Ahad, Januari 27, 2013

Supermokh sebagai Jurulatih Kelab Kwong Yik Bank FC.



Razali Alias (Allahyarham), bintang
Selangor kelahiran Singapura. Untuk musim 1987,
beliau menggayakan fesyen rambut botak licin.
Impiannya untuk mewakili Malaysia tidak
tercapai, kerana dihalang oleh FIFA. 
Skuad Kwong Yik Bank 1987. Supermokh
duduk paling hadapan, dua dari kiri.
Kelab Terakhir Yang Diwakili Oleh Supermokh
Atas rasa cinta yang mendalam terhadap sukan bola sepak, desakan peminat dan permintaan pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Supermokh telah kembali daripada persaraannya pada 1987 untuk membantu Selangor FA, kali ini sebagai pemain dan pembantu jurulatih. Meskipun Selangor FA berjaya memenangi Piala Sumbangsih 1987 selepas menewaskan Wilayah Persekutuan FA, pasukan tersebut hanya mampu menduduki tangga ke sembilan liga, sekaligus gagal untuk layak ke Suku Akhir Piala Malaysia 1987.

Pada tahun 1987, Supermokh turut beraksi bersama Kwong Yik Bank FC dan menjadi jurulatih kelab tersebut dalam Liga FAM [Berikutan penggabungan Bank DCB (Development and Commercial Bank) dan Bank Kwong Yik pada 1997, Bank RHB (Rashid Hussein Bank) telah diasaskan oleh Tan Sri Rashid Hussain. Bank RHB diiktiraf sebagai bank ketiga terbesar di Malaysia, dengan memiliki lebih 200 buah pejabat di Malaysia dan rantau Asia].

Sebelum menyertai Kwong Yik Bank FC, Supermokh pernah menyertai beberapa buah kelab seperti Kelab Sultan Sulaiman (KSS), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Talasco. Semasa berada di Kwong Yik Bank FC, Supermokh berjaya menjaringkan 20 gol dalam 13 kali penampilan bersama kelab tersebut. Selain menjuarai Piala Liga Dunhill FAS, Supermokh juga berjaya membawa Kwong Yik Bank FC menjuarai Piala Gabenor Antara Bank Ketiga di Stadium Merdeka, setelah menewaskan MBB 1-0.

Ketika menjadi jurulatih dan selepas pertama kali didedahkan bahawa beliau mengidap penyakit ‘motor neurone’, ia tidak menghalang Supermokh untuk terus menabur khidmatnya. Dalam keadaan sedikit uzur, Supermokh masih hadir ke Stadium kajang untuk memberikan motivasi dan buah fikir kepada pemain Kwong Yik Bank FC, sewaktu Perlawanan Akhir Piala Dunhill-FAM antara kelab tersebut dengan Wira FC, yang berjaya ditewaskan dengan jaringan 2-0. Supermokh yang ketika itu bertugas selaku Pengarah Sukan Kwong Yik Bank dan baru pulang dari menjalani rawatan di London, tetap menggagahkan dirinya atas cintanya beliau kepada bola sepak dan peminat.

Malah, ketika berkerusi roda, beliau masih bersama anak buahnya di padang dan stadium memberi tunjuk ajar. Semoga semangat dan disiplin Supermokh dapat kita jadikan peringatan dan azimat untuk bangkit daripada kealpaan. Al-Fatihah, buat tokoh sukan kita semua: Mokhtar Dahari.   
  • Antara anggota skuad Kwong Yik Bank FC pada tahun 1987 ialah: Razali Alias; Kamil Majid; K. Rajasegaran; A. Jayakanthan; Lim Chuan Chin; Haslan Kamsir; Kok Seng Mun; Megat Rosli Sidin; Ismail Kamat; Seng Chin Kwee; Zulkifli Alias; Rosli Yusof; Ahmad Khair; Ahmad Fuad; Nasaruddin Mohamad; Kamarulzaman Yusof; Norazman Mohamad; Kee Teong Peng; Zainal Nordin; Raja Shaharul Niza (Pengurus Pasukan); Ong Chee Keong; Chong Chan Kiang (Penolong Pengurus Pasukan); Tan Yu Keong (Pegawai Kelab); dan Mokhtar Dahari (Jurulatih dan Pemain).

***************************
Sumber dan rujukan:
  1. http://chedinsphere.blogspot.com/2013/01/piala-sumbangsih-1985-selangor-lawan.html;
  2. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/perlawanan-akhir-piala-malaysia-1984.html;
  3. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/11/nostalgia-liga-malaysia-alan-davidson.html;
  4. http://chedinsphere.blogspot.com/2013/01/buku-biografi-mokhtar-dahari.html;
  5. http://chedinsphere.blogspot.com/2013/01/singapura-lawan-selangor-piala-malaysia.html;
  6. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/3hb-mei-1986-sabtu-perlawanan-piala.html;
  7. http://www.facebook.com/king.kheiriel;
  8. http://www.facebook.com/norazmi.mahmood;
  9. http://www.facebook.com/photo.php?fbid=1448973784588&set=o.113226981358&type=3&theater;
  10. http://www.under-voice.com/wp-content/uploads/2012/02/DSC04283.jpg;
  11. Majalah Arena Bola Sepak;
  12. Majalah Dunia Sukan;
  13. Utusan Malaysia;
  14. New Straits Times.

Anugerah Kasut Emas 1984.

 
Anugerah Kasut Emas Piala Malaysia 1984: Yunus Alif.
Pada tahun 1984, tiga orang pemain yang berbakat telah menerima anugerah di atas kejayaan mereka menjaringkan gol untuk pasukan masing-masing sepanjang kempen liga dan Piala Malaysia 1984. Pemenang ‘Kasut Emas Piala Malaysia 1984’ ialah Yunus Aliff yang mewakili Pahang FA. Yunus yang berasal dari Terengganu, menjaringkan 14 gol untuk Pahang FA. Ketika itu, Yunus sedang menunggu detik kelahiran anak sulungnya, Nurul Ubaidah. Kehebatan Yunus Alif sebagai penjaring terbanyak telah membawanya kembali menyarung jersi pasukan Malaysia untuk mengharungi cabaran Pusingan Kedua Kelayakan Pra-Olimpik 1984 di Singapura dan Pusingan Kelayakan Piala Dunia.

Sebelum itu, Yunus terpilih untuk mewakili negara dalam beberapa kejohanan seperti Piala Jakartaraya 1978 (Indonesia); King Cup 1978 (Thailand); Korea Cup 1978 (Korea Selatan) dan beberapa pertandingan lain. Namun, beliau telah digugurkan daripada pasukan kebangsaan pada 1982, antara lain atas faktor kecergasan. Yunus telah menceburkan diri dalam arena bola sepak sejak sejak di bangku sekolah lagi, sebelum menyertai Kelab Fajar Hiliran dari 1976 hingga 1978. Dua orang abangnya, Nazib Alif dan Abdah Alif juga merupakan pemain skuad Terengganu FA dan Pahang FA yang berbakat.

Lagenda 17’, Zainal Abidin Hassan -- yang juga dikenali dengan panggilan ‘Chief’ -- ketika itu mewakili Pahang FA telah menerima ‘Kasut Perak’. Meskipun kedua-duanya – Yunus dan Zainal – masih bersedih dengan kegagalan memenangi Piala Malaysia 1984 setelah ditewaskan oleh Selangor FA, anugerah tersebut sekurang-kurangnya menjadi sedikit penawar kepada duka mereka berdua. Untuk rekod, skuad Pahang FA 1984 telah diberikan ganjaran melancong ke Los Angeles, Amerika Syarikat di atas pencapaian mereka selaku Naib Juara Piala Malaysia 1984.

Kasut Gangsa Piala Malaysia’ pula menjadi milik Zulkifli Hussein yang mewakili Kelantan FA. Pemain yang berbakat besar ini ketika itu masih menuntut di Tingkatan 6 tetapi telah mengenepikan cabaran lagenda Sabah FA, ‘Hurricane’ Hassan Sani yang menjaringkan 9 gol untuk Sabah FA. Zulkifli telah menjaringkan 11 gol, dan asalnya bermain di bahagian pertahanan sebelum diberikan ruang untuk menjadi penyerang setelah rakannya tercedera. Beliau merupakan anggota skuad Piala Razak Kelantan FA untuk musim 1982 dan 1983. Seorang lagi pemainmuda berbakat dalam Kelantan FA ketika itu ialah Hanifa Harun.

Sementelahan, sewaktu ‘Malam Anugerah Piala 1984’, ‘Piala Jurulatih Terbaik 1984’ telah dimenangi oleh lagenda bola sepak negara, Shukor Salleh yang turut beraksi sebagai ketua pasukan Pulau Pinang pada musim tersebut. Anugerah tersebut diadili oleh Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) dan beberapa juri lain. Sementelahan, ‘Piala Fair Play Milo’ dimenangi oleh skuad Pulau Pinang yang turut di wakili oleh Olahragawan Lelaki Kebangsaan 1977 itu. 

Sumber dan rujukan:
  1. http://chedinsphere.blogspot.com/2013/01/piala-sumbangsih-1985-selangor-lawan.html;
  2. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/perlawanan-akhir-piala-malaysia-1984.html;
  3. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/11/nostalgia-liga-malaysia-alan-davidson.html;
  4. http://chedinsphere.blogspot.com/2013/01/buku-biografi-mokhtar-dahari.html;
  5. http://chedinsphere.blogspot.com/2013/01/singapura-lawan-selangor-piala-malaysia.html;
  6. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/3hb-mei-1986-sabtu-perlawanan-piala.html;
  7. http://www.facebook.com/king.kheiriel;
  8. http://www.facebook.com/norazmi.mahmood;
  9. http://www.facebook.com/photo.php?fbid=1448973784588&set=o.113226981358&type=3&theater;
  10. http://www.under-voice.com/wp-content/uploads/2012/02/DSC04283.jpg;
  11. Majalah Arena Bola Sepak;
  12. Majalah Dunia Sukan;
  13. Utusan Malaysia;
  14. New Straits Times.


Rabu, Januari 23, 2013

Nabi Muhammad SAW: Kekasih ALLAH SWT.





Kekasih ALLAH SWT
Rasulullah SAW, dalam keadaan dan kedudukan seperti apapun, menjadi contoh tertinggi dan suri teladan yang terbaik bagi manusia. Daripada sekalian perwatakan Rasulullah SAW, yang paling menonjol adalah dari segi akhlak Baginda yang tiada tandingannya. Rasulullah SAW merupakan seorang yang banyak merendahkan diri dan berdoa ke hadrat ALLAH SWT agar menganugerahkan Baginda dengan kebaikan adab dan kemuliaan budi pekerti/akhlak. Salah satu doa Baginda yang dimaksudkan adalah :
‘Ya ALLAH Ya Tuhanku, perbaikkanlah kejadianku dan akhlakku.’
Sejarah tak akan mampu mengingkari betapa indahnya akhlak dan budi pekerti Rasulullah tercinta, Sayyidina Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam (SAW) hingga salah seorang isteri Baginda, Sayyidatina A’isyah Radhiyallahuanha mengatakan bahawa "akhlak Rasulullah adalah “Al-Qur’an” (Riwayat Muslim - Saad Hisham).

Maka ALLAH SWT menganugerahkan baginda Al-Quranul Karim yang mengandungi pengajaran mengenai adab dan kesopanan. Begitu halus dan lembutnya perilaku keseharian Baginda. Sungguh, Rasulullah SAW adalah sosok yang mandiri dengan sifat tawadhu’ yang tiada tandingnya.


Akhlak Rasulullah
Baginda pernah menjahit sendiri pakaiannya yang koyak tanpa menyuruh isterinya. Dalam berkeluarga, Baginda adalah sosok yang ringan tangan dan tidak segan-segan untuk membantu pekerjaan isterinya di dapur. Selain itu, dikisahkan bahawa Baginda tiada merasa canggung makan di samping seorang tua yang penuh kudis, kotor lagi miskin. Baginda adalah sosok yang paling sabar di mana pernah kain Baginda ditarik oleh seorang Badwi hingga membekas merah di lehernya, namun Baginda hanya diam dan tidak marah. Dan terkumpul dalam peribadinya sifat berhati-hati dalam empat perkara, iaitu:
  1. Baginda suka membuat yang baik-baik dan melaksanakannya untuk kepentingan umat dalam hal-ehwal mereka - yang berkaitan dengan dunia mahupun akhirat - agar dapat dicontohi oleh yang lain;
  2. Baginda meninggalkan yang buruk, agar dijauhi dan tidak dibuat oleh yang lain;
  3. Bersungguh-sungguh mencari jalan yang baik untuk maslahat ummatnya;
  4. Dan Baginda melakukan apa yang dapat mendatangkan manfaat buat ummatnya, baik buat dunia ataupun buat akhirat.


Dikasihi para sahabat
Dalam satu riwayat, dikisahkan bahawa menjelang suatu peperangan, Rasulullah sedang membariskan pasukannya kerana Rasulullah selalu merapikan barisan skuadron tenteranya. Ternyata ada seorang sahabat, mungkin kerana perutnya terlalu besar, selalu perutnya itu berada di luar barisan.

Kemudian Rasulullah menghampirinya dan memukul perutnya itu agar dirapikan dengan barisan. Lalu sahabat itu memandang Rasulullah dan berkata: “Ya Rasulullah, bukankah Tuan diutus untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam, kenapa kau sakiti perutku?

Lalu Rasulullah turun dari kudanya, dan menyerahkan alat pemukul itu, lalu berseru: “Pukullah aku! Sebagai (hukuman) qishas atas kesalahanku.”

Kemudian orang itu berkata: “Tetapi, Tuan memukul perutku sehingga terkena kulitnya.”

Lalu Rasulullah segera membuka pakaiannya, tiba-tiba sahabat itu memeluk Rasulullah SAW dan mencium perutnya.

Rasulullah terkejut sebelum berkata: “Apa yang engkau cuba lakukan?

Sahabat itu menjawab: “Ya Rasulullah, genderang perang sudah ditabuh, mungkin ini adalah saat terakhir perjumpaanku denganmu. Aku ingin, sebelum meninggal dunia, sempat mencium perutmu yang mulia.” 

Demikianlah, kasihnya para sahabat kepada Rasulullah SAW. Kita bagaimana?


Khatimah
Mengapa Rasulullah SAW dirindukan atau dicintai? Itu bukan hanya kerana ALLAH SWT membuka hati kita untuk rindu dan mencintai Baginda. Sebaliknya, ia juga adalah kerana akhlak Rasulullah yang menarik kecintaan kita. Dan, akhlak itu adalah Sunnah. Sekiranya kita mencontoh akhlak beliau ini, pasti kita pun akan disenangi oleh individu di sekeliling kita, in sya ALLAH. Tuntasnya, cukup kiranya Baginda sendiri yang jadi suri tauladan kita, umat Islam khususnya, yang hari ini terpaksa menghadapi segala macam bentuk tribulasi dalam menongkah arus modenisasi. Muhammad Iqbal dalam salah satu karyanya menukilkan: “Barangsiapa yang mengaku umat Nabi Muhammad, hendaklah berakhlak seperti Baginda (Nabi Muhammad)”.
---------------------------------------------------------------

Sumber:

  1. A. Guillaume, 1982. The Life Of Muhammad: A Translation Of Ibn Ishaq's Sirat Rasul, Oxford: Oxford University Press;
  2. Dr. Muhammad Abduh Yamani, 2001. Ajarkan anak-anakmu cintakan Rasulullah SAW;
  3. Zulkifli Mohd. Yusoff dan Noor Naemah Abd. Rahman, 2007. Biografi Muhammad bin Abdullah;
  4. http://zidaburika.wordpress.com/2007/07/25/keagungan-akhlak-rasulullah-saw/;
  5. Rasulullah S.A.W: Pemimpin Terulung Murabbi Teragung (Model Seorang Panglima dan Pengurus Angkatan Tentera), 2004. Shah Alam: Jabatan Mufti Negeri Selangor.
  6. Syaikh Shafiyyur-Rahman al-Mubarakfury, 1998. Sirah Nabawiyah;
  7. Tarikuddin Bin Haji Hassan, 2005. Sejarah Rasul Ulul Azmi terbesar: Nabi Muhammad SAW: Dari Kelahiran Sehingga menerima Wahyu.

Buku Biografi Mokhtar Dahari (1989).


Supermokh, lagenda negara.
Al-Fatihah.
Majalah Dunia Sukan mengiktiraf
Supermokh sebagai penyerang 70an
dan 80an paling unggul.
Naskah biografi Supermokh.
Kulit belakang biografi Supermokh
menampilkan gambar Allahyarham
dengan Diego Maradona.
Supermokh dan Diego Maradona bertukar
cenderamata pasukan.
 
Trofi Pemain Terbaik Dunhill, jersi Supermokh
dan kenangan Maradona-Boca Juniors.

Mokhtar-Maradona (1982): 
Bintang Asia Tenggara bersama 
bintang dunia.
Supermokh dan Diego Maradona, di mana
Jemputan Selangor tewas 1-2 kepada
Boca Juniors FC pada 1982.
1986: Supermokh bersama
Trofi Pemain Terbaik Dunhill.

Supermokh dan putera beliau,
Mohd Reza Mokhtar.
Mohd Reza Mokhtar (paling kanan) bersama skuad
Piala Emas Raja-Raja Selangor. Berbeda dengan
Supermokh yang berbadan gempal dan sasa, Reza
memiliki fizikal yang tinggi lampai.
1986: Supermokh menerima cenderahati
istimewa selepas mengumumkan persaraannya.
Namun, beliau kembali beraksi untuk Selangor
dan Kwong Yik Bank pada 1987.


1987, musim terakhir Supermokh
bersama Selangor FA.
1987: Meskipun sudah berusia 34 tahun, Supermokh
masih mampu menjaringkan gol
dan beraksi dengan baik.
Skuad Juara Piala Sumbangsih 1987 Selangor.
Supermokh berdiri paling kanan.
Skuad Kwong Yik Bank 1987. Supermokh
duduk paling hadapan, dua dari kiri.

1989: Supermokh sewaktu menerima kunjungan
Tun Dr Siti Hasmah di rumahnya. Turut
kelihatan, Mohd Reza.
Supermokh dikerumuni para peminat dan orang
ramai di LTAB Subang, sebelum berangkat ke
London untuk menjalani rawatan.

Supermokh dan isterinya, Datin Tengku Zarina,
tersenyum menatap isi kandungan
buku biografinya.
Seorang bapa yang penyayang:
Supermokh memangku anak 

bongsunya, Nur Arina.
Supermokh bersama Zainol Fakir
dan Rashid Azad Khan.
Supermokh menandatangani
naskah biografinya.
Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat-NYA
ke atas roh Allahyarham Mokhtar Dahari.
Naskah ‘Mokhtar Dahari: Lebih Satu Dekad Bergelumang dengan Bola Sepak’ (1989). 
Sepertimana yang kita sedia maklum, Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd (Kumpulan Utusan) pernah menerbitkan sebuah buku biografi khas untuk Allahyarham Supermokh pada tahun 1989, berjudul ‘Mokhtar Dahari: Lebih Satu Dekad Bergelumang dengan Bola Sepak’ dengan kata-kata pentingnya dipetik berbunyi, “…saya bekerja keras untuk apa yang saya capai hari ini.”

Naskah yang mempunyai 137 halaman ini ditulis secara bersama oleh Joe Marcose, Zainol Fakir dan Mustakim Aminuddin, dan memaparkan detik-detik peristiwa dan kenangan yang dilalui oleh Supermokh sejak mula berkecimpung dalam arena bola sepak sehingga saat keuzurannya, di samping membuktikan betapa penderitaan beliau turut dirasai bersama oleh rakyat dan negara.

Kali terakhir Mokhtar dipanggil mewakili negara ialah pada Pusingan Kelayakan Piala Dunia 1985 di Seoul, Korea Selatan namun skuad negara tewas 0-2. Supermokh asalnya telah beberapa kali mengumumkan persaraan, tetapi kembali atas rasa cinta yang mendalam terhadap bola sepak tanah air. Paling diingati ialah sewaktu Perlawanan Akhir Piala Malaysia 1986, di mana Selangor FA menang 6-1 ke atas Johor FA dan Mokhtar menerima Anugerah Pemain Terbaik Dunhill.

Malahan, Supermokh telah menghadiahkan jersinya kepada Raja Muda Selangor ketika itu, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj (kini Sultan). Sultan Sharafuddin kemudiannya turut menghadiahkan cenderamata berbentuk pinggan yang diperbuat daripada perak kepada Supermokh. Namun, atas desakan peminat dan pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Supermokh kembali daripada persaraannya pada 1987 untuk membantu Selangor, kali ini sebagai pemain dan pembantu jurulatih. Meskipun Selangor FA berjaya memenangi Piala Sumbangsih 1987 selepas menewaskan Wilayah Persekutuan FA, pasukan tersebut hanya mampu menduduki tangga ke sembilan liga, sekaligus gagal untuk layak ke Suku Akhir Piala Malaysia 1987.

Pada tahun 1987, Supermokh turut beraksi bersama Kwong Yik Bang FC dan menjadi jurulatih kelab tersebut dalam Liga FAM. Ketika menjadi jurulatih dan selepas pertama kali didedahkan beliau mengidap penyakit ‘motor neurone’, ia tidak menghalang Supermokh untuk terus menabur khidmatnya. Malah, ketika berkerusi roda, beliau masih bersama anak buahnya di padang dan stadium memberi tunjuk ajar.    

Supermokh telah menjalani rawatan di London pada 1989 dan kelihatan lebih baik sewaktu pulang ke tanah air, di mana beliau turut berubat secara tradisional dan mampu memandu kereta sendiri. Bagaimanapun, kesihatan beliau kembali merosot apabila beliau terjatuh dan tangannya terseliuh. Ketika inilah buku biografi beliau diterbitkan oleh Kumpulan Utusan dan diluncurkan di Stadium Merdeka oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS). Laungan nama Supermokh bergema sebelum perlawanan Selangor-Kedah pada 24hb September 1989, selanjutnya mengembalikan ingatan semua kepada pemain itu pada zaman kegemilangannya. 

Begitupun, laungan “Mokhtar! Mokhtar!” pada malam tersebut tidak diiringi dengan larian pantas dan rembatan kencang Supermokh. Beliau dikatakan cukup menyenangi penerbitan biografi tersebut, di mana ia bukanlah bertujuan mengagung-agungkan beliau, tetapi untuk memberikan motivasi kepada semua untuk berusaha keras untuk mencapai kejayaan.

Selepas 3 tahun bertarung dengan penyakitnya, anak jati Setapak, Kuala Lumpur ini menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Subang Jaya, Selangor pada pukul 8.25 pagi, 11hb Julai 1991 ketika berusia 37 tahun akibat penyakit ‘motor neurone’. Allahyarham Supermokh meninggalkan seorang balu, Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim dan tiga anak, Mohamad Reza yang juga bekas pemain bola sepak Selangor, Nur Azera dan Nur Arina. Jenazah Allahyarham Supermokh disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai, Bukit Permai. Al-Fatihah sekudusnya, buat Supermokh, wira kita semua. 

--------------------------------------------------------------------

Sumber dan rujukan:
  1. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/3hb-mei-1986-sabtu-perlawanan-piala.html;
  2. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/boca-juniors-lawan-jemputan-selangor-xi.html;
  3. http://chedinsphere.blogspot.com/2013/01/singapura-lawan-selangor-piala-malaysia.html;
  4. http://chedinsphere.blogspot.com/2011/08/supermokh-lagenda-yang-tiada-galang.html;
  5. http://www.utusan.com.my;
  6. Majalah Arena Bola Sepak;
  7. Majalah Dunia Sukan;
  8. Utusan Malaysia;
  9. New Straits Times.