Guru: Jasamu tak terbandingkan. "Guru adalah ikutan dalam kebaikan bagi pelajar-pelajarnya, uswah hasanah (contoh teladan) bagi murid-muridnya dan yang sentiasa mencintai dan menjaga mereka." -- Dr Aidh Abdullah al-Qarni.
Demikianlah tingginya martabat seorang guru. Rasulullah SAW dan para Sahabat sangat-sangat menghormati guru dan individu yang mnegajarkan mereka ilmu, meski sekecil mana sekalipun ilmu itu.
Dewasa ini, dalam era globalisasi pasca kemodenan duniawi, dunia maya -- blog, Twitter, Friendster, Facebook dan sebagainya menjadi sasaran untuk para pelajar meluahkan rasa amarah dan ketidakpuasan hati mereka terhadap para guru.
Kata-kata kesat dan jelek dicoret buat tatapan dunia sarwajagat. Seolah-olahnya, mereka hilang pedoman dan tidak punya akal budi. Bukan tidak boleh meluahkan perasaan. Boleh -- tapi, kawal lah emosi, rasionalkan diri. Kita punya pegangan. Amalkan.
Pada hemat saya, perkara ini tidak molek dan kurang tepat. Sememangnya diakui, ada sesetengah guru yang kurang menitik beratkan soal kata-kata dan hubungan antara guru dan pelajar. Kendati, ini tidak boleh dijadikan alasan untuk bersikap kurang ajar. Ini salah sama sekali.
Sekedar berkongsi -- di sekolah menengah saya dahulu, pihak sekolah menyediakan peti surat merah di hadapan bilik Guru Penolong Kanan HEP yang dikhaskan untuk para pelajar menyerahkan apa jua bentuk ketidakpuasan hati mereka dalam bentuk surat (tanpa perlu meletakkan nama mereka sebagai pengirim surat tersebut).
Melalui surat-surat ini, pihak sekolah mengambil tindakan selanjutnya dengan kerjasama Unit Kaunseling dan perbincangan dibuat di dalam mesyuarat para guru bersama Tuan Pengetua dan wakil pelajar. Saya selaku Ketua Umum ketika itu, diberikan ruang untuk menyuarakan pendapat, pandangan serta permasalahan yang dihadapi oleh para pelajar. Saya fikir, cadangan peti surat merah tersebut boleh diberikan pertimbangan.
Sementelah, adik-adik yang masih belajar dan bersekolah seharusnya lebih peka dan berwaspada dengan tindak-tanduk mereka. Adik-adik kita ini nantinya bukan sahaja menjadi tempat kedua orang tuanya bersandar harap, namun lebih daripada itu, merekalah harapan agama, bangsa dan negara.
Di sekolah lah kita menempa diri dan bersungguh menuntut ilmu, sebelum seumur hidup memancarkan gelora kepemimpinan -- menjadi sebahagian daripada ikatan perpaduan, untuk membangun tanah air Malaysia tercinta.
Ingatlah, bahawasanya pendidikan dan pembelajaran itu bukan persediaan untuk kehidupan. Pendidikan itu sendiri adalah kehidupan.
Hari pertama! Sejelasnya, hari pertama bersekolah adalah hari pertama kita ke alam peralihan -- daripada pendidikan kurang formal di rumah, ke alam pendidikan formal di sekolah. Di sinilah kita bernafas sebagai anak bernama pelajar yang mempunyai ibu dan bapa bernama guru -- Cikgu, Ustaz, Ustazah, Sir dan Teacher.
Gelaran-gelaran guru ini, bagi saya, adalah lebih tinggi daripada Dr., Prof. dan sebagainya, kerana sehingga akhir hayat mereka jua pun (selepas bersara), mereka akan tetap digelar guru. Ilmu yang mereka curahkan akan kekal tersemai dan bercambah selagi mana anak-anak murid mereka (kita) menyebar dna mengamalkannya.
Pada hari pertama persekolahan ini lah, ada yang mula belajar mandiri - berdikari - dan ada yang masih bergantung kepada perasaan takut dan ragu-ragu, menoleh-noleh ke arah tingkap, bagi memastikan ibu dan bapa masih ada di luar kelas menemani.
Hari pertama penuh dengan kesibukan semua orang. Adik-adik Tahun 1 dengan ragam masing-masing. Mak ayah juga tak kurang ragamnya.
Ada yang menyalin huruf Rumi, ada yang menulis aksara Jawi. Melukis gambar, dan bersenam.
Di akhiran hari, masa-masa sulit untuk adik-adik kita ini akan lewat dan berlalu. Dan, sebelum kita menyedarinya, mereka telah membesar, bereksplorasi dan memiliki waktu-waktu yang menyenangkan di sekolah. Bersahabat, belajar, bermain dan berkelahi kecil.
Kebiasannya, adik-adik kita ini memerlukan waktu untuk beradaptasi dan menyesuaikan diri mereka dengan lingkungan dan persekitaran yang baru. Justeru, ibu bapa dan guru memainkan peranan yang sangat signifikan bagi menggalakkan adik-adik kita ini mendekatkan diri dengan alam dan belajar dengan pemikiran yang cerah dan bebas.
Di usia rebung inilah kita seharusnya membangkitkan rasa percaya dan membangunkan rasa kebersamaan dalam diri mereka. Supaya bila mereka dewasa kelak, akan jadi manusia yang berguna, in sya ALLAH.
Walau apa pun kisahnya dan biar apa pun ragamnya, hari pertama sekolah tetap satu hari yang bermakna. Kalau ada seorang guru, pensyarah, peguam, doktor atau Perdana Menteri yang berjaya pada hari ini, hari pertama persekolahan merupakan antara penyumbang kepada permulaan masa depan mereka.
Selamat bersekolah buat adik-adik kita. Merekalah pemimpin masa hadapan kita. Melihat wajah mereka adalah laksana melihat masa hadapan kita -- yang belum tentu kita masih berbaki usia -- hidup di zaman mereka!
Tun Abdul Ghafar bin Baba (18 Februari 1925 - 23 April 2006) merupakan Timbalan Perdana Menteri di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Abdul Ghafar bin Baba mula memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 10 Mei 1986 sehingga 15 Oktober 1993. Kehadiran beliau dilihat sebagai tokoh penstabil politik Malaysia, ikon 'tokoh politik kampungan' yang berjiwa Melayu tulen.
Beliau dilahirkan pada 18 Februari 1925 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Bapanya bernama Baba Abdullah berasal dari Sungai Udang, Melaka dan ibunya, Saodah Saleh dari Kampung Bemban, Melaka. Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba membesar dalam sebuah keluarga yang susah. Bapanya melakukan pelbagai bidang pekerjaan termasuk sebagai penarik beca, kereta lembu dan penoreh getah. Allahyarham Abdul Ghafar adalah anak yang keenam daripada sembilan orang adik-beradik. Beliau menjadi anak yatim piatu ketika berumur lapan tahun. Sejak itu, Allahyarham Tun Abdul Ghafar tinggal bersama bapa saudaranya. Beliau menjaja ubi kayu di Melaka untuk menambah pendapatan keluarga.
______________________________________________
Beliau terpaksa berdikari bagi menampung perbelanjaan hariannya dengan menjadi ‘Caddy’, pemungut bola golf dan penjual kayu api. Ketika usia 14 tahun, beliau menjadi pemungut bola golf dan bola tenis golongan atasan seperti Yang di-Pertuan Agong pertama, Tunku Abdul Rahman. Ketika berumur 34 tahun, beliau menjadi Ketua Menteri Melaka dan duduk semeja dengan Tunku Abdul Rahman apabila menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara.
______________________________________________
Pendidikan
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Pilah (1931 - 1936) dan dan Sekolah Melayu Tangga Batu (1937 - 1940), Melaka. Kemudian beliau menyambung pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris), Tanjung Malim (1946 - 1949). Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang guru (1949 - 1955) sebelum beralih sepenuhnya kepada kerjaya politik (1955 - 2004).
______________________________________________
Keluarga
Beliau berkahwin dengan Allahyarhamah Toh Puan Hajjah Asmah binti Alang dan kemudian berkahwin dengan Dayang Heryati binti Abdul Rahim pada tahun 1992, tetapi bercerai pada tahun 2003. Beliau dikurniakan 11 orang anak. Antaranya ialah bekas ahli parlimen Batu Berendam , Dato Tamrin Abdul Ghafar dan anak bongsu, Kartika Sri. Tiga anaknya telah meninggal dunia.
______________________________________________
Politik
Tun Ghafar Baba mula mengorak langkah untuk memperjuangkan nasib bangsa dan negara Malaysia, apabila melibatkan diri dalam politik pada tahun 1940 dengan menyertai Kesatuan Melayu Muda (KMM) di Melaka ketika berusia 15 tahun. Kemudian aktif dalam PKMM sejak 1945 hingga 1948.
______________________________________________
Beliau cukup yakin dengan peranan PKMM bagi membela nasib orang-orang Melayu. Beliau sering menghadiri perhimpunan dan mendengar ceramah dari tokoh-tokoh PKMM seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestaman, Ishak Muhamad dan lain-lain. Tokoh-tokoh ini sering melawat ke negeri Melaka.
______________________________________________
Pada 1955, Tun Ghafar menyertai UMNO di Melaka. Kira-kira 11 tahun kemudian, bintang politik beliau semakin terserlah apabila memegang beberapa jawatan seperti Setiausaha UMNO Melaka, Pengerusi UMNO Melaka, Pegawai Penerangan UMNO Malaya, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Naib Presiden UMNO (1962-1987), Ketua Perhubungan UMNO Sabah (1991), Pengerusi BN Sabah (1992), dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (1974-1993).
______________________________________________
Beliau mula terbabit secara sepenuh masa dalam politik dengan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri Melaka Luar pada pilihan raya umum pertama 1955. Kawasan pilihan raya terakhir yang diwakilinya ialah kawasan Parlimen Batu Berendam di Melaka yang dimenanginya pada pilihan raya umum 1999. Beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka atau Ahli Parlimen Jasin selama 49 tahun berturut-turut, menerusi 11 pilihan raya umum sejak 1955 hingga 1999.
______________________________________________
Dari kiri: Ahmad Boestamam, Pak Sako dan Dr Burhanuddin Al-Helmy, tokoh kemerdekaan negara.
Beliau merupakan antara kepimpinan UMNO yang telah berkhidmat di bawah 3 Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Mahathir. Beliau keluar kabinet selama 10 tahun apabila Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri. Apabila Tun Dr. Mahathir dilantik Perdana Menteri beliau masih berada di luar kerajaan dan hanya masuk kembali pada tahun 1986 apabila Tun Musa Hitam meletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.
______________________________________________
MARA
Ghafar Baba pernah menjadi pengerusi MARA yang pertama dari 1 September 1967 hingga 31 Oktober 1971 bagi meninggikan martabat ekonomi orang Melayu. Beliau juga merupakan pengasas Kolej MARA (1972), Institut Kemahiran Mara, Yayasan Pelajaran Mara dan ITM yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Utusan Melayu (M) Bhd dan Kompleks Kewangan selama 10 tahun bermula 1 September 1976 hingga 1986 apabila dilantik Timbalan Perdana Menteri.
______________________________________________
Masalah kepimpinan MCA
Ghafar merupakan satu-satunya pemimpin UMNO yang diberi kepercayaan menerajui MCA sebagai pemangku Presiden MCA selama 10 bulan ketika parti berasaskan kaum Cina itu dilanda krisis akibat perebutan kuasa antara presidennya ketika itu, Tan Koon Swan dan bekas presiden, Tan Sri Dr Neo Yee Pan. Peranan Ghafar sebagai orang tengah sewaktu parti MCA menghadapi krisis kepimpinan pada tahun 1984 menjadikannya seorang yang tersayang kepada parti tersebut. Setiap tahun, pemimpin MCA akan pergi ke rumah Ghafar untuk meraikan hari jadinya dan berseloroh untuk mengatakan bahawa beliau pernah menjadi "presiden sementara" mereka. Allahyarham turut dilihat sebagai ‘faktor penstabil’ (stabilising factor) kepada parti komponen Barisan Nasional berdasarkan sifat rasional dan pemikiran matang Allahyarham, terutama apabila berhadapan dengan isu-isu sensitif berkaitan agama, kaum, budaya dan bahasa.
______________________________________________
Ketua Menteri Melaka
Seawal 1959 Tun Ghafar menolak tawaran jawatan Ketua Menteri Melaka sehingga memaksa Perdana Menteri Malaysia ketika itu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj mengancam untuk membiarkan negeri itu tanpa Ketua Menteri. Ghafar akhirnya akur dengan kehendak Tunku dan memegang jawatan itu selama lapan (1959-1967) tahun.
______________________________________________
Menolak jawatan Menteri
Pada 1974 Tun Ghafar meninggalkan kabinet pimpinan Perdana Menteri Tun Hussein Onn . Pada 1981 menolak jawatan Menteri Pelajaran yang ditawarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Antara jawatan yang disandangnya ialah Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Pada 1989 Tun Ghafar memangku jawatan Perdana Menteri semasa Dr. Mahathir menjalani pembedahan jantung.
______________________________________________
Timbalan Perdana Menteri
Dalam pemilihan Perhimpunan Agung UMNO 1987, beliau berjaya mengalahkan Musa Hitam bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO dengan majoriti tipis, 40 undi. Encik Ghafar Baba dilantik oleh Dr Mahathir Mohamad menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia selepas Musa Hitam meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 1987. Pada 1993, Tun Ghafar berundur daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri apabila kedudukannya sebagai Timbalan Presiden UMNO dicabar oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tujuannya bagi mengelak perpecahan dalam parti dan mempertahankan kestabilan negara. Surat perletakan jawatan ditulis pada kertas Penerbangan Malaysia di bilik VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Subang untuk berlepas ke Korea Selatan bagi tugas rasmi.
Pada tahun tersebut, 95% ahli UMNO menyokong Anwar. 137 daripada 145 mencalonkan Anwar. Ghafar hanya 7 bahagian sahaja. Pasukan yang menentang Tun Ghafar digelar 'Team Wawasan'. Pasukan ini terbentuk daripada satu kumpulan atau pakatan politik dalaman yang diketuai oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam Pemilihan UMNO 1993 yang memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO tanpa bertanding oleh sebab Tun Ghafar Baba menarik diri. Ia juga terdiri daripada individu seperti Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Haji Muhd Taib yang mana mereka telah memenangi jawatan Naib Presiden UMNO. Team Wawasan dikaitkan dengan Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir Mohamad yang ketika itu sebagai Presiden UMNO.
______________________________________________
Jawatan
Setiausaha Kesatuan guru-guru (1949 – 1951);
Setiausaha UMNO Melaka (1951 – 1955);
Pengerusi UMNO Melaka (1955 – 1973);
Ketua Menteri Melaka (1959 – 1967);
Ahli Majlis Tertinggi UMNO (1957 – 1993);
Ketua Penerangan UMNO (1958 – 1962);
Naib Presiden UMNO (1962 – 1987);
Presiden de facto MCA pada tahun 1985 (MCA mengalami krisis kepimpinan pada 1985 dan 1986);
Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri (1986 – 1993).
______________________________________________
Penghargaan
Tun Ghafar Baba enggan menerima sebarang gelaran datuk atau pingat daripada mana-mana sultan. Tambahan pula Melaka tidak mempunyai sultan atau raja kecuali Yang diPertua Negeri Melaka. Sehingga akhir hayatnya beliau dipanggil Encik Ghafar sahaja. Beliau menerima gelaran Tun selepas bersara sepenuhnya daripada politik. Sekolah Menengah Kebangsaan Ghafar Baba di Masjid Tanah, Melaka juga dinamakan sempena nama beliau. Nama asal sekolah ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Masjid Tanah. Encik Abdul Ghafar bin Baba selaku Ketua Menteri Melaka telah meletakkan batu asas pada 24 September 1962.
MRSM Jasin ditukar nama kepada MRSM Tun Ghafar Baba pada 27 Julai 2006 selepas beliau meninggal dunia bagi mengenang jasa beliau. Majlis penjenamaan semula itu dilakukan oleh Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi, Y.B Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin. Muzium Tun Abdul Ghafar merupakan rumah asal beliau di Jasin, Melaka. Enam Felda di Melaka dinamakan semula sempena nama Tun Abdul ghafar iaitu Felda Tun Ghafar Machap, Felda Tun Ghafar Hutan Percha, Felda Tun Ghafar Menggong, Felda Tun Ghafar Kemendor, Felda Tun Ghafar Air Kangkong dan Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh. Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perkara itu pada 7 April 2007.
______________________________________________
Meninggal dunia
Pada 23 April 2006. Beliau meninggal dunia di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada pukul 7:35 pagi kerana komplikasi jantung, paru-paru dan buah pinggang. Beliau berusia 81 tahun ketika menghembuskan nafas terakhirnya. Jenazah beliau dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur. Turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bekas isterinya Dayang Heryati binti Abdul Rahim.Sembahyang jenazah diketuai oleh Imam Besar Masjid Negara, Datuk Kamaruddin Zakaria dan pengkebumian diketuai oleh Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Wan Halim Wan Harun.
Tun Abdul Ghafar merupakan Negarawan ke-4 disemadikan di bawah kubah Makam Pahlawan selepas Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn. Jenazah lain ialah Tan Sri Syed Jaafar Albar, Allahyarham Tun Syed Nasir Syed Ismail, Allahyarham Tun Sardon Jubir, Allahyarham Tan Sri Mohd Noah Omar dan Allahyarham Tan Sri Abdul Kadir Yusof. Sungguhpun pepatah lama ada mengatakan ‘patah tumbuh hilang berganti’, namun pemergian Allahyarham Tun Abd Ghafar Baba awal pagi semalam bagaikan kehilangan sebutir permata yang tidak mungkin akan dapat dicari ganti. Pemergian buat selama-lamanya Allahyarham Tun Abd Ghafar Baba bukan saja ditangisi ahli keluarganya, malahan jutaan rakyat Malaysia turut merasakan satu kehilangan yang tidak akan ada pengganti. Semoga roh Allahyarham akan dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para solehin.
______________________________________________
** Nota Kaki :: Pada suatu ketika, Tun Ghafar pernah ditanya, bagaimana beliau boleh meninggalkan kuasa, status dan gelaran yang direbutkan oleh orang lain. Allahyarham Tun Ghafar menjawab: “Saya sukakan kehidupan yang biasa, membawa kereta saya sendiri dan boleh berhenti di tepi jalan untuk makan rojak di bawah pokok.”
Al-Fatihah!
----------------------------------------------
Sumber dan pautan:
i. Halim Mahmood. Senario Pemilihan UMNO. Semenyih: Marwilis Publisher, 1986;
ii. Kamal Amir. Era Melayu Baru. Petaling Jaya: Warkah Tulin Sdn Bhd, 1993;
iii. Kamal Amir. Episod Gelora Melayu. Petaling Jaya: Putrajaya Bumi Communications Sdn Bhd, 2007;
iv. Ruhanie Haji Ahmad. Musa Hitam: Serene in the Storm. Petaling Jaya: Media Indah Sdn Bhd, 1987;
v. Subky Latif. Istimewa Terkenang: Siri Koleksi Rencana Terpilih Siasah. Kuala Lumpur: Media Icon Sdn Bhd, 2009;
vi. Syed Hussein Al-Attas. Musa A Traitor?. Kuala Lumpur: AlNujum Sdn Bhd, 1986;
vii. Yahaya Ismail. Siapa Kebal: Mahathir atau Raja-Raja Melayu?. Kuala Lumpur: Dinamika Kreatif Sdn. Bhd., 1993;
viii. Yahaya Ismail. Siapa Presiden UMNO 1987: Mahathir-Tengku Razaleigh?. Kuala Lumpur: Dinamika Kreatif Sdn. Bhd., 1987;
ix. Zabidi Mohamed. Lelaki UMNO Terakhir: Iktibar Untuk Pejuang Islam. Kuala Lumpur: Zabidi Publication, 1999;
x. Zainuddin Maidin. Mahathir Di Sebalik Tabir. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 1994;
xi. Zakri Abadi. Mahathir Machiavelli Malaysia?. Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise, 1990;
Persatuan Kebangsaan Pelajar
Islam Malaysia (PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar
Islam Malaysia di peringkat kebangsaan pada 27 Jun 1961, yang pada ketika itu
dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah
Melayu. Pada tahun 1963, namanya ditukar seperti yang ada sekarang. Pada masa
kini, PKPIM berdaftar di bawah pejabat pendaftar pertubuhan belia
(ROY). Cita-cita PKPIM untuk melahirkan golongan pelajar yang memahami
Islam sebagai cara hidup yang syumul dengan pendekatan berhikmah merangkumi di
peringkat pelajar dan selepas zaman pelajar. Justeru itu, bagi memastikan
wujudnya kesinambungan perjuangan dan keperluan kepada satu pergerakan yang
stabil dan bersifat jangka panjang, maka Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
telah ditubuhkan pada tahun 1971 dalam Muktamar PKPIM ke-10.
Angkatan Belia Islam
Malaysia (ABIM) ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili salah satu
pergerakan belia Islam di Malaysia. ABIM telah ditubuhkan pada 6 Ogos 1971 di
Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pengerusi
penaja penubuhannya ialah Ustaz Abdul Wahab Abdullah (Almarhum) dan
Setiausahanya ialah Saudara Fauzi Abdul Rahman (Dato’). Pada 17 Ogos
1972, ABIM telah didaftarkan secara rasmi dibawah Akta Pertubuhan 1966. ABIM
ditubuhkan dan didaftarkan pada alamat rumah Tan Sri Sanusi Junid (Naib
Presiden ABIM pertama) di No.3, Lorong Batai Dalam, Damansara Heights,
Kuala Lumpur. Manakala pada tahun 2009, setelah pihak kerajaan membuat
semakan terhadap dasar belia negara, ABIM telah didaftarkan penubuhannya
dibawah Akta Pertubuhan-pertubuhan Belia 2007.
Tahun 1971, ABIM lahir
sebagai wadah pelanjut perjuangan pasca kemahasiswaan. Kemunculan ABIM ternyata
suatu yang cukup fenomenal. Justeru, ABIM adalah badan dakwah yang pertama
berciri dan berjati diri sebagai gerakan Islam (harakah Islamiyah). ABIM
adalah pelanjut perjuangan mahasiswa -- bergerak dengan keanggotaan yang
merakyat dan nasional -- anggota melebar dan meratai seluruh Malaysia dan tidak
bersifat lokal. ABIM adalah peloporan fenomena ‘rising tide of Islam’ –
kebangkitan Islam – istilah yang memaknai kerana waktu itu belum lagi muncul
istilah sahwah. Pertama kali, kata-kata ini lahir daripada
perbualan Pak Natsir dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) di Jakarta. ABIM
berjaya mempelopori ‘the rising tide of Islam’ di Malaysia.
*********************************************
2.0. Menoleh Masa
Lalu: Senarai Presiden ABIM
ABIM telah melangsungkan
Persidangan Agung Tahunan atau Muktamar yang pertama pada tahun 1972. Dalam
Muktamar ini, Ustaz Razali Nawawi (Prof. Dr.) telah dipilih sebagai
Presiden pertama. Muktamar juga telah memilih DSAI sebagai Setiausaha
Agung. Semenjak itu, ABIM telah menjayakan kegiatannya dengan jaya. Era
awal pergerakannya dicorakkan oleh usaha bagi mempertegaskan idealisme dan
cita-cita perjuangan. Pelbagai kegiatan direncanakan bagi menjelaskan
identiti ABIM sebagai sebuah pertubuhan belia dan gerakan Islam yang
berteraskan prinsip dakwah dan tarbiyyah sebagai asas pendekatan
pergerakannya. Cita-cita utama ABIM ialah bagi menyumbang secara proaktif
pembinaan sebuah masyarakat Islam yang mampu menjadi teras terhadap proses
pembinaan negara bangsa Malaysia yang utuh di dalam pelbagai aspek
kehidupan. Bagi mencapai cita-cita tersebut, ABIM telah menumpu banyak
usaha membangun kerangka faham masyarakat terhadap agama Islam sebagai satu
bentuk cara hidup yang menyeluruh serta mempertegaskan prinsip-prinsip
masyarakat madani di dalam segala aspek kemasyarakatan, perundangan dan
kenegararaan.
***************************************
2.1. Permulaan Era
Radikal Pergerakan Pelajar.
Pada tahun 1974, telah
berlaku peralihan kepimpinan ABIM. Ustaz Razali Nawawi melepaskan
jawatannya dan Muktamar memilih DSAI sebagai Presiden kedua. DSAI
memimpin ABIM selama sembilan tahun, di mana beliau berhasil membentuk jaringan
sumber yang besar dalam komuniti Islam. Dalam era kepimpinan beliau, ABIM telah
tertonjol sebagai sebuah gerakan Islam yang berpengaruh di peringkat nasional
dan antarabangsa. Sikap dan pendirian ABIM yang tegas terhadap pelbagai persoalan
ekonomi, kebudayaan dan politik telah menjadikannya sebuah pertubuhan yang
dihormati.
*****************************************
Dalam era 70an, semasa ABIM
di bawah kepimpinan Ustaz Razali Nawawi dan DSAI, ABIM mengambil
pendekatan confrontational dan dengan yang demikian, ABIM
menjadi vokal terhadap beberapa dasar dan pendirian
pemerintah.
************************************
Era kepimpinan Ustaz
Razali Nawawi dan DSAI digelar “Era Radikal Pergerakan Pelajar.”
Kecenderungan ABIM ketika itu lebih kepada bergerak secara radikal. Pendekatan
ini dirasakan sesuai dengan tuntutan dan keperluan era itu.
Sewaktu DSAI mendekam di
bawah ISA, jawatan Presiden ABIM dipangku oleh Ustaz Fadzil Noor. Ustaz
Fadzil Noor pernah menjadi Setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976),
Setiausaha Penerangan ABIM (1973-1974) dan Timbalan Presiden ABIM (1974-1978).
ABIM yang ditubuhkan pada
tahun 1971 telah mengisi kelompangan dunia ‘anti-establishment’ akibat
PAS yang menyertai kerajaan campuran. Ustaz Fadzil ialah orang penting ABIM
selain daripada Ustaz Wahab Zakaria, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz
Abdul Ghani Shamsuddin, Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, dan lain-lain.
Ustaz Fadzil disifatkan oleh Anwar Ibrahim sebagai orang yang banyak dirujuk
oleh beliau dalam menggerakkan ABIM sebagai gerakan sosio-dakwah yang penting
dalam dekad 70an. Jaringan kader ABIM di seluruh negara ini juga akhirnya telah
membawa ramai pemimpin dan ahli ABIM menyertai PAS pada awal tahun 80an,
terutamanya selepas DSAI menyertai UMNO. ABIM yang dilihat lebih moderat
daripada PAS, telah dianggap sebagai ‘sayap Pemuda PAS’ di kampus-kampus
seluruh tanah air dan luar negara.
Sepanjang penglibatan dalam
ABIM sebagai sosok utama perjuangan, Ustaz Fadzil turut terlibat dalam
demontrasi menentang isu kemiskinan di Baling, Kedah tahun 1974. Beliau
juga terkenal sebagai penggiat tarbiah dalaman ABIM. Beliau banyak bergerak
mengisi program usrah, tamrin dan seminar perkaderan di pelbagai tempat.
Gerakan belia Islam ini juga banyak menerbitkan buku-buku fikrah dan harakah
yang dituang oleh tokoh-tokoh seperti Hasan Al Banna, Sayyid Qutb, Maududi,
apatah lagi ABIM menjadi gerakan fenomenal di kampus pada dekad 70an.
Kemudian, bersama-sama
beberapa pemimpin kanan ABIM yang lain, Ustaz Fadzil Noor menyertai PAS
menjelang pilihan raya dan bertanding atas tiket PAS. Antaranya ialah Nakhaei
Haji Ahmad (Dato’ Haji), Haji Abdul Hadi Awang (Datuk Seri), Ustaz Abdul Halim
Arshad dan Ustaz Yahya Othman. Ustaz Hadi Awang yang merupakan
Ketua (Yang DiPertua/Pengerusi) ABIM Terengganu, kemudiannya menjadi tokoh
pemidato terkenal PAS. Beliau berjaya mengumpul pengikut yang ramai di Masjid
Rusila, Marang dan seluruh negara, menerusi ceramah-ceramahnya yang keras dan
berkesan.
* Untuk kupasan ringkas
berkenaan biodata Ustaz Hadi Awang, boleh rujuk pautan ini: Ayah
Chik: Presiden PAS.
*****************************************
2.3. DSAI ditahan di
bawah ISA.
Pada 3 Disember 1974, DSAI
ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dipenjarakan. Dalam
tempoh ini, jawatan presiden sementara dipegang oleh Timbalan Presiden, Fadzil
Noor (Almarhum Dato’). DSAI sepatutnya akan memegang jawatan Presiden
sehingga akhir tahun 1983. Tetapi, beliau meletakkan jawatan pada 27 Mac 1982
dan meninggalkan ABIM pada 29 Mac 1982 untuk menyertai UMNO (sewaktu berusia 35
tahun).
Perletakan jawatan beliau
sebagai Presiden ABIM dan seterusnya mengaktifkan diri di dalam UMNO
sememangnya tidak diduga oleh pelbagai pihak sama ada rakan-rakan beliau dari
dalam ABIM ataupun dari pertubuhan-pertubuhan sukarela yang lain. DSAI
mengumumkan keputusannya untuk bergerak cergas dalam politik UMNO ‘kerana
kagum dan yakin dengan pentadbiran dan corak perjuangan Dr Mahathir’. Disaksikan
Dr M, DSAI dengan penuh sedar menyatakan kepada wartawan bahawa, “Saya
memilih UMNO kerana ia memberi ruangan kepada saya untuk meneruskan perjuangan
saya dan saya memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri dan parti yang beliau
pimpin. Kami berharap akan dapat bekerjasama untuk kebaikan rakyat negara ini.”
Namun, sewaktu dibicarakan
di Mahkamah Tinggi pada 8 Februari 1999, DSAI mendedahkan bahawa beliau telah
pun ‘mula jadi ahli UMNO tahun 1967, tetapi aktif hanya pada 1982’. Malahan,
pada 14 Mei 2011, ketika berucap dalam Forum Pengkisahan Semula Angkatan Belia
Islam (ABIM) di Unisel (cawangan Shah Alam), DSAI membuat pengakuan terbuka
bahawa beliau tidak pernah menyesal menyertai Umno pada 1982. Menurut beliau, “Saya
tidak pernah kesali dengan keputusan menyertai UMNO. Pengalaman itu juga
mematangkan saya.”
*****************************************
2.4. Era Kematangan:
Ke arah pendekatan menangani dan menyelesaikan masalah (problem-solving).
Pada dekad kedua, iaitu tahun-tahun
1980-an, kepimpinan ABIM beralih kepada Ustaz Siddiq Fadzil (Dato’ Dr)
sebagai Presiden ketiga pada tahun 1983. Beliau telah menerajui ABIM
sebagai presiden setelah DSAI melepaskan jawatan tersebut untuk berjuang
melalui wadah politik, UMNO-BN. Di bawah pimpinannya, ABIM telah berjaya
diletakkan sebagai wadah perjuangan belia Islam yang mantap dan mempunyai
kewibawaannya yang tersendiri. Dilahirkan pada 4 Januari 1947 di Kampung
Sungai Tiang Darat, Bagan Datuk, Perak. Beliau telah mendapat pendidikan awal
di Sekolah Rendah Sungai Tiang Darat, pendidikan menengah di Sekolah Izzuddin
Shah, Ipoh dan Maktab Perguruan Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Seterusnya
melanjutkan pengajian di Universiti Malaya sehingga lulus B.A. (Hons) dalam
bidang Pengajian Islam pada tahun 1974.
Kemudian, beliau bertugas
sebagai tutor di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di samping meneruskan
pengajian di peringkat sarjana di universiti yang sama dan seterusnya mendapat
M.Litt pada tahun 1978 dan ijazah kedoktoran Ph.D pada tahun 1990. Selepas
itu, bertugas di Institut Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains
Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, UKM. Sehingga kini beliau telah banyak
menulis buku dan membentangkan kertas dalam pelbagai seminar. Di antaranya
ialah ‘Sejarah Orang Cina di Tanah Melayu’, ‘Kebangkitan Umat Islam:
Pernyataan dan Harapan’ dan ‘Tafsir Di Bawah Naungan Al Quran’:
Jilid 1 dan 2 (Terjemahan ‘Tafsir Fii Zilaalil Quran’, oleh Syed Qutb).
Sesetengah kalangan menganggap
beliau sebagai satu-satunya cendekiawan Muslim mutakhir di Malaysia yang
berjaya mencapai taraf ulamak pemikir yang prolifik dan mempunyai authoriti
dalam memperkatakan persoalan dakwah di Alam Melayu. Dalam era kepimpinan
beliau, ABIM banyak menumpu usaha dakwah bil hal atau dakwah
di dalam bentuk praktis bagi tujuan menyelesaikan permasalahan masyarakat dan
umat secara lebih berkesan.
*************************************
Pendekatan ABIM sewaktu
dekad kedua ini ditandai oleh perubahan orientasi ke arah pendekatan menangani
dan menyelesaikan masalah (problem-solving). Semenjak itu, beberapa
institusi dakwah di bidang pendidikan dan perekonomian telah dikembangkan
seperti Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI), Sekolah Rendah Islam (SERI),
Sekolah Menengah Islam (SEMI), Institut Pengajian Ilmu-ilmu Islam (IPI),
Koperasi Belia Islam Malaysia (KBI) dan Islamic-Outreach ABIM (IOA).
******************************************
Dikenali sebagai ‘Otai
ABIM’, Ustaz Siddiq merupakan antara penggerak awal gerakan pemuda / belia
Islam yang ‘sedar’ dan ‘bertindak’ memperjuang kebenaran, menegakkan keadilan
bagi rakyat marhaen yang terpinggir (marginalized marhaen). Kuliyah
Tafsir Maudhui’y di bawah pimpinan Ustaz Siddiq Fadzil sejak 1998 telah
banyak mentafsirkan tema-tema besar Al-Quran seperti ilmu dan pendidikan,
keadilan, sosiobudaya, ekonomi, dakwah, politik, pemerintahan negara, dan
sebagainya. Ustaz Siddiq Fadzil menegaskan bahawasanya, sejarah perjuangan
ABIM adalah sejarah umat, kerana pada masa berdirinya ABIM: “...kita telah
mampu mencatat sejarah sangat penting, dan segala gerakan-tindakan dan
perancangan kita bukan main-main (sangat serius) dan hari ini dirasakan
hasilnya juga tidak main-main.” Era kepimpinan Ustaz Siddiq Fadzil digelar “Era
Kematangan” -- dengan tumpuan perjuangan ABIM berganjak dari politik ke
penyebaran dan pengajaran agama Islam. Dr. Siddiq Fadzil memegang jawatan
Presiden selama lapan tahun, iaitu dari tahun 1983 hingga 1991.
________________________________
2.5. Era rakan dalam pembinaan negara (partner
in nation-building).
Ketika dekad ketiga -- 1990-an -- pula, Dr
Muhammad Nur Manuty telah mengambil alih kepimpinan ABIM sebagai Presiden
keempat pada tahun 1991. Dalam era ini, ABIM terlibat dengan aktif di
dalam proses pembinaan negara serta mengukuhkan gerakan kependidikan,
kemasyarakatan dan ketamadunan. ABIM juga mula mengembangkan peranannya di
bidang khidmat antarabangsa dengan membantu umat Islam yang menghadapi musibah
seperti di Afghanistan dan Bosnia Herzegovina. ABIM yang berada di bawah
kepimpinan Dr Muhammad Nur Manuty berperanan lebih proaktif sebagai rakan dalam
pembinaan negara (partner in nation-building). Sewaktu era Dr. Nur
Manuty, ABIM lebih cenderung bergerak ke arah bekerjasama dengan kerajaan. Dr.
Nur Manuty menjadi Presiden selama tiga sesi dari tahun 1991 sehingga 1997.
Dilahirkan di Taiping pada tahun 1949,
beliau telah menyempurnakan pendidikan asas di Sekolah Menengah Izuddin Shah,
Ipoh dan kemudiaannya di Kolej Islam Malaya. Setelah memperolehi sarjana
muda dalam penghususan Usuluddin dan Falsafah dari Fakulti Pengajian Islam, UKM
pada tahun 1974, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Islam dan
Perbandingan Agama di peringkat M.A dan PhD di University of Temple,
Philadephia, Amerika Syarikat di bawah bimbingan Prof. Ismail R. al Faruqi,
Prof. Seyyed Hoosein Nasr dan Prof. Mahmoud Ayyub. Beliau merupakan ahli
akademik yang pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Arab dan
Tamadun Islam, UKM (1974-1983). Di Universiti Islam Antarabanga Malaysia,
beliau berkhidmat di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama (1989-1999), yang
terakhir sebagai Professor Madya. Beliau juga pernah diamanahkan sebagai Dekan
Hal Ehwal Pelajar di UIAM. Selain kerjaya akademik beliau, Dr Muhammad Nur
Manuty merupakan seorang aktivis sosial. Beliau aktif menulis dan menterjemah
pelbagai judul buku, artikel dan makalah ilmiah serta sering dijemput
membentangkan kertas kerja di pelbagai persidangan dalam dan luar negara.
Antara tahun 1993 hingga 1995, penduduk
Islam Bosnia telah dizalimi oleh puak Serbia yang tidak berpuas hati dengan
pengisytiharan kemerdekaan Bosnia daripada Persekutuan Yugoslavia yang turut
merangkumi Croatia dan Serbia-Montenegro. Kempen pembersihan etnik itu memakan
korban awam melebihi angka 100,000 orang. Di Malaysia, Angkatan Belia Islam
Malaysia (ABIM) ialah antara pertubuhan terawal yang membangkitkan keprihatinan
masyarakat dan kerajaan persekutuan terhadap nasib yang menimpa masyarakat
Bosnia. ‘Tabung Bosnia’ dilancarkan dengan kerjasama Berita Harian
dan Utusan Malaysia. Sumbangan kewangan dan perubatan berkenaan ialah petanda
sokongan moral rakyat Malaysia terhadap penderitaan masyarakat Bosnia ketika
itu. ABIM juga melancarkan ‘Tabung Pelarian Islam Rohingya’ pada 1992 dan Pusat
Informasi Rohingya bagi membela nasib umat Islam Rohingya yang menderita
apabila ditindas kumpulan pengganas yang disokong oleh Kerajaan Myanmar.
Pada 1 Julai 1994, Dr Muhammad Nur Manuty
yang ketika itu menjawat jawatan Presiden ABIM, telah membuat satu kenyataan akhbar
berkenaan sokongan ABIM untuk membantu pihak Kerajaan dalam mengangani masalah
Al-Arqam. ABIM telah menawarkan untuk memberikan penerangan menerusi
program-program dan seminar di seluruh negara. Sewaktu menyampaikan Ucapan
Dasar bertajuk “Ketahanan Umat: Penjanaan Generasi Abad 21”, pada
Muktamar ABIM 1994, Dr Manuty menyatakan bahawa, “Gerakan Islam pada hari
ini turut terpanggil untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi memurnikan
semula aqidah sebahagian umat Islam. Kita tidak seharusnya membiarkan masyarakat
awam di negara ini menjadi keliru dan ragu dengan pegangan agama yang tidak
mengikut manhaj Ahlu’s Sunnah wal-Jama’ah”.
Sementara itu, dalam Koleksi “Ucapan
Dasar Muktamar Sanawi ABIM: Keprihatinan Umat dan Transformasi Sosial”, Dr
Manutty menyatakan bahawa, “Sesungguhnya dunia Islam memerlukan
pemimpin-pemimpin yang beramanah, ikhlas, berakhlak tinggi, berbudaya ilmu,
iltizam dengan perjuangan, fatanah (bijaksana) serta berwawasan. Jika ciri-ciri
sedemikian dapat dipenuhi, dunia Islam pasti akan berubah dari keadaan yang
daif menjadi negara yang bermaruah.”
Sewaktu era Reformasi, Dr Nur Manutty
terlibat aktif dalam Parti KeADILan Nasional (KeADILan) yang kemudiannya
dikenali sebagai Parti KeADILan Rakyat (PKR). Antara jawatan yang pernah
disandang beliau ialah Naib Presiden dan Anggota (Jemputan) Biro Politik
PKR. Kemudian, beliau menjadi Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan
Agama PKR, Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan
Pengarah Centre for Studies in Modernity and Civil Society (CESMACS)
[Pusat Kajian Modeniti dan Masyarakat Madani]. Di bawah kepemimpinan Ustaz
Siddiq Fadzil dan Dr Muhammad Nur Manuty, ABIM mengambil pendekatan berbeza,
tidak lagi melaung tetapi berbisik, tidak lagi menggempur tetapi memujuk, tidak
lagi konfrontasi terus-menerus dengan pemerintah tetapi melalui ‘corrective
participation’.
____________________________________________
2.6. Era meletakkan
sikap dan Agenda Penyatuan Ummah.
Pada September
1997, SaudaraHaji Ahmad Azam Abdul Rahman telah
dipilih sebagai Presiden ABIM yang kelima di Muktamar Sanawi ABIM ke-26 di Alor
Setar, Kedah. Sebelum menjadi Presiden, beliau memegang beberapa jawatan
penting dalam ABIM, termasuk; Ketua Biro Perancangan dan Pengembangan ABIM,
Penolong Setiausaha dan Setiausaha Agung. Dalam alaf baru, beliau membawa
tema pemugaran semula idealisme untuk menggilap semula dinamika perjuangan
serta agenda pemersatu ummah, bertepatan dengan tuntutan semasa yang begitu
mendesak. ABIM terus menjadi jurubicara umat dalam pelbagai dimensi agar umat
seluruhnya terpelihara iman, nyawa, harta, maruah, kebebasan, hak dan keselamatan
mereka. Sewaktu era ini, ABIM telah memperkukuhkan peranannya di arena
antarabangsa menerusi penubuhan Misi Keamanan Sejagat – Global Peace
Mission (GPM). Saudara Haji Azam memegang beberapa jawatan
seperti Naib Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Pengerusi Future
Global Network Foundation (FGN) dan Ahli Jawatankuasa Kanan
dalam International Movement for a Just World (JUST), dan
ahli Transparency International Malaysia. Pada bulan Disember 2007,
beliau telah dilantik sebagai Pengerusi kepada Commission for Social,
Humanitarian and Solidarity Union of NGO’s of The Islamic World (UNIW).
*********************************
2.6.1. Gerakan
Reformasi di Malaysia.
Era kepimpinan Saudara Haji
Azam ini juga ditandai oleh kemelut politik tanahair sehingga tercetusnya ‘Gerakan
Reformasi’. Tindakan ABIM yang menyatakan pendirian menyokong DSAI dalam
isu pemecatan mantan TPM itu, membawa kepada penahanan empat pemimpin utamanya
di bawah ISA pada 21 September 1998. Antara yang ditahan ialah Haji Ahmad Azam
(Presiden); Mukhtar Redhuan (Timbalan Presiden); Shaharuddin Badaruddin
(Setiausaha Agung) dan Abdul Halim Ismail (Naib Presiden). Turut ditahan ialah
Presiden PKPIM ketika itu, Amidi Datuk Abdul Manan dan Ketua Pergerakan Pemuda
UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi.
ABIM telah menyumbang dengan
konstruktif menggagaskan ‘Agenda Penyatuan Ummah’ terhadap seluruh
masyarakat Melayu-Islam di Malaysia. Pada 8 Mei 2002, Perdana Menteri Malaysia
ketika itu, Dato’ Dr. Seri Mahathir Mohamad (kini Tun) yang juga merupakan
Presiden UMNO telah dipertemukan dengan (Almarhum) Dato’ Fadzil Noor (Presiden
PAS merangkap Ketua Pembangkang Parlimen ketika itu) di Balai Tun Syed Nasir,
DBP. Majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Dato’
Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) dan Timbalan Presiden PAS ketika itu,
Dato’ Seri Abdul Hadi Awang ini disaksikan di secara langsung di seluruh
negara. Program ini adalah suatu peristiwa penting dalam sejarah politik negara
kita. Ianya mendapat liputan secara langsung oleh RTM. Program penuh gemilang
ini antara lain ialah hasil usaha Presiden ABIM ketika itu, Saudara Haji Ahmad
Azam Abdul Rahman dan (Allahyarham) Dato’ Rahim Bakar, ketika itu adalah
Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Peristiwa ini masih dikenang
sehingga hari ini, dan menjadi antara peristiwa penting sepanjang era
kepimpinan Saudara Haji Azam dalam memegang jawatan Presiden ABIM kelima dari
tahun 1997 hingga 2005.
_______________________________________________
2.7. Era Pengukuhan
Pendekatan Dimensi Islam di Malaysia.
Pada Ogos 2005 pula, Dr
Yusri Mohamad dipilih sebagai Presiden ABIM yang keenam di Muktamar Sanawi
ABIM ke-34. Dr Yusri merupakan mantan Presiden PKPIM sesi 1995/1996 dan sesi
1996/1997. Dr Yusri dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1972.
Bapa beliau, Allahyarham Dato’ Haji Mohamad bin Che Wook merupakan bekas Mufti
Besar Kelantan. Bapa dan ibunya, Datin Hajjah Nik Zahrah Nik Yahya, merupakan
antara generasi awal graduan Melayu lulusan Mesir. Dr Yusri menerima
pendidikan menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada tahun 1985-1989
dan kemudian melanjutkan pengajian di UIA dalam bidang undang-undang (LLB) pada
tahun 1995 dan undang-undang (syariah) (LLB(S) pada tahun 1996. Pengajian
sarjana undang-undang (LLM) (Undang-Undang Islam) di School of Oriental and
African Studies (SOAS), University of London, England dan pengajian PhD dalam
bidang Teori Perundangan Islam di UIA.
Dalam era kepimpinan beliau,
ABIM telah menyumbang dengan aktif di dalam aspek kenegaraan terutama berkaitan
isu kedudukan istimewa Islam di dalam perlembangaan dan persoalan syariah di
dalam masyarakat majmuk. Di bawah kepimpinan Dr Yusri, beliau menekankan
aspek sufisme dan spiritualisme. Beliau menegaskan peri-pentingnya untuk ABIM
mengamal dan menggunapakai dimensi tasawwuf, akhlak dan ihsan yang telah
ditinggalkan oleh gerakan Islam. Hal tersebut adalah bagi memperkukuhkan
pendekatan dimensi Islam/Syariah, fiqh, iman, aqidah dan tauhid yang diserap
dalam gerakan Islam selama ini. Dr Yusri menggunakan tamsilan As-Syahid Hassan
al-Banna (mantan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimun) yang merupakan pengamal ‘tariqah’
(tarekat) sebagai rujukan utama. Sewaktu menerajui ABIM, Dr Yusri turut
aktif bersama Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) selaku Pengerusi
NGO tersebut.
*************************************
Sewaktu era Reformasi, Dr
Yusri pernah memegang jawatan selaku Setiausaha Politik Datin Seri Wan Azizah
Wan Ismail, isteri DSAI. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Biro Hal Ehwal
Mahasiswa, Pemuda Parti KeADILan Nasional (KeADILan).
*************************************
Dr Yusri juga merupakan
penerima Anugerah Pingat Jasa Belia sempena sambutan Hari Belia peringkat
kebangsaan, yang dilangsungkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya
(PICC). Anugerah ini diberikan sebagai menghargai jasa dan sumbangan yang
diberikan oleh mantan-mantan pimpinan belia dalam menggerakkan aktivisme belia
terutama sekali di peringkat akar umbi. Anugerah disampaikan oleh Y.A.B Perdana
Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
*************************************
Dr Yusri pernah aktif
bersama Yayasan Sofa dan menjadi Pengerusi Bersama Himpunan Sejuta Umat
Selamatkan Akidah (HIMPUN). Di dalam HIMPUN, Dr Yusri menjalinkan kerjasama
yang erat bersama-sama Dr Hassan Ali [Presiden Jalur Tiga (JATI)] dan mantan
pimpinan ABIM seperti Ustaz Ismail Mina [Pemimpin Pertubuhan Muafakat Sejahtera
Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)] dan Prof Dr ‘Cikgu’ Sidek Baba (Mantan Timbalan
Rektor UIA dan kini Profesor Pendidikan di universiti yang sama).
_________________________________________________
2.8. Era Pengukuhan
Kerjasama WADAH-ABIM-PKPIM.
Peralihan kepimpinan ABIM
telah berlaku pada Ogos 2009 di mana Dr Muhamad Razak Idris telah
dipilih sebagai Presiden ABIM yang ketujuh. Beliau berkhidmat di Jabatan
Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM). Dr Razak merupakan mantan Timbalan Presiden PKPIM sewaktu Saudara Haji
Amidi Abd Manan menjadi Presiden pertubuhan pelajar Islam tersebut. Dr Razak
menuntut ABIM mempersiapkan masyarakat untuk mendepani era terbuka. Menurut
beliau, “ABIM pada alaf baru harus mempersiapkan masyarakat terutama
generasi muda mendepani era masyarakat terbuka. Realiti dunia bersifat global
menuntut persediaan luar biasa terutama dari segi ketahanan ilmu dan budaya.
Jika tidak, masyarakat kita berdepan krisis jatidiri yang parah. Kita tentu
tidak menginginkan negara mencapai status maju namun asing di tanah air akibat
jati diri yang larut dalam kebudayaan asing. Inilah agenda besar dakwah ABIM
untuk beberapa dekad mendatang.”
*************************************
Dr Razak menyatakan bahawa
matlamat terakhir Islamisasi ialah bagi membina dan membangunkan semula satu
ummah yang kuat sehingga mampu digelar sebagai ummat terbaik atau ‘khaira
ummah.’ Hal yang demikian, pembinaan ummah terbaik adalah satu tuntutan
asas bagi usaha menangani cabaran kemunduran peradaban yang sedang dialami umat
Islam hari ini. Berasaskan kerangka cita-cita dan matlamat inilah, Islamisasi
sebagai satu tema dakwah dijayakan oleh ilmuwan dan pendakwah. Proses penjayaan
ini sudah dilangsungkan sekian lama dan menghasilkan natijah tersendiri. Antara
kesannya ialah kemunculan suatu fenomena yang sering dirujuk di dalam diskusi
pemikiran sebagai ‘gelombang kebangkitan Islam’ atau ‘al-nahdah al-Islamiah’
di seluruh dunia Islam.
******************************************
2.8.1. Ijtimak
Harakiy WADAH-ABIM-PKPIM yang pertama.
Di bawah kepimpinan Dr
Razak, Ijtimak Harakiy, iaitu perhimpunan membabitkan tiga serangkai
gerakan Islam utama: Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Angkatan Belia
Islam Malaysia(ABIM), dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
[WADAH-ABIM-PKPIM] telah berjaya direalisasikan. Perhimpunan yang telah
berlangsung sebanyak dua kali ini telah mencipta sejarah tersendiri dalam
perkembangan Islam di negara ini. Sewaktu Ijtimak Harakiy kedua yang
dilangsung pada 22-24 Julai 2011, Dr Razak telah menyeru kepada sidang muktamar
agar menekankan soal ‘islah’ sebagai asas yang mendasar kepada ‘change’
(perubahan): bukan sekadar perubahan kosong (for the sake of change),
tetapi jauh lebih penting – berubah kepada sesuatu yang jauh lebih baik.
Justeru itu, semua ahli digesa tidak hanya ‘berbicara sekadar untuk berbicara’,
dan mesti berubah daripada yang fasad (buruk) kepada yang jauh
lebih baik. Dr Razak juga mengimbau sirah perjuangan ABIM dengan
menyatakan bahawa perlunya watak unggul generasi Khaira Ummah dan kehalusan
akal budi diperjuangkan oleh angkatan belia baru: belia Ulul Albab.
2.9. Era Mengimbangi
Fiqhul Waqi’ dan Fiqhun Nusus serta Pengukuhan Semula Hubungan Antarabangsa.
Sewaktu Muktamar Sanawi
(Mesyuarat Agung Tahunan) ABIM ke-40 yang dianjurkan di Kolej Dar Al Hikmah,
Sungai Ramal, Saudara Haji Amidi Datuk Haji Abdul Manan telah diangkat
selaku Presiden ABIM kelapan (bagi sesi 2011/2012). Muktamar Sanawi ke-40 ABIM
tersebut mengangkat tema ‘Memacu Wawasan Tamadun Khayra Ummah’. Sekali lagi, Saudara Amidi dilantik sebagai Presiden ABIM untuk sesi 2013/2014. Saudara
Amidi merupakan mantan Presiden PKPIM sesi 1997/1998 dan sesi 1998/1999. Beliau
juga pernah dilantik menjadi YDP ABIM Pahang untuk sesi 2005-2009.
Beliau pernah menukilkan
bahawa, “…Budaya ilmu seharusnya mengandungi rantaian tindakan yang
berupa pemikiran, nilai, amalan dan rangka kerja yang berteraskan ilmu. Mungkin
tempoh 3 hingga 6 tahun di pusat pengajian tinggi amat singkat untuk memahami
dan mengamalkan dengan sebenar-benarnya budaya ilmu, namun benih kesedaran
perlu disemai bagi melahirkan generasi Mahasiswa Malaysia yang perkasa.”
Menurut Saudra Haji Amidi,
sebagai sebuah pertubuhan belia, ABIM perlu menyesuaikan semula setiap gerak
kerja yang dirancang supaya bersesuaian dengan akta berkenaan. ABIM akan
lebih menumpukan usaha mempergiatkan gerakan dakwah, mendekati masyarakat
terutama generasi muda menjadikan Islam sebagai cara hidup mengikut kesesuaian
semasa khasnya dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Di bawah
kepimpinan Haji Amidi, ABIM menekankan bahawa perlunya keganasan politik
ditolak dan politik matang dijulang. Haji Amidi menggesa semua pihak termasuk
parti politik agar menghentikan gejala keganasan politik sambil menambah
insiden itu boleh diatasi sekiranya rakyat berpegang kepada prinsip “negara
barakah”. Prinsip negara barakah mengangkat tinggi prinsip, nilai akhlak,
etika dan moral. Di bawah kepimpinan beliau, gerakan dakwah ABIM kini
tidak lagi tertumpu pendekatan Amal Jama’i (amal yang dilakukan secara
bersama dan tersusun dalam sebuah gerakan dakwah), tetapi mengalami proses
transformasi yang menjadikan dakwah lebih segar, baru dan sesuai dengan watak
anak muda hari ini.
_________________________________________________
Lagu ABIM:
__________________________________________
3.0. Syed Muhammad
Naquib al-Attas: Tokoh Cendekiawan Ulung.
Prof Dr Syed Muhammad Naquib
al-Attas lahir di Bogor dan mendapat pendidikan awal di Sukabumi
dan Johor Bahru. Kemudian belia menuntut di Royal Militrary Academi, Sandhurst,
England sebelum pergi ke Universiti Malaya, Singapura. Beliaulah orang
yang mengilhamkan logo ABIM dan mencetuskan idea penerbitan dan penamaan
Risalah ABIM. Beliau dianugerahkan Ijazah Sarjana (Cemerlang) dalam bidang
Falsafah Islam di Universiti Mc Gill, Kanada pada 1962 dan Ph.D dari University
of London dalam bidang teologi dan metafizik Islam. Beliau menjadi salah
seorang pengasas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) apabila universiti itu
ditubuhkan. Di situ, beliau memegang pelbagai jawatan selain daripada
jawatan-jawatan di Universiti Malaya dan di universiti-universiti lain di luar
Negara sebagai profesor pelawat. Professor Muhammad Naquib mempunyai
pengalaman yang luas dalam bidang akademik dan beliau telah menulis lebih
daripada dua puluh judul buku dalam bidang falsafah, metafizik, sejarah,
kesusasteraan, seni, pendidikan dan peradaban. Banyak hasil tulisannya
diterjemah ke dalam pelbagai bahasa di dunia.
Sebagai cendekiawan Islam
beliau telah memberi sumbangan yang tidak ternilai terhadap pengislaman ilmu
dan juga pendidikan Islam. Dalam ABIM, beliau menjadi orang yang
bertanggungjawab mengasaskan landasan dan hala tuju intelektualnya melalui siri
ceramah dan diskusi ilmu. Prof Dr Syed merupakan Pengasas dan Pengarah
Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC). Beliau telah
menyumbang dalam bidang keagamaan, bahasa, budaya, kesusasteraan dan
mempertingkatkan tahap nasionalisme di Malaysia. Karya-karya beliau dijadikan
bahan rujuk dan kajian oleh mahasiswa dan cendekiawan Islam seluruh
dunia. Pada 11.05.2011, Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas telah
diaugerahkan Tokoh Melayu Terbilang UMNO dalam satu majlis
yang diadakan sempena ulangtahun Umno ke-65 yang diadakan di Pusat Dagangan
Dunia Putra (PWTC). Anugerah disampaikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia,
Datuk Seri Najib Tun Razak.
___________________________________________
4.0. Khatimah.
Empat dasawarsa ABIM sudah
bertapak dengan pelbagai program dan amal usahanya,memiliki Taski, sekolah
rendah dan menengah serta mempunyai Kolej Dar Al Hikmah, mempunyai hospital,
pusat dakwah untuk saudara baru, koperasi belia Islam. ABIM juga mempunyai
hubungan antarabangsa yang ikrab dan erat, antara lain dengan: World Assembly
of Muslim Youth (WAMY), World Council of Muslim Inter-Faith Relations (WCMIR),
International Institute of Islamic Thought (IIIT) dan International
Islamic Federation of Islamic Organizations (IIFSO). Sementelahan, ABIM
senantiasa menjalinkan hubungan baik dengan gerakan Islam di merata tempat,
termasuk Mesir (Ikhwanul Muslimin), Turki (Parti Adalet ve Kalkinma
Partisi atau Parti Keadilan dan Kesejahteraan: AKP), Arab Saudi (Rabitah
Islami), Pakistan (Jamaat e-Islami), Bangladesh (Bangladesh
Islami Chhatra Shibir), Australia (Australian Federation of Islamic
Council: AFIC), dan England (The Islamic Foundation).Untuk
regional, jelas, ABIM mempunyai jalinan yang mesra dengan gerakan dakwah di Indonesia,
bukan hanya dengan Dewan Dakwah Islamiyah (Indonesia), tetapi juga Regional
Islamic Southeast Asia and the Pacific (RISEAP), Council of ASEAN Youth
Coordination (CAYC), ASEAN Muslim Secretariat (AMSEC), Muhammadiyah,
Nadhatul Ulama (Indonesia), Young Muslim Association of Thailand (YMAT),
Darul Arqam Singapura, Ikatan Cendekiawan Muslim Indonesia (ICMI) dan Majlis
Ulama Indonesia.
Apalagi setelah adanya
PKPIM, ABIM yang kini dipimpin oleh kini dipimpin oleh generasi belia di bawah
usia 40an dengan; berserta panduan berguna daripada ahli-ahli senior dalam
WADAH.Tuntasnya, dalam soal menggambarkan sejarah dan perjuangan ABIM,
molek kiranya kita menghayati kata-kata hikmah ungkapan Dr Siddiq Fadzil pada
tahun 1982 ini:“...Gerakan kita terangkai dalam kesinambungan siri
perjuangan para mursalin dan mujahidin di sepanjang usia dunia yang pada
pokoknya membawa misi yang sama: membawa manusia mengabdikan diri seutuh dan
setulusnya kepada Allah, mengabdi dalam erti yang setulen dan seluas-luasnya, tunduk
dan akur sepenuhnya kepada ajaran Samawi, patuh dan setia sebulat-bulatnya
kepada tatahidup rabbani.” Julang semangat zaman. Khalas.
Sumber
daripada bahan bercetak (buku, majalah dan jurnal):
Ahmad Awang. Islam
di Malaysia: Cabaran Sepanjang 80-an, 15 Januari 1980. Dewan Masyarakat;
Badlihisham Mohd Nasir, Da’wah And The Malaysian Islamic Movements,
2003. Semenyih: Synergymate Sdn. Bhd.;
Badlihisham Mohd Nasir, Dinamisme Gerakan Islam Dan Cabaran Semasa,
2008. Shah Alam Karisma Publication Sdn. Bhd.;
Buku-buku tulisan Ahmad Luthfi Othman “Memo Buat Bakal PM” (1993); “Anwar
Lawan Ghafar” (1993); “Layakkah Anwar Ketuai Reformasi?” (1998); “Anwar
: Skandal Seks atau Konspirasi Poitik” (1998) dan “Anwar Boneka Barat?”
(1999);
Chandra Muzaffar. Islamic Resurgence in Malaysia, 1987. Petaling Jaya:
Penerbit fajar Bakti Sdn Bhd.;
Mohamad Fauzi Zakaria. Pengaruh Pemikiran Assyahid Sayyid Qutb Terhadap
Gerakan Islam di Malaysia, 2007. Kuala Lumpur: Jundi Resources;
Mohd Aizat Mohd Salleh al-Hafiz. Pemikiran Tuan Guru, 2011. PTS
Millennia Sdn Bhd.;
Riduan Mohammad Nor. Terbitan Sejarah & Perkembangan Gerakan Islam
Abad Moden, 2007. MHI Publication;
S.Husin Ali. The Malays: Their Problems and Future, 1981. Petaling Jaya:
Heinemann Educational Books (Asia) Ltd.;
S. H. Al-Attas. Anwar Ibrahim : Wira, Juara atau Penderhaka, 1999.
Jaharah Enterprise;
Syaikh Yusuf al-Qaradhawi. Kebangkitan Gerakan Islam: Dari Masa Transisi
Menuju Kematangan (al-Shahwah al-Islamiyyah min al-Murahiqah ila al-Rusyd),
2003. Jakarta: Pustaka al-Kautsar; dan
Syed Naquib, Al-Attas. Islam and Secularism, 1978. Kuala Lumpur:
Angkatan Belia Islam Malaysia.