Selasa, Oktober 25, 2011

Azizol Abu Haniffah: Lagenda Yang Tak Didendang



1.0. Mukadimah
Azizol Abu Haniffah merupakan bekas pemain tengah (midfielder) pasukan kebangsaan dan Perak. Beliau terkenal sebagai pemain tengah terbaik negara, sebaris dengan Shukor Salleh, Ahmad Yusof, ‘The Professor’ Nasir, Bakri Ibni, Abdah Aliff dan Allahyarham Zaid Jamil. Perak era Azizol menyaksikan skuad Kejor Yob Kejor dibarisi pemain handalan seperti P.Ravindran, Nazreen Chong, Rais Rashid, Kyi Lywn, Jang Jung, Nidzam Adzha Yusof, Shoukrat Halzimief, dan ramai lagi.

---------------------------------------------------------------------------------


2.0. Jalur Awal Kerjaya yang Cemerlang
• Mempunyai beberapa nama timangan seperti ‘Gejon’, ‘Jijon’ dan ‘Demang’, Azizol memulakan pendidikannya di Sekolah Rendah Horley Methodist, sebelum menyambung peringkat menengah di Sekolah Menengah Horley Methodist di Teluk Intan, Perak.

• Beliau mula berjinak-jinak dengan bola sepak dengan mewakili pasukan bawah 15 dan 17 tahun sekolahnya. Menjadi juara Bawah-15 tahun untuk Hilir Perak pada tahun 1980 dan melayakkan diri ke Separuh Akhir untuk Bawah-17 tahun Hilir Perak pada 1982.

• Anak kelahiran Kampung Sungai Tukang Sidin, Teluk Intan ini mula beraksi buat pasukan junior dan senior kebangsaan sewaktu hanya berusia 17 tahun.

• Beliau pernah beraksi dalam kelayakan Piala Dunia FIFA, Sukan SEA, Pestabola Merdeka, dan Sukan Asia.

• Beliau merupakan antara tonggak utama skuad negara yang memenangi pingat emas, Sukan SEA 1989.

• Pada tahun 1991, beliau telah dipilih sebagai anggota skuad “Asian Team of the Year First XI” oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

---------------------------------------------------------------------------------


3.0. Skuad Kejor Yob Kejor
3.1. “Fair Park”: Gelanggang Keramat
Skuad Kejor Yob Kejor mempunyai halamannya sendiri iaitu Stadium Perak, meskipun Azizol dan rakan-rakannya turut beraksi di Stadium Lumut yang terletak di dalam pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Stadium Perak turut digelar “Fair Park” memandangkan ia terletak berhampiran Fair Park di Ipoh.

---------------------------------------------------------------------------------



3.2. Lagu Penyokong Perak
Sepertimana penyokong pasukan bola sepak yang lain, penyokong skuad Seladang turut mempunyai lagu penyokongnya sendiri. Antara yang paling popular ialah lagu “Ipoh Mali”. Lagu ini mempunyai nada dan irama yang sama dengan lagu “When The Saints Go Marching In.” Terdapat pendapat yang menyatakan bahawa lagu ini menjadi popular selepas Perak memenangi Piala FA yang pertama pada 1990.

---------------------------------------------------------------------------------


3.3. Slogan ‘Kejor Yob Kejor’
Dikatakan bahawa slogan “Kejor Yob Kejor” menjadi popular selepas Perlawanan Akhir Piala FA 1990. Penyokong Selangor yang terlalu gembira selepas pasukan mereka mendahului 2-0, menyindir penyokong Perak dengan sorakan “Kejor Yob Kejor”, iaitu bagi tujuan mencabar Perak untuk “mengejar” defisit jaringan tersebut. Bagaimanapun, dikatakan juga bahawa, penyokong Perak kemudiannya menggunakan slogan tersebut sebagai kata-kata semangat buat pasukan mereka, sebelum meraikan kejayaan bersejarah, mengejar Selangor dan mendahului 4-2 pada separuh masa kedua.

---------------------------------------------------------------------------------


Azizol Abu Haniffah.
Jijon, lagenda bola sepak Malaysia. 
Stromsik cuba menyelamatkan bola daripada dirampas oleh Azizol Abu Haniffah. Turut kelihatan, A. Jayakanthan.
Aung Naing dari Myanmar, menjaringkan gol
untuk Perak FA, menewaskan Karel Stromsik, penjaga gol
Selangor dari Republik Czech, yang pernah
beraksi dalam Piala Dunia 1982. 

Turut kelihatan, Nidzam Adzha Yusoff dan Ismail Ibrahim.

4.0. Perlawanan Epik
Pada tahun 1990, beliau yang beraksi selaku ketua pasukan, membantu pasukan Seladang menjuarai Piala FA yang dianjurkan buat julung kalinya, selepas menewaskan Selangor, 4-2. Asalnya, Perak ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama, sebelum bangkit untuk menjulang piala tersebut. Pengurus Perak pada ketika itu ialah Dato Raja Ahmad Zainuddin bin Raja Omar (kini Naib Presiden FAM) dan jurulatih, M. Karathu (kini Datuk). Walaubagaimanapun, Selangor berjaya membalas dendam terhadap kekalahan tersebut, apabila menjuarai edisi kedua Piala FA, menerusi jaringan Ismail Ibrahim. Selangor menang 1-0.

---------------------------------------------------------------------------------


5.0. Pingat Emas Sukan SEA 1989
Azizol dan rakan-rakannya berjaya memenangi ‘ibu kepada segala pingat Sukan SEA’, iaitu pingat emas sukan bola sepak. Pasukan negara telah berjaya menewaskan musuh tradisi, Singapura sewaktu perlawanan akhir. Nama yang seringkali dikenang dalam membawa negara kepada kejayaan ini ialah Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil, mantan Naib Presiden FAM. Perlawanan akhir yang dianjurkan pada 30 Ogos 1989 itu dilangsungkan di Stadium Merdeka dan dihadiri oleh 45,000 penyokong bola sepak tempatan dan luar negara. Gol-gol Malaysia diperolehi menerusi jaringan sendiri Borhan Abu Samah (minit ke-8), Lim Teong Kim (minit ke-59) dan Dollah Salleh (60’). Gol tunggal skuad Singa pula dijaringkan oleh Fandi Ahmad pada minit ke-39. Pengadil pada perlawanan tersebut ialah Drs H Soetoyo (dari Indonesia). Kejayaan ini hanya dapat diulangi 20 tahun kemudiannya (2009) selepas Malaysia menewaskan Vietnam, 1-0.

---------------------------------------------------------------------------------



6.0. Perlawanan Jemputan Dunhill 1991: Malaysia lawan England
Azizol turut beraksi sewaktu skuad negara, mempamerkan persembahan hebat sebelum tewas 2-4 kepada pasukan England. Perlawanan pada 12 Jun 1991 ini dilangsungkan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Pada waktu tersebut, England yang sedang membuat persiapan untuk Pusingan Akhir, UEFA European Football Championship (Euro) ‘92 di Sweden, dikejutkan dengan persembahan hebat anak muda berusia 21 tahun dari Kota Belud, Sabah, Matlan Marjan. Kejohanan Euro ’92 yang dimenangi oleh Denmark itu berlangsung dari 10-26 Jun 1992. Gol-gol England dijaringkan oleh pemain handalan, Gary Lineker (1’), (23’), (30’), dan (70’). Sementelah, dua gol bersejarah Malaysia dijaringkan oleh Matlan Marjan pada minit ke 70 dan 76. Pengadil pada perlawanan yang dihadiri oleh kurang lebih 45,000 peminat tempatan tersebut ialah Letchumerabamy dari Malaysia).

Skuad England dibarisi oleh: Christopher Woods (Glasgow Rangers); Gary Charles (Nottingham Forest); Desmond Walker (Nottingham Forest); Mark Wright (Derby County); Geoff Thomas (Crystal Palace); Nigel Clough (Nottingham Forest); John Salako (Crystal Palace); Stuart Pearce (Nottingham Forest); David Batty (Leeds United); David Platt (Aston Villa); dan ketua pasukan, Gary Lineker (Tottenham Hotspur). Sementelahan, skuad kebangsaan dibarisi oleh: Rashid Hassan (PDRM); Serbegeth Singh (Kuala Lumpur); Lee Kin Hong; Mohammed Zaid Jamil; Arumugam Jayakanthan; Chow Siew Yai (Kuala Lumpur); Ahmad Yusof; Mohammed Nazri Nasir; Matlan Marjan (Sabah); Zainal Abiddin Hassan (Pahang); Dollah Salleh (Pahang); Khairul Azman Mohammed dan Azizol Abu Haniffah.

---------------------------------------------------------------------------------


7.0. Menjuarai Pestabola Merdeka 1993
Bersama Malaysia, Azizol berjaya memenangi Pesta Bola Merdeka edisi 1993, setelah menumpaskan bekas musuh tradisi, Korea Selatan, di mana Azman Adnan menjaringkan dua gol pada perlawanan akhir.

---------------------------------------------------------------------------------


8.0. Skandal Rasuah
Tahun 1994 menyaksikan zaman suram bola sepak tempatan dan pasukan kebangsaan, apabila deretan bintang-bintang handal negara, didapati terbabit dengan kancah rasuah ketika itu. Azizul yang didakwa terlibat, telah dikenakan hukuman buang daerah bersama pemain-pemain yang lain seperti Matlan Marjan, Karim Pin, P. Ravindran, Mohd Nazreen Chong dan lain-lain lagi. Walaubagaimanapun, para pemain ini menafikan penglibatan mereka. 

---------------------------------------------------------------------------------


9.0. Khatimah
Tuntasnya, meskipun didakwa terlibat dengan skandal mengatur perlawanan, Azizol Abu Haniffah merupakan lagenda bola sepak negara yang tidak boleh dinafikan lagi. Beliau dianggap sebagai antara pemain tengah terbaik pernah dilahirkan negara: sedari kemunculan awalnya sekitar 80an sehinggalah tahun 1994. Dengan nombor keramat iaitu ‘12’ pada jersinya - dan ketajaman penyudah - menjadikan beliau pemain yang disegani sewaktu era Liga Semi-Pro. Meskipun jasanya seringkali dinafikan oleh pihak tertentu, gelaran-gelaran seperti ‘Jeneral Padang’, ‘Arkitek Padang’ dan ‘Midfielder Terbaik di Malaysia’, menceritakan betapa besarnya nama ini di hati peminat bola sepak tanah air: Azizol Abu Haniffah.

-------------------------------------------------------------------------------

Rujukan dan Pautan:
  1. http://www.facebook.com/norazmi.mahmood;
  2. http://www.facebook.com/azizol.abuhaniffah;
  3. http://www.facebook.com/media/set/?set=a.453980207964703.115484.360654577297267&type=3;
  4. http://pafanews.com/2011/09/04/revisiting-my-football-legend-schoolmate-azizol-abu-haniffah/;
  5. http://thru-the-zuiko.blogspot.com/2010/10/zuiko-and-football-legend.html;
  6. http://www.collectsoccer.com/acatalog/England_Away_Internationals.html;
  7. http://kickbola.blogspot.com/2011/05/sabah-fa-nostalgic-hall-of-fame_17.html
  8. http://www.harimaumalaya.com/forum/index.php/topic/4-azizul-abu-hanifah/
  9. http://ms.wikipedia.org/wiki/Bola_sepak_Malaysia_1990-an;
  10. http://www.mullocksauctions.co.uk/lot-28223-1991_england_football__tour_of_australia_new_zealand.html;
  11. http://www.rsssf.com/tablesm/merdeka91.html.

Sabtu, Oktober 22, 2011

Kosa Kata Klasik dan Bidal Melayu (Siri 5).

1) Air lalu kubang tohor = Gaji yang diterima lekas habis;

2) Air lata = Air terjun;

3) Air lebam = Air mayat;

4) Air laut hijau siapakah celup, duri di hutan siapakah pertajam? = a. Orang yang sudah mahir dengan tipu helah, pasti tidak mudah ditipu; b. Kekayaan tidak perlu diheboh-hebohkan;

5) Bagaikan embun di hujung rumput = Kasih-sayang yang tidak berkekalan;

6) Bagaikan tikus jatuh di kepuk = Mendapat keuntungan yang banyak secara tiba-tiba;

7) Burung terbang dipipiskan lada = Mengharapkan sesuatu yang belum pasti;

8) Daya kuda = Ukuran tenaga bekerja bagi mesin;

9) Di luar merah, di dalam pahit = Tipu daya selalunya berjaya oleh kata-kata yang lemah-lembut;

10) Kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah = Berbuat baik kerana sesuatu sebab yang tersembunyi;

11) Kerana lembu seekor membawa lumpur, semuanya terpalit = Disebabkan seorang berbuat keburukan, nama kumpulan menjadi buruk;

12) Panas setahun dihapuskan oleh hujan sehari = Perkara yang diusahakan untuk masa yang lama, menjadi sia-sia, akibat satu kesilapan;

13) Seperti mendukung biawak hidup = Membuat pekerjaan yang sukar dan berbahaya;

14) Terlangsung perahu boleh balik, terlangsung cakap tak boleh balik = Setiap manusia perlu sentiasa menjaga tutur kata supaya tidak menghadapi masalah kelak;

15) Tulang bersimpul = Orang yang malas bekerja; dan

16) Umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain = Dua orang yang rapat bergaul tetapi mempunyai cita-cita yang berbeza.


Sumber dan Rujukan:

i. A.W. Hamilton. Malay Proverbs: Bidal Melayu, 1947. Singapura: Eastern Universities Press Ltd;

ii. Hamedi Mohd Adnan. Kamus Kosa Kata Klasik untuk STPM, 1998. Kuala Lumpur: Penerbit Elman;

iii. Hanapiah Sudin. Peribahasa Kini untuk Q.T., SPM, MCE dan HSC, 1976. Kuala Lumpur: Penerbitan Fargoes; dan

iv. Mohd. Tajuddin Hj. Abd Rahman. Kamus Peribahasa Melayu untuk Pelajar, 2001. Shah Alam: Penerbitan Fajar Bakti Sdn Bhd.

Ahad, Oktober 02, 2011

DSAI: Sepanjang Jalan Kenangan.




Untuk kupasan lebih lanjut berkenaan biodata DSAI, pembaca budiman bolehlah klik pautan ini: “DSAI: Mantan TPM Malaysia.”

Sementelahan, untuk mengetahui sejarah ringkas perjuangan ABIM dan DSAI, bolehlah klik pautan ini: “ABIM: Imbauan Empat Dasawarsa.”

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...