Sabtu, Jun 26, 2010

Menyingkap Siapa Rachel Corrie: Mahasiswi Aktivis Keamanan Ghazzah.




Siapa Rachel Corrie?
Rachel Corrie merupakan satu kapal misi penghantaran barang-barang bantuan kepada masyarakat yang berada di Ghazzah. Kenapa ke Ghazzah? Sebab Israel laknatullah telah menyekat sumber dan barang keperluan masyarakat Ghazzah. Kapal ini ditaja oleh Perdana Global Peace Organisation (PGPO), satu badan yang dinaungi oleh mantan Perdana Menteri kita iaitu Tun Dr. Mahathir. Walaupun telah mengetahui bahwa kapal Flotilla telah diserang oleh Israel, mereka tetap meneruskan misi. Terdapat 6 rakyat Malaysia dalam kapal Rachel Corrie.

Baiklah… itu kapal…tapi, siapa Rachel Corrie?
Rachel Corrie ialah seorang aktivis kemanusian yang berasal dari Amerika Syarikat, berumur 23 tahun, telah dilanggar dengan jentolak bersenjata (armed bulldozer) sehingga mati ketika beliau berusaha untuk menyelamatkan sebuah rumah supaya tidak dicerobohkan oleh tentera Israel. Israel laknatullah memberi respon bahawa, pemandu jentolak berkenaan tidak sedar akan kehadiran Rachel Corrie ketika itu walhal Rachel Corrie memakai pakaian yang sangat terang (bewarna oren).

Beliau salah seorang ahli daripada anggota kumpulan International Solidarity Movement (ISM) yang mengembara ke Ghazzah ketika gelombang kedua intifada (kebangkitan) di Palestin.

Semasa di tahun akhir pengajian, beliau telah mengambil program ‘independent-study’ di mana pengajian terbabit membolehkannya menyertai misi ke Ghazzah. Beliau juga terlibat menyertai para pendemonstran membantah kekejaman Israel dan mengasaskan satu projek kemanusiaan dinamakan ‘Sister City’ antara Olympia Amerika dan Refah Palestin.

Kesungguhan Rachel Corrie dalam menuntut keamanan dan keadilan menyebabkannya berhenti daripada meneruskan pengajian selama setahun dan bertolak ke Palestin semasa siri gelombang kebangkitan Intifadha kedua berlaku. Seorang temannya yang bernama Reese menyifatkan beliau sebagi seorang teman yang paling menepati masa, kemas, teliti dan rapi yang pernah ditemui di dunia ini, dan apabila ia melakukan kerja keamanan, kesungguhan dan keiltizamannya mengatasi sesiapa sahaja yang bersamanya.

Bukan Rachel Corrie seorang sahaja yang menjadi mangsa kekejaman Rejim Zionis Israel laknatullah. Ramai lagi sebenarnya -- sama ada daripada kalangan umat Islam ataupun yang belum menganut Agama Islam. Sebagai contoh, Tom Hundall, seorang warga Britain, telah ditembak di bahagian kepala oleh seorang penembak tepat tentera Israel laknatullah, bernama Taysir Hayb, sehingga mengalami kerosakan otak yang teruk. Hurndall meninggal dunia setahun selepas itu akibat kecederaan parah yang dialaminya.

ALLAH 'Alim.

خيبر, يا يهود!!
خيبر, يا يهود!!
خيبر, يا يهود!!
جوش محمّد سوف يعود !!!
اللهمّ ثبّت أقدامنا واهدنا سبل السلام

Ingat Khaibar, wahai yahudi!
Ingat Khaibar, wahai yahudi!
Ingat Khaibar, wahai yahudi!
Tentera Muhammad (s.a.w.) akan kembali!
Ya Allah, kuatkan pendirian kami (pada kedudukan kami),
dan pimpinlah pada jalan yang selamat (Islam)!

Rabu, Jun 16, 2010

Beranda Hati Khairy Ashraff: Terus tabah dan tabah.




Assalamualaikum.

Alhamdulillah, saat ini (lebih kurang jam 2.57 pagi), saya masih sihat bernafas. Banyak yang bermain di fikiran saya. Ah, hidup kalau tak punya dugaan, bukan hidup manusia namanya.

Cuti sem yang tak berapa panjang ni, memberikan saya peluang dan ruang -- untuk mengenal diri sendiri. Kita dididik, bahawa sesiapa yang mengenal diri sendiri, kan dapat mengenal TUHANnya. Sekali imbas, nampak mudah. Kenal je diri, boleh kenal TUHAN. Hakikatnya, diri kita sendiri masih banyak yang belum kita teroka dan terobos. Wah, macam ayat Dr Fadzilah Kamsah la pulak (perasan). Justeru, antara cabaran terbesar dalam hidup adalah mengenal diri.

Sungguh, meski TUHAN senantiasa ada dekat dengan kita, tapi kita selalu lupakan-NYA. Kita hanya ingat TUHAN, bila dalam kesusahan. Bila kita mahukan sesuatu. Bila tak dapat apa yang diidamkan, kita marah TUHAN. Astaghfirullahal 'azim...

Saya bukanlah orang yang alim, jauh sekali bergelar ustaz. Saya sekadar hamba ALLAH yang masih belajar dengan hidup. Dengan resam dan ragam dunia. Dengan perihal manusia. Tapi sungguh, malam ini saya rasa sungguh sayu. Sayu, bila mengenangkan, bahawa saya masih boleh bersenang-lenang duduk menghadap laptop, menonton Piala Dunia di kaca TV, makan dan minum, hidup dengan selesa.

Sayu karena, seorang sahabat baik saya bernama Khairy Ashraff Kamaruddin, masih terlantar di Wad 5C, ICU, HTAR Klang. Beliau disyaki menghidap denggi berdarah. Hati saya tambah syahdu, bila berbual dengan ibu beliau, Ustazah Shamsiah. Kebetulan, Ustazah Shamsiah merupakan guru saya sewaktu sekolah rendah. Semesra dan seikhlas manapun Ustazah ketawa dan tersenyum sewaktu berbual dengan saya, saya tahu, ada seberkas pilu yang disimpan dalam kalbu beliau. Beliau memang tabah, cukup tabah.

Berbalik kepada Khairy Ashraff (nama panggilannya Khai), saya mengenali beliau semenjak berusia 7 tahun (darjah satu). Beliau yang saya kenali merupakan seorang yang periang, gemar berjenaka, mementingkan solat, dan sangat aktif bersukan. Sewaktu belajar di tahun 6 Sekolah Kebangsaan Batu Laut (tahun 1999), saya duduk bersebelahan dengan beliau. Kami jadi lebih akrab sejak itu. Khai memang aktif bersukan, mewakili sekolah di peringkat daerah dna negeri, dalam pelbagai jenis acara sukan seperti bola sepak, lumba lari, badminton, bola baling dan sebagainya.

Karena itu bila saya mendapat berita beliau kritikal dan dimasukkan ke Wad ICU, saya jadi sangat risau dan hiba. Saya percaya, rasa ini juga dikongsi oleh semua individu yang rapat dengan beliau. Risau, kehilangan seorang sahabat seikhlas Khairy Ashraff.
Khabar terbaru saya terima berkenaan beliau, beliau sudah sedar dan semakin stabil, meski masih memerlukan alat bantuan pernafasan. In sya ALLAH, semoga Khai terus tabah dan tabah.

"Aku tahu kau kuat, Khai. Aku tahu kau akan kembali sihat. Doa dan solat hajat aku takkan putus untuk kesembuhan kau."

Kala hening malam syahdu
khayalan bening-bening wajahmu bertandang
bayang kelibatmu menghulur sejahtera kalbu

Dengan tangan memanjat doa
aku bermunajat
mohon TUHAN hilangkan penyakit, darimu
berikan kesembuhan, buatmu
dengan sebaik-baik sembuh, sebaik-baik

Khai, teruslah, tabah dan tabah
doa kami setia mengiring kesembuhanmu
atas sayang, kasih ukhwah yang kau cerna
semoga kau selalu dalam lindungan-NYA
-- sungguh --
hatimu mulia, sahabat
budimu indah.

Rabu, Jun 02, 2010

Alhamdulillah: Sijil Hadiah.






Kira2 17 tahun dahulu, sewaktu menghadiri konvo Paman (pakcik saya) di ITM, arwah Atuk usap kepala saya sambil berpesan, "belajar rajin2. Dah besar boleh jadi macam Paman."

Setelah setahun lebih mengembara di bumi bersejarah Merbok, Kedah, serta tiga tahun di tanah Shah Alam yang berjasa -- inilah yang saya terima, segulung sijil penuh makna. Hadiah untuk keluarga.

Hadiah untuk guru2. Istimewa buat guru2 SAMUS yang banyak memberi dorongan dan nasihat kepada saya -- Cikgu Khairuddin Abas (Sir Din), Cikgu Hafizie Ahmad serta Cikgu Roszalina Arshad (Cikgu Momoi).

Hadiah untuk para pensyarah di UiTM Merbok. Istimewa buat pensyarah yang berjasa kepada saya -- Ustaz Bashir (Penasihat 1 sewaktu saya memimpin Ikatan Mahasiswa Dinamis UiTM Kedah) serta Sir Haswira Hashim (Pensyarah Fakulti Undang2 UiTM Kedah serta Ketua Jurulatih pasukan Debat BM UiTM Kedah).

Hadiah untuk Tok Wan, Arwah Wan, Arwah Atuk dan Arwah Nenek.

Genderang Perang di Kota Raya: Suara Semut Api Kecil





Bong bong bong
palu tabuh-tabuhan
genderang perang di tanah merdeka

bong bong bong
berbondong-bondong, gerombolan semut api kecil
berarak menuju kota raya
melaung suara keramat
kepada manusia besar

bong bong bong
manusia besar tidak mendengar
malah memijak gerombolan semut api kecil, yang banyak di jalanan

bong bong bong
hari ini, gerombolan semut dipijak
hari esok -- kau tunggulah, manusia besar
badai kan turun mengamuk
halilintar membelah bumi
seekor kami mati, berjuta kan lahir membela kembali
dengan tangan perkasa
dengan berani kudrat penuh

bersama kuasa keramat,
gerombolan semut api kecil, yang banyak
tak gentar ditangkap, tak gentar dipijak!

bong bong bong!

Rabu, Mei 26, 2010

Kalaulah Shahir AF8 yang ini; Shahir Saujana yang itu.



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Kelmarin, usai mengambil jubah konvo di Bangunan Menara SAAS, UiTM Shah Alam, saya pergi bersantap di sebuah kedai makan di kawasan Pusat Komersil. Saya pesan nasi ayam. Sedap. Macam rasa nasi ayam (?). Harga pun berpatutan.

Sedang dok sedap layan nasi ayam tu, mata saya terpaku (wah, terpaku) ke arah skrin flat TV yang agak besar di depan mata kepala saya. Saya sedar, sedari saya makan tadi, skrin TV menayangkan Konsert Akademi Fantasia 8 (AF8). Tapi, saya tak tahu pula itu rakaman (baca: ulangan) konsert akhir AF8. Almaklumlah, rumah kat kampung tak ada ASTRO.hehe.

Hm, apa yang menarik mata dan telinga saya -- untuk menonton dan mendengar apa yang disiarkan di kaca TV tersebut, ialah penyanyi yang sedang menyanyikan lagu dalam konsert tersebut. Beliau punya aura di atas pentas, yang bisa buat kita terasa kehadirannya. Suaranya juga lunak -- meski tak selunak Ahmed Bukhatir atau Arwah Ustaz Asri.

Saya sangkakan, lagu yang beliau nyanyikan, adalah lagu penyanyi 80an yang didendangkan semula. Rupa-rupanya lagu baru, nyanyian beliau sendiri. Lagu berjudul "Bahagia dalam Perpisahan." Lagunya agak menarik, karena punya unsur komersil yang tinggi.

Balik kepada Shahir ni, saya pernah menyaksikan beliau menyanyi bersama kumpulan Saujana dalam sebuah konsert tak lama dulu. TV9 juga (dalam Konsert Suarasa) ada menjemput Saujana yang turut dianggotai Shahir ketika itu, untuk menyampaikan persembahan. Namun, beliau tidak begitu dikenali sewaktu zaman singkat penyertaan dalam Saujana.

