Khamis, April 24, 2014

Perlawanan Terakhir Piala AFC 2014: Selangor, 4-1, Maziya RC.

I
Stadium Shah Alam, 23hb April 2014 (Rabu): Walaupun perlawanan hanyalah tidak lebih dari melengkapkan jadual kumpulan, tuah rumah, Selangor dan pasukan pelawat dari Maldives, Maziya Sports & Recreation Club, berjuang berhabis-habisan dengan keringat, demi maruah negara dan pasukan masing-masing. Selangor yang ketinggalan di awal perlawanan, bangkit untuk membelasah pasukan pelawat dengan jaringan 4-1, seterusnya melengkapkan kempen Piala AFC 2014 dengan kemenangan bergaya.
Terdahulu, Selangor mempunyai rekod cemerlang sebagai tuan rumah dalam Piala AFC ketika menentang kelab dari Maldives iaitu menang ke atas Juara Liga Dhivehi 2005, Hurriya SC, 1-0 (Piala AFC 2006) dan menang ke atas Juara Piala FA Maldives dan Kejohanan Kebangsaan Maldives, Victory SC, 5-0 (Piala AFC 2010).
Kesebelasan Selangor dibarisi oleh: Hamsani Ahmad (kapten), Shazlan, Panta, Rizal, Azmi Muslim, S. Veenod, Shukur, Hazwan Bakri, Afiq, dan Paulo Rangel. Di bangku simpanan pula adalah: Farizal Marlias, Rajesh, Andik Vermansah, Bunyamin Omar, Thamil Arasu, S. Kunanlan, dan Fittri.

II
Paulo Rangel mencipta hatrik untuk membantu Selangor merekodkan kemenangan 4-1 menentang Maziya dalam aksi kumpulan F, Piala AFC yang berlangsung di Stadium Shah Alam. Rangel menjaringkan gol di minit ke-34, 62, 79, manakala Azmi Muslim menghadiahkan gol keempat Selangor di minit ke-82. Sementara itu Maziya meraih gol sagu hati menerusi Abdulla Asadhulla di minit ke-10.
Pada minit pertama perlawanan, Abdul Hadi Yahaya membuat lambungan menarik, namun tiada rakan yang menyambut hantarannya. Tidak lama kemudian giliran Afiq Azmi pula melakukan hantaran jauh, bagaimanapun tandukan Rangel yang dikawal ketat tersasar.

III
Selangor dilihat lebih menguasai perlawanan pada awal permainan. Pun begitu, kelekaan barisan pertahanan Selangor membawa padah apabila Maziya melakukan serangan kilat pada minit ke-10 menerusi Nashid sebelum dia membuat hantaran untuk disempurnakan Abdulla Asadhulla.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Selangor kembali mengatur jentera serangan. Pada minit ke-23, Afiq memiliki peluang terbaik sepanjang perlawanan, bagaimanapun tendangannya lemah sekaligus mudah di selamatkan penjaga gol Maziya, Imran Mohamed.
Selangor berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-34 menerusi penyerang import dari Brazil, Paulo Rangel yang menanduk masuk sepakan percuma Mohd Azmi Muslim.
Bersambung babak kedua, permainan kedua-dua pasukan lebih seimbang dengan masing-masing berbalas serangan. Pasukan tuan rumah nyata lebih ‘bernafsu’ untuk memburu lebih banyak jaringan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu pelawat. Hasilnya, Rangel menjaringkan gol peribadi kedua pada minit ke-62 selepas menolak mudah hantaran silang daripada Afiq Azmi.
Maziya dihadiahkan sepakan percuma di kedudukan terbaik apabila Steve Panteldis melakukan hadangan terhadap penyerangnya. Bagaimanapun, sepakan percuma yang diambil oleh kaptennya, Mohamed Ahmed jauh tersasar.

IV
Rangel melengkapkan hatriknya di minit ke-79 apabila dia mengambil kesempatan hasil kesilapan pertahanan lawan. Meskipun Selangor gagal ke pusingan seterusnya, Rangel berjaya mencatat jaringan 7 gol, iaitu kedua terbanyak selepas Juan Belencoso - Kelab Kitchee SC (8 gol), untuk saingan Piala AFC 2014 kali ini.
Mohd Azmi Muslim melengkapkan kemenangan bergaya skuad kendalian Mehmet Durakovic itu dengan gol keempat pada minit ke-82 menerusi sepakan percuma cantik yang menerjah ke penjuru kiri gol Maziya.

V
Kemenangan itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Selangor yang sudah tersingkir daripada kejohanan dengan lapan mata di tempat ketiga manakala Maziya kekal di tangga tercorot kumpulan menerusi kutipan satu mata. Wakil Vietnam, Hanoi T&T FC dan Arema Indonesia menempah slot ke pusingan kedua kejohanan selepas muncul dua pasukan teratas kumpulan F, masing-masing dengan kutipan 15 dan 10 mata.
Ketua Jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic berkata, beliau sangat gembira dengan aksi anak buahnya yang mencipta kemenangan besar dan yakin mereka akan kembali dengan lebih mantap untuk layak ke kejohanan itu tahun depan.
Semenjak Stadium Shah Alam kembali digunakan sebagai gelanggang tuan rumah untuk skuad Merah Kuning, Selangor berjaya mengekalkan rekod bersih (tidak pernah kalah). Skuad Gergasi Merah itu menang terhadap pasukan-pasukan berikut: Kelantan (1-0); PKNS (2-2); Hanoi (3-1); Perak (1-0); Lions XII (1-0) dan Maziya (4-1). Semoga pertemuan menentang Terengganu FA pada 4hb Mei 2014 nanti, Selangor menang lagi. Maruah jadi taruhan. Maju Selangor. Forza Selangor. Viva Selangor. Bersama memartabatkan jersi serta liga tempatan kita. Padu.
---------------------------------------
Sumber:
  1. https://www.facebook.com/cabron.delmundo?fref=ts;
  2. https://www.facebook.com/shahfreshtilldeath?fref=ts;
  3. http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/sp/newssports.php?id=1033091;
  4. http://www.stadiumastro.com/Article/Detail.aspx?id=118901&title=hatrik-rangel-benam-maziya;
  5. https://www.facebook.com/asianadotmy
  6. https://www.facebook.com/DuniaSukanOnline?hc_location=timeline;
  7. https://www.facebook.com/hazrinmz?fref=photo.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan