Isnin, Jun 27, 2011

Bruce Lee dan Kaedah Tumbukan Pintasan: Satu Legasi.


“Sekiranya saya mati esok hari, ia tidak akan memberi apa-apa kesakitan kepada saya. Saya telah melakukan semua yang ingin saya lakukan: seseorang manusia tidak boleh mengharapkan sesuatu yang lebih daripada itu dalam kehidupannya.” – Bruce Lee.



Latar Belakang
Bruce Jun Fan Lee ( lahir 27 November 1940 di San Francisco dan meninggal dunia pada 20 Julai 1973 di Hong Kong ) adalah pengamal seni bela diri, pelakon, pengarah filem, penerbit filem, penulis lakon layar, dan pengasas konsep Jeet Kune Do Amerika-Cina yang telah dianggap secara meluas sebagai pengamal seni bela diri yang paling masyhur dan terpengaruh pada abad ke-20, serta pengamal seni bela diri yang terutama dalam sejarah, dan satu ikon kebudayaan.

Lee dilahirkan di San Francisco, California kepada ibu bapa berketurunan Hong Kong tetapi dibesarkan di Hong Kong sehingga lewat remajanya.

Apabila sampai umur 18, Lee berhijrah ke Amerika Syarikat untuk menuntut kewarganegaraan Amerika Syarikat( A.S. )nya dan menerima pendidikan tingginya.

Semasa inilah beliau mula mengajar seni mempertahankan diri, yang tidak lama kemudian membawa kepada dunia perfileman dan watak-watak di kaca televisyen.

Filem-filem Lee, khususnya lakonan beliau dalam filem ‘Enter the Dragon’ yang diterbitkan oleh Hollywood, menaikkan taraf filem-filem seni bela diri tradisional Hong Kong ke tahap yang baru, dan membangkitkan minat seluruh dunia terhadap seni ini.


Bruce Lee membuat penampilan sulung di Hollywood menerusi watak ‘kato’ dalam Filem ‘The Green Hornet’ yang diangkat daripada siri komik dan TV yang popular lewat tahun 60-an (1966-1967). Watak utama siri ‘The Green Hornet’ juga pernah muncul dalam siri TV Batman.

Usaha-usaha perintisnya telah membuka jalan kepada para bakal pengamal seni bela diri dan pelakon lagak ngeri seperti Jackie Chan, Jet Li, serta Chuck Norris, dan membawa filem-filem dan pelakon-pelakon bela diri ke arus perdana.

Arah dan nada filem-filemnya berubah dan mempegaruhi pencak dan filem-filem pencak di Hong Kong dan seluruh dunia. Beliau terkenal kerana wataknya dalam lima buah filem: ‘The Big Boss’(1971) dan ‘Fist Fury Lo Wei’ (1972); ‘Way of the Dragon’ (1972), diarah dan ditulis oleh Bruce Lee; ‘Enter the Dragon’, Warner Brothers (1973) arahan Robert Clouse, dan ‘The Game of Death’ (1978).

Lee menjadi satu ikon dikenali di seluruh dunia dan kekal popular antara orang Asia dan khususnya orang Cina, kerana beliau menggambarkan fahaman kebangsaan Cina melalui filem-filemnya.


Kaedah Tumbukan Pintasan
Asalnya, Bruce Lee memilih seni bela diri ‘Wing Chun’ ( juga disebut Ving Tsun ), sebuah tradisi purba yang dibangunkan sewaktu Dinasti Qing, yang memerintah China dari Kurun ke-17 sehingga awal Kurun ke-20.

Sedangkan Lee pada mulanya terlatih dalam ‘Wing Chun’, beliau kemudiannya menolak gaya seni bela diri ‘takrifan-jelas’, sebaliknya memilih untuk menggunakan teknik-teknik berguna daripada berbagai-bagai sumber dalam semangat falsafah pencak peribadinya yang beliau gelarkan sebagai ‘Jeet Kune Do’ (Kaedah Tumbukan Pintasan).

Ramai individu yang memperlihatkan Lee sebagai contoh untuk memperoleh badan yang kuat dan cekap, serta untuk menguasai seni mempertahankan diri dan kemahiran dalam pertarungan tanpa senjata.

Bruce Lee mula membangunkan seni ‘Jeet Kune Do’ selepas merasa tidak berpuas hati dengan batasan serta peraturan ketat yang banyak terdapat dalam teknik pertarungan tradisional. Beliau menggambarkan seni tradisi tersebut sebagai ‘terlalu ketat untuk pertarungan sebenar.’

Lee mencipta sistem pertarungan sendiri yang digelarkan Jeet Kune Do. Penilaiannya terhadap doktrin-doktrin seni mempertahankan diri tradisional kini telah diperlihatkan sebagai salah-satu langkah sulung dalam mempopularkan seni mempertahankan diri campuran gaya moden.



Kematian mengejut Bruce Lee

Berikut adalah antara keadaan kesihatan dan fizikal beliau tidak lama sebelum menemui ajal:

1. Kemungkinan besar, kematian beliau adalah disebabkan oleh tahap sensitiviti yang terlalu tinggi terhadap bahan-bahan yang terkandung dalam ‘Equagesic’, ‘Doloxene’ dan ‘Dilantin’ yang boleh ditemui di dalam ubat penahan sakit ( pain killers ). Beliau menggunakan ubat ‘Doloxene’ selepas mengalami kecederaan belakang dalam satu latihan pada 1970;

2. Beliau senantiasa berada dalam keadaan tertekan kerana mahu melakukan semuanya sendirian: beliau mahu kesempurnaan dalam lakonan, pengarahan, penulisan skrip dan koreografi dalam masa yang sama;

3. Beliau hanya mempunyai 1% jumlah lemak badan;

4. Beliau kehilangan berat badan secara drastik: penurunan 70 kg kepada 60 kg;

5. Individu-individu yang menemui Bruce Lee pada minggu-minggu akhir hayatnya mengakui bahawa beliau kelihatan sakit. Beliau didakwa kelihatan sangat kurus, sangat bingung dan keliru, sangat pelupa, paranoid dan sangat tertekan;

6. Bruce Lee pernah jatuh pengsan secara tiba-tiba dan bangun semula sepantas kilat. Beliau dikatakan terlibat dengan penyalahgunaan hashish, iaitu sejenis dadah. Para doktor mengesyaki bahawa Bruce Lee mempunyai alahan terhadap hashish;

7. Sewaktu bedah siasat dijalankan, doktor menemui marijuana dalam sistem badan Bruce Lee;

8. Sewaktu menziarahi teman wanitanya, Betti Ting-Pei ( pelakon wanita terkenal Taiwan yang dilahirkan di Beijing ), Bruce Lee mengadu bahawa beliau mengalami sakit kepala dan mengambil ubat penahan sakit yang diberikan oleh Betti. Beliau ditemui mati tidak berapa lama kemudian. Bagaimanapun, Betti menafikan bahawa beliau sengaja membunuh Bruce Lee;

9. Siasatan rasmi menunjukkan bahawa Bruce Lee meninggal akibat mengalami ‘cerebral edema’ ( tisu otak yang membengkak ).


Bruce Lee dan Konspirasi teori
Selain laporan rasmi yang menyatakan bahawa beliau mati kerana mengalami ‘celebral edema’, terdapat beberapa teori mengenai sebab kematian Bruce Lee seperti :-

i. Bruce Lee telah dibunuh oleh Kumpulan Samseng Cina kerana terlalu banyak mendedahkan rahsia Kung-Fu ( beliau didakwa diracun, dipukul sehingga mati, malah ada yang mendakwa bahawa beliau disumpah/disihir dan sebagainya );

ii. Bruce Lee dibunuh oleh masyarakat pengamal Kung-Fu Cina;

iii. Penyalahgunaan dadah;

iv. Pertarungan jalanan dengan pengamal seni bela diri yang menyebabkannya mengalami kecederaan teruk;

v. Beliau didakwa tidak mati, sebagaimana dalam filem yang dibintanginya, “Game of Death”;

vi. Dibunuh oleh rakannya; dan

vii. Satu sumpahan keluarga.


Anugerah
Antara anugerah yang diterima oleh Bruce Lee ialah:
1. Dimahkotakan sebagai Juara Kejohanan Cha-Cha Hong Kong pada 1958;

2. Dianugerahkan “Bintang” di atas ‘Hollywood Walk of Fame’ pada 1993;

3. Disenaraikan sebagai antara ‘100 Manusia Paling Penting Abad ini’ oleh Majalah TIME pada 1999;

4. Sebuah patung gangsa yang dinamakan ‘Bintang Abad Ini: Bruce Lee’ didirikan
di Avenue of the Stars, Hong Kong pada 2005;

5. Kerajaan China mengeluarkan setem kenangan dengan gambar Bruce Lee bagi menandakan sambutan 100 tahun industri perfileman China pada 2005.


Satu lagi kehilangan tragis
Pelakon dan ahli seni bela diri yang terkenal, Brandon Lee, yang merupakan anak lelaki kepada Bruce Lee, meninggal dunia di Wilmington, Carolina Utara, Amerika Syarikat pada 31 Mac 1993.

Beliau meninggal dunia selepas ditembak di bahagian perut sewaktu sedang menjalani pengambaran filem ‘The Crow.’ Laporan rasmi menyatakan bahawa terdapat kesilapan sewaktu mengisi serbuk peluru dalam peluru kosong yang digunakan dalam filem tersebut.

Sebagaimana ayahnya yang meninggal dunia sewaktu berusia 32 tahun pada 1972, Brandon mati sewaktu hanya berusia 28 tahun. Brandon Lee dilahirkan pada 1 Februari 1965 di Oakland, California.

Mendiang Brandon telah disemadikan bersebelahan kubur Bruce Lee di Seattle, Amerika Syarikat pada 3 April, 1993.


Khatimah
Sesungguhnya, Bruce Lee merupakan Ahli Seni Bela Diri yang paling terkenal dalam Abad ke-20. Bentuk fizikalnya yang hebat dan kemampuannya menguasai seni bela diri sememangnya membawa kepada lonjakan populariti beliau.

Bruce Lee hanya membintangi lima buah filem tetapi kesannya ke atas masyarakat dunia digambarkan sebagai memercikkan minat yang mendalam dalam kalangan warga sarwajagat untuk mempelajari seni mempertahankan diri Cina.

Memetik kata-kata balu Bruce Lee, Linda Lee, “Selama ini, ramai pihak yang masih tertanya-tanya bagaimana beliau ( Bruce Lee ) meninggal dunia. Saya memilih untuk mengingati bagaimana beliau hidup.” Khalas.

Salam. :)

2 ulasan:

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...