Kalau dulu vokalis utama Saujana, Dr. Khairul Izwan Baharin menyertai ujibakat OIAM, kali ini giliran Shahir pula yang menyertai Akademi Fantasia 8.

Beliau memang punya masa depan yang cerah, karena punya pakej sebagai seorang penyanyi. Apa yang diharapkan, agar nilai "ketimuran" (mengambil perkataan yang digunakan oleh beliau sendiri)yang beliau miliki, akan dapat dikekalkan. Imej sopan, dengan tahap pendidikan yang dimiliki beliau (beliau graduan diploma UIAM), pasti disenangi ramai pihak.

Sekedar berkongsi, kebanyakan penyanyi di negara-negara seperti Thailand, Filipina dan Indonesia, mempunyai sekurang-kurangnya segulung ijazah dalam genggaman mereka. Bukan mahu mengagung-agungkan ijazah. Cuma saya ingin tekankan betapa peri pentingnya ilmu yang seharusnya dimiliki oleh mereka yang bergelar selebriti. Hal ini demikian karena, mereka akan dijadikan "idola" dan "ikon" (baca: pujaan) para peminat mereka sendiri.

Apa yang membimbangkan, ramai ibu ayah tumpang menangis bila anak-anak tak dapat jadi artis. Tapi tapi tak ramai yang tumpang sedih bila anak bangsa sendiri tak tahu baca Kitab Suci Quran dan tulis Jawi. Aduhai...

Berbalik soal Shahir, saya doakan moga beliau sukses dalam apa jua bidang yang diceburi. Beliau punya impian besar -- untuk menjadi seorang Profesor. Ini suatu impian yang murni. Cuma, harap beliau tak berubah (baca: hanyut) macam sesetengah penyanyi yang membawa imej "ketimuran" (baca: Islamik), tapi akhirnya, jadi lebih Barat dari Barat.

Cuma, saya terfikir, kalaulah, kalaulah Shahir Juara AF8 ini, populariti dan auranya dibawa bersama Shahir Saujana itu, alangkah indahnya. Seperti yang kita sedia maklum, industri nasyid agak suram selepas zaman Ustaz Nazrey dan Arwah Ustaz Asri sudah tidak bersama Raihan dan Rabbani. Kedua-dua mantan Nadamurni dan The Zikr ini punya aura dan populariti yang cukup tinggi. Saya cukup rindukan sosok vokalis serta kumpulan nasyid yang gagah seperti kedua-dua Ustaz Nazrey dan Arwah ustaz Asri.

Kalaulah, Shahir AF8 itu Shahir Saujana ini
kalaulah, Ustaz Nazrey masih gemilang bersama Raihan The Zikr
kalaulah, Arwah Ustaz Asri masih gemilang bersama Rabbani Nadamurni

kendati, semua tinggal kenangan
tak bisa diratap karena itu bukti, lemah aqidah iman
maka, doa saja jadi sahabat teman
bersama harapan, untuk melihat anak bangsa bangkit
daripada, mimpi sebuah hedonisme.

ALLAH 'Alim.

Isnin, Mei 17, 2010

Al-Fatihah buat Ustaz Asaari Muhammad




Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Seperti yang kita sedia maklum, pemimpin utama jemaah Al-Arqam (kemudian dikenali sebagai Syarikat Rufaqa' Corporation dan Global Ikhwan) yang didakwa sebagai Pemuda Bani Tamim (kemudian ditukar gelarannya sebagai Putera Bani Tamim) -- telah meninggal dunia pada tanggal 12 Mei 2010. Menurut laporan akhbar, mantan pemimpin Al-Arqam tersebut meninggal dunia di Hospital Ipoh Specialist Center pada jam 2.10 petang karena jangkitan paru-paru.

Allahyarham pada suatu ketika dahulu didakwa mempunyai lebih 10,000 pengikut dan lebih 5,000 orang simpatisan, selain memiliki model perkampungan Islami mereka sendiri yang didirikan di Kampung Sungai Penchala, Sungai Buloh. Model bandar Islami mereka pula boleh dilihat di Bandar Country Homes, Rawang.

Antara budaya yang dipopularkan oleh Al-Arqam ialah makan dalam satu talam yang sama. Ini adalah budaya asal orang Arab. Sekadar ingin berkongsi, budaya ini juga diamalkan oleh orang-orang Melayu-Jawa di Malaysia sewaktu makan Nasi Ambeng. Sekarang Nasi Ambeng pun boleh dikatakan agak popular dan boleh didapati di kedai-kedai yang menjual nasi campur.

Sebut soal makan dalam talam, pengalaman paling manis saya dalam perkhemahan-perkhemahan sejak zaman sekolah sehingga zaman universiti bila -- disuruh menyuap makanan dan minuman ke mulut sahabat yang makan setalam dengan kita. Lucu. Sangat lucu. Satu talam kongsi 5 orang. Setiap seorang kena pastikan tangan dicuci dengan bersih sebelum makan. Tidak dibenarkan menyuap makanan ke mulut sendiri. Setiap suapan (waimah minuman) hendaklah diberikan oleh sahabat setalam. Setiap kali suapan adalah untuk sahabat yang berbeda. Kenangan. =)

Selain merapatkan ukhwah dan mahabbah, budaya makan dalam talam ini juga merupakan sunnah Baginda SAW yang dapat menimbulkan rasa rendah diri dan bersederhana dalam jiwa dan sanubari individu yang mengamalkannya.

Makan dalam talam/dulang beramai-ramai dengan cara duduk yang betul mengikut sunnah Nabi juga dikatakan dapat mengurangkan risiko banyak penyakit. Allahuaklam. =)

Selain itu, antara legasi Arqam ialah -- Kem Islami, Malam Kesenian Islam, Nasyid Kontemporari, Usahawan IKS Melayu Islam (yang menjadi perintis industri makanan halal di Malaysia), pakaian mengikut cara Islam, yang membuktikan kesan pengaruh dakwah Arqam dalam masyarakat.

Saya belum faham soal kehidupan sewaktu zaman kemuncak Arqam (awal 90an) karena masih kecil. Cuma, ada saudara saya yang aktif dengan Arqam waktu itu. Akhlak dan penampilannya cukup bagus dan disenangi keluarga.

Juga, ada seorang penjual kaset ceramah dan nasyid Arqam di sebuah pasar malam, yang gemar menghadiahkan kaset-kaset Nadamurni kepada saya. Kelunakan lagu serta suara Arwah Ustaz Asri dan Ustaz Munif memang menginsafkan.

Meskipun sekitar 60an dan 70an PAS dan ABIM sudah mula mempergiatkan usaha dakwah, Arqam dilihat lebih dekat di hati masyarakat (karena dilihat sebagai non-partisan) dan mendepani zaman.

Saya fikir, sekitar 80an dan awal 90an, iaitu selepas era DSAI masuk UMNO, populariti ABIM semakin merosot. Ustaz Ashaari dilihat sebagai sosok Islami yang gagah di Malaysia (meski ketika itu Tuan Guru Hadi dan Tuan Guru Nik Aziz sudah mula meraih sokongan/dokongan masyarakat).

Jadi, pengharaman Arqam mengakibatkan masyarakat mula memfokuskan sokongan kepada gerakan lain yang memperjuangkan Islam.

Meskipun Tabligh ada sumbangannya yang tersendiri, UMNO dengan penerapan nilai-nilai Islaminya (cetusan Tun M dan bantuan DSAI) dan PAS dengan kebijaksanaan pemikiran Allahyarham Ustaz Fadzil (dengan bantuan Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Hadi) menjadi pilihan masyarakat Melayu Islam Malaysia.

Malangnya, masyarakat semakin berpecah-belah karena tiada gerakan yang benar-benar non partisan yang dekat dengan hati mereka. Politik menjadi sesuatu yang melebihi segala-galanya, sehingga ada yang berpuak-puak, serta bercerai-berai.

Menyentuh soal peranan ABIM, ABIM zaman DSAI memainkan peranan yang cukup signifikan selaku peneraju suara ummah.

DSAI selaku pemimpin ABIM, PBMUM, PKPIM dan MBM dijemput dalam hampir setiap persidangan dunia ketika zaman gemilangnya selaku pemimpin belia. Baju kemeja lengan panjang berbutang satu di pergelangan tangan serta kopiah Bukit Mertajam adalah antara pakaian lelaki Muslim yang dipopularkan oleh ABIM di Malaysia. Konsep usrah dan "Islam is a Way of Life" juga dikatakan dipopularkan di Malaysia oleh ABIM.

Apa yang lebih menarik ialah, Ustaz Ashaari (nama asal kad pengenalannya -- Asaari) pernah aktif dalam jemaah tabligh, ABIM dan PAS di Selangor dan Kuala Lumpur.

Tuntasnya, sama-samalah kita doa -- agar ALLAH pelihara negara dan agama yang kita cintai. Raikanlah perbedaan pendapat dengan diskusi berhikmah, terimalah kemajmukan sebagai sesuatu yang boleh menyumbang kepada kebaikan. Allahuaklam. =)

Akhir kalam, apa jua perbedaan pandangan yang kita semua bahaskan selama hayatnya, saya percaya, bahwa kita semua memperakui satu hakikat -- Allahyarham Ustaz Asaari punya jasa tersendiri dalam membangunkan ekonomi serta pergerakan jemaah Islam di Malaysia.

Moga mana-mana pemikirannya yang baik, dapat kita semua jadikan sebagai suri tauladan dalam hati dan sanubari, insya-ALLAH.

Inna lillahi wa inna ilaihi raji`un. Al Fatihah!

* Foto dicuplik daripada http://ustazmoden.wordpress.com/2010/05/14/gambar-abuya-ashaari

Isnin, Mei 10, 2010

Ibu



Aku akan kembali wahai Ibu
dan mencium kening sucimu
dan menyalahkan hawa nafsuku
dan merasakan harumnya doa-doamu
mengotori pipiku dengan kesempurnaan kakimu
tatkala kubertemu denganmu
membanjiri tanah dengan air mataku
merasakan kebahagiaan karena engkau masih hidup

Berapa banyak malam yang kau terjaga hingga larut
agar aku dapat tidur dengan lelap?
Dan berapa kali engkau dahaga hanya agar kau dapat menghilangkan dahagaku dengan segala kelembutanmu?
Dan suatu hari tatkala aku sakit, aku tidak melupakannya…
air matamu mengalir deras seperti hujan
dan kedua matamu tetap dan tetap terjaga
karena khawatir jika aku mungkin dalam bahaya

Dan hari tatkala kita berpisah di subuh hari
dan oh… betapa kasarnya subuh kala itu
Tidak ada kata-kata yang dapat menjelaskan
apa yang aku rasakan, tatkala aku meninggalkanmu…
Dan kau mengatakan sesuatu yang aku masih mengingatnya sepanjang hidupku --
“Kamu tidak akan pernah menemukan hati yang lebih lembut padamu daripada hatiku...”
“Kamu tidak akan pernah menemukan hati yang lebih lembut padamu daripada hatiku...”

Kepatuhan padamu… oh itulah yang kuinginkan
dalam hidupku seperti ketetapan ALLAH
yang diperintahkan kepadaku
untuk patuh restumu, adalah rahsia kejayaanku
dan cintaku padamu adalah rahsia keyakinanku
dan doa-doa yang engkau panjatkan untukku
menghilangkan kegagalan dan kesedihanku

Cintaku untukmu
tidak ada orang yang kucintai seperti itu
engkau adalah sandaran hatiku
dan engkau adalah cahaya penglihatanku
dan engkau adalah irama bibirku
masalah-masalahku lenyap ketika kulihat wajahmu
kepadamu aku akan kembali… wahai ibu..

Esok ku akan beristirahat dari perjalananku
dan usia kedua akan dimulai untukku
dan cabang-cabang akan berkembang penuh
dengan bunga wangi mengharum...

(Terjemahan lirik Ummi nyanyian Ahmed Bukhatir).

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...