Isnin, Februari 14, 2011

Nabi Muhammad SAW: Kekasih ALLAH SWT (2)




Kekasih ALLAH SWT
Rasulullah SAW, dalam keadaan dan kedudukan seperti apapun, menjadi contoh tertinggi dan suri teladan yang terbaik bagi manusia. Daripada sekalian perwatakan Rasulullah SAW, yang paling menonjol adalah dari segi akhlak Baginda yang tiada tandingannya. Rasulullah SAW merupakan seorang yang banyak merendahkan diri dan berdoa ke hadrat ALLAH SWT agar menganugerahkan Baginda dengan kebaikan adab dan kemuliaan budi pekerti/akhlak. Salah satu doa Baginda yang dimaksudkan adalah :
‘Ya ALLAH Ya Tuhanku, perbaikkanlah kejadianku dan akhlakku.’
Sejarah tak akan mampu mengingkari betapa indahnya akhlak dan budi pekerti Rasulullah tercinta, Sayyidina Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam (SAW) hingga salah seorang isteri Baginda, Sayyidatina A’isyah Radhiyallahuanha mengatakan bahawa "akhlak Rasulullah adalah “Al-Qur’an” (Riwayat Muslim - Saad Hisham).

Maka ALLAH SWT menganugerahkan baginda Al-Quranul Karim yang mengandungi pengajaran mengenai adab dan kesopanan. Begitu halus dan lembutnya perilaku keseharian Baginda. Sungguh, Rasulullah SAW adalah sosok yang mandiri dengan sifat tawadhu’ yang tiada tandingnya.







Akhlak Rasulullah
Baginda pernah menjahit sendiri pakaiannya yang koyak tanpa menyuruh isterinya. Dalam berkeluarga, Baginda adalah sosok yang ringan tangan dan tidak segan-segan untuk membantu pekerjaan isterinya di dapur. Selain itu, dikisahkan bahawa Baginda tiada merasa canggung makan di samping seorang tua yang penuh kudis, kotor lagi miskin. Baginda adalah sosok yang paling sabar di mana pernah kain Baginda ditarik oleh seorang Badwi hingga membekas merah di lehernya, namun Baginda hanya diam dan tidak marah. Dan terkumpul dalam peribadinya sifat berhati-hati dalam empat perkara, iaitu:
  1. Baginda suka membuat yang baik-baik dan melaksanakannya untuk kepentingan umat dalam hal-ehwal mereka - yang berkaitan dengan dunia mahupun akhirat - agar dapat dicontohi oleh yang lain;
  2. Baginda meninggalkan yang buruk, agar dijauhi dan tidak dibuat oleh yang lain;
  3. Bersungguh-sungguh mencari jalan yang baik untuk maslahat ummatnya;
  4. Dan Baginda melakukan apa yang dapat mendatangkan manfaat buat ummatnya, baik buat dunia ataupun buat akhirat.


Dikasihi para sahabat
Dalam satu riwayat, dikisahkan bahawa menjelang suatu peperangan, Rasulullah sedang membariskan pasukannya kerana Rasulullah selalu merapikan barisan skuadron tenteranya. Ternyata ada seorang sahabat, mungkin kerana perutnya terlalu besar, selalu perutnya itu berada di luar barisan.

Kemudian Rasulullah menghampirinya dan memukul perutnya itu agar dirapikan dengan barisan. Lalu sahabat itu memandang Rasulullah dan berkata: “Ya Rasulullah, bukankah Tuan diutus untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam, kenapa kau sakiti perutku?

Lalu Rasulullah turun dari kudanya, dan menyerahkan alat pemukul itu, lalu berseru: “Pukullah aku! Sebagai (hukuman) qishas atas kesalahanku.”

Kemudian orang itu berkata: “Tetapi, Tuan memukul perutku sehingga terkena kulitnya.”

Lalu Rasulullah segera membuka pakaiannya, tiba-tiba sahabat itu memeluk Rasulullah SAW dan mencium perutnya.

Rasulullah terkejut sebelum berkata: “Apa yang engkau cuba lakukan?

Sahabat itu menjawab: “Ya Rasulullah, genderang perang sudah ditabuh, mungkin ini adalah saat terakhir perjumpaanku denganmu. Aku ingin, sebelum meninggal dunia, sempat mencium perutmu yang mulia.” 

Demikianlah, kasihnya para sahabat kepada Rasulullah SAW. Kita bagaimana?


Khatimah
Mengapa Rasulullah SAW dirindukan atau dicintai? Itu bukan hanya kerana ALLAH SWT membuka hati kita untuk rindu dan mencintai Baginda. Sebaliknya, ia juga adalah kerana akhlak Rasulullah yang menarik kecintaan kita. Dan, akhlak itu adalah Sunnah. Sekiranya kita mencontoh akhlak beliau ini, pasti kita pun akan disenangi oleh individu di sekeliling kita, in sya ALLAH. Tuntasnya, cukup kiranya Baginda sendiri yang jadi suri tauladan kita, umat Islam khususnya, yang hari ini terpaksa menghadapi segala macam bentuk tribulasi dalam menongkah arus modenisasi. Muhammad Iqbal dalam salah satu karyanya menukilkan: “Barangsiapa yang mengaku umat Nabi Muhammad, hendaklah berakhlak seperti Baginda (Nabi Muhammad)”.
---------------------------------------------------------------

Sumber:

  1. A. Guillaume, 1982. The Life Of Muhammad: A Translation Of Ibn Ishaq's Sirat Rasul, Oxford: Oxford University Press;
  2. Dr. Muhammad Abduh Yamani, 2001. Ajarkan anak-anakmu cintakan Rasulullah SAW.
  3. Zulkifli Mohd. Yusoff dan Noor Naemah Abd. Rahman, 2007. Biografi Muhammad bin Abdullah;
  4. http://zidaburika.wordpress.com/2007/07/25/keagungan-akhlak-rasulullah-saw/;
  5. Rasulullah S.A.W: Pemimpin Terulung Murabbi Teragung (Model Seorang Panglima dan Pengurus Angkatan Tentera), 2004. Shah Alam: Jabatan Mufti Negeri Selangor.
  6. Syaikh Shafiyyur-Rahman al-Mubarakfury, 1998. Sirah Nabawiyah;
  7. Tarikuddin Bin Haji Hassan, 2005. Sejarah Rasul Ulul Azmi terbesar -- Nabi Muhammad SAW: Dari Kelahiran Sehingga menerima Wahyu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...