Isnin, April 02, 2012

Wajah Hati Redha: Skuadron Rakyat



**************************

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, kamar hati ini cukup teruja, sambil diselit kegembiraan yang membuncah, selepas manuskrip novel sulung saya, Wajah Hati Redha: Skuadron Rakyat berjaya disiapkan dan diluluskan untuk urusan penerbitan, dengan izin ALLAH S.W.T.

In sya ALLAH, saya akan ikhtiarkan untuk memaparkan gambar kulit muka hadapan (cover) novel saya dalam entri yang akan datang.

Dengan penuh rasa rendah diri, saya sajikan novel ini kepada pembaca yang budiman, seadanya, baik dan buruknya sekali: baik untuk dimanfaatkan, buruk untuk dibuang.

**************************

Sedikit sinopsis novel ini:
Tahun 1940an. Tanah Melayu bergolak. Malapetaka Darwinisme menjengah Kampung Kundang, Selangor. Di kala negara kuasa-kuasa besar berebut-rebut mempamerkan kuasa mereka, negara-negara kecil menjadi mangsa. Sejarah perjuangan menentang British yang diketuai oleh Datuk Maharaja Lela menjadi pedoman buat Ahmad Redha, Shukor Dhani dan sahabat-sahabatnya untuk bangkit, menentang penaklukan Jepun ke atas desa tercinta.

Kisah perjuangan Redha menentang penjajahan Jepun di Tanah Melayu. Redha, pejuang yang cekal menghadapi kesusahan zamannya demi agama, bangsa dan tanah air. Demi hasrat memperjuangkan kemerdekaan, Redha rela mengorbankan kasih pada isterinya. Redha bersama rakan-rakan pejuangnya menentang kedatangan Jepun di Kampung Kundang. Mereka merupakan skuadron rakyat yang berkhidmat sepenuh hati untuk rakyat.

Ahmad Redha kental berjuang, di bawah tadahan hujan - dalam kemuliaan perjuangan, atas nama TUHAN.

**************************

Novel ini baru sahaja siap dicetak minggu lalu. Justeru, sekiranya ada pihak atau sahabat budiman yang berminat untuk membuat tempahan awal novel saya, bolehlah berhubung dengan saya menerusi:

i) Blog ini http://chedinsphere.blogspot.com/;

ii) Laman Facebook Che Din; dan

iii) Emel saya, hujjahpawana@yahoo.com

Saya akan berikan nombor telefon bimbit saya buat sahabat yang betul-betul berminat untuk membuat tempahan.

Untuk novel ini, saya menggunakan nama pena Zairudin Ashrafi; iaitu gabungan nama penuh saya dan nama anak menakan saya, Ammar Ashrafi.

Saya amat berharap agar novel ini diterima ramai, sekurang-kurangnya, bagi menggalakkan kita semua menghargai sejarah anak bangsa dan tanah air.

Kerana kemerdekaan bumi tercinta ini tidak hanya berisi sisi damai; tetapi juga korban jiwa.

**************************



Al-Fatihah yang sekudusnya: buat semua bapak dan ibu kita. Pejuang bangsa - skuadron rakyat - yang redha berjuang; menempa rantai perjuangan; bersulamkan kesabaran dan kesedaran.

Salam.

Jatuh rindu.


Jadual hidup agak serabut.

Mencari ruang untuk diri.

Cari.

cari.

d
a
n

c.a.r.i

Dan, terus hilang dalam ramai.

Rindunya pada Arwah Emak.

Al-Fatihah.

Sabtu, Mac 31, 2012

Ustaz Siddiq Fadzil: Majlis Kuliyyah Tafsir Maudhu’i Siri ke-61.


Pada 24 Mac 2012, telah berlangsung Majlis Kuliyyah Tafsir Maudhu’i yang dipimpin oleh Prof Dato’ Dr Siddiq Fadzil, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan mantan Presiden ABIM.

Kuliyyah untuk Siri ke-61 ini berlangsung di Dewan Besar, Kolej Dar al Hikmah (KDH), Sungai Ramal Dalam, Kajang. Tajuknya ialah ‘Mencari Kurnia dalam Iman dan Komitmen mengikut Jejak Perjuangan Ar-Rasul SAW’ (Surah al-A’raf: Ayat-Ayat 156-158).

Ustaz Siddiq memulakan majlis dengan menyatakan bahawa ayat-ayat di dalam Surah tersebut diturunkan sebagai respon kepada doa Nabi Musa Alaihissalam (A.S).

Dalam berdoa, pesan Ustaz Siddiq, kita perlulah beradab, iaitu dengan menyatakan keagungan dan kebesaran ALLAH SWT. Doa yang dipanjatkan dengan penuh rasa kehambaan lah yang layak disambut oleh ALLAH SWT.

Ustaz Siddiq menambah, bukan ‘amal’ yang membawa kita ke Syurga, tetapi ‘rahmat’ ALLAH SWT. Ciri-ciri orang yang mendapat rahmat, berdasarkan ayat-ayat dalam Surah tersebut, adalah individu-individu yang menghayati dan menyantuni beberapa konsep seperti ‘iman’; ‘taqwa’; dan ‘zakat’.

Selanjutnya, Ustaz Siddiq menegaskan bahawa tidak cukup untuk umat Islam hanya belajar tentang ‘iman’; tetapi perlu juga mentaati ALLAH SWT dan meneladani perjuangan Rasulullah SAW.

Beliau juga menyatakan bahawa dakwah perlu bersifat universal memandangkan Islam adalah agama yang mudah dan sederhana. Hal yang demikian, kita perlu menampilkan ajaran Islam yang ‘ramah’ dan berhikmah.

Ustaz Siddiq Fadzil selanjutnya menekankan betapa perlunya wujud sikap berani berkata ‘tidak’ terhadap kezaliman dan pembodohan. Beliau mengimbau bagaimana penyair tersohor Indonesia, Almarhum Rendra menukilkan di dalam puisinya, watak ‘Pak Saijo’ yang telah dibunuh oleh Algojo, merasa kesal di atas kematiannya.

‘Pak Saijo’ menyesal kerana sepanjang hidupnya, ia menjadi penakut. Maka Ustaz Siddiq bermadah, “Hidup jangan jadi penakut. Orang yang takut mati pun tetap akan mati juga.”


* Untuk teks asal Majlis Kuliyyah Tafsir Maudhu’i ini, sila klik pautan ini:
‘Mencari Kurnia dalam Iman dan Komitmen mengikut Jejak Perjuangan Ar-Rasul SAW’ (Surah al-A’raf: Ayat-Ayat 156-158).

Salam.

Antara jet-ski dan motorbot.



****************************************

Sepertimana kawasan pejabat/rumah sewa saya di Klang, banyak kawasan bandar yang dinaiki air/banjir setiap kali hujan lebat.

Ya, hujan itu takdir.

Tapi, pemimpin perlu pastikan rakyat dapat hidup dengan sistem pengaliran dan perparitan yang baik.

Kalau tidak; setiap kali banjir: kereta akan terus jadi motorbot, motor jadi jet-ski.

Banyak yang akan tersadai/tersangkut.

Yang untung? Pastinya tauke bengkel motor atau kereta. Rezeki.

Rakyat pula, perlu buang tabiat suka buang sampah ke dalam longkang/parit. Jangan buang sampah merata-rata.

Islam tidak mengajar kita untuk menjadi pengotor.

Jadilah masyarakat madani yang berilmu dan prihatin.

Pesanan ini untuk diri saya dan kita semua.

Hidup Malaysia kita.


* p/s: Di Thailand, ada idea kreatif untuk penunggang motosikal di waktu banjir:-



Salam. :)

Rabu, Mac 28, 2012

Cermin diri.


********************************

Pada hemat saya, adalah kurang molek, bilamana YB Azmin Ali mendedahkan dan mencemuh - apa yang dikatakan sebagai - salahlaku Dr Hassan Ali, baru-baru ini.

Kenapa tidak dedahkan sewaktu tempoh Dr Hassan Ali masih memegang portfolio selaku Exco?

Saya bukan penyokong Dr Hassan. Malah, saya amat berharap agar Dr Hassan menghentikan siri road show beliau, yang saya fikir sekadar mendatangkan banyak keburukan daripada kebaikan.

Sama ada kepada imej Dr Hassan Ali sendiri, mahupun kepada PAS/PR.

Cuma, bukankah pendokong pembangkang (termasuk YB Azmin sendiri) yang sebelum ini mempertikaikan pemimpin UMNO-BN, kerana hanya mendedahkan dan mencemuh - apa yang dikatakan sebagai - salahlaku DSAI selepas DSAI dipecat dari Kabinet?

Berkebetulan - kedua-dua - YB Azmin dan Dr Hassan merupakan calon asal MB Selangor untuk PAS dan PKR.

Saya sekedar menyuarakan rasa kurang senang, kerana saya fikir, ia tindakan yang kurang molek.

Suara saya mungkin tiada nilainya pada mana-mana pihak.

Tapi, saya ada kuasa memilih (mengundi).

Semoga saya - dan kita semua - memilih calon yang amanah, telus dan mampu memimpin, insya ALLAH.

Suara rakyat, suara keramat.

Jumaat, Mac 23, 2012

Mencakar minda.



************************************

Usai menonton filem ‘Bunohan’; hati jadi ‘sejuk’ dan senang.

Dengan nilai seni yang tinggi dan sinematografi berkualiti, jiwa rasa terserap dengan jalan ceritanya.

Sekurang-kurangnya, saya tahu, masih ada yang sanggup menerbitkan filem Melayu di luar kotak klise ‘cinta tiga segi’ dan ‘cinta dua darjat’.

Sungguh, Bunohan memang mencakar minda.

Selasa, Mac 13, 2012

Duit dan penghargaan.


Yang dapat duit BR1M; joli sakan.

Yang mohon tapi tak dapat; caci-maki kerajaan. heh.

Jadilah rakyat Malaysia dan Hamba ALLAH yang matang.

Hargai setiap apa yang kita miliki.

Setiap yang ada; adalah milik ALLAH.

Hidup Malaysia kita.

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...