Sabtu, Januari 12, 2013

Musim Terakhir Supermokh Bersama Selangor (Piala Malaysia 1987).

1987, musim terakhir Supermokh
bersama Selangor FA.
Gambar yang ikonik: Saya mula mengumpul info
berkenaan Supermokh ketika kecil menerusi gambar ini,
yang pernah disiarkan oleh akhbar Metro sekitar 1995.
Meskipun sudah berusia 34 tahun, Supermokh
masih mampu menjaringkan gol
dan beraksi dengan baik.
Jersi Adidas Selangor, 1987.
Aru The Spiderman, menjadi penghias
muka depan Majalah ABS 1987. Lagenda Malaysia ini
dikecam dengan pelbagai tuduhan apabila Selangor 

tewas kepada Singapura pada 1987.
1987: Supermokh menjaringkan gol
ketika bertemu Sarawak FA.
1987: Pemain lawan berusaha keras
untuk mengekang asakan Mokhtar.
Fizikal Supermokh yang mantap, hasil
disiplin dan komitmen yang tinggi. 
Supermokh, tetap kelihatan gagah,
meski dimamah usia.
30hb Ogos 1987: Supermokh menjaringkan gol
menerusi sepakan percuma, sewaktu
menentang Singapura FA.

Supermokh diraikan oleh rakan-rakannya,
selepas menjaringkan gol terakhirnya
dalam saingan Piala Malaysia 1987.
1987: Supermokh sedang menyerang
kubu Singapura.
1987: Perlawanan terakhir Supermokh.


Piala Malaysia, Stadium Nasional, Singapura (30hb Ogos 1987).
Meskipun telah mengumumkan persaraannya selepas Piala Malaysia 1986, Supermokh kembali memperkuatkan barisan Selangor FA pada musim 1987: kali ini sebagai pemain merangkap pembantu jurulatih Merah-Kuning. Penampilan terakhir Supermokh bersama Selangor FA ialah pada 30hb Ogos 1987, di mana beliau menjaringkan satu gol menerusi sepakan percuma yang menewaskan penjaga gawang Singapura. Perlawanan tersebut merupakan perlawanan penentuan ke Suku Akhir Piala Malaysia 1987, di mana Selangor FA tewas, 1-2 di Stadium Nasional, Singapura.

Selangor FA hanya memerlukan seri untuk layak ke Suku Akhir, tetapi tewas mengejut kepada barisan muda Singapura yang bermain berhempas-pulas. Jurulatih Singapura, Seak Poh Leong telah mengarahkan para pemainnya mengawal dengan ketat Supermokh, sehingga menghalang Supermokh – yang berusia 34 tahun -- daripada menyumbang dengan lebih baik untuk Selangor. Pada minit ke-17, penyerang muda Singapura, V. Sundramoorthy, berjaya melepasi halangan P. Dharmalingam, sebelum menewaskan Aru The Spiderman. Selanjutnya, Singapura mendahului Selangor 2-0 menerusi sepakan penalti oleh A.R.J. Mani pada minit ke-44. Panjaga gawang lagenda Singapura, David Lee, beraksi cemerlang sewaktu menjaga gawang, manakala pemain lagenda Selangor, K. Gunalan turut menampilkan aksi yang seharusnya dipuji.

Memandangkan Selangor memerlukan seri, Supermokh mengetuai barisan penyerang Selangor, menyerang gawang Singapura bertubi-tubi. Hasilnya, mereka dihadiahkan sepakan percuma pada minit ke-64. Supermokh merembat kencang dari jarak 30 meter, untuk bola meluru padu ke gawang gol Singapur selepas terbias daripada benteng yang dibina pemain Singapura FA. Namun, Selangor tetap gagal menyamakan kedudukan, untuk tewas dengan keputusan 1-2 di Stadium Nasional, Singapura.

Sementelahan, pada 17hb Oktober 1987 (Sabtu), Wilayah Persekutuan FA (Kuala Lumpur FA) memenangi Piala Malaysia selepas menewaskan Kedah FA, 1-0 hasil jaringan K. Kannan. Kannan merupakan pemenang Kasut Emas 1987 dengan 15 gol, melengkapkan tahun gemilang skuad pimpinan Chow Kwai Lam yang turut memenangi Anugerah ‘Fairplay’. Dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 1987, lagenda Kedah, Radhi Mat Din menjadi Pemain Terbaik Perlawanan.
  • Singapura FA: David Lee, V. Sundramoorthy, Salim Moin, Kamarulzaman Zainal, Yahya Mahdon, Zulkifli Kartoyono, A. R. J. Mani, Saaid Shukor, Ishak Saad, Borhan Abu Samah, Razali Saad;  
  • Selangor FA: R. Arumugam, Mokhtar Dahari, Mohamed Nor Dahari, Khan Hung Meng, Zainal Abidin Hassan, K. Gunalan, Razali Alias, S. Loganathan, P. Dharmalingam, Zolkifli Ahmad, Zainal Norbit, Wong Hung Nung, Kamarulzaman Mohamed;
  • Pengadil: Steven Ovinis.

Zainal Abidin Hassan, lagenda yang dinobat
sebagai calon pengganti Supermokh.
Razali Alias (Allahyarham), bintang
Selangor kelahiran Singapura. Untuk musim 1987,
beliau menggayakan fesyen rambut botak licin.
Impiannya untuk mewakili Malaysia tidak
tercapai, kerana dihalang oleh FIFA. 
Razali Alias, Aru The Spiderman, A. Jayakanthan
dan Zainal Abidin Hassan meraikan kejayaan

memenangi Piala Sumbangsih 1987.
Serbegeth Singh, Zainal Abidin Hassan dan
Khan Hung Meng beraksi dalam perlawanan
Piala Sumbangsih 1987.

Piala Sumbangsih 1987: Zainal Abidin Hassan
menjaringkan gol tunggal kemenangan Selangor,
menewaskan Wilayah Persekutuan. 
Skuad Juara Piala Sumbangsih 1987 Selangor.
Supermokh berdiri paling kanan.
K. Kannan, Fandi Ahmad dan Malek Awab:
Trio Singapura yang menjadi tunjang kebangkitan
skuad Wilayah Persekutuan FA.



Tahun-tahun 1987, 1988 dan 1989 menyaksikan
skuad Wilayah Persekutuan meraih
kejayaan gemilang.
1986: Supermokh dan putera beliau,
Mohd Reza Mokhtar.

Mohd Reza Mokhtar (paling kanan) bersama skuad
Akhir Piala Emas Raja-Raja Selangor. Berbeda dengan
Supermokh yang berbadan gempal dan sasa, Reza
memiliki fizikal yang tinggi lampai.
Mohd Reza dan Gelanggang
Futsal Mokhtar Dahari di Putrajaya.

Piala Sumbangsih, Stadium Merdeka, Kuala Lumpur (10hb Jun, 1987).
Terdahulu, seramai 20,000 menjadi saksi penampilan semula Supermokh dalam kancah Liga dan Piala Malaysia 1987, yang sepatutnya telahpun bersara selepas memenangi Piala Malaysia 1986. Dalam perlawanan tersebut, T. Lawrence telah dikeluarkan meskipun perlawanan baru berlangsung empat minit kerana mengalami kecederaan lutut. Gol dijaringkan oleh Zainal Abidin Hassan, menewaskan penjaga gol wilayah, M. Pavalamani. K. Gunalan – yang mengambil alih posisi Ristomoyo Kassim yang cedera -- membuat satu hantaran jauh kepada Zainal Abidin Hassan, yang kemudiannya menanduk kemas bola tersebut untuk membolosi pintu gawang Wilayah.

Ketika perlawanan tersebut berlangsung, pasukan Wilayah Persekutuan FA baru sahaja kembali daripada jelajah ke Eropah dan pusingan awal Kejohanan Kelab Asia di Bandung, Indonesia. Razali Alias yang mencukur sehingga licin kepalanya, mencuri tumpuan dan menenggelamkan bintang-bintang Wilayah seperti Lim Teong Kim, Malek Awab dan Fandi Ahmad. Sebelum itu, Selangor FA menjuarai Piala Sumbangsih pada 1985, selepas menewaskan Pahang FA.
  • Pemain Selangor FA: R. Arumugam, Mokhtar Dahari, Khan Hung Meng, Azhar Sharif, Zainal Abidin Hassan, A. Jayakanthan, Aziz Azizan, Razali Alias, Kamarulzaman Yusof, Wong Hung Nung, Zolkifli Ahmad, K. Gunalan, P. Dharmalingam;
  • Pemain Pahang FA: M. Pavalamani, Fandi Ahmad, K. Kannan, Saidin Osman, Mat Zan Mat Aris, Malek Awab, Subadron Aziz, Ramlan Askolani, Chow Siew Yai, Lim Teong Kim, Serbegeth Singh, T. Lawrence, Razip Ismail. 
---------------------------------------------------------------------------------------

Sumber dan rujukan:
  1. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/3hb-mei-1986-sabtu-perlawanan-piala.html;
  2. http://chedinsphere.blogspot.com/2013/01/piala-malaysia-1978-selangor-lawan.html;
  3. http://chedinsphere.blogspot.com/2013/01/1982-asian-all-stars-lawan-brazilian.html;
  4. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/boca-juniors-lawan-jemputan-selangor-xi.html;
  5. http://www.facebook.com/HangPC2;
  6. http://www.facebook.com/norazmi.mahmood;
  7. http://www.facebook.com/ligakit;
  8. http://www.facebook.com/quril?fref=ts;
  9. http://malaysiafootball-dimos.blogspot.com/2011/10/piala-malaysia-1987.html;
  10. http://grenbara.bravejournal.com/entry/22909;
  11. http://www.mudah.my/Vintage+adidas+selangor-19138876.htm.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan