Ahad, Jun 19, 2011

In sya ALLAH, ada jalannya!

Salam.

Seperti yang kita sedia maklum, dalam suasana kita meraikan sambutan Hari Bapa, dua orang tokoh pejuang dan pendakwah besar negara, Datuk Ustaz Ismail Kamus dan Datuk Dr Siddiq Fadhil telah dimasukkan ke hospital kerana masalah kesihatan.

Hal yang demikian, bersama-samalah kita berkihtiar – menerusi solat hajat dan doa yang tidak putus-putus – agar dua orang tokoh ini memperolehi kesembuhan dan kesihatan yang baik, in sya ALLAH.

Ustaz Siddiq Fadhil
Sekedar berkongsi, Ustaz Siddiq Fadhil merupakan mantan Presiden PMIUM, mantan Presiden PKPIM dan mantan Presiden ABIM. Beliau kini memegang jawatan sebagai Presiden WADAH dan Kolej Dar Hikmah ABIM.

Ustaz Siddiq Fadhil telah disahkan menghidap “rare Miller Fisher Syndrome viral disorder mickmicking stroke”.

Saya sudah mula mengenal perjuangan Ustaz Siddiq Fadhil semenjak zaman sekolah menengah menerusi pembacaan buku-buku dan makalah berkenaan ABIM dan gerakan jemaah Islam di Malaysia.

Kemampuan beliau mengangkat dan mempertahankan ABIM selepas DSAI meninggalkan jemaah tersebut secara tiba-tiba ( untuk menyertai UMNO ) memang mengkagumkan.

Serangan – dari dalam dan luar ABIM – berjaya ditangkis dan dibidas dengan baik oleh Ustaz Siddiq dan sahabat seperjuangannya.

Saya hanya mula berkesempatan mendengar ceramah dan tazkirah Ustaz Siddiq secara ‘live’ menerusi siri Maqasid Syariah yang dianjurkan ABIM Pusat. Paling mengesankan saya, ialah apabila beliau memetik serangkap puisi hebat penyair tersohor Indonesia, Ainon yang menyatakan bahawa:
“Jangan sampai kita jadi bangsa yang asyik dikempongi (dicabut giginya)
khuatir kelak rongak demokrasi!”

Untuk sedikit biodata ringkas serta sejarah perjuangan Ustaz Siddiq Fadhil, para pembaca yang budiman bolehlah merujuk entri yang ini: ABIM: Imbauan empat dasawarsa


Ustaz Ismail Kamus
Sementelahan, Ustaz Ismail Kamus dilahirkan pada 2 Disember 1948 di Kg. Batang Rening, Ulu Selangor.

Beliau merupakan seorang ustaz, pendakwah, ahli politik dan juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan N17 Gombak Setia atas tiket PAS. Di dalam parti, beliau pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Sedari kecil, saya dibesarkan dengan ceramah-ceramah Ustaz Ismail Kamus, sama ada menerusi kaset-kaset ceramah agamanya, mahupun menerusi siaran langsung Forum Perdana Ehwal Islam di RTM yang pernah popular satu ketika dahulu ( dengan moderatornya, Datuk Hassan Ali ).

Beliau memang terkenal kerana selain kaedah penyampaian ceramah yang menarik, hasil penulisan beliau juga mengkagumkan dan bermanfaat.

Justeru, tidak mengejutkan apabila hasil tulisannya kerap laris terjual sehingga menjadi ‘best seller’.

Semoga kedua-dua pejuang ini dikurniakan kesembuhan kesihatan oleh ALLAH SWT. Amin.

Nota Kaki :: Marilah bersama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah sekudusnya di atas pemergian bapa kepada penyanyi terkenal, Awie Wings, serta di atas pemergian pelakon dan pelawak terkenal, Pak Uda ( Zami Ismail ).

Allahyarham Pak Uda pernah memegang jawatan selaku Naib Presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Arah Terpuji Sahsiah Malaysia ( ATS Malaysia ). Sebagai seorang peminat setia Siri Sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, bagi syaa, berita ini adalah suatu kesedihan yang mendalam.

Semoga roh mereka dicucuri rahmat. Al-Fatihah!


Sumber:
http://jeng3x.blogspot.com/;
Ustaz Dr Siddiq Fadzil Masuk Wad

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...