Isnin, Februari 19, 2024

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

 



Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan,

Menyubur Kesejahteraan

 

Oleh: Zairudin Hashim

(Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia Malaysia – MBM)

 

“Cahayamu bagai sabitah, doaku kau sejahtera

biar warna kubah-kubahmu kian pudar

untukmu setanggi ini kubakar

cahayamu sediakala

Aku rindukan zaman kebangkitan,

pabila nurani bersulamkan fikiran

seganding dan bersatu, lafaz niatku bertemu

cahayamu tiada tara…”


Ketika M. Nasir (kini Datuk) dinobat sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) pada 1999 menerusi lagu “Andalusia”, ramai yang terkejut memandangkan terdapat lagu-lagu lain yang telah dijangka sedari lebih awal untuk menang. Dalam naskah yang digubah melodinya oleh ‘sifu’ muzik negara itu, Almarhum Loloq (Rosli Khamis) tampil sebagai penulis lirik.

Meskipun tidaklah sepopular “Tanya Sama Itu Hud Hud” (1994); “Ghazal Untuk Rabiah” (1997) atau “Awan Nano” (2011) yang turut diangkat sebagai Juara Lagu, “Andalusia” berjaya berdiri sebagai mahakarya yang disegani. Ku Seman Ku Hussein menggambarkan lagu ini ‘membawa kita menjejaki mimpi-mimpi silam era kegemilangan Kerajaan Islam di Andalusia (kini Sepanyol).’  

Lagu yang indah dan bermakna ini terngiang-ngiang pada halwa telinga tatkala YB Senator Dr. Zulkifli Hasan mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara, pada 12 Disember 2023 lalu. Bekas Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu kemudiannya diumumkan sebagai Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Beliau dilihat mampu membantu anggota Kabinet sedia ada untuk memacu Malaysia ke arah kegemilangan yang kita impikan selama ini.

Memiliki pengalaman luas dalam bidang syariah dan kewangan Islam, mantan Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu dilahirkan di Tanjung Malim, Perak pada 3 Jun 1977 daripada pasangan Haji Hasan Yeen dan Hajah Rabeah Khalid. Sebagai anak kampung, beliau hidup bersama keluarga penoreh getah di Slim River pada awal hidupnya. Mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Sungai Behrang. Kemudian melanjutkan pelajaran di Madrasah Idrisiah di Kuala Kangsar, dan dinobatkan sebagai pelajar terbaik tahunan pada 1994 di Madrasah tersebut.


Beliau telah menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda undang-undang di UIAM pada 2001, dan ijazah sarjana muda keduanya dalam jurusan syariah pada tahun 2002. Kemudian, beliau memperoleh ijazah sarjana undang-undang perbandingan di universiti yang sama pada tahun 2004. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Durham University di United Kingdom, dan tamat dengan doktor falsafah (PhD) dalam Kewangan Islam pada tahun 2011.

Beliau sangat aktif serta berpengalaman dengan aktivisme mahasiswa dan kerja kemasyarakatan pada peringkat nasional dan antarabangsa. Antaranya sebagai bekas lembaga pemegang amanah Global Peace Mission (GPM) Malaysia; mantan Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Negeri Sembilan; Timbalan Pengerusi, Biro Hal Ehwal Antarabangsa ABIM Pusat (peringkat kebangsaan); anggota Lembaga Pengelola Sekolah Rendah Islam Seremban, dan Ketua MYCOM4SDG. Beliau memiliki pengalaman pada peringkat antarabangsa yang berharga dan terlibat aktif dengan masyarakat awam di United Kingdom, iaitu Durham Islamic Society dan Palestine Solidarity Campaign, serta di Amerika Syarikat, iaitu Association of Muslim Lawyers of New York dan Fordham Islamic Society.

Pada tahun 2013, beliau mewakili Malaysia dalam Program Intelektual Muda Muslim di Asia Tenggara yang berprestij di Jepun anjuran Japan Foundation, dan pada 2014 beliau dipilih sebagai penerima geran untuk menjalankan penyelidikan ilmiah di Universiti Fordham, New York, Amerika Syarikat, oleh Lembaga Biasiswa Asing J. William Fulbright, melalui Fulbright US-ASEAN Visiting Scholars Initiative.

Sementelahan, Dr. Zulkifli pernah menerima Anugerah ‘The Upcoming Scholar’ pada peringkat antarabangsa oleh Global Islamic Finance dan karya beliau termasuk laman sesawang www.zulkiflihasan.com telah memenangi anugerah blog terbaik dan karya terbaik pada peringkat kebangsaan.

Dr. Zulkifli pernah menyandang pelbagai jawatan akademik seperti editor perundangan untuk Jurnal Malaysia Syariah dan Undang-undang; panel syariah untuk Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa USIM, dan penyemak jurnal untuk Jurnal Antarabangsa Penyelidikan Perniagaan dan Kewangan, dan Jurnal Antarabangsa Kewangan dan Pengurusan Islam dan Timur Tengah. Beliau juga merupakan ahli Lembaga Penasihat Editorial bagi Laporan Undang-undang Syariah dan Majalah Kewangan Islam Global, di samping penasihat akademik untuk Diploma Takaful bagi Kolej Dar al Hikmah (KDH), Selangor.

Dr. Zulkifli juga pernah menjadi ahli kepada beberapa persatuan profesional, seperti Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Persatuan Penasihat Syariah dan Majlis Peguam Malaysia. Sebagai Ahli Jawatankuasa Syariah Affin Islamic Bank dan EXIM Bank serta ahli jawatankuasa Persatuan Penasihat Syariah, beliau mempunyai pengalaman luas dalam perbankan gunaan dan kewangan termasuk takaful.

Sebagai seorang ahli akademik, beliau telah menerbitkan banyak artikel dalam pelbagai jurnal akademik seperti Malayan Law Journal, Shari'ah Law Reports, International Review of Business Research, Journal of International Banking Law and Regulation, International Journal of Islamic and Middle Eastern Finance and Management dan Kyoto Bulletin of Islamic Area Studies, di samping membentangkan banyak kertas kerja dalam pelbagai persidangan tempatan dan luar negara.

Bukunya bertajuk “Tadbir Urus Syariah dalam Bank Islam” yang diterbitkan oleh Edinburgh University Press memenangi Penerbitan Terbaik MAPIM dalam kategori sains sosial pada tahun 2013, dengan minat penyelidikannya termasuk berkaitan tadbir urus dan peraturan korporat dan Syariah dalam kewangan Islam.

Sejak hari pertama melapor diri di Pejabat Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, Dr. Zulkifli dilihat cukup cergas melaksanakan tugasan hariannya yang padat. Sepertimana yang kita sedia maklum, beliau sangat suka bersukan dan bersenam, selain sentiasa memastikan agar mempunyai ruang untuk sekurang-kurangnya berjoging selama beberapa jam setiap hari.

Dr. Zulkifli pernah memetik ucapan Almarhum Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil (Presiden ABIM kedua) berkenaan bagaimana pentingnya nilai-nilai murni Islam untuk berperanan sebagai peneraju pendekatan wasatiyyah dalam pengamalan hidup bersama dalam budaya damai (peaceful coexistence). Hal ini sangat dekat dengan interaksi yang dibuat oleh para ilmuan Andalusia dengan Tamadun China dan Tamadun Hindu. Laksana mata air jernih Seirra Nevada, Granada yang mengalir deras dengan damai ke Alhambra, kita dapat melihat bagaimana ketika zaman gemilangnya, Andalusia berjaya mengharmonikan bangsa Arab, bangsa Afrika Utara dan juga warga tempatan Sepanyol untuk bergandingan utuh dan saling menyemai perpaduan.  

Selama 800 tahun, Andalusia berkembang sebagai Tamadun Islam di sekitar Semenanjung Iberia dari tahun 711 (ketika di bawah Tariq Ibnu Ziyad) sehingga 1492 Masihi. Umat Islam berjaya memimpin Andalusia dengan cemerlang kerana mementingkan keharmonian dan persaudaraan, termasuk sesama warga setanah air yang bukan Muslim. Kepimpinan Islam di sana yang dilaksanakan secara berintegriti, sejahtera, bertoleransi dan mapan, berjaya mengurangkan polarisasi kaum.

Sementera itu, Dr. Zulkifli juga pernah mengungkapkan betapa pentingnya masyarakat memahami gesaan Tan Sri Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas tentang hakikat insan yang dikurnia akal dan kepentingan mendalami ilmu, selanjutnya membentuk ketinggian dan keluhuran sesebuah peradaban. Selain keindahan seni bina Maghribi-Andalusia, Al-Andalus juga memberikan inspirasi kepada kita bahawa ilmu mampu mencetak manusia yang baik secara universal (al-insan al-kamil) dan mengangkat kemuliaan insan (karamah insaniyyah). Umat Islam di Andalusia yang menjunjung tinggi budaya ilmu, akhlak dan nilai-nilai murni yang dianjurkan oleh Rasulullah sallallahu alayhi wa-sallam menjadi simbol ketamadunan, ketertiban, kesopanan, kebersihan, kebijaksanaan, dan kemajuan.

Kesepaduan ilmu yang diamalkan dalam masyarakat Andalus dan dilaksanakan menerusi sistem pendidikan wajar dijadikan iktibar. Zaman keemasan Andalusia amat terserlah sekitar abad ke-11 dan 12 Masihi iaitu semasa munculnya tokoh-tokoh ilmuan hebat, cendekiawan agama, ahli hadith, ahli falsafah, ahli sains, kimia, fizik, matematik, kejuruteraan, pakar perubatan, astronomi, ekonomi, kesenian kraf serta senibina tamadun Islam dan lain-lain lagi yang masih kekal sehingga kini. Andalusia menjadi simbol kekuatan dan keagungan Islam dan dianggap sebagai “The Torch of Europe” yang memberi suluhan ilmu kepada Tamadun Barat ketika mereka mengalami Zaman Kegelapan.

Khatimahnya, sosok bernama Dr. Zulkifli Hasan ini wajar diberikan perhatian, dan masa akan jadi penentu sejauh mana beliau akan melangkah. Apa yang utama, matlamat untuk mengarusperdanakan gagasan Malaysia Madani perlu dilakukan secara konsisten, bagi mengembalikan kegemilangan ummah seperti era empayar Andalusia dapat direalisasikan, di samping mengambil iktibar daripada kejatuhannya.

Hari ini, matahari yang pernah menyinari zaman kegemilangan Islam di Andalusia, adalah matahari yang sama dengan hari ini. Tiada yang mustahil untuk membina sebuah kebangkitan, asalkan disulami dengan pembudayaan ilmu, adab dan keberanian bertindak, dengan izin dan rahmat Allah Subhanahu wa-Ta’ala. Mana-mana Muslim yang beriman pasti jiwanya tersentuh apabila fikirannya mengenangkan Andalusia. Sebagaimana bait-bait indah nukilan Loloq,

“Aku rindukan zaman kebangkitan,

pabila nurani bersulamkan fikiran

seganding dan bersatu, lafaz niatku bertemu

cahayamu tiada tara

pohon salamku pada fakir-fakirmu, Andalusia…”


Sabtu, Januari 20, 2024

Mustapha Sakmud: Dari Sepanggar ke Kementerian Pendidikan Tinggi

Mustapha Sakmud: Dari Sepanggar ke Kementerian Pendidikan Tinggi 


Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi, Majlis Belia Malaysia - MBM) 

Rajin bekerja beramal kuat, 
Kepada Tuhan mengabdi diri; 
Pemimpin setia berjiwa rakyat, 
Sedia sepakat menjaga negeri. 

Kepemimpinan adalah amanah yang cukup berat - sarat dengan tanggungjawab dan kewajipan. Jawatan kepimpinan yang disandang bukanlah satu keistimewaan, kelebihan atau kemegahan sebaliknya adalah suatu amanah yang sangat berat dan memerlukan pengorbanan tinggi serta kerja keras secara bersungguh-sungguh. 

Tanggungjawab kepimpinan perlu dilaksanakan dengan penuh strategi dan perancangan yang tertatur serta tersusun rapi demi mencapai kemajuan, kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat sama ada di dunia dan juga akhirat. Menginsafi hal ini, seorang tokoh dari Sabah tampil demi memperjuangkan nasib rakyat agar terbela kebajikan mereka. 

Beliau yang dimaksudkan ialah YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, kini memikul tanggungjawab selaku Timbalan Menteri kepada Menteri Pendidikan Tinggi, YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Bin Abdul Kadir. 




Bersama pasangannya, Datin Hajah Rosnih Nasir - seorang pendidik di sekolah; YB Mustapha dikurniakan 5 orang anak (3 lelaki dan 2 perempuan), di samping seorang cucu. Dilahirkan pada 9 Julai 1968, tokoh ini sebelumnya berkhidmat selaku Timbalan Menteri kepada Menteri Sumber Manusia ketika itu, YB V. Sivakumar pada Disember 2022 hingga Disember 2023. 

Sewaktu menabur bakti di Kementerian Sumber Manusia (KSM), YB Mustapha cukup komited mengangkat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang disifatkan sebagai ‘game changer’ atau pengubah keadaan dalam usaha negara untuk menjadi negara maju. Beliau juga berikhtiar untuk memastikan segala inisiatif yang diambil oleh kementeriannya akan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. 

Ketika itu, YB Mustapha merupakan antara tujuh timbalan menteri dari Sabah yang dilantik oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi menjayakan kerajaan Perpaduan. Selepas 12 bulan berkhidmat di KSM, YB Mustapha begitu komited menjayakan agenda Malaysia Madani bersama seluruh warga kerja kementerian terbabit. Beliau dilihat begitu optimis dengan fokus kerajaan Perpaduan untuk mengangkat darjat negara melalui kemakmuran ekonomi rakyat yang dizahirkan menerusi rombakan kabinet yang lebih dinamik. 

Justeru, di bawah portfolio baharu yang diamanahkan kepadanya itu, beliau akan cuba memberi perhatian kepada isu-isu yang dekat dengan pemegang taruh di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Sesuai portfolio baharu beliau di KPT, YB Mustapha Sakmud menggariskan 10 fokus utama yang akan dilaksanakan termasuklah memperkasakan TVET merentasi 12 kementerian. 

Menerusi kenyataan medianya, beliau menyebut akan memperkenalkan inisiatif Jejak TVET Madani. Tambahnya lagi, inisiatif ini akan menonjolkan graduan institut pengajian tinggi (IPT) berbakat besar dalam perusahaan dan merealisasi hasil inovasi IPT dipasar secara komersial. Menurut beliau, kesedaran kesihatan mental akan terus dipromosikan selain memperkasa kekuatan emosi dan spiritual pelajar. Katanya lagi, pelajar dari keluarga miskin tegar dan pedalaman akan dibimbing oleh kementerian bagi memastikan mereka dapat menamatkan pengajian mengikut tempoh yang telah ditetapkan. 

Ujar YB Mustapha, ketidakpadanan pekerjaan yang mengakibatkan guna tenaga tidak penuh turut diberi perhatian. Beliau juga akan memastikan pelajar yang menjalani latihan praktikal mendapat elaun yang setimpal; memastikan bakat dalam negara mencukupi sebagaimana permintaan pelabur dan menurunkan kadar pengangguran dalam kalangan belia yang kini pada 10.1 peratus. 


Dipilih secara demokratik selaku Ahli Parlimen Sepanggar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 sejak November 2022, beliau meraih 27,022 undi meninggalkan pencabarnya yang lain dengan majoriti undi sebanyak 7,042. Beliau juga mempunyai latar belakang pendidikan yang cemerlang. Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, University of Aberdeen, Scotland, United Kingdom (1992) ini juga merupakan lulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Master of Business Administration), Universiti Malaysia Sabah (UMS - 2007). 

Sementelah, YB Mustapha pernah bekerja sebagai Jurutera Instrumen, Sabah Forest Industries (SFI) pada 1992, Jurutera Telekom Malaysia Berhad dengan memegang jawatan Pengurus Perancangan Asas Telekom Malaysia Berhad Wilayah Pantai Timur, Sabah (1993-2013), Pengurus Syarikat Konsultasi MRES (sejak 2013), Ahli Lembaga Pelancongan Sabah (2018-2020), Setiausaha Politik, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Sabah (2020) dan Ahli Majlis Daerah Kota Belud (2018-2020). 

Dalam penglibatan sosial, beliau pernah memegang jawatan sebagai Presiden Majlis Belia Sabah (MBS) selama 2 tahun (2008-2010) selain berkhidmat sebagai Exco Majlis Belia Malaysia (MBM) pada tahun 2007 hingga 2009. 

Dalam hal keagamaan pula, YB Mustapha Sakmud juga telah menyumbang amal bakti dengan memegang jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sabah (2007-2010). 

YB Mustapha juga menerima gelaran Ts. iaitu gelaran profesional bagi Juruteknologi Profesional yang diiktiraf oleh Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT). Ini merupakan salah satu mekanisme pengiktirafan kepada teknologis dan juga juruteknik negara. 


Pada 7 Oktober 2023, beliau telah dianugerahkan Pengurniaan Darjah Kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (P.G.D.K) yang membawa gelaran Datuk bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-70 Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sabah. 

Atas kecemerlangannya sebagai pemimpin organisasi khususnya kebeliaan dan kemasyarakatan, beliau diiktiraf Kerajaan Negeri Sabah apabila menerima Anugerah Tokoh Belia Negeri Sabah pada tahun 2008. Tambahan lagi, beliau diberikan Anugerah Khalid Al Walid sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah pada 2009. Beliau juga merupakan penerima Anugerah Jasa Bakti Presiden Majlis Belia Sabah (2008-2010) dan Anugerah Pingat Bakti Belia Malaysia (2018) daripada Majlis Belia Malaysia dan Pengurniaan Jaksa Pendamai (2018). 

Pada peringkat akar umbi, YB Mustapha meneruskan kegiatan komunitinya dengan menubuhkan persatuan Initiative For Generation (IFG - sejak 2013) dan Kinabalu Reform and Research Initiative of Strategic Leadership (KRISTAL - sejak 2016) sebagai Pengerusi. 

Penglibatan beliau dalam politik di Sabah adalah sebagai Timbalan Pengerusi, Majlis Pimpinan Negeri (MPN PKR) Sabah (2016 - 2022). Beliau juga memegang jawatan sebagai Exco Majlis Pimpinan PKR Pusat (MPP). Semenjak gabungan Pakatan Harapan (PH) ditubuhkan, YB Mustapha telah dilantik sebagai Setiausaha Pakatan Harapan Negeri Sabah sejak 2017. 

Natijah kepimpinan adalah untuk membina dan membangun insan yang sejahtera jiwa dan rohaninya, murni akhlak dan sikap, dan bantu-membantu dalam melakukan kebaikan. Inilah masyarakat madani yang teguh menegakkan kebenaran dan keadilan, selain berganding bahu mencegah kemungkaran. Dan inilah yang sentiasa diikhtiarkan oleh YB Mustapha Sakmud dalam kempimpinan beliau - khususnya untuk masyarakat Sepanggar yang sangat dekat dengan hati beliau. 

Pergi berjamu ditengok sopan, 
Tutur dijaga orang pun hormat; 
Negeri maju penduduk pun aman, 
Sentosa bersama berkat selamat. 

Kain kembayat sulaman suasa, 
Menyarung sampin corak bersilang; 
Bahagia rakyat aman sentosa, 
Dinaung pemimpin adil terbilang.

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...