Rabu, Januari 23, 2013

Buku Biografi Mokhtar Dahari (1989).


Supermokh, lagenda negara.
Al-Fatihah.
Majalah Dunia Sukan mengiktiraf
Supermokh sebagai penyerang 70an
dan 80an paling unggul.
Naskah biografi Supermokh.
Kulit belakang biografi Supermokh
menampilkan gambar Allahyarham
dengan Diego Maradona.
Supermokh dan Diego Maradona bertukar
cenderamata pasukan.
 
Trofi Pemain Terbaik Dunhill, jersi Supermokh
dan kenangan Maradona-Boca Juniors.

Mokhtar-Maradona (1982): 
Bintang Asia Tenggara bersama 
bintang dunia.
Supermokh dan Diego Maradona, di mana
Jemputan Selangor tewas 1-2 kepada
Boca Juniors FC pada 1982.
1986: Supermokh bersama
Trofi Pemain Terbaik Dunhill.

Supermokh dan putera beliau,
Mohd Reza Mokhtar.
Mohd Reza Mokhtar (paling kanan) bersama skuad
Piala Emas Raja-Raja Selangor. Berbeda dengan
Supermokh yang berbadan gempal dan sasa, Reza
memiliki fizikal yang tinggi lampai.
1986: Supermokh menerima cenderahati
istimewa selepas mengumumkan persaraannya.
Namun, beliau kembali beraksi untuk Selangor
dan Kwong Yik Bank pada 1987.


1987, musim terakhir Supermokh
bersama Selangor FA.
1987: Meskipun sudah berusia 34 tahun, Supermokh
masih mampu menjaringkan gol
dan beraksi dengan baik.
Skuad Juara Piala Sumbangsih 1987 Selangor.
Supermokh berdiri paling kanan.
Skuad Kwong Yik Bank 1987. Supermokh
duduk paling hadapan, dua dari kiri.

1989: Supermokh sewaktu menerima kunjungan
Tun Dr Siti Hasmah di rumahnya. Turut
kelihatan, Mohd Reza.
Supermokh dikerumuni para peminat dan orang
ramai di LTAB Subang, sebelum berangkat ke
London untuk menjalani rawatan.

Supermokh dan isterinya, Datin Tengku Zarina,
tersenyum menatap isi kandungan
buku biografinya.
Seorang bapa yang penyayang:
Supermokh memangku anak 

bongsunya, Nur Arina.
Supermokh bersama Zainol Fakir
dan Rashid Azad Khan.
Supermokh menandatangani
naskah biografinya.
Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat-NYA
ke atas roh Allahyarham Mokhtar Dahari.
Naskah ‘Mokhtar Dahari: Lebih Satu Dekad Bergelumang dengan Bola Sepak’ (1989). 
Sepertimana yang kita sedia maklum, Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd (Kumpulan Utusan) pernah menerbitkan sebuah buku biografi khas untuk Allahyarham Supermokh pada tahun 1989, berjudul ‘Mokhtar Dahari: Lebih Satu Dekad Bergelumang dengan Bola Sepak’ dengan kata-kata pentingnya dipetik berbunyi, “…saya bekerja keras untuk apa yang saya capai hari ini.”

Naskah yang mempunyai 137 halaman ini ditulis secara bersama oleh Joe Marcose, Zainol Fakir dan Mustakim Aminuddin, dan memaparkan detik-detik peristiwa dan kenangan yang dilalui oleh Supermokh sejak mula berkecimpung dalam arena bola sepak sehingga saat keuzurannya, di samping membuktikan betapa penderitaan beliau turut dirasai bersama oleh rakyat dan negara.

Kali terakhir Mokhtar dipanggil mewakili negara ialah pada Pusingan Kelayakan Piala Dunia 1985 di Seoul, Korea Selatan namun skuad negara tewas 0-2. Supermokh asalnya telah beberapa kali mengumumkan persaraan, tetapi kembali atas rasa cinta yang mendalam terhadap bola sepak tanah air. Paling diingati ialah sewaktu Perlawanan Akhir Piala Malaysia 1986, di mana Selangor FA menang 6-1 ke atas Johor FA dan Mokhtar menerima Anugerah Pemain Terbaik Dunhill.

Malahan, Supermokh telah menghadiahkan jersinya kepada Raja Muda Selangor ketika itu, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj (kini Sultan). Sultan Sharafuddin kemudiannya turut menghadiahkan cenderamata berbentuk pinggan yang diperbuat daripada perak kepada Supermokh. Namun, atas desakan peminat dan pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Supermokh kembali daripada persaraannya pada 1987 untuk membantu Selangor, kali ini sebagai pemain dan pembantu jurulatih. Meskipun Selangor FA berjaya memenangi Piala Sumbangsih 1987 selepas menewaskan Wilayah Persekutuan FA, pasukan tersebut hanya mampu menduduki tangga ke sembilan liga, sekaligus gagal untuk layak ke Suku Akhir Piala Malaysia 1987.

Pada tahun 1987, Supermokh turut beraksi bersama Kwong Yik Bang FC dan menjadi jurulatih kelab tersebut dalam Liga FAM. Ketika menjadi jurulatih dan selepas pertama kali didedahkan beliau mengidap penyakit ‘motor neurone’, ia tidak menghalang Supermokh untuk terus menabur khidmatnya. Malah, ketika berkerusi roda, beliau masih bersama anak buahnya di padang dan stadium memberi tunjuk ajar.    

Supermokh telah menjalani rawatan di London pada 1989 dan kelihatan lebih baik sewaktu pulang ke tanah air, di mana beliau turut berubat secara tradisional dan mampu memandu kereta sendiri. Bagaimanapun, kesihatan beliau kembali merosot apabila beliau terjatuh dan tangannya terseliuh. Ketika inilah buku biografi beliau diterbitkan oleh Kumpulan Utusan dan diluncurkan di Stadium Merdeka oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS). Laungan nama Supermokh bergema sebelum perlawanan Selangor-Kedah pada 24hb September 1989, selanjutnya mengembalikan ingatan semua kepada pemain itu pada zaman kegemilangannya. 

Begitupun, laungan “Mokhtar! Mokhtar!” pada malam tersebut tidak diiringi dengan larian pantas dan rembatan kencang Supermokh. Beliau dikatakan cukup menyenangi penerbitan biografi tersebut, di mana ia bukanlah bertujuan mengagung-agungkan beliau, tetapi untuk memberikan motivasi kepada semua untuk berusaha keras untuk mencapai kejayaan.

Selepas 3 tahun bertarung dengan penyakitnya, anak jati Setapak, Kuala Lumpur ini menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Subang Jaya, Selangor pada pukul 8.25 pagi, 11hb Julai 1991 ketika berusia 37 tahun akibat penyakit ‘motor neurone’. Allahyarham Supermokh meninggalkan seorang balu, Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim dan tiga anak, Mohamad Reza yang juga bekas pemain bola sepak Selangor, Nur Azera dan Nur Arina. Jenazah Allahyarham Supermokh disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat Permai, Bukit Permai. Al-Fatihah sekudusnya, buat Supermokh, wira kita semua. 

--------------------------------------------------------------------

Sumber dan rujukan:
  1. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/3hb-mei-1986-sabtu-perlawanan-piala.html;
  2. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/boca-juniors-lawan-jemputan-selangor-xi.html;
  3. http://chedinsphere.blogspot.com/2013/01/singapura-lawan-selangor-piala-malaysia.html;
  4. http://chedinsphere.blogspot.com/2011/08/supermokh-lagenda-yang-tiada-galang.html;
  5. http://www.utusan.com.my;
  6. Majalah Arena Bola Sepak;
  7. Majalah Dunia Sukan;
  8. Utusan Malaysia;
  9. New Straits Times.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan