Memaparkan catatan dengan label Azman Adnan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Azman Adnan. Papar semua catatan

Khamis, Mei 26, 2016

Jersi latihan dan pegawai Selangor FA.

2005: Dr Khir Toyo, Datuk Satim Diman, 
Bambang Pamungkas dan Datuk Hamidin 
bergambar bersama jersi 'away' Selangor 2004. 
Bambang memakai jersi latihan pemain dan 
pegawai Selangor 2004.
Alhamdulillah, terima kasih buat Abam Inn dan Abam Wan -- yang sudi membantu.
Viva Selangor.
.

Rabu, Februari 10, 2016

COACH MAN TURN TERIMA KUNJUNGAN RBS.


COACH MAN TURN TERIMA KUNJUNGAN RBS.
Alhamdulillah, dalam keadaan hujan lebat, sempat hadiri majlis serahan sumbangan kepada NGO Hayrat Aid dari Turki, di Ampang. Kerjasama strategik antara Malaysian Life Line for Syria, Global Peace Mission serta Hayrat. Terima kasih semua, atas ilmu dan manfaat.
Sempat juga ziarah penyerang legenda kebangsaan, Abang Azman Adnan yang tempoh hari kurang sihat. Selepas dikhabarkan bahawa bekas penyerang legenda kebangsaan, Coach Azman Adnan kurang sihat, Retro Bola Sepak (RBS) yang diwakili oleh Admin Le Saux dan Che Din menziarahi beliau di kediamannya.
Alhamdulillah, beliau kini sudah sembuh dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudi mendoakan kesihatan beliau. Coach Man Turn yang kini sedikit sibuk menguruskan perniagaannya, tetap turun ke padang bola dan futsal -- setiap kali berkelapangan.
Turut disapa mesra sebagai “Otai” dalam kalangan teman rapat, beliau berkongsi rasa teruja untuk menyaksikan perjalanan Liga-M untuk musim 2016 ini.
Dengan persaingan yang lebih terbuka, serta perkembangan positif yang ditunjukkan oleh kebanyakan pasukan, beliau menyeru kepada semua peminat untuk turun memenuhi stadium.
Tak salah nak sokong kelab Liga Inggeris atau Sepanyol. Tapi, liga tempatan pun kena sokong juga,” seru beliau. “Kalau bukan kita yang sokong, siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi?” Ujar Coach Man Turn.
Tatkala mendoakan pasukan yang sinonim dengan beliau, Selangor untuk mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia, beliau turut gembira melihat pasukan asalnya, Kuala Lumpur yang tampak mampu bangkit pada musim ini.
Apa pun, selamat maju jaya, Coach. Jasamu akan terus kami kenang. Bersama martabatkan jersi serta liga tempatan kita.
Man Turn, Man Score. Padu & Grande; selamanya!
.

Selasa, Oktober 06, 2015

MAN TURN; MAN SCORE. PADU!

MAN TURN; MAN SCORE. PADU!
Sudah beberapa ketika juga legenda bola sepak Malaysia ini kurang mendapat publisiti, dan lebih senang untuk ‘low profile’. Selepas ke perlawanan Ex-Selangor dan Ex-Sabah; berkunjung sebentar untuk bertemu antara penyerang terbaik Malaysia sepanjang zaman ini: Coach Azman Adnan.
Ketika ditanya keadaan terkini, sambil tersenyum mesra beliau menyatakan: “Saya kini okay sahaja. Bahagia sebab dapat luangkan lebih masa bersama isteri dan keluarga tersayang.”
Beliau juga sempat menitipkan sedikit penghargaan buat para peminat dan penyokong beliau: “Terima kasih kepada G19, Retro Bola Sepak dan semua yang sudi menyokong saya dari dulu sampai sekarang. ALLAH sahajalah yang mampu membalasnya...”
Ketika ditebak pelbagai isu panas yang dikaitkan dengan beliau, dengan tenang beliau menjelaskan: Terserah kepada mereka yang suka menyebarkan pelbagai versi cerita. ALLAH SWT jugalah yang mengetahui segalanya...”
Sebelum menutup bicara, beliau menitipkan: “Saya tetap saya, anak bekas tentera yang pernah hidup susah di Flat Sri Melaka. Terlalu banyak dugaan sudah saya lalui dalam hidup ini. Atas sokongan keluarga dan kawan-kawan lah, saya mampu berdiri sampai hari ini.”
Sambil bergurau beliau menuturkan: “Orang nak tuduh apa, terserahlah. Itu lumrah. Bak kata iklan: Man tak kisah...”
Kepada Coach Man Turn; terima kasih atas segala jasa dan bakti yang dicurahkan. Semoga kita terus menghargai bekas atlet tempatan yang masih hidup. Usah hanya hargai bila sudah tiada. Kalau bukan sekarang, bila lagi? Kalau bukan kita, siapa lagi?...
Padu & Grande selamanya. Man Turn; Man Score. Padu!
.



Isnin, Ogos 17, 2015

MAN TURN; MAN SCORE.

MAN TURN; MAN SCORE.
Bagi anak-anak 90an, menyaksikan kelibatnya di atas padang adalah sesuatu yang mengujakan.
Para penyokong pasukan lawan pun menghormatinya; sehingga ramai yang membandingkan kepantasan serta kelincahan beliau dengan Allahyarhamhu SuperMokh.
Menerima latihan keras dan diterap dengan disiplin tinggi sedari kecil oleh bapanya, Pak Nan, Azman mula mencipta nama apabila mewakili kelab yang diberi nama daripada gelarannya, Kotai FC.
Dari Flat Sri Melaka, Azman mengorak langkah untuk mencipta nama bersama SM Cochrane, Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan.
Sepertimana rakan pemain bola sepak serta atlet lain; Azman sentiasa berusaha keras, berlatih dan memberikan yang terbaik untuk pasukan dan penyokong.
Sesungguhnya, hargailah atlet kita -- sementara mereka masih ada.
Jangan hanya kenang kekurangan mereka; tapi kenang juga keringat dan pengorbanan yang mereka curah untuk negara.
Usah hanya hargai; bila sudah terkubur. Usah hanya membalas dengan bintang-bintang di dada; setelah mereka tiada.
Julang panji semangat; kobar jiwa merdeka.
Padu & Grande; selamanya.
.

Jumaat, Ogos 14, 2015

JINAK-JINAK KANGGARU.

JINAK-JINAK KANGGARU.
Jakarta jadi saksi, pada 11 Ogos 1992, skuad kebangsaan Malaysia memadamkan rekod 21 perlawanan antarabangsa tanpa kalah milik Australia, apabila menang 2-1 ke atas wakil Oceania itu dalam kejohanan Piala Kemerdekaan Jakarta 1992.
Malaysia dikemudi oleh pengendali, juga dari Australia, Ken Worden, menang hasil jaringan Si Kinta Ekspres, P. Ravindran di minit ke-70 perlawanan.
Untuk rekod, antara pemain yang memperkuat Australia ketika itu termasuklah tiga pemain yang mencipta nama di kancah bola sepak Malaysia iaitu Abbas SaadAlistair Edwards dan Mehmet DurakovicZeljko Kalac yang beraksi penuh sebagai penjaga gol utama, ketua pasukan Paul Wade dan lain-lain pemain lagi.
Malaysia pula dibarisi pemain seperti Zainal Abidin HassanAzman Adnan, Rehman Regunathan, P. Ravindran, Lee Kin Hong, Yeoh Swee Hock, allahyarham Zaid Jamil, Shahrin Majid, A. Jayakanthan, P. Maniam, Ismail Ibrahim dan penjaga gol terbaik era itu buat Malaysia, Khairul Azman Mohamed.
Kekalahan Australia kepada Malaysia itu adalah satu-satunya ketewasan di tangan Malaysia daripada 9 pertemuan. 8 perlawanan selebihnya, Australia menang kesemuanya dengan terbaharu, kemenangan 5-0 Australia sekitar Oktober 2011, ketika Malaysia masih dikemudi oleh K. Rajagopal.
Ada pun K. Rajagopal, merupakan pembantu kepada Ken Worden di kejohanan Piala Kemerdekaan Jakarta 1992 yang turut ditandingi tuan rumah Indonesia, skuad Olimpik Thailand, skuad bawah 19 tahun Korea Selatan dan Australia.
Malaysia merupakan juara kejohanan tersebut selepas menundukkan cabaran skuad bawah 19 tahun Korea Selatan 2-1 dalam perlawanan akhir.

***********************************
Sumber dan Pautan:
  1. https://www.facebook.com/retrobolasepak/photos/a.458405174196768.96396.458380654199220/876675345703080/?type=1;
  2. https://www.facebook.com/retrobolasepak/photos/a.458408144196471.96399.458380654199220/530218260348792/?type=1;
  3. https://www.facebook.com/retrobolasepak/photos/a.458405174196768.96396.458380654199220/840343249336290/?type=1;
  4. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/11/nostalgia-liga-malaysia-mehmet.html;
  5. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/11/nostalgia-liga-malaysia-alan-davidson.html;
  6. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/piala-aff-suzuki-2012-sebuah-gambus-luka.html.


Rabu, Ogos 05, 2015

RIBUT GREG DAN RANJAU PIALA MALAYSIA 1996.

RIBUT GREG DAN RANJAU PIALA MALAYSIA 1996.
28hb Disember 1996: Selepas negara digemparkan dengan kes mengatur perlawanan, prestasi skuad kebangsaan dilihat agak merosot -- sebelum bangkit menerusi kejutan sebagai Naib Juara Piala Tiger 1996.
Selangor yang dilanda kontroversi selepas kehilangan Niall Quinn yang asalnya bersetuju menyarung jersi pasukan tersebut, mahu mempertahankan Piala Malaysia selepas menang pada tahun sebelumnya.
Kedah yang menguasai Piala FA, gagal meneruskan kecemerlangan dalam saingan Piala Malaysia.
Di balik tragedi Ribut Greg serta kehilangan bintang utama pasukan, skuad Sabah FA masih mampu menjuarai Liga Perdana sebelum layak ke Final Piala Malaysia 1996.
Dengan ketangkasan Khairul Azman Mohamed, ketajaman Scott Ollerenshaw serta kesungguhan Yap Wai Loon, Suharmin Yusof dan rakan-rakan, pemain Sang Badak berjuang bermati-matian demi pasukan yang diwakili.
Stadium Shah Alam yang dilimpahi peminat Merah Kuning menjadi saksi bagaimana ayam tambatan Gergasi Merah, Azman Adnan dikekang hebat, sehingga Selangor memperoleh penalti selepas Man Turn dikasari.
Namun, Mehmet gagal menyempurnakan sepakannya, dan peluang Sabah terbuka luas semula.
Selangor beruntung kerana mempunyai Ismail Ibrahim sebagai kapten mereka. Beliau mempunyai pengaruh, disiplin serta daya kepimpinan yang menjadi contoh buat pemain lain.
Selepas tamat tanpa jaringan, perlawanan ditentukan dengan sepakan penalti.
Sebelum munculnya Wak Am, seorang lagi anak Tanjong Karang muncul menjadi sebutan malam tersebut.
Talib Sulaiman berjaya menjaringkan sepakan penalti kelima dan terakhir, seterusnya mengesahkan status Selangor selaku juara.
Sehingga pukul 4 pagi, para penyokong setia Selangor, sebahagiannya ahli setia SSFC, meraikan kejayaan Gergasi Merah untuk menutup musim gemilang 1996 dengan jayanya.
Azman, Shahril Arsat, Shahrin Majid, Rusdi Suparman, Mustaca Christian, Yap Kam Choon, K. Gunalan, K. Sanbagamaran, M. Chandran, Asroff Hanafiah, Azlisham Ibrahim, V. Murugan, Mubin Mokhtar, Anuar Abu Bakar dan rakan-rakan mengecapi kemasyhuran selaku bintang di bawah pengurusan Dato Aini Taib serta kepimpinan TS Muhammad Muhd Taib.
Sabah pula perlu menunggu sehingga tahun 2002 untuk sekali lagi ke Final, tetapi tewas sekali lagi, kali ini 0-1 kepada pasukan yang sama.
Pada 2003, Sang Badak tunduk pula kepada MPPJ FC. Namun, semangat pemain dan penyokong Sabah kan terus dikenang dalam lipatan sejarah bola Malaysia.
.

Isnin, Julai 27, 2015

1999: Man Turn dan Bekas Pemain Selangor Bangkit Bersama Harimau Kumbang.

1999: Man Turn dan Bekas Pemain Selangor 
Bangkit Bersama Harimau Kumbang.
Setelah kemerosotan prestasi serta pelbagai berita angin berkenaan kontroversi pihak pengurusan Selangor sepanjang 1998, ramai bintang era gemilang 1995-97 memilih untuk berhijrah ke negeri Pulau Mutiara.
Azman Adnan mengetuai nama-nama besar seperti Shahril Arsat, Azlisham Ibrahim, dan Asmawi Bakiri untuk membuat kebangkitan semula bersama Pulau Pinang.
Selain Man Turn yang diberikan penghormatan untuk lilitan kapten, skuad tersebut turut dianggotai oleh Wong Kah Loon (Aiman Wong), Fauzi Soh, Megat Amir Faisal, Hasmawi Hassan dan lain-lain.
Tanggal 9hb Oktober 1999, penyokong Selangor dikejutkan dengan kekalahan besar 0-5 kepada skuad Haria Penang Haria menerusi jaringan Azman, Shahril, S. Suresh Kumar dan Hasmawi Hassan di gelanggang keramat Stadium Bandaraya.
Meskipun dikejutkan dengan layangan kad merah untuk kali kedua selepas terakhir pada 1994, dalam perlawanan menentang Pahang, Man Turn menutup tirai liga dengan gemilang apabila menggondol Anugerah Kasut Emas dan menjadi buruan banyak syarikat penajaan.
Beliau tetap setia dengan jenama Reebok.

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...