Sabtu, November 13, 2010

Ambil berat: Ini baru betul-betul Juara Rakyat.




Lewat pemilihan PKR, kita dapat melihat isu yang rencam dan bercapah yang kontroversial. Soal kertas cai, politik wang, gangsterisme, cah keting dan lobi-melobi yang dahulunya dikaitkan dengan keras terhadap parti PEKEMBAR Baru (UMNO Baru) dan BN, kini seolah-olah terkena tempiasnya kepada imej PKR yang dahulunya dikenali sebagai Parti keadilan Nasional (keADILan).

Soal sama ada laporan-laporan yang disiarkan oleh akhbar-akhbar arus perdana dan tabloid (serta media elektronik - blog, Facebook dan lain-lain) adalah berdasarkan bukti yang sahih adalah tidak, kini seolah-olah tidak menjadi isu.

Hakikatnya, masyarakat kita terlalu mudah menerima persepsi sebagai realiti. Setiap perkhabaran sama ada dalam bentuk gosip atau fitnah sekalipun, jika disebarkan, akan mempengaruhi masyarakat kita.

Sungguh, orang kita memang 'juara' kalau bab mengumpat dan memfitnah. Na'uzubillah.

Setuju atau tidak, imej PKR dan Ketua Umumnya sudah tercalar. Sebagaimana pendokong dan pemimpin parti pembangkang cuba mencalarkan imej Datuk Seri Najib dan isteri beliau, begitu jugalah pendokong PEKEMBAR Baru yang sedaya-upaya cuba memastikan perjalanan DSAI ke Putrajaya dicantas sekeras mungkin.

Demikianlah politik. Ada yang melabelnya sebagai kotor. Ada yang melabelnya sebagai wadah perjuangan. Apa yang pasti, politik adalah 'alat'. Dan, sewajibnya, matlamat pokok yang mendasar adalah untuk mendaulatkan suara rakyat serta memastikan soal-soal keagamaan dan keTUHANAN diletakkan di tempat yang tertinggi dan sepatutnya, selaras dengan prinsip Rukun Negara yang sulung -- Kepercayaan (kukuh) kepada TUHAN.


Sekedar berkongsi, saya semenjak kecil memang minat dengan sejarah dan politik dunia (khususnya negara kita). Kendati, sehingga saat ini, saya tidak pernah bermimpi, berniat atau berkecenderungan untuk menjadi seorang ahli politik. Pendirian saya jelas, saya hanya peminat tegar sejarah dan politik, dan bukannya berminat untuk menjadi ahli politik.

Terkenang sewaktu pilihan raya umum 1994, sewaktu saya masih kecil (6 tahun) dan terlalu mengagumi Che Det (Tun M) dan DSAI (ketika itu TPM), saya telah mengumpul berpuluh-puluh poster kempen BN, PAS dan Semangat 46 (ketika itu dipimpin oleh Ku Li - Tengku Razaleigh). Saya tampal puluhan poster besar itu dan penuhkan pada dinding bilik saya.

Arwah Atuk saya yang masuk ke bilik (ketika itu) pernah menyindir, "Wah, kok ada markas PAS kat bilik ni?". hehehe. Rindu Arwah Atuk. Al-Fatihah.

Apa yang pasti, kini, saya memang sedih dengan situasi politik negara. Kronisme, korupsi dan nepotisme masih menular di negara kita. Soal kebajikan rakyat semakin dikesampingkan. Hanyasanya bila pilihan raya kecil diadakan, baharulah janji-janji manis dan politik gula-gula berbilion-bilion dilaungkan.


Genderang kesedaran seharusnya dipalu dalam setiap pemikiran rakyat kita. Kita adalah struktur utama negara kita. Perpaduan kita, toleransi kita, dan kesedaran kita adalah kunci kepada kemakmuran serta kemajuan negara.



Berbicara soal masalah serta kebajikan rakyat, tidak boleh tidak, kita kaitkan isu ini dengan Pengarang Berita (Alam Sekitar) TV3, Karam Singh Walia (KSW), 51. Penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1426H/2005M ini memang sosok yang hebat dan terhormat.

Beliau memang cakna soal keindahan bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) serta soal masalah rakyat. Sungguh 'menakjubkan', bilamana masalah bekalan air, asap, kumbahan, pencemaran, dan masalah alam sekitar lain yang bertahun-tahun ditanggung penduduk sesuatu kawasan boleh diselesaikan dalam masa tak sampai sehari-dua bilamana krew/wartawan Aduan Rakyat bertemu dan mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen/pihak berkuasa tempatan/jabatan yang bertanggungjawab.

Seolah-olahnya, sifirnya begini --
Masalah bertahun-tahun yang tak diendah + campurtangan Aduan Rakyat, TV3 = Pemimpin buat kerja + Masalah selesai serta-merta? :)

Dalam satu episod Aduan Rakyat baru-baru ini, saya cukup tersentuh bila melihat peneroka warga emas sebuah tanah Felda di Bera yang menangis kerana tiada bekalan air bersih yang cukup semenjak sekian lama. Ini mendatangkan kesulitan khususnya untuk hal pengurusan jenazah dan kegunaan seharian.

Mereka mendakwa bahawa walaupun telah berkali-kali membuat aduan kepada Jabatan Bekalan Air, hanya dibalas dengan sindiran tajam. Antaranya, "nak air pergilah panggil Tv3."

Apabila wartawan Tv3, Pushpawati Ramlu membuat aduan, terus 'orang besar' JBA tersebut turun padang dan selesaikan masalah tersebut tak sampai 48 jam. Antara yang paling membuatkan saya terharu ialah, apabila seorang daripada peneroka (seorang wanita Melayu warga emas) menangis terharu dan memeluk Pushpawati dan mengucapkan terima kasih. Seorang lagi peneroka warga emas sampai tak mampu nak mengungkapkan apa-apa. Air mata beliau menceritakan segala-galanya.

Setiap manusia khususnya pemimpin sewajibnya melaksanakan tanggungjawab mereka. Tak guna diberi elaun yang tinggi daripada cukai rakyat jika kebajikan rakyat terabai. Ini bukan soal hentam-menghentam atau tuding-menuding. Ini soal pertanggungjawaban dan soal kesedaran. Jika yang berkuasa tidak menjalankan peranan, maka akan lahirlah ramai 'penjenayah' yang 'memperkosa' dan 'merompak' hak rakyat. Bak kata KSW, "Jika kucing tidak bertaring, si tikus akan menari-nari."

Sungguh, kita mencari penyelesaian, bukan mencari kesalahan!


* Menerusi satu temubual dengan wartawan Majalah Mastika tidak lama dulu, KSW menyatakan bahawa antara kenangan paling manis dalam hidup beliau ialah apabila dalam satu Perhimpunan Agung PEKEMBAR Baru tidak lama dahulu, Che Det (Tun M) meminjam peribahasa yang beliau selalu nukilkan iaitu “Rumah terbakar nampak asapnya, hati terbakar siapa yang tahu?.” :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...