Memaparkan catatan dengan label Alumni SAMUSKD. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Alumni SAMUSKD. Papar semua catatan

Sabtu, Disember 24, 2011

Berjuang, tidak boleh patah hati.

Pesan mentor saya, Cikgu Khairuddin Abas -- saya memanggilnya dengan gelaran Sir Din -- “Tak kisahlah kalau hanya empat atau lima orang yang bersama kita. Pokoknya, dalam berjuang, tidak boleh patah hati.”

Maka, dalam satu ucapan saya, terzahirlah kata-kata ini:
“Andai tiada yang menghargai usaha kita, redhakanlah. Kerana, andai esok kita mati -- kita tahu, dan ALLAH tahu – kita sudah menyumbang sesuatu dengan kudrat yang kita ada. Redha.”

“Berjuang, tidak boleh patah hati.” Takbir.

Ahad, Disember 18, 2011

Malam Kebudayaan dan Alumni SAMUSKD.

Alhamdulillah, malam tadi, 17hb Disember 2011, pihak AJK Penaja Alumni dan Pelajar Tingkatan 5 SAM Unwanus Saadah Kanchong Darat (SAMUSKD) telah berjaya menganjurkan Malam Kebudayaan dan Alumni SAMUSKD.

Majlis telah berlangsung dengan jayanya di Gold Coast Morib Resort.

Majlis yang dimulakan dengan bacaan doa, diserikan lagi dengan ucapan daripada Pengetua SAMUSKD, Al-Fadhil Cikgu Latif Sadli, Pengarah Program Malam Kebudayaan, Saudara Athif, Pengerusi AJK Penaja Alumni SAMUSKD (saya), dan Exco Sayap Luar Negara Alumni SAMUSKD, Saudara Izulman Telimik.

Saudara Izulman merupakan graduan University of Sydney, Australia, dan kini bertugas di Kuala Lumpur.

Antara tentatif program ialah penyerahan secara simbolik, Buku Log Senarai Kehadiran Alumni ke majlis tersebut, oleh Pengetua SAMUSKD kepada Pengerusi AJK Penaja Alumni.

Selain acara cabutan bertuah, Malam Kebudayaan tersebut dimeriahkan dengan persembahan kumpulan nasyid indie yang bernaung di bawah kumpulan nasyid Brotherz, iaitu kumpulan Frenz. Ketua kumpulan nasyid tersebut, iaitu Saudara Hassanal Nasir, merupakan mantan pelajar SAMUSKD batch 2004.

Selain itu, antara yang membuat persembahan ialah kumpulan cempuling dan penampilan kugiran SAMUSKD yang terdiri daripada gabungan pelajar-pelajar SAMUSKD dan pelajar sekolah lain.

Saya masih belum menerima gambar daripada jurukamera pada malam tersebut. Jadi, hanya gambar-gambar yang diambil menggunakan kamera telefon genggam sahajalah dapat yang saya sajikan (buat masa ini).

Alhamdulillah, meski sederhana, malam tersebut menjadi malam yang membahagiakan, kerana dapat bertemu dan merapatkan ukhwah sesama bekas pelajar SAMUSKD, tanpa mengira batch.

Semoga usaha ini dinilai dengan baik oleh ALLAH SWT, serta moga ada manfaatnya untuk semua, in sya ALLAH.

Juga, semoga Mesyuarat Agung Tahunan Alumni SAMUSKD dapat berlangsung dengan baik pada 24hb Disember ini di Dewan SAMUSKD. Amin.

Salam.

Isnin, Disember 12, 2011

Lencana Butang.

Alhamdulillah, lencana butang (button badges) Alumni Sekolah Agama Menengah Unwanus Saadah Kanchong Darat (Alumni SAMUSKD) telah siap.

Badges ini adalah antara cenderahati yang akan diberikan sewaktu Malam Kebudayaan dan Alumni SAMUSKD pada 17hb Disember 2011 nanti, in sya ALLAH.

Sekadar makluman, majlis akan dianjurkan di Hotel Gold Coast, Morib.

Semoga majlis tersebut memberi manfaat dan berjalan dengan lancar. Amin.

Rabu, Disember 07, 2011

Agenda Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pertama Alumni SAM Unwanus Saadah Kanchong Darat (SAMUSKD)

Tarikh: 24 Disember 2011

Hari: Sabtu

Masa: 9.00 pagi

Tempat: Dewan SAMUSKD

Agenda Mesyuarat:

• Mesyuarat dimulakan pada jam 9.00 pagi;

• Ucapan aluan pengerusi majlis;

• Ucapan pengerusi jawatankuasa penaja Persatuan Alumni SAMUSKD;

• Ucapan perasmian oleh Penasihat dan Penaung Persatuan Alumni SAMUSKD;

• Perasmian;

• Pembubaran Jawatankuasa Penaja Persatuan Alumni SAMUSKD;

• Perlantikan Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Alumni SAMUSKD; dan

• Ucapan penangguhan.

• Majlis bersurai.

Selasa, Februari 01, 2011

Tetamu di Medan Tahrir.

Kenangan
Antara keputusan paling sukar yang telah saya buat dalam hidup saya, ialah memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang perundangan di UiTM, dan tidak meneruskan (menghabiskan) pengajian peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di SAMT Tengku Ampuan Rahimah, Sungai Manggis.

Impian saya semenjak kecil, selain menjadi peguam, adalah untuk menyambung pelajaran di Mesir. Itulah juga harapan dan pesanan Arwah Atok. "Belajar rajin-rajin, nanti besar boleh belajar Mesir. Jadi ustad," kata Atok yang merupakan manusia yang paling ikrab pernah saya kenali.

Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinga saya, setiap kali menziarahi kubur Atok. Dan, setiap kali saya teringatkan Atok.

Kendati, ini bukan cerita tentang saya. Bukan juga tentang Arwah Atok. Ini cerita Kaherah. Cerita Tunisia. Cerita hari-hari rusuhan. Hari-hari kebangkitan.



Cerita hari-hari rusuhan
Seperti yang kita sedia maklum, puluhan ribu penunjuk perasaan Mesir telah menyertai protes digelar 'Hari Kebangkitan' ala Tunisia, sebahagiannya membaling batu dan memanjat trak polis selain bertempur dengan anggota keselamatan di tengah ibu negara bagi menuntut Presiden Hosni Mubarak menamatkan pemerintahan sejak tiga dasawarsa yang lalu.

Anggota polis bertindak balas dengan melepaskan meriam air selain menggunakan cotar dan gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan melaungkan 'Jatuhkan Mubarak' selain menuntut demokrasi serta tatakelolaan yang lebih cemerlang di tanah air mereka.

Mubarak yang telah sejak sekian lama mengamalkan dasar pemerintahan kuku besi, pro-Barat dan pro-Israel, sememangnya telah dibenci oleh rakyatnya semenjak sekian lama.




Kemuncak tindakan melampau Mubarak ialah tindakan menyekat bekalan asasi seperti makanan kepada penduduk Gaza (Ghazzah) khasnya dan penduduk Palestina amnya. Tindakan ini dianggap sebagai satu kemenangan besar buat Rejim Zionis Israel yang sejak sekian lama berusaha memastikan apa jua kaedah disekat bagi mengekang usaha membantu rakyat Gaza yang mempunyai populasi kepadatan penduduk tertinggi di dunia.




Rakyat Gaza terpenjara di bumi sendiri. Dan, Mubarak hanya mampu ketawa bersama pentadbiran Ehud Barak dan Obama.


Teori Domino Tunisia
Asal faktor kebangkitan (akhbar menggelarkannya sebagai rusuhan) di Kaherah antara lain ialah tindakan seorang penganggur Tunisia, Mohamed Bouazizi, 26 yang membakar dirinya.


Ia sebagai protes terhadap krisis pekerjaan, sosial dan ekonomi yang ditanggung penduduk Tunisia lantaran pemerintahan kuku besi mantan Presiden, Zine el-Abidine Ben Ali.

Bermula dengan Tunisia, kerajaan pimpinan Zine al-Abidine yang digulingkan pada 14 Januari lalu, ini diikuti dengan rusuhan di Mesir -- menuntut Presiden Hosni Mubarak yang memerintah selama 30 tahun supaya berundur. Apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir menjadi pemangkin kepada beberapa rusuhan di Syria, Yemen dan Jordan.


Di Mesir, tanpa mempedulikan tuntutan rakyat, Mubarak, 82, baru-baru ini hanya mengumumkan pelantikan Omar Suleiman sebagai Naib Presiden dan Ahmed Shafiq sebagai Perdana Menteri Mesir.

Aktivis Mesir, Mohamed el-Baradei menyifatkan pelantikan Naib Presiden dan Perdana Menteri yang baru diumumkan Mubarak sebagai tidak berguna dan tidak menurut permintaan rakyat.

Protes anti-Mubarak turut diadakan di Kedutaan Mesir di London dan di beberapa bandar di Amerika Syarikat (AS). Angka korban akibat demonstrasi jalanan di Mesir dilaporkan mencecah lebih 100 orang kelmarin.

Kumpulan yang menggelar diri mereka 'Gerakan 6 April' telah merancang mengadakan demonstrasi lebih sejuta rakyat di tengah-tengah kebencian rakyat terhadap rejim Hosni Mubarak. Para penunjuk perasaan yang masih bertahan di medan tersebut tidak pedulikan perintah berkurung yang dikeluarkan oleh tentera.

"Kami akan kekal di sini dan akan memperkukuh gerakan kami serta kami tidak akan berganjak dari sini," kata penunjuk perasaan yang dirakam oleh TV Al-jazeera.

Saluran kabel tersebut kemudiannya telah ditutup oleh rejim Mubarak. Enam wartawan dan jurugambarnya ditahan. Di antara yang menyertai tunjuk perasaam itu ialah para hakim dan majistret, para doktor dan jurutera, pegawai kerajaan dan swasta serta penulis.

Diberitakan, lebih seratus orang telah terbunuh dan cedera. Semua komunikasi dengan Mesir telah terputus. Penunjuk perasaan menolak jaminan Hosni Mubarak untuk melaksanaskan pembaharuan ekonomi dan politik. Jaminan itu, menurut mereka, terlalu kecil dan sudah terlambat.

Ada yang menyatakan, apa yang berlaku di Kaherah sekarang merupakan kesan teori domino Tunisia yang akan merebak ke Afrika Utara dan Semenanjung Arab. Apa yang penting, kita mengharapkan perkara ini mampu dijadikan tauladan dan peringatan kepada semua pemimpin. Bahawa wakil rakyat itu adalah pekerja yang berkhidmat kepada rakyat.

Tuntasnya, sama ada mereka yang menyertai rusuhan dan tunjuk perasaan di Medan Tahrir adalah tetamu yang diundang atau sebaliknya; mereka tetap tetamu. Tetamu revolusi. Revolusi Medan Tahrir.

Kerana jasad bisa kita kekang. Tapi, tidak bagi pemikiran. Ia kekal subur dan jahil. Bergantung kepada pendedahan, kehendak dan kesedaran pemiliknya.

Bak kata Victor Hugo, "betapa kuatnya pengaruh pemikiran manusia hingga tidak ada tentera di dunia ini yang dapat menentangnya."



Nasib pelajar kita di Mesir
Beberapa orang sahabat baik saya kini masih berada di Mesir. Dan, keadaan yang semakin meruncing di Kaherah benar-benar menggusarkan saya. Banyak negara sudah ambil tindakan untuk bawa balik pelajar negara masing-masing.

Justeru, saya agak 'terkejut' bila ada pak menteri kita yang menyatakan "tak perlu bawa pulang. Keadaan masih terkawal."





Dengan keadaan komunikasi disekat, 6000 orang banduan terlepas (dilepaskan), polis tiada mampu bertugas, puluhan ribu ketumbukan tentera di jalan raya, bekalan makanan yang semakin terbatas, mesin ATM dipecahkan, balai polis dan lapangan terbang dibakar, mungkinkah itu yang dikatakan terkawal?

Mujur DS Najib menyatakan kesediaan kerajaan untuk memastikan nasib pelajar Malaysia di sana terbela.

Ini bukan soal makan ayam goreng Kentucky. Ini soal hidup mati. Justeru, tindakan segera perlu diambil.

Bersama kita doakan kesejahteraan dan keselamatan sahabat-sahabat kita di sana. In sya ALLAH.

Salam.

Isnin, Januari 03, 2011

Seronoknya bersekolah: Selamat datang ke masa hadapan!


Guru: Jasamu tak terbandingkan.

"Guru adalah ikutan dalam kebaikan bagi pelajar-pelajarnya, uswah hasanah (contoh teladan) bagi murid-muridnya dan yang sentiasa mencintai dan menjaga mereka." -- Dr Aidh Abdullah al-Qarni.

Demikianlah tingginya martabat seorang guru. Rasulullah SAW dan para Sahabat sangat-sangat menghormati guru dan individu yang mnegajarkan mereka ilmu, meski sekecil mana sekalipun ilmu itu.

Dewasa ini, dalam era globalisasi pasca kemodenan duniawi, dunia maya -- blog, Twitter, Friendster, Facebook dan sebagainya menjadi sasaran untuk para pelajar meluahkan rasa amarah dan ketidakpuasan hati mereka terhadap para guru.

Kata-kata kesat dan jelek dicoret buat tatapan dunia sarwajagat. Seolah-olahnya, mereka hilang pedoman dan tidak punya akal budi. Bukan tidak boleh meluahkan perasaan. Boleh -- tapi, kawal lah emosi, rasionalkan diri. Kita punya pegangan. Amalkan.

Pada hemat saya, perkara ini tidak molek dan kurang tepat. Sememangnya diakui, ada sesetengah guru yang kurang menitik beratkan soal kata-kata dan hubungan antara guru dan pelajar. Kendati, ini tidak boleh dijadikan alasan untuk bersikap kurang ajar. Ini salah sama sekali.




Sekedar berkongsi -- di sekolah menengah saya dahulu, pihak sekolah menyediakan peti surat merah di hadapan bilik Guru Penolong Kanan HEP yang dikhaskan untuk para pelajar menyerahkan apa jua bentuk ketidakpuasan hati mereka dalam bentuk surat (tanpa perlu meletakkan nama mereka sebagai pengirim surat tersebut).

Melalui surat-surat ini, pihak sekolah mengambil tindakan selanjutnya dengan kerjasama Unit Kaunseling dan perbincangan dibuat di dalam mesyuarat para guru bersama Tuan Pengetua dan wakil pelajar. Saya selaku Ketua Umum ketika itu, diberikan ruang untuk menyuarakan pendapat, pandangan serta permasalahan yang dihadapi oleh para pelajar. Saya fikir, cadangan peti surat merah tersebut boleh diberikan pertimbangan.



Sementelah, adik-adik yang masih belajar dan bersekolah seharusnya lebih peka dan berwaspada dengan tindak-tanduk mereka. Adik-adik kita ini nantinya bukan sahaja menjadi tempat kedua orang tuanya bersandar harap, namun lebih daripada itu, merekalah harapan agama, bangsa dan negara.

Di sekolah lah kita menempa diri dan bersungguh menuntut ilmu, sebelum seumur hidup memancarkan gelora kepemimpinan -- menjadi sebahagian daripada ikatan perpaduan, untuk membangun tanah air Malaysia tercinta.

Ingatlah, bahawasanya pendidikan dan pembelajaran itu bukan persediaan untuk kehidupan. Pendidikan itu sendiri adalah kehidupan.

___________________________________________________________________________________

Hari pertama!
Sejelasnya, hari pertama bersekolah adalah hari pertama kita ke alam peralihan -- daripada pendidikan kurang formal di rumah, ke alam pendidikan formal di sekolah. Di sinilah kita bernafas sebagai anak bernama pelajar yang mempunyai ibu dan bapa bernama guru -- Cikgu, Ustaz, Ustazah, Sir dan Teacher.

Gelaran-gelaran guru ini, bagi saya, adalah lebih tinggi daripada Dr., Prof. dan sebagainya, kerana sehingga akhir hayat mereka jua pun (selepas bersara), mereka akan tetap digelar guru. Ilmu yang mereka curahkan akan kekal tersemai dan bercambah selagi mana anak-anak murid mereka (kita) menyebar dna mengamalkannya.

Pada hari pertama persekolahan ini lah, ada yang mula belajar mandiri - berdikari - dan ada yang masih bergantung kepada perasaan takut dan ragu-ragu, menoleh-noleh ke arah tingkap, bagi memastikan ibu dan bapa masih ada di luar kelas menemani.


Hari pertama penuh dengan kesibukan semua orang. Adik-adik Tahun 1 dengan ragam masing-masing. Mak ayah juga tak kurang ragamnya.



Ada yang menyalin huruf Rumi, ada yang menulis aksara Jawi. Melukis gambar, dan bersenam.

Di akhiran hari, masa-masa sulit untuk adik-adik kita ini akan lewat dan berlalu. Dan, sebelum kita menyedarinya, mereka telah membesar, bereksplorasi dan memiliki waktu-waktu yang menyenangkan di sekolah. Bersahabat, belajar, bermain dan berkelahi kecil.




Kebiasannya, adik-adik kita ini memerlukan waktu untuk beradaptasi dan menyesuaikan diri mereka dengan lingkungan dan persekitaran yang baru. Justeru, ibu bapa dan guru memainkan peranan yang sangat signifikan bagi menggalakkan adik-adik kita ini mendekatkan diri dengan alam dan belajar dengan pemikiran yang cerah dan bebas.

Di usia rebung inilah kita seharusnya membangkitkan rasa percaya dan membangunkan rasa kebersamaan dalam diri mereka. Supaya bila mereka dewasa kelak, akan jadi manusia yang berguna, in sya ALLAH.



Walau apa pun kisahnya dan biar apa pun ragamnya, hari pertama sekolah tetap satu hari yang bermakna. Kalau ada seorang guru, pensyarah, peguam, doktor atau Perdana Menteri yang berjaya pada hari ini, hari pertama persekolahan merupakan antara penyumbang kepada permulaan masa depan mereka.

Selamat bersekolah buat adik-adik kita. Merekalah pemimpin masa hadapan kita. Melihat wajah mereka adalah laksana melihat masa hadapan kita -- yang belum tentu kita masih berbaki usia -- hidup di zaman mereka!

Salam. :)

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...