I
Stadium
Shah Alam, 23hb April 2014 (Rabu): Walaupun perlawanan hanyalah tidak lebih
dari melengkapkan jadual kumpulan, tuah rumah, Selangor dan pasukan pelawat dari
Maldives, Maziya Sports & Recreation Club, berjuang berhabis-habisan dengan
keringat, demi maruah negara dan pasukan masing-masing. Selangor yang
ketinggalan di awal perlawanan, bangkit untuk membelasah pasukan pelawat dengan
jaringan 4-1, seterusnya melengkapkan kempen Piala AFC 2014 dengan kemenangan
bergaya.
Terdahulu, Selangor mempunyai rekod
cemerlang sebagai tuan rumah dalam Piala AFC ketika menentang kelab dari
Maldives iaitu menang ke atas Juara Liga Dhivehi 2005, Hurriya SC, 1-0 (Piala
AFC 2006) dan menang ke atas Juara Piala FA Maldives dan Kejohanan Kebangsaan
Maldives, Victory SC, 5-0 (Piala AFC 2010).
Kesebelasan Selangor dibarisi oleh: Hamsani
Ahmad (kapten), Shazlan, Panta, Rizal, Azmi Muslim, S. Veenod, Shukur, Hazwan
Bakri, Afiq, dan Paulo Rangel. Di bangku simpanan pula adalah: Farizal Marlias,
Rajesh, Andik Vermansah, Bunyamin Omar, Thamil Arasu, S. Kunanlan, dan Fittri.
II
Paulo
Rangel mencipta hatrik untuk membantu Selangor merekodkan kemenangan 4-1
menentang Maziya dalam aksi kumpulan F, Piala AFC yang berlangsung di Stadium
Shah Alam. Rangel menjaringkan gol di minit ke-34, 62, 79, manakala Azmi Muslim
menghadiahkan gol keempat Selangor di minit ke-82. Sementara itu Maziya meraih
gol sagu hati menerusi Abdulla Asadhulla di minit ke-10.
Pada
minit pertama perlawanan, Abdul Hadi Yahaya membuat lambungan menarik, namun
tiada rakan yang menyambut hantarannya. Tidak lama kemudian giliran Afiq Azmi
pula melakukan hantaran jauh, bagaimanapun tandukan Rangel yang dikawal ketat
tersasar.
III
Selangor
dilihat lebih menguasai perlawanan pada awal permainan. Pun begitu, kelekaan
barisan pertahanan Selangor membawa padah apabila Maziya melakukan serangan
kilat pada minit ke-10 menerusi Nashid sebelum dia membuat hantaran untuk
disempurnakan Abdulla Asadhulla.
Tersentak
dengan jaringan tersebut, Selangor kembali mengatur jentera serangan. Pada
minit ke-23, Afiq memiliki peluang terbaik sepanjang perlawanan, bagaimanapun
tendangannya lemah sekaligus mudah di selamatkan penjaga gol Maziya, Imran
Mohamed.
Selangor
berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-34 menerusi penyerang import dari
Brazil, Paulo Rangel yang menanduk masuk sepakan percuma Mohd Azmi Muslim.
Bersambung
babak kedua, permainan kedua-dua pasukan lebih seimbang dengan masing-masing
berbalas serangan. Pasukan tuan rumah nyata lebih ‘bernafsu’ untuk memburu
lebih banyak jaringan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu pelawat.
Hasilnya, Rangel menjaringkan gol peribadi kedua pada minit ke-62 selepas
menolak mudah hantaran silang daripada Afiq Azmi.
Maziya
dihadiahkan sepakan percuma di kedudukan terbaik apabila Steve Panteldis
melakukan hadangan terhadap penyerangnya. Bagaimanapun, sepakan percuma yang
diambil oleh kaptennya, Mohamed Ahmed jauh tersasar.
IV
Rangel
melengkapkan hatriknya di minit ke-79 apabila dia mengambil kesempatan hasil
kesilapan pertahanan lawan. Meskipun Selangor gagal ke pusingan seterusnya, Rangel berjaya
mencatat jaringan 7 gol, iaitu kedua terbanyak selepas Juan Belencoso - Kelab
Kitchee SC (8 gol), untuk saingan Piala AFC 2014 kali ini.
Mohd
Azmi Muslim melengkapkan kemenangan bergaya skuad kendalian Mehmet Durakovic
itu dengan gol keempat pada minit ke-82 menerusi sepakan percuma cantik yang
menerjah ke penjuru kiri gol Maziya.
V
Kemenangan
itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Selangor yang sudah tersingkir
daripada kejohanan dengan lapan mata di tempat ketiga manakala Maziya kekal di
tangga tercorot kumpulan menerusi kutipan satu mata. Wakil Vietnam, Hanoi
T&T FC dan Arema Indonesia menempah slot ke pusingan kedua kejohanan
selepas muncul dua pasukan teratas kumpulan F, masing-masing dengan kutipan 15
dan 10 mata.
Ketua
Jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic berkata, beliau sangat gembira dengan aksi
anak buahnya yang mencipta kemenangan besar dan yakin mereka akan kembali
dengan lebih mantap untuk layak ke kejohanan itu tahun depan.
Semenjak Stadium Shah Alam kembali digunakan
sebagai gelanggang tuan rumah untuk skuad Merah Kuning, Selangor berjaya
mengekalkan rekod bersih (tidak pernah kalah). Skuad Gergasi Merah itu menang
terhadap pasukan-pasukan berikut: Kelantan (1-0); PKNS (2-2); Hanoi (3-1); Perak
(1-0); Lions XII (1-0) dan Maziya (4-1). Semoga pertemuan menentang Terengganu
FA pada 4hb Mei 2014 nanti, Selangor menang lagi. Maruah jadi taruhan. Maju
Selangor. Forza Selangor. Viva Selangor. Bersama memartabatkan jersi serta liga
tempatan kita. Padu.
---------------------------------------
Sumber:
- https://www.facebook.com/cabron.delmundo?fref=ts;
- https://www.facebook.com/shahfreshtilldeath?fref=ts;
- http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/sp/newssports.php?id=1033091;
- http://www.stadiumastro.com/Article/Detail.aspx?id=118901&title=hatrik-rangel-benam-maziya;
- https://www.facebook.com/asianadotmy
- https://www.facebook.com/DuniaSukanOnline?hc_location=timeline;
- https://www.facebook.com/hazrinmz?fref=photo.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan