia-liga-malaysia-kiatisuk-zico.html
Thailand, 29hb Julai 2001.
Jelajah terakhir United ialah ke Thailand, di mana mereka hadir untuk menyertai ‘Siemens GSM Invitation’ pada 29hb Julai 2001 di Stadium Rajamangala. Seramai 65,000 orang penonton memenuhi stadium tersebut, manakala 15,000 yang lain menonton melalui layar gergasi yang disediakan di luar stadium. Thailand yang dikenali sebagai antara pasukan terkuat Asia ketika itu, berjaya mengekang Manchester United yang hanya mampu menang 2-1. Gol-gol Manchester dijaringkan oleh Ryan Giggs dan Dwight Yorke. Sebelum itu, Thailand tewas 1-3 kepada Liverpool FC. Thailand ketika itu diperkuatkan oleh kebanyakan pemain yang beraksi di Liga Singapura (S-League); dengan Kiatisuk ‘Zico’ Senamuang, Tawan Sripan dan Anuruck Srikerd berjaya mengkucar-kacirkan barisan pemain bintang United. Malahan, 7 orang pemain Thailand baru sahaja menjalani perlawanan Liga Singapura, beberapa jam sebelum bertemu United. Penjaga gawang Thailand, Phansa Meesathum pula beraksi cemerlang untuk menghalang pemain United daripada mendapat lebih banyak gol. Tawan Sripan menjadi wira Thailand apabila berjaya menjaringkan gol tunggal Thailand menerusi satu gol cantik untuk menewaskan Barthez.
--------------------------------------------------------------------------

Sumber dan rujukan:
  1. http://chedinsphere.blogspot.com/2013/01/piala-malaysia-1978-selangor-lawan.html;
  2. http://chedinsphere.blogspot.com/2013/01/1982-asian-all-stars-lawan-brazilian.html;
  3. http://chedinsphere.blogspot.com/2013/01/brazil-lawan-malaysia-stadium-bukit.html;
  4. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/piala-aff-suzuki-2012-sebuah-gambus-luka.html;
  5. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/boca-juniors-lawan-jemputan-selangor-xi.html;
  6. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/3hb-mei-1986-sabtu-perlawanan-piala.html;
  7. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/19hb-mei-1999-malaysia-xi-lawan-arsenal.html;
  8. http://www.facebook.com/quril?fref=ts;
  9. http://www.thaifootball.com/tournaments/friendly/mufc-2001.html;
  10. http://www.utusan.com.my/utusan/;
  11. http://news.bbc.co.uk/sport2/hi/football/teams/m/man_utd/1482774.stm;
  12. http://artzlistudio.nasyeed.my/tag/barcelona-vs-man-united/;
  13. http://www.telegraph.co.uk/sport/football/competitions/premier-league/3009847/Beckham-deal-holds-up-United.html;
  14. http://news.bbc.co.uk/sport2/hi/football/teams/m/man_utd/1448759.stm.

Supermokh: Olahragawan Kebangsaan 1976.


Supermokh, wira kita
semua. Al-Fatihah.
Olahragawan 1976.
Shukor Salleh,
Olahragawan Kebangsaan 1977.
1977: Supermokh menerima
Pingat AMN.
Supermokh kelihatan matang, meski
baru berusia awal 20an.
Supermokh ditemubual, usai memenangi
Anugerah Olahragawan 1976.
Anugerah Olahragawan Kebangsaan 1976.
Mokhtar Dahari (Supermokh) dikenali ramai sebagai seorang pemain bola sepak yang berpengaruh di dalam dan di luar padang. Supermokh telah membantu pasukan Selangor memenangi Piala Malaysia sebanyak 10 kali. Supermokh mula beraksi dengan pasukan Selangor sewaktu menentang kelab Hitachi (Jepun) pada 1972, dan aksi sulung Perlawanan Akhir Piala Malaysia beliau ialah sewaktu Selangor menentang Perak FA pada tahun yang sama (1972), di mana Supermokh menjaringkan satu gol. 

Bersama Malaysia, Supermokh pernah memenangi pingat gangsa, Sukan Asia 1974 di Tehran, Iran. Pada 1975, Supermokh membantu barisan amatur Malaysia untuk menewaskan skuad profesional Arsenal FC dari England dengan menjaringkan dua gol untuk membenam Arsenal, 2-0.

Tahun 1976 menyaksikan Supermokh membuat penampilan ke-100 ketika menentang Jepun sewaktu Pestabola Merdeka di Kuala Lumpur. Ketika baru berusia 23 tahun, Supermokh telah diiktiraf oleh Majalah World Star Soccer sebagai penyerang terbaik Asia dan ketika itu jugalah beliau dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 1976. Supermokh merupakan pemain bola sepak negara pertama yang menerima penghargaan tersebut. 

Sementelahan, pada tahun 1977, Supermokh telah dianugerahkan dengan Pingat Ahli Mangku Negara. Tahun 1977 juga menyaksikan pemain tengah lagenda negara, Shukor Salleh, menerima Anugerah Olahragawan Kebangsaan 1977. Selain dikenang sebagai antara anggota skuad kebangsaan yang layak ke Sukan Olimpik, Shukor juga merupakan Olahragawan Pulau Pinang 1978 dan 1979, sekaligus menggambarkan betapa bagusnya prestasi pemain dan pasukan bola sepak kita ketika itu.

---------------------------------------------------------

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...