Isnin, Disember 27, 2010

Merah, Biru atau Ijo, kita kan serumpun!




Tahniah. Tahniah. Tahniah.

Tahniah Skuad Harimau Malaya. Tahniah atas kemenangan. Tahniah atas semangat dan kecekalan. Tahniah kerana menyatukan Malaysia. Merentasi fahaman politik. Merentasi semangat kenegerian. Merentasi ketaksuban kepada kelab dunia luar.

Melihat aksi gemilang skuad kendalian K.Rajagobal sewaktu perlawanan akhir sulung Piala Suzuki AFF 2010, pasti kita tertanya-tanya, apakah ini skuad kebangsaan kita?



Barisan skuad muda Malaysia, dengan kental dan yakin menewaskan Indonesia yang kelihatan kebal di gelanggang mereka sebelum ini. Kecemerlangan yang dipamerkan Khairul Fahmi, Safee Sali, S.Kunanlan, Sabree Mat Abu, Asraruddin Putra, Mahalli Jasuli, Muslim Ahmad, Fadli Shas, Safiq Rahim, Amar Rohidan, Amri Yahyah, Amirul Hadi, dan Ashari Samsudin sewajarnya kita kalungkan dengan setautan puisi.




Saya secara peribadi meletakkan Norshahrul Idlan Talaha sebagai calon pemenang Anugerah Pemain Paling Bernilai untuk kejohanan kali ini. Sikap tenang dan kemahiran beliau sememangnya kita kagumi. Beliaulah arkitek yang merencanakan kebanyakan gol pasukan negara.





Antara Laser Hijau dan Tanggungjawab: Ini soal sikap
Seperti yang kita sedia maklum, terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang menghalakan pancaran laser ke arah pemain. Hal ini telah menyebabkan perlawanan malam semalam ditangguhkan beberapa minit (kurang-lebih 5 minit).

Saya sendiri kurang senang dengan tindakan ini. Tidak kiralah apa tujuan individu yang menggunakan laser tersebut, ianya sangat memalukan negara, menjengkelkan serta bertentangan dengan semangat kesukanan.

Namun begitu, barang diingat, penonton di Stadium Gelora Bung Karno juga turut menghalakan pancaran laser ke arah penjaga gol Malaysia, Sharbinee Allawi, sewaktu perlawanan sulung yang berkesudahan Malaysia tewas 1-5. Ia tidaklah pula dijadikan alasan kekalahan Skuad Harimau Malaya ketika itu.

Di akhiran hari, semua pihak harus menerima hakikat bahawa kemenangan Malaysia di Bukit Jalil bukan kerana bantuan pancaran laser daripada penonton yang tidak bertamadun tersebut.

Sebaliknya, pemain Malaysia yang beraksi cemerlanglah yang membawa kemenangan untuk menyebelahi skuad kita. Hakikat ini turut diperakui oleh pengendali Skuad Garuda, Alfred Riedl .

Sejelasnya, sukan seperti bola sepak seharusnya jadi faktor pemersatu, dan dirai dengan semangat kesukanan. Janganlah ditambah garam pada luka persengketaan jahil tarian pendet, wayang kulit, Rasa Sayang atau batik. Kan kita asalnya serumpun dan senusantara -- kerana itulah banyak yang kita kongsi. Dan, persamaan ini seharusnya dikongsi dan dirai bersama, bukannya diherdik dan dijadikan bahan permusuhan!

Penyandang Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Beijing, Professor Dr. Awang Sarian menyatakan bahawa, mana-mana pihak pun tidak seharusnya sampai bersengketa atau bermusuhan, apatah lagi menyimpan dendam kesumat hanya kerana soal bola, lagu atau apa pun. Banyak agenda besar umat Melayu Islam di pelbagai negara Islam (juga umat serumpun berjiran tetangga) yang perlu ditangani bersama. Yang remeh-temeh itu usah sampai menenggelamkan kewarasan kita untuk agenda utama.

Juga, memetik kata-kata Kapolda Metro Jaya Irjen Pol Sutarman, “...kita jangan terpancing emosi. Kita tunjukkan kita bangsa yang menghormati nilai-nilai sportivitas!”

Salam! :)




Nota kaki :: Ibrahim Afellay (dilahirkan pada 2 April 1986 di Utrecht) adalah seorang pemain bola sepak Belanda beragama Islam dan berketurunan Maghribi. Beliau baru sahaja menandatangani kontrak bersama pasukan Barcelona. Bekas pemain tengah dan sayap Skuad Piala Dunia 2010 Belanda dan PSV Eindhoven ini pernah dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik dalam Liga Eredivisie, Belanda oleh pemain lagenda ‘total football’, Johan Cruijff pada 2007.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...