Isnin, Julai 15, 2013

Jersi Kronos Selangor FA, 2004.










Selangor FA 2004, jersi selempang dan musim terakhir Man Turn dalam Liga-M.

Tahun 2004 menyaksikan pasukan Gergasi Merah cuba membuat kebangkitan, selepas MPPJ FC membuat kejutan menjuarai trofi Piala Malaysia 2003 dengan kombinasi dua bintang Argentina – Martelotto dan Arostegui yag dianggap sebagai gandingan pemain tengah-penyerang paling berbisa dalam sejarah bola sepak moden Malaysia. Arostegui pernah beraksi di samping lagenda Argentina seperti Juan Roman Riquelme dan Sebastian Veron ketika era akademi belia Boca Juniors FC dan Piala Dunia Belia. Arostegui menjadi Penjaring Terbanyak Liga Premier 2 2003 dengan 33 gol daripada 22 perlawanan.

Tahun 2004 juga adalah tahun terakhir Azman beraksi sebelum mengumumkan persaraannya sebagai pemain bola sepak profesional. Jersi yang digunakan pasukan ini adalah jenama Kronos, dan ketika beberapa perlawanan awal Gergasi Merah, mereka masih menggunakan jersi 2003, sebelum menyarung jersi ikonik selempang dan jersi home yang dipanggil Baju Badut, kerana corak baju dan seluarnya.

Dengan menggunakan formula ala MPPJ, Selangor FA yang diurus oleh Dato’ Satim Diman mendapatkan 4 pemain dari Argentina – Brian Fuentes, Miguel Angel Gonzalez, Diego Cepeda, dan Aldo Mores. Selangor yang ketika itu merupakan Juara Piala Malaysia 31 kali (sebelumnya juara pada 2002), mengharungi musim hambar pada 2003. Ini membawa kepada kehadiran Omar Ruben Larossa, jurulatih yang pernah berada dalam senarai anggota skuad Argentina yang menjulang Piala Dunia 1978.

Namun, nampaknya para pemain Argentina bergelut untuk mencari keserasian serta menyesuaikan diri dengan corak permainan liga tempatan. Khidmat Miguel Gonzalez yang beraksi di posisi tengah tepaksa ditamatkan gara-gara kecederaan lutut serius. Cepeda dan Morres kemudiannya diganti pula dengan dua import Australia, Ross Aloisi dan Ante Kovacevic.

Omar Ruben Larossa (pengendali dari Argentina yang membawa Brian Fuentes ke Selangor FA), terpaksa meninggalkan skuad Merah Kuning pada pertengahan musim, setelah aksi hambar yang ditunjukkan pasukan. Kemudian, jawatan Larossa dipangku Ismail Ibrahim, sebelum pengendali veteran dari Australia, Ken Worden mengambil-alih sementara untuk kempen Piala Malaysia yang gagal.

Selangor tidak berjaya dalam misi untuk layak ke Liga Super 2005 meskipun ia adalah matlamat nombor satu ketika awal musim, selepas menamatkan saingan di tempat kedua dalam Kumpulan A saingan Liga Premier 2004, di belakang Telekom Melaka FC. Pasukan itu juga tersingkir daripada Piala FA 2004 selepas ditundukkan Terengganu FA, 2-4 dalam pusingan ketiga. Dengan persembahan tidak konsisten,

Meskipun melalui musim yang gagal, Brian Fuentes tampil mengubat duka apabila memenangi Anugerah Kasut Emas Liga Premier 2004 dengan 25 gol, selain 5 gol dalam Piala FA 2004. Dengan jersi selempang merahnya, Fuentes turut dihormati oleh penyokong lawan, selain disayangi para penyokong Selangor yang sentiasa berusaha bersalam dengannya setiap kali habis perlawanan.

Dollah Salleh mengambil alih jawatan pengendali Gergasi Merah pada Disember 2004. Jurulatih MPPJ FC yang juga penyerang legenda kebangsaan itu asalnya menggantikan Ken Shellito pada Jun 2003, sebelum mencipta sejarah di pentas Final Piala Malaysia 2003. Meskipun gagal mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi pada 2003, Dollah berjaya menjulang trofi Piala Sumbangsih selepas anak-anak buahnya menewaskan Negeri Sembilan FA.

Pada 2004, Azman beraksi sekurang-kurangnya sehingga perlawanan menentang TNB Kelantan. Beliau dikelilingi oleh pemain-pemain baru belaka, antara lainnya Hardi Jaafar yang masih muda, Fairuz Montana dan Razman Roslan yang melakukan ‘debut year’ bersama skuad senior Selangor FA, Irme Mat pemain Kedah LADA, Rudie Ramli, Shukor Adan (setahun sebelum jadi kapten pada 2005), Mohd Shahrizan Ismail dari TNB Kelantan, Mohd Sany Fahmy dan Azlisham ‘Boy’ di posisi penjaga gol, selain pemain veteran seperti Asroff Hanafiah, Mat Zahir Wahab dan Azrul Amri Burhan.

Pada 4hb April 2004, Azman beraksi dalam perlawanan menentang TNB Kelantan di Stadium Shah Alam, yang berakhir Selangor tewas 0-2. Beraksi di padang basah, Azman mengalami kecederaan serius selepas diterjah oleh pemain lawan. Beliau kemudiannya digantikan dengan Amri Yahyah, wira Piala Malaysia 2002 Selangor. Ini merupakan aksi terakhir Azman dalam Liga Malaysia, dan kelibat terakhirnya sebagai penyerang legenda yang menyarung jersi Selangor FA pada 1993-1998; 2002; dan 2004. 

--- 

* Saya sedang mencari jersi Selangor FA (jenama ‘Kronos’) tahun 2004. Kepada para sahabat-pembaca budiman yang mempunyai info berkenaan sesiapa yang sudi menjual jersi ini, bolehlah maklumkan kepada saya, kerana saya berminat untuk membelinya. Jenama yang berbeda pun tidak mengapa, asalkan template (rekaan jersinya) hampir sama. Terima kasih.
* Update: Alhamdulillah, setelah sekian lama mencari, ketemu juga akhirnya dengan jersi ‘away’ Selangor FA, 2004. Terima kasih buat semua yang mendoakan dan membantu. ALLAH sahajalah yang dapat membalas jasa kalian. Target seterusnya, jersi home Selangor 2004 dan seluar pendek untuk musim tersebut. Pencarian diteruskan....
* Update Nombor DuaSekian lama mencari dan menyelam 'baju badut' ni, namun tetap tak timbul-timbul juga. Buka storage box jersi, jumpa sehelai dua template Kronos merah kuning. Jadi, gunting, tampal dan hantar jahit sajalah ikut sumber yang ada. Jenuh juga kerja nya, tapi atas minat dan jiwa, gagah kan sajalah labu... Pastinya defect di sana sini, tak sesempurna yang asli. Tapi boleh lah, buat pengubat hati.
-----------------------
Sumber dan rujukan:
  1. Majalah Arena Bola Sepak;
  2. Akhbar Utusan Malaysia;
  3. Akhbar New Straits Times;
  4. Hangpcdua Malaya;
  5. https://www.facebook.com/kheiriel;
  6. https://www.facebook.com/saiful.bahrimohammad.3;
  7. https://www.facebook.com/people/Muhammad-Azriq-Arzam/100009548121695;
  8. https://www.facebook.com/fairuzmontana.zainalabidin.

1 ulasan:

Jersi Lotto - Home Selangor FA, 1993.

  Jersi Lotto - Home Selangor FA, 1993. Alhamdulillah, setelah sekian lama menanti dan mencari. Ramai dah ada dalam koleksi, saya baru ada...