Khamis, April 17, 2014

Harimau Jelutong telah tiada.






Harimau Jelutong telah tiada.
Takziah diucapkan kepada keluarga Mendiang YB Karpal Singh yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara Selatan-Gopeng pada pagi Khamis, 17hb April 2014. Turut terbunuh, pembantu peribadinya. Kejadian berlaku jam 1.30 pagi di KM301.6 arah utara di Lebuhraya Utara Selatan selepas Gopeng.
Ia juga berlaku dalam ‘jajaran maut’ KM293-303 yang meragut nyawa ramai orang saban tahun. Laluan ini dikenali sebagai laluan ‘berhantu’ oleh pemandu bas ekspres dan lori dan mereka yang kerap melaluinya dan memerlukan tumpuan penuh ke atas pemanduan semasa melaluinya. Moga pihak keluarganya bersabar dgn kesedihan yang menimpa mereka.
Sebagai seorang penuntut dan juga pernah menjadi pengamal undang-undang, pastinya saya amat terkesan dengan pemergian mendiang. Mana tidaknya, sedari kecil, bila menyebut sahaja profesion guaman, pasti nama besar tersebut akan dikaitkan. ‘Karpal Singh’, satu nama yang bukan sahaja menjadi buah mulut penggiat politik, malahan sinonim dengan masyarakat dunia secara umumnya, di atas pencapaian beliau, baik selaku peguam ulung mahupun pemimpin politik.
Bukan seorang mahasiswa yang cemerlang dari segi akademik ketika zaman universitinya, Karpal berjaya membuktikan bahawa apa yang lebih penting ialah kemampuan kita untuk mengamalkan ilmu yang dipelajari, selain mengadaptasi pengalaman dalam menongkah realiti dunia yang kejam. Menjadi ‘street smart’, adalah antara kunci kejayaan ramai graduan yang kurang cemerlang - dari aspek pencapaian CGPA -- ketika zaman belajarnya.
Sesungguhnya, tatkala ahli keluarga dan saudara-mara mendiang sedang bersedih, usahlah kita memilih untuk menghina dan mencerca pemergiannya. Sudah-sudahlah dengan politik sempit. Doa-doakanlah kesejahteraan kita semua. Sungguh, kematian itu pasti. 
Berdasarkan hadith Anas bin Malik, katanya: Satu jenazah melintasi Rasulullah SAW, lalu baginda berdiri. Diberitahu padanya: “Itu jenazah Yahudi”. Baginda bersabda: “Sesungguhnya kita hanya berdiri untuk malaikat”. Direkod oleh Nasai (no: 1929).
Di dalam hadith Abdullah bin Amru, katanya: Nabi SAW ditanya: “Apabila jenazah kafir melalui kita, adakah kita berdiri?” Jawab baginda: “Ya, berdirilah. Sesungguhnya kamu bukan berdiri untuk jenazah itu, tetapi berdiri kerana membesarkan yang mencabut roh-roh”. Direkod oleh Ahmad (no: 6573), dinilai sahih oleh Hakim (no: 1320), dan Ibn Hibban (no: 3053).
Sepertimana yang kita sedia maklum, dalam setiap Sunnah Baginda SAW, tersemai hikmah. Alangkah ruginya, bilamana kita begitu mudah menghentam kematian orang lain, tanpa memikirkan di mana letak duduk kita bila tiada kelak. Kita sendiri tidak pasti bagaimana kematian kita kelak. Setiap kejadian ada iktibarnya. Yang pasti, politik sempit mesti kita tolak; waimah dari kem mana sekalipun.
ALLAH SWT jugalah yang Maha Perancang dan Maha Bijaksana. Semoga menjadi peringatan yang baik untuk kita semua. Mungkin ada tindakan/kenyataan Mendiang KS yang tidak disenangi beberapa pihak. Tetapi, ia bukan tiket untuk kita menghukum, apatah lagi setelah pemergiannya. Hormat dan berhikmahlah. Cukuplah kematian menjadi satu iktibar. Jadilah manusia yang ada kemanusiaan. Sebarkan salam. Sebarkan salam.

Harimau Jelutong dalam kenangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan