Selasa, Mac 06, 2012

Perang.

Pimpinan AS sudah mula memalu genderang perang ke atas Syria.

Tentera AS pula dilihat mengadakan latihan secara giat bersama tentera Korea Selatan.

Dan, seperti biasa, umat Islam jugalah yang akan menjadi mangsa dan syuhada, atas kelemahan dan kezaliman pemimpin bobrok.

Bosnia;
Chechnya;
Somalia;
Selatan Thai;
Palestina;
Shabra dan Shatilla;
Afghanistan;
Iraq.

Moga Syria tidak tersenarai, dalam sejarah malapetaka perang dan kebodohan manusia.

Sebagaimana kita menolak kekejaman rejim Basyar Al Assad, begitu jugalah kita menentang sekeras-kerasnya, campurtangan AS ke atas kedaulatan negara lain.

Solidariti untuk rakyat Syria. Solidariti untuk perubahan. Solidariti juga untuk keamanan.

Amin.

Isnin, Mac 05, 2012

Penawar Nostalgia.


Al-Fatihah buat Allahyarhamah Emak yang sentiasa dirindui. Hanya kuntum doa penawar nostalgia.

Sayang Emak. Rindu Emak.

Al-Fatihah.

Jumaat, Mac 02, 2012

Pendosa siasah.


Pendosa siasah yang gagah
mengharumkan kecapaiannya.
Tapi, dalam sejarah qalbu
tengik dosa tetap terhidu.

-- (SN Pak Samad Said).

Khamis, Mac 01, 2012

Darkie.



Selama kurang lebih 25 tahun saya hidup.

Selama kurang lebih 25 tahun saya bernafas.



************




Saya baru tahu: asal jenama ubat gigi Darlie ialah 'Darkie'. heh. Sedari kecil, saya menyangkakan imej lelaki bertopi -- yang tersengih riang -- pada kotak Darlie, adalah imej lelaki kulit putih. Menarik.
Ubat Gigi jenama DARLIE dahulunya selama lebih 60 tahun dikenali sebagai DARKIE. Penjenamaan semula ini dilakukan pada tahun 1989, kemudiannya perubahan turut dilakukan keatas karektor manusia bertopi yang menjadi logo jenama ini.
Perubahan ini dilakukan ekoran desakan dari pelbagai pihak agar Colgate-Palmolive yang merupakan pemilik 50 peratus saham syarikat pengeluarnya, Hawley and Hazel agar menukar nama dan logo barangan berkenaan. Nama ‘DARKIE’ dikaitkan dengan unsur perkauman lalu menimbulkan rasa kurang senang pihak yang melihatnya dari perspektif berkenaan.
-------------------------------------------
Sumber:
  1. https://www.facebook.com/rithsidek?fref=ts;
  2. Colgate-Palmolive plans to rename Darkie (28 January 1989). New Straits Times;
  3. ‘Darkie’ toothpaste renamed (15 October 1989). Eugene Register- Guard;
  4. Jack Anderson (14 February 1990). Furor over toothpaste's name, Bangor Daily News;
  5. Jack Anderson (14 February 1990) Toothpaste's name stirs controversy, Sun Journal;
  6. New Straits Times, 3 November 1989.

Merbok dan Senayan.

Teringat kenangan lucu di Sungai Petani. Asyik terfikir di mana letaknya 'pasar senayan' yang disebut seorang peniaga minyak atar. Rupanya, 'senayan' itu nama lain untuk Isnin.

Pasar (hari) Isnin. heh.

Rindu memori di Merbok.

Selasa, Februari 28, 2012

Geng KDRS Padang Jawa: Sendaloka bersama kenangan.


Saya belajar di Sekolah Undang-Undang, UiTM Shah Alam, selama 4 tahun.


Selama 3 tahun, saya bersama 11 orang rakan seangkatan, menyewa sebuah rumah teres dua tingkat di Padang Jawa, Shah Alam.

Saya, Jen, Ekan Sugiono, Baha, Zul@Pejol, Fared, Akmal, MistaCheqa@Carlos, Hadi@Manja, Dato’ Aizad dan Anwar@Ketum. Dan, ahli majlis kehormat rumah kami, Aiman. hehe.

Kami sudah seperti bersaudara – suka-duka – pahit-maung, suka-benci kami lalui bersama.

Dan, kami juga ada baju rumah kami sendiri. heh. T-shirt hitam dengan tulisan ‘TMR 17/11’, singkatan kepada alamat rumah sewa kami.

Setiap bulan, kami akan memilih satu hari pada hujung minggu untuk bersama mengumpul duit; untuk membeli barangan dapur dan bahan-bahan masakan.

Baha dan Hadi@Manja (pakar masakan tradisional/kampung) dan Fared (pakar segala jenis masakan) akan menjadi chef terbaik untuk mengisi perut seisi rumah.

Ikan masak tiga rasa, ‘chicken chop’, kerang bakar adalah hidangan yang kerap menjadi bualan hangat individu-individu yang kelaparan. Hari itu dinamakan sebagai ‘Hari Makan Mewah.’

Rindu geng KDRS Padang Jawa. heh.

Long live KDRS. Moga semua berjaya dunia akhirat. Amin.

Jumaat, Februari 10, 2012

Sajak Rajawali (W.S Rendra)

Sebuah sangkar besi
tidak bisa mengubah rajawali
menjadi seekor burung nuri
Rajawali adalah pacar langit
dan di dalam sangkar besi
rajawali merasa pasti
bahwa langit akan selalu menanti


Langit tanpa rajawali
adalah keluasan dan kebebasan tanpa sukma
tujuh langit, tujuh rajawali
tujuh cakrawala, tujuh pengembara


Rajawali terbang tinggi memasuki sepi
memandang dunia
rajawali di sangkar besi
duduk bertapa
mengolah hidupnya


Hidup adalah merjan-merjan kemungkinan
yang terjadi dari keringat matahari
tanpa kemantapan hati rajawali
mata kita hanya melihat matamorgana


Rajawali terbang tinggi
membela langit dengan setia
dan ia akan mematuk kedua matamu
wahai, kamu, pencemar langit yang durhaka.

-- W.S Rendra, Kumpulan Puisi “Perjalanan Bu Aminah”, Yayasan Obor Indonesia (1997).


**********


Biodata Ringkas, Allahyarham Pak Rendra
Allahyarham Willibrordus Surendra Broto Rendra atau Wahyu Sulaiman Rendra -- yang lebih dikenali sebagai WS Rendra adalah penyair ternama yang kerap dijuluki sebagai “Si Burung Merak”. Beliaulahir di Solo, Jawa Tengah tanggal 7 November 1935 dan meninggal dunia di Jakarta, 6 Ogos 2009 pada umur 74 tahun.

Berkenaan tokoh besar ini, Sasterawan Negara Almarhum Usman Awang pernah mengungkapkan: “Rendra, penyair terkemuka Indonesia, menuangkan sejarah masa lalu ke dalam acuan masa kini dalam satu bentuk ekspresi yang sungguh mengesankan. Sejarah memang selalu berulang. Dan sasterawan/penyair yang tajam inderanya sering dapat menangkap perjuangan tersebut yang dimanfaatkannya melalui pengucapan artistik.”

Profesor Harry Aveling, seorang pakar sastera dari Australia yang besar perhatiannya terhadap kesusasteraan Indonesia, telah membicarakan dan menerjemahkan beberapa bahagian puisi Rendra dalam tulisannya yang berjudul “A Thematic History of Indonesian Poetry: 1920 to 1974”.

Karya Rendra juga dibicarakan oleh seorang pakar sastera dari Jerman bernama Profesor Rainer Carle dalam bentuk disertasi yang berjudul “Rendras Gedichtsammlungen (1957—1972): Ein Beitrag Zur Kenntnis der Zeitgenossichen Indonesischen Literatur. Verlag von Dietrich Reimer in Berlin: Hamburg 1977”.

Sesungguhnya, WS Rendra adalah seorang pejuang kemanusiaan yang tulen melalui karya seninya. Dunia Nusantara kehilangan seorang lagi tokoh yang sukar dicari ganti, yang telah menyumbang banyak kesedaran kepada kita semua menerusi puisi-puisinya.

Hal ini bersesuaian dengan kata-kata Syed Qutb, seorang intelektual dari Mesir yang hidup di awal abad 20, “orang yang hidup bagi dirinya sendiri akan hidup dan mati sebagai orang kerdil. Dan, orang yang hidup bagi orang lain akan hidup dan mati sebagai orang besar.”

Rendra sering dilambangkan dengan gelaran “Si Burung Merak” (kerana tampak anggun dan gemerlapan). Meskipun beliau telah tiada, Rendra terus mengigal di tengah-tengah belantara kehidupan yang tidka begitu ramah. Suaranya terus lantang kedengaran, menyanyikan lagu-lagu kemanusiaan.

Al-Fatihah.


****


Sumber:
  1. http://www.facebook.com/hasmi.hashim; dan
  2. Rendra, W.S. Puisi-Puisi Rendra, 1996. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


****

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...