Harimau Jelutong telah tiada.
Takziah diucapkan kepada keluarga Mendiang YB Karpal
Singh yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara
Selatan-Gopeng pada pagi Khamis, 17hb April 2014. Turut terbunuh, pembantu
peribadinya. Kejadian berlaku jam 1.30 pagi di KM301.6 arah utara di Lebuhraya
Utara Selatan selepas Gopeng.
Ia juga berlaku dalam ‘jajaran maut’ KM293-303 yang
meragut nyawa ramai orang saban tahun. Laluan ini dikenali sebagai laluan
‘berhantu’ oleh pemandu bas ekspres dan lori dan mereka yang kerap melaluinya
dan memerlukan tumpuan penuh ke atas pemanduan semasa melaluinya. Moga pihak
keluarganya bersabar dgn kesedihan yang menimpa mereka.
Sebagai seorang penuntut dan juga pernah menjadi
pengamal undang-undang, pastinya saya amat terkesan dengan pemergian mendiang.
Mana tidaknya, sedari kecil, bila menyebut sahaja profesion guaman, pasti nama
besar tersebut akan dikaitkan. ‘Karpal Singh’, satu nama yang bukan sahaja
menjadi buah mulut penggiat politik, malahan sinonim dengan masyarakat dunia secara
umumnya, di atas pencapaian beliau, baik selaku peguam ulung mahupun pemimpin
politik.
Bukan seorang mahasiswa yang cemerlang dari segi
akademik ketika zaman universitinya, Karpal berjaya membuktikan bahawa apa yang
lebih penting ialah kemampuan kita untuk mengamalkan ilmu yang dipelajari,
selain mengadaptasi pengalaman dalam menongkah realiti dunia yang kejam.
Menjadi ‘street smart’, adalah antara kunci kejayaan ramai graduan yang
kurang cemerlang - dari aspek pencapaian CGPA -- ketika zaman belajarnya.
Sesungguhnya, tatkala ahli keluarga dan saudara-mara
mendiang sedang bersedih, usahlah kita memilih untuk menghina dan mencerca
pemergiannya. Sudah-sudahlah dengan politik sempit. Doa-doakanlah kesejahteraan
kita semua. Sungguh, kematian itu pasti.
Berdasarkan hadith Anas bin Malik, katanya: Satu
jenazah melintasi Rasulullah SAW, lalu baginda berdiri. Diberitahu padanya:
“Itu jenazah Yahudi”. Baginda bersabda: “Sesungguhnya kita hanya berdiri untuk
malaikat”. Direkod oleh Nasai (no: 1929).
Di dalam hadith Abdullah bin Amru, katanya: Nabi SAW
ditanya: “Apabila jenazah kafir melalui kita, adakah kita berdiri?” Jawab baginda:
“Ya, berdirilah. Sesungguhnya kamu bukan berdiri untuk jenazah itu, tetapi
berdiri kerana membesarkan yang mencabut roh-roh”. Direkod oleh Ahmad (no:
6573), dinilai sahih oleh Hakim (no: 1320), dan Ibn Hibban (no: 3053).
Sepertimana yang kita sedia maklum, dalam setiap Sunnah
Baginda SAW, tersemai hikmah. Alangkah ruginya, bilamana kita begitu mudah
menghentam kematian orang lain, tanpa memikirkan di mana letak duduk kita bila
tiada kelak. Kita sendiri tidak pasti bagaimana kematian kita kelak. Setiap kejadian
ada iktibarnya. Yang pasti, politik sempit mesti kita tolak; waimah dari kem
mana sekalipun.
ALLAH SWT jugalah yang Maha Perancang dan Maha
Bijaksana. Semoga menjadi peringatan yang baik untuk kita semua. Mungkin ada
tindakan/kenyataan Mendiang KS yang tidak disenangi beberapa pihak. Tetapi, ia
bukan tiket untuk kita menghukum, apatah lagi setelah pemergiannya. Hormat dan
berhikmahlah. Cukuplah kematian menjadi satu iktibar. Jadilah manusia yang ada
kemanusiaan. Sebarkan salam. Sebarkan salam.
Harimau Jelutong dalam kenangan.
-----------------------------------
Sumber:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan