Dr.
Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan,
Menyubur
Kesejahteraan
Oleh:
Zairudin Hashim
(Ahli
Dewan Tertinggi Majlis Belia Malaysia – MBM)
“Cahayamu
bagai sabitah, doaku kau sejahtera
biar
warna kubah-kubahmu kian pudar
untukmu
setanggi ini kubakar
cahayamu
sediakala
Aku
rindukan zaman kebangkitan,
pabila
nurani bersulamkan fikiran
seganding
dan bersatu, lafaz niatku bertemu
cahayamu
tiada tara…”
Ketika M. Nasir (kini Datuk) dinobat sebagai pemenang
Anugerah Juara Lagu (AJL) pada 1999 menerusi lagu “Andalusia”, ramai yang
terkejut memandangkan terdapat lagu-lagu lain yang telah dijangka sedari lebih
awal untuk menang. Dalam naskah yang digubah melodinya oleh ‘sifu’ muzik negara
itu, Almarhum Loloq (Rosli Khamis) tampil sebagai penulis lirik.
Meskipun
tidaklah sepopular “Tanya Sama Itu Hud Hud” (1994); “Ghazal Untuk Rabiah”
(1997) atau “Awan Nano” (2011) yang turut diangkat sebagai Juara Lagu, “Andalusia”
berjaya berdiri sebagai mahakarya yang disegani. Ku Seman Ku Hussein
menggambarkan lagu ini ‘membawa kita menjejaki mimpi-mimpi silam era kegemilangan
Kerajaan Islam di Andalusia (kini Sepanyol).’
Lagu
yang indah dan bermakna ini terngiang-ngiang pada halwa telinga tatkala YB
Senator Dr. Zulkifli Hasan mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara, pada
12 Disember 2023 lalu. Bekas Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM) itu kemudiannya diumumkan sebagai Timbalan Menteri Di
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan
di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI).
Beliau dilihat mampu membantu anggota Kabinet sedia ada untuk memacu Malaysia ke
arah kegemilangan yang kita impikan selama ini.
Memiliki
pengalaman luas dalam bidang syariah dan kewangan Islam, mantan Dekan Fakulti
Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu
dilahirkan di Tanjung Malim, Perak pada 3 Jun 1977 daripada pasangan Haji Hasan
Yeen dan Hajah Rabeah Khalid. Sebagai anak kampung, beliau hidup bersama
keluarga penoreh getah di Slim River pada awal hidupnya. Mendapat
pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Sungai Behrang. Kemudian
melanjutkan pelajaran di Madrasah Idrisiah di Kuala Kangsar, dan
dinobatkan sebagai pelajar terbaik tahunan pada 1994 di Madrasah tersebut.
Beliau
telah menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda undang-undang di UIAM
pada 2001, dan ijazah sarjana muda keduanya dalam jurusan syariah pada tahun
2002. Kemudian, beliau memperoleh ijazah sarjana undang-undang perbandingan di universiti
yang sama pada tahun 2004. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Durham
University di United Kingdom, dan tamat dengan doktor falsafah (PhD) dalam
Kewangan Islam pada tahun 2011.
Beliau
sangat aktif serta berpengalaman dengan aktivisme mahasiswa dan kerja
kemasyarakatan pada peringkat nasional dan antarabangsa. Antaranya sebagai bekas
lembaga pemegang amanah Global Peace Mission (GPM) Malaysia; mantan Yang
Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Negeri Sembilan; Timbalan
Pengerusi, Biro Hal Ehwal Antarabangsa ABIM Pusat (peringkat kebangsaan); anggota
Lembaga Pengelola Sekolah Rendah Islam Seremban, dan Ketua MYCOM4SDG. Beliau
memiliki pengalaman pada peringkat antarabangsa yang berharga dan terlibat
aktif dengan masyarakat awam di United Kingdom, iaitu Durham Islamic
Society dan Palestine Solidarity Campaign, serta di Amerika Syarikat,
iaitu Association of Muslim Lawyers of New York dan Fordham
Islamic Society.
Pada
tahun 2013, beliau mewakili Malaysia dalam Program Intelektual Muda Muslim di
Asia Tenggara yang berprestij di Jepun anjuran Japan Foundation, dan pada 2014
beliau dipilih sebagai penerima geran untuk menjalankan penyelidikan ilmiah di
Universiti Fordham, New York, Amerika Syarikat, oleh Lembaga Biasiswa Asing J.
William Fulbright, melalui Fulbright US-ASEAN Visiting Scholars Initiative.
Sementelahan,
Dr. Zulkifli pernah menerima Anugerah ‘The Upcoming Scholar’ pada
peringkat antarabangsa oleh Global Islamic Finance dan karya beliau termasuk
laman sesawang www.zulkiflihasan.com telah
memenangi anugerah blog terbaik dan karya terbaik pada peringkat kebangsaan.
Dr.
Zulkifli pernah menyandang pelbagai jawatan akademik seperti editor perundangan
untuk Jurnal Malaysia Syariah dan Undang-undang; panel syariah untuk Institut
Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa USIM, dan penyemak jurnal untuk Jurnal
Antarabangsa Penyelidikan Perniagaan dan Kewangan, dan Jurnal Antarabangsa
Kewangan dan Pengurusan Islam dan Timur Tengah. Beliau juga merupakan ahli
Lembaga Penasihat Editorial bagi Laporan Undang-undang Syariah dan Majalah
Kewangan Islam Global, di samping penasihat akademik untuk Diploma Takaful bagi
Kolej Dar al Hikmah (KDH), Selangor.
Dr.
Zulkifli juga pernah menjadi ahli kepada beberapa persatuan profesional,
seperti Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Persatuan Penasihat Syariah dan
Majlis Peguam Malaysia. Sebagai Ahli Jawatankuasa Syariah Affin Islamic Bank
dan EXIM Bank serta ahli jawatankuasa Persatuan Penasihat Syariah, beliau
mempunyai pengalaman luas dalam perbankan gunaan dan kewangan termasuk takaful.
Sebagai
seorang ahli akademik, beliau telah menerbitkan banyak artikel dalam pelbagai
jurnal akademik seperti Malayan Law Journal, Shari'ah Law Reports,
International Review of Business Research, Journal of International Banking Law
and Regulation, International Journal of Islamic and Middle Eastern Finance and
Management dan Kyoto Bulletin of Islamic Area Studies, di samping membentangkan
banyak kertas kerja dalam pelbagai persidangan tempatan dan luar negara.
Bukunya
bertajuk “Tadbir Urus Syariah dalam Bank Islam” yang diterbitkan oleh Edinburgh
University Press memenangi Penerbitan Terbaik MAPIM dalam kategori sains sosial
pada tahun 2013, dengan minat penyelidikannya termasuk berkaitan tadbir urus
dan peraturan korporat dan Syariah dalam kewangan Islam.
Sejak
hari pertama melapor diri di Pejabat Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, Dr.
Zulkifli dilihat cukup cergas melaksanakan tugasan hariannya yang padat.
Sepertimana yang kita sedia maklum, beliau sangat suka bersukan dan bersenam,
selain sentiasa memastikan agar mempunyai ruang untuk sekurang-kurangnya berjoging
selama beberapa jam setiap hari.
Dr.
Zulkifli pernah memetik ucapan Almarhum Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil (Presiden
ABIM kedua) berkenaan bagaimana pentingnya nilai-nilai murni Islam untuk
berperanan sebagai peneraju pendekatan wasatiyyah dalam pengamalan hidup
bersama dalam budaya damai (peaceful coexistence). Hal ini sangat dekat dengan interaksi
yang dibuat oleh para ilmuan Andalusia dengan Tamadun China dan Tamadun Hindu. Laksana
mata air jernih Seirra Nevada, Granada yang mengalir deras dengan damai ke Alhambra,
kita dapat melihat bagaimana ketika zaman gemilangnya, Andalusia berjaya
mengharmonikan bangsa Arab, bangsa Afrika Utara dan juga warga tempatan
Sepanyol untuk bergandingan utuh dan saling menyemai perpaduan.
Selama
800 tahun, Andalusia berkembang sebagai Tamadun Islam di sekitar Semenanjung
Iberia dari tahun 711 (ketika di bawah Tariq Ibnu Ziyad) sehingga 1492 Masihi.
Umat Islam berjaya memimpin Andalusia dengan cemerlang kerana mementingkan
keharmonian dan persaudaraan, termasuk sesama warga setanah air yang bukan Muslim.
Kepimpinan Islam di sana yang dilaksanakan secara berintegriti, sejahtera,
bertoleransi dan mapan, berjaya mengurangkan polarisasi kaum.
Sementera
itu, Dr. Zulkifli juga pernah mengungkapkan betapa pentingnya masyarakat memahami
gesaan Tan Sri Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas tentang hakikat insan
yang dikurnia akal dan kepentingan mendalami ilmu, selanjutnya membentuk ketinggian
dan keluhuran sesebuah peradaban. Selain
keindahan seni bina Maghribi-Andalusia, Al-Andalus juga memberikan inspirasi
kepada kita bahawa ilmu mampu mencetak manusia yang baik secara universal
(al-insan al-kamil) dan mengangkat kemuliaan insan (karamah insaniyyah). Umat
Islam di Andalusia yang menjunjung tinggi budaya ilmu, akhlak dan nilai-nilai murni
yang dianjurkan oleh Rasulullah sallallahu alayhi wa-sallam menjadi simbol ketamadunan,
ketertiban, kesopanan, kebersihan, kebijaksanaan, dan kemajuan.
Kesepaduan
ilmu yang diamalkan dalam masyarakat Andalus dan dilaksanakan menerusi sistem
pendidikan wajar dijadikan iktibar. Zaman keemasan Andalusia amat terserlah
sekitar abad ke-11 dan 12 Masihi iaitu semasa munculnya tokoh-tokoh ilmuan
hebat, cendekiawan agama, ahli hadith, ahli falsafah, ahli sains, kimia, fizik,
matematik, kejuruteraan, pakar perubatan, astronomi, ekonomi, kesenian kraf serta senibina tamadun Islam dan
lain-lain lagi yang masih kekal sehingga kini. Andalusia menjadi simbol
kekuatan dan keagungan Islam dan dianggap sebagai “The Torch of Europe” yang memberi
suluhan ilmu kepada Tamadun Barat ketika mereka mengalami Zaman Kegelapan.
Khatimahnya,
sosok bernama Dr. Zulkifli Hasan ini wajar diberikan perhatian, dan masa akan
jadi penentu sejauh mana beliau akan melangkah. Apa yang utama, matlamat untuk
mengarusperdanakan gagasan Malaysia Madani perlu dilakukan secara konsisten,
bagi mengembalikan kegemilangan ummah seperti era empayar Andalusia dapat
direalisasikan, di samping mengambil iktibar daripada kejatuhannya.
Hari
ini, matahari yang pernah menyinari zaman kegemilangan Islam di Andalusia,
adalah matahari yang sama dengan hari ini. Tiada yang mustahil untuk membina
sebuah kebangkitan, asalkan disulami dengan pembudayaan ilmu, adab dan
keberanian bertindak, dengan izin dan rahmat Allah Subhanahu wa-Ta’ala. Mana-mana
Muslim yang beriman pasti jiwanya tersentuh apabila fikirannya mengenangkan Andalusia.
Sebagaimana bait-bait indah nukilan Loloq,
“Aku
rindukan zaman kebangkitan,
pabila
nurani bersulamkan fikiran
seganding
dan bersatu, lafaz niatku bertemu
cahayamu
tiada tara
pohon salamku pada fakir-fakirmu, Andalusia…”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan