Khamis, Disember 27, 2012

Perlawanan Akhir Piala Malaysia 1984: Selangor lawan Pahang.

27hb Mei 1984
Perlawanan Akhir Piala Malaysia 1984 menyaksikan Selangor FA berdepan juara bertahan, Pahang FA yang diperkuatkan beberapa pemain berbakat seperti Jamal Nassir, Zainal Abidin Hassan dan Yunus Alif. Untuk rekod, Yunus Alif merupakan Pemenang Kasut Emas 1984, manakala Zainal Abidin Hassan pula memenangi Kasut Perak. Kasut Gangsa diraih oleh Zulkifli Hussein yang beraksi untuk Kelantan FA. Sementara itu, Pahang juga diperkuatkan oleh dua orang pemain import dari Kota Temasik, iaitu Pathmanathan dan K. Suriamurthy. Pemain Selangor, Lim Teong Kim tidak beraksi dalam perlawanan akhir tersebut memandangkan telah mengutip dua kad kuning. Beliau juga pernah digantung dan digugurkan daripada skuad kebangsaan selama 3 bulan bersama Santokh Singh, kerana menyertai perlawanan yang diharamkan oleh FIFA. Namun, Santokh Singh yang ketika itu berusia 32 tahun, beraksi selaku ketua pasukan Selangor FA pada perlawanan akhir Piala Malaysia 1984.  

Dalam perjalanan menuju destinasi Akhir Piala Malaysia, Selangor FA telah menewaskan Wilayah Persekutuan FA dengan agregat 4-1 pada peringkat Suku Akhir Piala Malaysia, sebelum menewaskan Pulau Pinang FA dengan agregat 2-0 pada peringkat Separuh Akhir. Sementelahan, Pahang FA mengalahkan Kelantan FA dengan agregat 5-2 pada peringkat Suku Akhir, dan menang 4-2 ke atas Johor FA. Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi yang seimbang sepanjang babak pertama permainan. Namun, pada minit ke-77, Pahang FA berada di hadapan apabila R. Suriamurthy melakukan sepakan ‘first-timer’ yang cantik untuk menewaskan R. Arumugam. Selepas mendahului 1-0 melalui jaringan R. Suriamurthy, pemain import dari Singapura, Pahang FA seakan-akan hampir pasti mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada tahun 1983, sehinggalah segalanya dirobek oleh dua jaringan Azhar Shariff dan Khan Hung Meng dalam tempoh 10 minit terakhir. Gol tersebut berpunca daripada kelalaian dan kealpaan para pemain Pahang selepas mendahului dengan hanya satu gol. Akhirnya Pahang FA tersungkur di ambang kejayaan, dengan keputusan 1-3.

Gol-gol Selangor FA dijaringkan pada minit ke-87, 89 dan 90. Khan Hung Meng yang dikawal oleh Abu Bakar Ahmad dan Jamal Nassir sepanjang babak pertama perlawanan, berjaya membuat satu hantaran lintang kepada pemain muda, Azhar Shariff yang berada di depan pintu gol. Azhar Shariff tidak mensia-siakan peluang yang terhidang, apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-87 dengan satu jaringan yang menarik. Pada minit ke-89, Khan Hung Meng yang menerima hantaran daripada Kanagarajah dari sebelah kiri kawasan Pahang FA, merembat deras dengan kaki kirinya untuk menewaskan penjaga gol lagenda, Ong Yu Tiang. Gol ketiga Selangor FA juga dijaringkan oleh Khan Hung Meng yang bermain di bahagian sayap kiri, kali ini pada minit ke-90. Hung Meng yang tidak dikawal, mudah menewaskan Yu Tiang untuk melengkapkan malam gemilang Selangor FA. Oleh kerana terlalu gembira, Santokh Singh berlari dari kawasan gol Selangor untuk meraikan jaringan gol kedua Khan Hung Meng. Tiga biji gol dalam tempoh kurang-lebih tiga minit, menjadi intisari yang menggamatkan Piala Malaysia edisi 1984 pada tanggal 27hb Mei itu. Malam itu, Khan Hung Meng diangkat sebagai wira bola sepak Selangor.

Piala Sumbangsih 1985
Kemudian, pada 30hb Disember 1984, Selangor FA sekali lagi menewaskan Pahang FA, kali ini dengan keputusan 2-1. Bintang Pahang FA, Zainal Abidin Hassan, tidak beraksi dalam perlawanan yang disaksikan oleh kurang-lebih 15,000 orang penyokong setia kedua-dua pasukan di Stadium Merdeka. Gol tunggal Pahang FA dijaringkan oleh Yunus Alif yang berjaya memperdayakan R. Arumugam, selepas bijak menewaskan Zaidi Mokhtar dan Santokh Singh. Ong Yu Tiang, penjaga gawang Pahang FA, beraksi cemerlang sepanjang perlawanan. Namun, Reduan Abdullah yang ketika itu berusia 31 tahun, berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-67, sebelum Razali Alias memastikan Selangor FA mengutip kejayaan tiga piala untuk musim 1984 pada minit ke-69. 

----------------------------------------------------------

Sumber dan rujukan:
  1. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/boca-juniors-lawan-jemputan-selangor-xi.html;
  2. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/edisi-sulung-piala-fa-perak-lawan.html;
  3. http://chedinsphere.blogspot.com/2011/08/supermokh-lagenda-yang-tiada-galang.html;
  4. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/cerita-malaysia-ke-olimpik-1980-moscow.html;
  5. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/cerita-malaysia-ke-olimpik-1972-munich.html;
  6. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/3hb-mei-1986-sabtu-perlawanan-piala.html;
  7. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/19hb-mei-1999-malaysia-xi-lawan-arsenal.html;
  8. http://chedinsphere.blogspot.com/2011/03/penjaga-gol-terbaik-malaysia.html;
  9. http://www.facebook.com/norazmi.mahmood;
  10. http://ifoto.penerangan.gov.my/html/fjpen6/main.php.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan