Jumaat, Januari 04, 2013

Brazil lawan Malaysia, Stadium Bukit Jalil (2002).

Barisan bintang Malaysia dan Brazil.
Skuad Piala Dunia 2002 Brazil.
2002: Ronaldinho dan rakan-rakan
sepasukannya di KLCC.
Dua lagenda: Ronaldo dan
Zainal Abidin Hassan.
Ronaldo melayani peminat
Malaysia, usai sesi latihan.
Big Phil dan Ronaldo.
Para pemain Brazil berlatih menghalang
sepakan percuma di Padang MSN.
Cikgu Jan dan Skuad harapan
Malaysia, 2002.
Barisan pemain kebangsaan, bergambar
kenangan sebelum bertemu Brazil.
DYMM Tuanku Syed Sirajuddin, ketika itu YDPA,
diperkenalkan kepada para bintang Brazil.
Khalid Jamlus.
Ronaldo dan Indra Putra Mahyuddin.
Norhafiz Zamani Misbah, berusaha
untuk mengekang Ronaldo.
Ronaldo cuba melepasi
hadangan Shahril Faizal.
Barisan pemain negara berjaya
mengekang Brazil sewaktu babak
pertama perlawanan. 
Indra Putra cuba menyaingi Rivaldo sambil
diperhatikan Ahmad Shahrul Azhar
dan pemain lain.
Rivaldo, beraksi buat kali pertama, selepas
berehat selama sebulan, kerana
kecederaan lutut kanan
.
Norhafiz Zamani Misbah dan Ronaldinho.
Azmin Azram beraksi cemerlang dan
penuh yakin, sepanjang perlawanan
menentang Brazil.
Azmin menerima Trofi Oliver Kahn untuk
tahun 2002, sijil dan jersi yang ditandatangani
oleh Oliver Kahn sendiri.
Cafu menjulang Piala Dunia 2002.
Brazil lawan Malaysia, Stadium Bukit Jalil (26hb Mei 2002).

Sempena persediaan terakhir skuad Brazil sebelum ke piala dunia, satu perlawanan persahabatan antara Brazil dan Malaysia telah diaturkan pada 25hb Mei 2002. Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) bersikap profesional dengan membariskan pemain-pemain bintang mereka, walau terpaksa mengambil risiko yang tinggi kerana beraksi di stadium bukit jalil yang ketika itu padangnya dalam keadaan yang sangat teruk dan baru dibaik pulih. Dengan adanya Ronaldo dan Rivaldo, skuad Malaysia bimbingan Allan Harris perlu ada ramuan paling baik untuk cuba menyekat pergerakan dua bekas Pemain Terbaik Dunia itu. Ditambah dengan keperkasaan Roberto Carlos, Ronaldinho, Cafu, Emerson, Kleberson, Lucio, Edmilson dan Roque Junior, Malaysia sebenarnya berdepan dengan sebuah pasukan mapan dan mantap.

Kesudian Brazil ke Malaysia dan mengadakan persahabatan dengan pasukan kebangsaan di bawah kendalian Allan Harris adalah satu penghormatan tertinggi. Ia juga kesempatan paling berharga buat pemain kebangsaan menimba ilmu daripada bintang-bintang dunia, selain peluang sekali seumur hidup peminat tempatan menyaksikan Brazil dengan para bintangnya beraksi di hadapan mata secara langsung. Pertemuan dua pasukan ini dianggap sebagai ‘langit dengan bumi’. Brazil yang terkenal dengan aksi samba, hadir ke negara ini untuk berlatih dan mengadakan perlawanan persahabatan terakhir sebelum ke Piala Dunia 2002 di Korea Selatan dan Jepun, untuk mengharungi kempen ke-17 mereka. Ketika itu, Brazil beradan di ranking ketiga dunia di belakang Perancis dan Argentina, manakala Malaysia di tangga ke 112.

Perlawanan ini dianjurkan oleh ProEvents, di mana tiket-tiket dijual sejak 11hb Mei 2002 dengan harga RM200, RM70 dan RM40 yang mana lebih murah berbanding ketika perlawanan Manchester United dengan Malaysia pada tahun 2001. Pihak penganjur telah memberikan pas percuma untuk menyaksikan satu sesi latihan skuad Brazil kepada 10,000 pembeli pertama di kaunter tiket Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Azmin Azram beraksi cemerlang.
Di hadapan kira-kira 65,000 penonton, Brazil gagal menemui sentuhan jaringan sepanjang babak pertama permainan biarpun buat pertama kali, Luiz Felipe Scolari menurunkan gandingan tiga penyerang utamanya, Ronaldo, Ronaldinho dan Rivaldo. Ronaldinho dan Cafu mempamerkan aksi memberangsangkan, namun kebanyakan bintang Brazil seperti Rivaldo dan Ronaldo, beraksi di bawah keupayaan sebenar. (Ini merupakan perlawanan pertama Rivaldo bersama Brazil, selepas berehat selama sebulan keranan kecederaan lutut kanan). Para pemain Malaysia beraksi sebaik mungkin, sehingga mengikat Brazil tanpa jaringan pada 45 minit pertama. Azmin, yang pernah digantung kerana terlibat dengan masalah disiplin, mencuri tumpuan semua, malah media Brazil juga mengakui ketangkasan penjaga gol itu yang menafikan tiga percubaan tepat Ronaldo, dua tandukan tajam Lucio dan sepakan percuma berbahaya Ronaldinho.

Azmin yang ketika itu mempunyai kurang-lebih 30 caps antarabangsa, juga merupakan pemenang pertama ‘Trofi Oliver Kahn’ untuk musim 2002, sementara penjaga gol lagenda, Khairul Azman Mohamed mendapat tempat kedua. Jaring Malaysia seharusnya bergegar sekurang-kurangnya enam kali pada babak pertama termasuk tiga percubaan tepat Ronaldo tetapi ketangkasan Azmin harus memikat kesebelasan skuad samba. Begitupun, barisan pertahanan negara tidak langsung diberi rehat oleh rangkaian serangan Brazil dengan asakan-asakan berbahaya mereka. Bermula daripada kesilapan Khalid Jamlus yang hampir menanduk ke gawang sendiri pada minit ketiga menerusi satu sepakan sudut, Brazil memulakan aksi berbahayanya.

Emerson (ketika itu bintang AS Roma) hampir menanduk masuk sepakan sudut Ronaldinho dan tujuh minit kemudian, giliran Ronaldinho menguji Azmin menerusi sepakan percuma yang ditepis keluar penjaga gol negara. Seminit kemudian, Lucio (ketika itu beraksi dengan Bayer Leverkusen di Jerman) melonjak tinggi menanduk bola sepakan sudut tetapi bola singgah ke kaki Subri Sulong yang menendang keluar. Ronaldo (ketika itu bintang Inter Milan) yang pada mulanya agak kurang mendapat bola, mula menunjukkan bisa pada minit ke-20. Bintang dunia itu melepaskan tendangan kencang dari luar kotak penalti tetapi Azmin berada pada posisi yang betul untuk menguis keluar bola.

Pintu gol Malaysia sentiasa terancam setiap kali Brazil mendapat sepakan sudut dan Lucio berpeluang untuk membuka jaringan seminit kemudian tetapi sekali lagi Azmin bertindak cemerlang menepis keluar. Sebelum waktu rehat, Ronaldo memiliki dua peluang terbaik pada minit ke-27 dan 31. Sepakan kencangnya dari luar kotak penalti – hasil hantaran Cafu -- terkena Norhafiz Zamani Misbah manakala percubaan keduanya ditepis keluar oleh Azmin pada jarak dekat.

Brazil tunjuk kemampuan sebenar pada babak kedua.
Selepas menghadapi masalah menembusi benteng padat Malaysia pada babak kedua, Brazil mula pesta golnya pada babak kedua ketika permainan berusia 52 minit. Sentuhan Ronaldo jelas masih berbisa apabila mudah membuka jaringan untuk skuad Samba, permulaan kepada pesta jaringan Brazil di Bukit Jalil. Sebelum ke Malaysia, Ronaldo telah mengalami kemarau gol antarabangsa sejak 1999 sewaktu menyarung jersi skuad ‘Selecao’. Ronaldo beraksi selama 72 minit di atas padang, malah menjadi pencetus kepada jaringan Juninho. Gol terakhir Ronaldo dijaringkan sewaktu Copa America (menentang Uruguay) dan perlawanan persahabatan menentang Argentina, kedua-duanya pada tahun 1999. Perlawanan menentang Malaysia merupakan perlawanan ketiga Ronaldo, selepas berehat selam dua-setengah tahun, kerana menjalani dua pembedahan lutut.

Juninho – bekas bintang Altetico Madrid FC dan Middlesbrough FC -- yang dibawa masuk menggantikan Rivaldo, menambah gol kedua Brazil pada minit ke-64, juga menerusi gerakan mudah dengan meleretkan bola melepasi Azmin, selepas bermain dengan hantaran satu-dua dengan Ronaldo. Denilson (ketika itu mewakili Real Betis), terus menggegar gawang negara dengan gol ketiga minit ke-72 hasil gerakan solonya dari tengah padang sebelum mengatasi beberapa pemain Malaysia dan Azmin, dengan melorongkan bola ke penjuru kanan pintu gol Malaysia. Edilson turut melakar nama sebagai penjaring Brazil enam minit kemudian menerusi sepakan padu untuk gol keempat skuad juara dunia itu.

Kenangan berharga dan sebuah sindiran.
“Kami ke sini cuma mahu berlatih. Jika kami mahu lawan yang kuat untuk persahabatan terakhir kami, kami boleh menentang Itali atau Jerman,” kata Scolari selepas Brazil menewaskan Malaysia 4-0 dalam aksi persahabatan itu. Kenyataan jurulatih Brazil itu agak sinis, tetapi itulah tanggapan mereka, malah dunia sekali pun. Brazil, juara dunia empat kali, selayaknya menang dengan jaringan lebih besar ke atas Malaysia, kalau tidak kerana kecekapan Azmin Azram, dan corak permainan bersahaja pemain Brazil. Dunia mungkin menyindir kemampuan pasukan kita, tetapi malam itu, Malaysia – sebuah negara kecil bola sepak moden -- memperoleh satu pengalaman besar yang berharga. Kita pernah beraksi satu gelanggang dengan skuad juara Piala Dunia.
  • Pemain Malaysia: Azmin Azram Aziz (Syamsuri Mustafa), Norhafiz Zamani Misbah (Nizam Jamil), Rosdi Talib, Subri Sulong (Shahril Faizal), Liew Kit Kong, Indraputra Mahayuddin (K. Rajan), Muhamad Kaironnisam, Tengku Hazman Raja Hassan (Shukor Adan), Ahmad Shahrul Azhar (Mazuki Yusof), Akmal Rizal Rakhli (Hasmawi Hassan), Khalid Jamlus (Zainizam Marjan);
  • Pemain Brazil: Marcos (Dida), Anderson, Lucio (Vampeta), Edmilson, Roque Junior, Roberto Carlos (Junior), Emerson (Gilberto Silva), Kleberson (Juninho Paulista), Rivaldo (Kaka), Ronaldinho (Edilson), Ronaldo (Luizao);
  • Pengadil: M. Mongkol.
------------------------------------------------------------------

Sumber dan Rujukan:
  1. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/piala-aff-suzuki-2012-sebuah-gambus-luka.html;
  2. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/boca-juniors-lawan-jemputan-selangor-xi.html;
  3. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/edisi-sulung-piala-fa-perak-lawan.html;
  4. http://chedinsphere.blogspot.com/2011/08/supermokh-lagenda-yang-tiada-galang.html;
  5. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/cerita-malaysia-ke-olimpik-1980-moscow.html;
  6. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/cerita-malaysia-ke-olimpik-1972-munich.html;
  7. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/3hb-mei-1986-sabtu-perlawanan-piala.html;
  8. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/19hb-mei-1999-malaysia-xi-lawan-arsenal.html;
  9. http://chedinsphere.blogspot.com/2011/03/penjaga-gol-terbaik-malaysia.html;
  10. http://www.facebook.com/norazmi.mahmood;
  11. http://myfcf.blogspot.com/2012/03/malaysia-vs-brazil-on-25-may-2002-vip.html;
  12. http://news.bbc.co.uk/media/images/38016000/jpg/_38016905_rivaldo300.jpg;
  13. http://www.kosmo.com.my/;
  14. http://thestar.com.my/;
  15. http://www.bharian.com.my/;
  16. www.nst.com.my/;
  17. www.utusan.com.my/.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan