Rabu, Januari 09, 2013

Piala Malaysia 1978: Selangor lawan Singapura (4-2).

SuperMokh, ketika satu perlawanan persahabatan di Australia.
Supermokh, 1978.
Jersi Selangor FA (1978) oleh
Saudara Azmie Switchimage. 
Wong Hung Nung, lagenda Selangor yang
mula beraksi bersama skuad tersebut
pada tahun 1978.
Santokh Singh, 1978.
Soh Chin Aun, ketua pasukan
Selangor untuk musim  1978.
Skuad bintang Singapura FA.
Dollah Kassim dalam satu aksi
epik sewaktu menentang Pulau Pinang.
Allahyarham Dollah Kassim, antara pemain
terbilang Singapura. Seorang yang
berdisiplin dan berjiwa besar.
Al-Fatihah.
Piala Malaysia 1975: Supermokh dan Aru The Spiderman
dalam kenangan.
1.0. Piala Malaysia 1977
Piala HMS Malaya yang kemudiannya dikenali sebagai Piala Malaysia pada 1967, telah mula disertai dan didominasi oleh Singapura FA dan skuad Selangor FA sejak edisi sulungnya pada 1921. Hal yang demikian, Piala Malaysia merupakan kejohanan bola sepak tertua di Asia. Pada 28hb Mei 1977, Singapura FA menjuarai Piala Malaysia -- di bawah kendalian jurulatih lagenda mereka yang sangat tegas, Choo Seng Quee (‘Uncle Choo’) – selepas menewaskan Pulau Pinang, 3-2. Perlawanan di Stadium Merdeka itu mengakhiri penantian selama 12 tahun Singapura untuk mengulangi kejayaan memenangi Piala Malaysia. 

Sebelum itu, ketika perlawanan separuh akhir pertama antara Singapura dan Selangor pada 1977, Supermokh menjaringkan satu gol cantik, menerusi rembatan kencang dari jarak 25 meter, menewaskan Edmund Wee, selepas melepasi halangan Samad Allapitchay. Apa yang lebih menarik ialah, gol cantik tersebut dijaringkan oleh Supermokh yang baru sahaja kembali, selepas menjalani pembedahan lutut yang serius. Ketika berusia 23 tahun, Mokhtar diiktiraf sebagai penyerang terbaik Asia oleh majalah “World Soccer” dan turut dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada tahun 1976.

Tragedi hitam 13hb Mei 1977 di Stadium Nasional,
Singapura, apabila peminat berpusu-pusu
dan saling tolak-menolak untuk
membeli tiket.
Laungan Kallang, dalam kenangan.
2.0. Tragedi 13hb Mei 1977
Bagaimanapun, perlawanan Separuh Akhir Piala Malaysia antara Singapura dan Selangor pada 13hb Mei 1977 di Stadium Nasional, Singapura, mencatatkan sejarah hitam, apabila orang ramai yang beratur untuk membeli tiket di Stadium Nasional Singapura, merusuh. Orang ramai sudah beratur sejak pukul 10 pagi, tetapi kaunter tiket hanya mula dibuka pada jam 8 malam. Sebaik sahaja kaunter tiket dibuka, kekecohan pun mula terjadi di mana orang ramai di bahagian belakang yang sudah hilang sabar, telah menyerbu ke hadapan hingga berlaku kejadian tolak menolak. Orang ramai yang berbaris di hadapan termasuk wanita dan kanak-kanak telah menjadi mangsa rempuhan tersebut, hingga ada yang terjatuh malah dipijak. 44 orang cedera dalam kejadian tersebut, manakala seorang lelaki meninggal dunia akibat serangan jantung. 


Fandi Ahmad, sewaktu penampilan awalnya
dalam kancah bola sepak Malaysia
dan  Singapura.

Fandi cuba melepasi halangan
Santokh Singh.
3.0. ‘Kelahiran’ Fandi Ahmad
Sejelasnya, tahun-tahun 1978-1981 menyaksikan pertembungan dua seteru tradisi Piala Malaysia, Selangor dan Singapura dalam perlawanan akhir kejohanan tertua Asia tersebut. Pada tahun 1979, Selangor menewaskan Singapura 2-0, sebelum tewas kepada lawan yang sama, 1-2 pada 1980. Menjelang akhir tahun 70an, Singapura menyaksikan kemunculan bintang bola sepak era modennya iaitu Fandi Ahmad, yang ketika itu baru sahaja berusia 16 tahun. Fandi merupakan anak kepada Ahmad Wartam, penjaga gol Singapura era 60an yang digelar ‘Captain Marvel’ kerana kecekapannya. Sewaktu perlawanan akhir Piala Malaysia 1980, Fandi yang baru berumur 18 tahun menjaringkan gol kemenangan sewaktu menewaskan Selangor, 2-1. Skuad Piala Malaysia Singapura 1980 dibimbing oleh jurulatih, Jita Singh. 

Fandi menjaringkan gol penting tersebut setelah berjaya melepas halangan Santokh Singh dalam perlawanan penuh sengit di Stadium Merdeka. Selangor yang merupakan pasukan pilihan telah ditewaskan oleh Singapura dengan disaksikan oleh 35,000 orang penonton. Sebelumnya, Leong Kok Fann menjadikan kedudukan 1-0 menerusi kelicikannya mencuri bola melepasi ‘Towkay’ Soh Chin Aun dan Santokh Singh. Selangor menyamakan kedudukan menerusi tendangan padu Supermokh pada minit ke-20. Pada 1981, Selangor kembali menjuarai Piala Malaysia selepas menewaskan Singapura, 4-0.

4.0. Peristiwa menarik sekitar 1978
Selanjutnya, tahun 1978 mencatatkan beberapa sejarah menarik untuk skuad negara. Antaranya ialah jaringan Supermokh – pada bulan Mei 1978 -- untuk Malaysia, sewaktu menentang skuad England B. Mokhtar berlari dari tengah padang, melepasi beberapa pemain England B, sebelum melepaskan satu rembatan kencang dari jarak 30 meter, menewaskan penjaga gol Manchester City FC, Joe Corrigan. Jurulatih England B, Bobby Robson memuji Supermokh dan jaringan tersebut, di samping menyatakan bahawa tidak ada masalah untuk Supermokh menyertai mana-mana kelab di England.  

Selain itu, musim 1978 juga merupakan kali pertama Wong Hung Nung dan K. Rajagopal (kini Datuk-Jurulatih Harimau Malaya) menyertai Selangor FA. Rajagopal yang beraksi sebagai penyerang bantuan kepada Supermokh untuk pasukan PKNS (dalam Piala FAM), merupakan penjaring terbanyak Liga Bola Sepak Selangor sekitar 1975, dan beraksi untuk kelab seperti Cholan Youth dan Hotspurs. Tahun 1978 juga menyaksikan penyertaan kali pertama pasukan Sarawak FA ke dalam kancah Piala Malaysia.

Towkay Soh Chin Aun, Reduan Abdullah
dan skuad Selangor, meraikan
Piala Malaysia 1978.
Towkay, Supermokh dan skuad Selangor
meraikan kejayaan menjulang
Piala Malaysia 1978.
Lagenda Selangor dan Singapura dalam kenangan.

5.0. Perlawanan Akhir 1978: Selangor lawan Singapura
Sewaktu Separuh Akhir Pertama pada 20hb Mei 1978, Selangor menewaskan Pulau Pinang 3-0, sebelum mengalahkan pasukan Pulau Mutiara 1-0 pada 28hb Mei 1978. Singapura pula layak setelah menewaskan Pahang dengan agregat 2-1. Pertemuan akhir antara dua musuh tradisi ini berlangsung di gelanggang keramat, Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Antara yang beraksi dalam Perlawanan Akhir Piala Malaysia 1978 ialah Nasir Jalil. Nasir Jalil merupakan antara bintang skuad Singapura 1977 yang digelar “Crazy Horse”, kerana gaya permainannya yang pantas dan tidak pernah kelihatan letih.

Bintang Singapura, Dollah Kassim yang digelar “Raja Gelek” kerana corak permainannya yang lincah, turut beraksi pada 1978 menentang Selangor FA. Malahan, penyanyi Kamaliah Latiff pernah menyanyikan sebuah lagu berjudul “Dollah Kassim” ciptaan Azim Chan untuk menggambarkan bertapa popularnya Dollah ketika itu. Dollah kemudiannya bersara selepas mengalami ‘shoulder dislocation’ (sendi bahu yang terkeluar selepas berlakunya kecederaan) sebanyak dua kali, iaitu pada 1978 dan 1979.

Perlawanan ini asalnya dicemari kontroversi “The Rebel Six” apabila enam orang pemain Selangor FA tetap menyertai skuad kebangsaan dalam Kejohanan Piala Raja Thai di Bangkok, meskipun Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) melarang mereka daripada berbuat demikian. Meskipun mengugut untuk mengambil tindakan tegas terhadap enam orang pemain tersebut, akhirnya FAS tetap menyenaraikan kesemuanya dalam perlawanan menentang Singapura FA. Singapura pada asalnya dilihat melakukan permulaan yang baik, apabila mendahului Selangor, 2-0, hasil jaringan Syed Mutalib (pada minit ke-33) dan Quah Kim Song. Gol pertama Singapura dijaringkan hasil kepakaran sepakan tendangan sudut S. Rajagopal, sebelum Quah Kim Song menanduk cantik gol kedua pada minit ke-34 selepas Rashid Hassan telah meninggalkan posisi yang sepatutnya.

Pada minit ke-37, Ramli Junit berjaya menjaringkan gol pertama Selangor FA hasil hantaran Abdullah Ali. R. Arumugam, ‘The Spiderman’ kemudiannya dimasukkan bagi menggantikan Rashid Hassan yang dibolosi dua gol.  Pada minit ke-79, ‘skipper’ Selangor FA, ‘Towkay’ Soh Chin Aun menjaringkan gol penyamaan hebat hasil rembatan kencang menerusi sepakan percuma sejauh 30 meter.  

John Engkatesu, yang diejek oleh peminat Selangor FA kerana terlepas beebrapa peluang keemasan sepanjang babak pertama, berjaya menukar nasibnya kepada menjadi seorang wira, apabila menjaringkan gol dari sepakan lambung yang jauh pada minit ke-85. Tatkala kemenangan sudah pasti berada di tangan Selangor FA, Ramli Junit melenyapkan terus impian Singapura FA apabila menjaringkan gol keempat Merah-Kuning, beberapa saat sebelum wisel penamat dibunyikan.  

Dua gol berjaya dijaringkan oleh pemain Selangor, seterusnya memastikan kemenangan mutlak, 4-2. Kejayaan kembali daripada ketinggalan 2-0 kepada Singapura, seterusnya menang 4-2 merupakan antara kenangan paling manis buat pemain dan peminat bola sepak Selangor FA. Keesokan harinya, Santokh Singh yang ketika itu berusia 26 tahun, mengikat tali pertunangannya dengan Taljit Kaur di Kuil Sikh Jalan Ipoh.

Supermokh yang dikawal ketat oleh pertahanan Singapura FA pada malam tersebut menyatakan bahawa, “…Mereka (pemain Singapura) menjangkakan saya yang akan menjaringkan gol, tetapi akhirnya rakan sepasukan saya yang berbuat demikian. Ini adalah satu kejutan kepada Singapura.”

Tidak mudah untuk kembali selepas ketinggalan dua gol, namun Selangor di bawah pimpinan “Towkay” Soh Chin Aun, Supermokh, Santokh Singh dan rakan-rakan berjaya membuktikan bahawa tahap konsistensi, tumpuan dan kesungguhan dapat membuahkan hasil yang bermanfaat. Seperti yang kita sedia maklum, ini adalah zaman indah bola sepak kita, di mana nama bola sepak Malaysia dan Singapura begitu harum di rantau Asia. Dari Piala Raja Thai, Piala Jakartaraya, Piala Presiden Park (Seoul) sehinggalah Pestabola Merdeka, para pemain kita cukup disegani. Semoga kita menghargai akar sejarah dan budaya kita, untuk pedoman hari ini dan masa depan yang lebih gemilang. Kobar jiwa semangat. Hidup Malaysia kita. Padu!
-------------------------------------------------------------------

Sumber dan rujukan:
  1. http://chedinsphere.blogspot.com/2013/01/brazil-lawan-malaysia-stadium-bukit.html;
  2. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/piala-aff-suzuki-2012-sebuah-gambus-luka.html;
  3. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/boca-juniors-lawan-jemputan-selangor-xi.html;
  4. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/edisi-sulung-piala-fa-perak-lawan.html;
  5. http://chedinsphere.blogspot.com/2011/08/supermokh-lagenda-yang-tiada-galang.html;
  6. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/cerita-malaysia-ke-olimpik-1980-moscow.html;
  7. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/cerita-malaysia-ke-olimpik-1972-munich.html;
  8. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/3hb-mei-1986-sabtu-perlawanan-piala.html;
  9. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/19hb-mei-1999-malaysia-xi-lawan-arsenal.html;
  10. http://chedinsphere.blogspot.com/2011/03/penjaga-gol-terbaik-malaysia.html;
  11. http://www.facebook.com/jabal.noor.9;
  12. http://www.facebook.com/norazmi.mahmood;
  13. http://www.facebook.com/HangPC2;
  14. http://rizalhashim.blogspot.com;
  15. http://www.utusan.com.my;
  16. http://thestar.com.my/;
  17. http://www.rsssf.com/tablesm/malay78.html;
  18. http://singaporesportsfan.wordpress.com/tag/malaysia-cup/;
  19. http://blog.rage.com.my/local-legend;
  20. http://gforce-guru.blogspot.com/2011_07_01_archive.html;
  21. http://arkibnegara.blogspot.com/2011/02/separuh-akhir-piala-malaysia-singapura.html;
  22. http://stylemestiada.wordpress.com/2011/07/13/youre-in-then-youre-out-20-years-of-singapore-and-the-malaysia-cup/.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan