Logo
PENAMBAHBAIKAN PENCAPAIAN HAK ASASI MANUSIA DI
MALAYSIA MENERUSI SEMAKAN BERKALA SEJAGAT (UPR) DI GENEVA, SWITZERLAND
|
1.0 Muqaddimah
Tanggal 20 Mac 2014 merupakan satu tarikh di
mana sessi penerimaan muktamad Semakan Berkala Sejagat (UPR) bagi Negara Malaysia
telah berlangsung di Palais des Nations di Geneva, Switzerland. Angkatan Belia
Islam Malaysia (ABIM) telah menghantar dua orang wakil iaitu Naib Presiden
Mohamad Raimi Ab. Rahim dan Ketua Biro Undang-Undang Mohd Khairul Anwar Ismail.
Kedua-dua mereka telah diberikan status ECOSOC yang membolehkan memasuki dewan
dan memberikan pernyataan dan komen terhadap sidang kali ini.
2.0 Hak Asasi Manusia dan UPR
UPR merupakan satu proses yang unik yang
diperkenalkan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) disebabkan proses
pembaharuan PBB semasa Kofi Annan menjadi Setiausaha Agung. Ia diwujudkan melalui
resolusi perhimpunan Agung PBB 60/251 pada 3 April 2006 sebagai satu mekanisme
untuk menilai prestasi hak Asasi setiap negara Anggota (iaitu sebanyak 193 buah
negara) terhadap kepatuhan kepada beberapa ketetapan oleh Majlis Hak Asasi
Manusia PBB.
Sesi pada 20 Mac yang lepas merupakan pusingan
terakhir di dalam proses UPR kali kedua bagi Negara kita di mana proses ini
akan berlangsung setiap 4 tahun sekali. Proses UPR kali pertama telah diadakan
pada tahun 2009. Ini bermakna Malaysia akan melalui proses ini semula selepas 4
tahun daripada sekarang iaitu pada tahun 2017.
ABIM telah mengikuti dan mengambil bahagian di
dalam proses UPR kali kedua ini secara dekat sejak pusingan pertama lagi iaitu
sejak 24 Oktober 2013, di mana ABIM pada ketika itu diwakili oleh Naib Presiden
Jufitri Joha dan Ketua Biro Undang-Undang Mohd Khairul Anwar Ismail.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada kerajaan
Malaysia kerana telah berjaya mengambil bahagian di dalam proses ini dengan
jayanya dan Malaysia telah mengambil pendirian yang tegas dan membanggakan pada
sesi ini apabila telah memutuskan untuk menerima 182 syor dan menolak 50 lagi
syor daripada keseluruhan 232 syor yang telah dikemukakan oleh negara-negara
anggota PBB semasa pusingan pertama Oktober yang lepas. Ini juga merupakan satu
pendirian tegas Malaysia dengan mengambil kira pelbagai aspek penting seperti
aspek undang-undang, agama, budaya serta nilai di dalam negara.
ABIM menyedari kepentingan UPR ini sebagai
salah satu mekanisme penting di dalam proses penilaiaan prestasi hak asasi
sesebuah negara tetapi di dalam masa yang sama ABIM turut menyedari bahawa
ianya boleh juga memberi implikasi negatif terhadap masa depan negara dan agama
terutamanya berhadapan dengan tekanan-tekanan antarabangsa terhadap syor-syor
yang bertentangan dengan undang-undang, agama, budaya serta nilai di dalam
negara. Oleh itu persiapan dan persediaan serta penegasan wakil kerajaan
amatlah dituntut di dalam hal ini.
3.0 Hak Asasi Manusia dan Islam
Hak Asasi manusia merupakan suatu yang perlu
dipelihara dan dimuliakan bukan semata-mata atas dasar mematuhi standard
kesejagatan (universality) yang telah ditetapkan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB), tetapi ia bagi mematuhi standard kemuliaan insan (karamah
insaniah) yang telah dijamin oleh Allah sejak kedatangan Islam lagi sepertimana
Allah telah berfirman di dalam Surah Al-Isra’ ayat 70 yang bermaksud: ”Dan
sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam; dan Kami telah beri mereka
menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah
memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami
telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang
telah Kami ciptakan”.
Di atas dasar kemuliaan insan ini kami
menyokong segala usaha ke arah penambahbaikan prestasi hak asasi manusia di
dalam negara melalui apa-apa kaedah sekalipun termasuk melalui mekanisme UPR.
Oleh itu kami memandang berat segala syor ke atas Malaysia sepanjang proses UPR
ini dalam pelbagai aspek seperti aspek pendidikan, kesihatan, perumahan, wanita,
kanak-kanak, orang asli, pekerja asing, pemerdagangan manusia, hak pelarian,
immigran, pemohon suaka politik, orang-orang yang tidak bernegara, aspek
undang-undang dan kehakiman, pembasmian kemiskinan, pembasmian rasuah serta
pelbagai aspek lagi.
Tanpa menafikan bahawa prestasi hak asasi
manusia di dalam negara ini ialah di antara yang terbaik di dunia apabila
hak-hak setiap rakyat dan warganegara dititikberatkan tetapi kami tetap
memandang masih punya ruang dan peluang untuk terus konsisten dan terkehadapan dalam
aspek hak asasi ini.
Perjuangan terhadap hak asasi ini juga amat
selari dengan konsep Maqasid as-Syariah apabila konsep maqasid itu sendiri
bertujuan untuk menjaga kepentingan (maslahah) setiap individu di mana para
Ulama telah menetapkan beberapa tingkatan keutamaan iaitu pemeliharaan agama (hifzud-Din),
pemeliharaan nyawa (hifzun Nafs), pemeliharaan akal (Hifzul ’Aql), pemeliharaan
harta (Hifzul Mal) dan pemeliharaan keturunan (Hifzun Nasab).
Oleh yang demikian pertimbangan hak asasi perlu
dilihat merangkumi hak individu, keluarga, masyarakat dan negara tetapi
mestilah di dalam kerangka yang telah ditetapkan oleh Syariah agar tujuan
Syariah (maqasid) bagi pemeliharaan hak-hak ini tercapai.
4.0 Hak Asasi Manusia dan PAC, SOSMA
Melihat kepada penyertaan Malaysia di dalam
proses UPR sejak kali pertama dijalankan pada tahun 2009, kami mengakui bahawa telah
banyak usaha ke arah perlaksanaan penambahbaikan prestasi hak asasi manusia
oleh kerajaan Malaysia, di antaranya kami menghargai dan mengiktiraf usaha
kerajaan membentuk Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Nasional (NHRAP) pada 4 disember 2013 di dalam usaha pihak
kerajaan untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di negara ini. Lima
teras utama pembangunan NHRAP seperti berikut cuba diberikan keutamaan iaitu 1)
hak sivil dan politik, 2) hak ekonomi, sosial dan budaya 3) hak orang kurang
upaya, 4) hak orang Asli dan peribumi Sabah dan Sarawak, dan 5) obligasi
antarabangsa.
Selain itu transformasi Undang-undang yang
diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 16 September
2011 adalah sangat dialu-alukan apabila memansuhkan beberapa Undang-Undang pencegahan
seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, Akta Buang Negeri 1959 dan
berikutnya turut memansuhkan Akta Kediaman Terhad 1933. Ianya telah disambut
baik oleh seluruh rakyat bersama dengan janji untuk memperkenalkan
undang-undang baru yang lebih baik di bawah peruntukan Perkara 149 Perlembagaan
Persekutuan iaitu bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan
perbuatan jenayah bagi bertujuan memelihara keamanan dan kerukunan rakyat
negara ini.
Namun demikian, pengenalan Akta Pencegahan
Jenayah (PCA), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA)
dan Akta Perhimpunan Aman 2012 telah sedikit mencacatkan usaha transformasi
Undang-undang seperti yang telah dijanjikan oleh Perdana Menteri. Wakil tetap
Malaysia di Geneva, Datuk Mazlan Muhammad semasa sidang akhir penerimaan
muktamad laporan UPR Malaysia telah menjustifikasikan tindakan ini dengan
menjelaskan bahawa kerajaan telah mengambil langkah perlindungan yang mencukupi
di dalam melindungi dan mempromosi hak asasi dan tindakan memperkenalkan
undang-undang pencegahan yang baru ini dibuat mengikut Undang-undang
antarabangsa.
Sesungguhnya tindakan ini agak menjejaskan
konsistensi kerajaan di dalam usaha mempromosi pembaharuan undang-undang, malah
tindakan ini seolah-olah membawa Malaysia kembali ke belakang apabila Undang-undang
baru yang diperkenalkan ini tidak dapat memberikan kebebasan dan keadilan yang
sewajarnya kepada orang yang ditahan atau dituduh. SOSMA misalnya membenarkan
seorang pegawai polis berpangkat tinggi untuk melanjutkan tempoh tahanan sehingga
28 hari sementara PCA pula membenarkan seseorang tertuduh ditahan sehingga dua
tahun tanpa bicara. Perkara ini sesungguhnya bertentangan dengan Perkara 10
Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) iaitu setiap orang adalah berhak
dengan samarata sepenuhnya kepada pembicaraan adil dan terbuka oleh suatu
tribunal bebas dan saksama, dalam penetapan hak-hak dan tanggungannya dan
sebarang tuduhan jenayah terhadapnya. Ia turut bertentangan dengan perkara 9
dan 11 Perisytiharan yang sama. Lebih menyedihkan pengenalan undang-undang baru
ini dibuat dengan tergesa-gesa tanpa memberi ruang kepada sesi dialog bersama
masyarakat umum, NGO-NGO serta institusi yang berkaitan.
ABIM kekal dengan pendirian bahawa kerajaan
seharusnya memansuhkan kesemua undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa
bicara kerana ianya jelas merupakan perlanggaran serius terhadap hak kebebasan
manusia. Undang-undang tersebut juga jelas bercanggah dengan prinsip teras hak
asasi manusia sejagat yang memerlukan seseorang individu didakwa di mahkamah
sekiranya disyaki melakukan kesalahan. Semangat Perlembagaan Persekutuan dan
UDHR hendaklah dihormati agar keadilan dapat diberikan sewajarnya.
5.0 Hak Asasi Manusia dan Karamah Insaniah
Atas dasar memperjuangkan karamah insaniah,
ABIM bukan sahaja memperjuangkan hak rakyat di negara ini tetapi perjuangan ABIM
turut merentasi sempadan kaum dan negara dengan memperjuangkan nasib saudara
kami yang terdiri daripada golongan pelarian seperti kaum Uyghur, Syria dan juga
golongan yang tidak bernegara seperti kaum Rohingya yang memohon hak pencari
suaka dan orang pelarian di negara ini. Di peringkat dunia mereka ini
dilindungi di bawah Konvensyen Berkaitan Status Orang-Orang Pelarian 1951 dan
Protokolnya 1967 juga di bawah Konvensyen Berkaitan Status Orang-Orang Tidak
Bernegara 1954, di mana Malaysia tidak menjadi pihak kepada kedua-dua
Konvensyen ini. Selain itu hak mereka juga terpelihara di bawah Perkara 14 UDHR
iaitu 1) Setiap orang berhak memohon dan menikmati perlindungan politik dalam
negara lain daripada sebarang aniaya; 2) Hak ini tidak boleh dituntut bagi
pendakwaan yang benar-benar timbul daripada kesalahan bukan politik atau
daripada tindakan yang bertentangan dengan tujuan-tujuan dan prinsip-prinsip
Bangsa-Bangsa Bersatu.
Walaupun kerajaan Malaysia telah banyak
memberikan bantuan, sokongan di dalam usaha pihak kami dan NGO lain membantu
golongan pencari suaka dan orang pelarian ini, namun kami masih menghadapi
beberapa batasan dan kekangan disebabkan tiada undang-undang khusus yang
melindungi golongan ini di Malaysia. Walaupun sebahagian mereka yang datang ke
negara ini telah memperoleh dokumentasi daripada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR), namun sebahagian mereka
masih lagi ditangkap, ditahan serta dijatuhkan hukuman di bawah kesalahan
imigresen. Kami juga masih menghadapi masalah mempertahankan sebilangan mereka
untuk hak transit di negara ini apabila sebahagian mereka telah ditangkap
dengan dinafikan hak berjumpa peguam seterusnya dihantar pulang ke negara asal
mereka yang bergolak seterusnya mengancam nyawa mereka dan keluarga mereka.
ABIM sangat menghargai segala bantuan dan
sokongan pihak kerajaan buat kami menguruskan golongan pencari suaka dan orang
pelarian ini bagi memberikan keadilan dan kebebasan sewajarnya di atas dasar
kemanusiaan, namun ABIM masih lagi mengharap agar pihak kerajaan dapat
menimbangkan secara serius untuk menjadi pihak yang menandatangi kedua-dua
Konvensyen yang telah disebutkan di atas pada masa hadapan iaitu Konvensyen
Berkaitan Status Orang-Orang Pelarian 1951 dan Protokolnya 1967 juga di bawah
Konvensyen Berkaitan Status Orang-Orang Tidak Bernegara 1954.
6.0 Hak Asasi Manusia dan Kedudukan Islam dalam
Perlembagaan
Selain itu, ABIM turut mengambil berat tentang beberapa
pendirian kerajaan terhadap syor-syor yang dianggap kontroversi yang berkaitan
dengan Islam dan Perlembagaan seperti syor berkenaan kebebasan beragama, syor
berkaitan pengiktirafan amalan hubungan sejenis oleh golongan Lesbian Gay Bi-seksual
Transgender (LGBT) iaitu agar Seksyen 377 Kanun Keseksaan dimansuhkan, syor
berkaitan sistem perundangan Syariah yang perlu dikaji semula, isu perundangan
kalimah Allah dan berbagai-bagai lagi. Syabas buat kerajaan Malaysia di atas
pendirian yang jelas dan tegas dengan mengambil kira pelbagai faktor sebagai
asas penolakan syor-syor ini.
Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan
memperuntukkan bahawa Islam sebagai agama Persekutuan. Ini turut menjadikan
Undang-undang negara asasnya ialah agama selain mempengaruhi asas pembentukan
undang-undang lain di dalam negara yang turut bercirikan agama. Selain masih
kuat berpegang kepada asas agama, Malaysia juga masih lagi berpegang teguh
dengan nilai kesopanan dan ketatasusilaan sepertimana yang termaktub secara
jelas di bawah Rukun Negara.
Oleh yang demikian, cadangan untuk memansuhkan
Seksyen 377 Kanun Keseksaan agar tidak menjadikan pelaku hubungan homoseksual
atas dasar suka sama suka adalah satu cadangan yang agak melampau, bukan sahaja
ianya bertentangan dengan ajaran agama malah ia turut bertentangan dengan nilai
moral dan tatasusila yang sudah sebati dengan masyarakat Asia. Kami telah
mengikuti perkara ini sejak awal lagi dan kami menyaksikan bagaimana kerajaan
bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan tuntutan daripada gabungan NGO di dalam
negara seperti COMANGGO tetapi juga terpaksa berhadapan dengan NGO luar negara
serta negara-negara anggota PBB yang kebanyakan mereka juga mempersoalkan undang-undang
negara kerana menjadikan pelaku homoseksual ini sebagai jenayah. Kami
menyanjung tinggi ketegasan kerajaan tanpa kompromi atas dasar menghormati
keluhuran undang-undang, agama serta
nilai-nilai moral di dalam negara.
Hubungan sejenis oleh golongan LGBT ini juga
tidak diterima sebagai satu hak yang universal di peringkat Asia Tenggara. ABIM
melalui dua wakilnya iaitu Mohamad Raimi dan Mohd Khairul Anwar telah terlibat
di dalam deraf akhir Perisytiharan Hak Asasi ASEAN semasa sidang kemuncak ASEAN
di Phnom Penh di Manila, Filipina pada November 2012, di mana cubaan untuk
mengiktiraf hak amalan LGBT ini telah ditolak oleh ASEAN di atas alasan ianya
bertentangan dengan nilai-nilai ASEAN. Ini membuktikan bahawa sejarah dan
budaya ASEAN masih lagi kuat menjunjung nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan serta
adab ketimuran selain daripada faktor pertentangan dengan amalan masyarakat
beragama.
Adapun berkenaan dengan dakwaan diskriminasi
terhadap golongan LGBT ini, ABIM berpendapat bahawa di antara jalan
penyelesaiannya ialah dialog di antara golongan ini dan pihak-pihak atau
institusi yang berkaitan bagi mencari jalan penyelesaiannya. Mengiktiraf hak
amalan hubungan sejenis melalui undang-undang iaitu pemansuhan Seksyen 377
Kanun Keseksaan tidak menyelesaikan masalah diskriminasi seperti yang didakwa
tersebut malah ianya bakal memberikan implikasi yang lebih besar kepada
masyarakat dan negara.
Seterusnya cabaran utama bagi negara dalam
aspek kebebasan ialah apabila merujuk kepada kebebasan beragama. Adalah penting
bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat memahami asas perundangan negara yang
pada hakikatnya membenarkan kebebasan beragama. Perkara 3 Perlembagaan
Persekutuan berkenaan Islam agama Persekutuan hendaklah dibaca sekali dengan
Perkara 11 yang membenarkan agama-agama lain diamalkan tertakluk kepada
penyebaran, membuktikan satu hubungan toleransi yang baik bagi sebuah negara
yang mempunyai penduduk pelbagai agama seperti di negara ini.
7.0 Penutup
Akhirnya, ABIM mengiktiraf dan menyambut baik penyertaan
Malaysia di dalam proses UPR ini dan mengharapkan agar pihak kerajaan akan
terus berusaha bersungguh-sungguh di dalam usaha untuk mempromosi dan
melindungi hak asasi manusia selaras dengan komitmen antarabangsa serta
kehendak agama, budaya, serta nilai sesebuah Negara. ABIM sebagai sebuah NGO
Islam yang menjunjung tinggi nilai karamah insaniah akan menyokong penuh tanpa
berbelah bagi sebarang usaha kerajaan ke arah penambahbaikan ini.
Selain itu ABIM mengharapkan agar proses dialog
perlu terus diaktifkan di antara pihak kerajaan dan NGO agar komunikasi dua
hala dapat dijalankan supaya semua pihak dapat memainkan peranan yang efektif
di dalam membantu pihak kerajaan agar kita dapat bersama-sama menyumbang kepada
penambahbaikan prestasi hak asasi manusia di dalam negara. Selain itu ABIM juga
percaya bahawa proses dialog ini boleh mendekatkan jarak kumpulan-kumpulan yang
berbeza di dalam negara supaya titik pertemuan dapat ditemukan dan akhirnya sebarang
krisis antara kaum, dan agama dapat dielakkan seterusnya dapat mengekalkan
keharmonian di dalam negara tercinta ini.
Disediakan oleh,
Mohd Khairul Anwar Ismail,
Ketua Biro Undang-Undang ABIM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan