Ahad, Januari 27, 2013

Anugerah Kasut Emas 1984.

 
Anugerah Kasut Emas Piala Malaysia 1984: Yunus Alif.
Pada tahun 1984, tiga orang pemain yang berbakat telah menerima anugerah di atas kejayaan mereka menjaringkan gol untuk pasukan masing-masing sepanjang kempen liga dan Piala Malaysia 1984. Pemenang ‘Kasut Emas Piala Malaysia 1984’ ialah Yunus Aliff yang mewakili Pahang FA. Yunus yang berasal dari Terengganu, menjaringkan 14 gol untuk Pahang FA. Ketika itu, Yunus sedang menunggu detik kelahiran anak sulungnya, Nurul Ubaidah. Kehebatan Yunus Alif sebagai penjaring terbanyak telah membawanya kembali menyarung jersi pasukan Malaysia untuk mengharungi cabaran Pusingan Kedua Kelayakan Pra-Olimpik 1984 di Singapura dan Pusingan Kelayakan Piala Dunia.

Sebelum itu, Yunus terpilih untuk mewakili negara dalam beberapa kejohanan seperti Piala Jakartaraya 1978 (Indonesia); King Cup 1978 (Thailand); Korea Cup 1978 (Korea Selatan) dan beberapa pertandingan lain. Namun, beliau telah digugurkan daripada pasukan kebangsaan pada 1982, antara lain atas faktor kecergasan. Yunus telah menceburkan diri dalam arena bola sepak sejak sejak di bangku sekolah lagi, sebelum menyertai Kelab Fajar Hiliran dari 1976 hingga 1978. Dua orang abangnya, Nazib Alif dan Abdah Alif juga merupakan pemain skuad Terengganu FA dan Pahang FA yang berbakat.

Lagenda 17’, Zainal Abidin Hassan -- yang juga dikenali dengan panggilan ‘Chief’ -- ketika itu mewakili Pahang FA telah menerima ‘Kasut Perak’. Meskipun kedua-duanya – Yunus dan Zainal – masih bersedih dengan kegagalan memenangi Piala Malaysia 1984 setelah ditewaskan oleh Selangor FA, anugerah tersebut sekurang-kurangnya menjadi sedikit penawar kepada duka mereka berdua. Untuk rekod, skuad Pahang FA 1984 telah diberikan ganjaran melancong ke Los Angeles, Amerika Syarikat di atas pencapaian mereka selaku Naib Juara Piala Malaysia 1984.

Kasut Gangsa Piala Malaysia’ pula menjadi milik Zulkifli Hussein yang mewakili Kelantan FA. Pemain yang berbakat besar ini ketika itu masih menuntut di Tingkatan 6 tetapi telah mengenepikan cabaran lagenda Sabah FA, ‘Hurricane’ Hassan Sani yang menjaringkan 9 gol untuk Sabah FA. Zulkifli telah menjaringkan 11 gol, dan asalnya bermain di bahagian pertahanan sebelum diberikan ruang untuk menjadi penyerang setelah rakannya tercedera. Beliau merupakan anggota skuad Piala Razak Kelantan FA untuk musim 1982 dan 1983. Seorang lagi pemainmuda berbakat dalam Kelantan FA ketika itu ialah Hanifa Harun.

Sementelahan, sewaktu ‘Malam Anugerah Piala 1984’, ‘Piala Jurulatih Terbaik 1984’ telah dimenangi oleh lagenda bola sepak negara, Shukor Salleh yang turut beraksi sebagai ketua pasukan Pulau Pinang pada musim tersebut. Anugerah tersebut diadili oleh Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) dan beberapa juri lain. Sementelahan, ‘Piala Fair Play Milo’ dimenangi oleh skuad Pulau Pinang yang turut di wakili oleh Olahragawan Lelaki Kebangsaan 1977 itu. 

Sumber dan rujukan:
  1. http://chedinsphere.blogspot.com/2013/01/piala-sumbangsih-1985-selangor-lawan.html;
  2. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/perlawanan-akhir-piala-malaysia-1984.html;
  3. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/11/nostalgia-liga-malaysia-alan-davidson.html;
  4. http://chedinsphere.blogspot.com/2013/01/buku-biografi-mokhtar-dahari.html;
  5. http://chedinsphere.blogspot.com/2013/01/singapura-lawan-selangor-piala-malaysia.html;
  6. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/3hb-mei-1986-sabtu-perlawanan-piala.html;
  7. http://www.facebook.com/king.kheiriel;
  8. http://www.facebook.com/norazmi.mahmood;
  9. http://www.facebook.com/photo.php?fbid=1448973784588&set=o.113226981358&type=3&theater;
  10. http://www.under-voice.com/wp-content/uploads/2012/02/DSC04283.jpg;
  11. Majalah Arena Bola Sepak;
  12. Majalah Dunia Sukan;
  13. Utusan Malaysia;
  14. New Straits Times.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan