Ahad, November 11, 2012

Nostalgia Liga Malaysia: Kiatisuk "Zico" Senamuang (Perlis).

Kiatisuk Senamuang, lagenda Thailand
yang pernah beraksi untuk Perlis FA.
Jersi yang dipakai oleh Kiatisuk
sewaktu bersama Perlis FA.
Wajah Kiatisuk Senamuang sewaktu muda.
Kiatisuk Senamuang, Zico Asia Tenggara.
Piala Asia 1998 di Bangkok, menentang Singapura.
Kiatisuk dan rakan sepasukannya meraikan kejayaan
menewaskan Korea Selatan dan memenangi
pingat gangsa Sukan Asia 1998.
Thailand lawan Korea Selatan
pada 1998: perlawanan epik.
Bersama pingat gangsa Sukan Asia 1998.
Latar belakang.
Kiatisuk ‘Zico’ Senamuang dilahirkan pada 11hb ogos 1973 di Udon Thani, Thailand dan mempunyai ketinggian 171sm. Kiatisuk cukup dikenali ketika 90an kerana dianggap sebagai penyerang terbaik Asia Tenggara di samping Hok Sochetra dari Kemboja. Selain Kiatisuk, terdapat juga beberapa pemain Asia lain yang disamakan dengan beberapa pemain ternama dunia. Antaranya: Therdsak ‘Zidane’ Chaiman (Thailand); Bassim ‘Roberto Carlos’ Abbas (Iraq); Mirdjalal ‘Beckham’ Kasimov (Uzbekistan); Keita ‘Gennaro Gattuso’ Suzuki; dan Husain ‘Pele’ Ali (Bahrain). Kiatisuk memulakan kerjaya bola sepaknya dengan kelab Krung Thai Bank FC dari 1989 hingga 1995, sebelum menyertai Raj Pracha FC pada 1996. Pada tahun 1997 pula, Kiatisuk beraksi untuk Royal Thai Police FC, sebelum dilamar oleh pasukan dari utara Malaysia, Perlis FA pada 1998. Kiatisuk dikenali di Perlis, memandangkan ramai penduduk Perlis yang gemar menonton perlawanan bola sepak yang dilangsungkan di negara tersebut.  

Skuad Thailand, gabungan
pemain muda dan berpengalaman.
Kiatisuk menjaringkan gol kemenangan Thailand
sewaktu menewaskan Malaysia 1-0
dalam Piala Tiger 1996.
Piala Tiger 1996 (kini Piala Suzuki AFF)
yang dimenangi oleh Thailand.
Sewaktu menyarung jersi Singa Utara.
Ogos 1998: Kiatisuk memilih untuk berhijrah daripada skuad Perlis FA, selepas skuad Singa Utara kehilangan tempat dalam saingan Piala Malaysia 1998 dan Perdana Satu 1999. Dua lagi pemain import Perlis ketika itu ialah Mohammad Akrane (Maghribi) dan Henry Acquah (Ghana).
Menyertai Perlis FA.
Kiatisuk yang telah dikenali di Malaysia sejak Piala Tiger 1996, mula menyertai Liga Malaysia pada 1998 apabila menyarung jersi Perlis FA dan mencipta nama dalam skuad Singa Utara. Antara aksi awal Kiatisuk ialah sewaktu menentang Gergasi Merah (Selangor), di mana Kiatisuk membuat hantaran cantik kepada Henry Acquah – pemain import dari Ghana -- untuk gol tunggal kemenangan Perlis. Selain sering menjaringkan gol, Kiatisuk cukup dikenang dengan aksi akrobatiknya selepas berjaya membolosi pintu gol lawan. Bersama Perlis FA, Kiatisuk membawa pasukan tersebut untuk ke Separuh Akhir Piala Malaysia, bersama antara anggota skuad tersebut ketika itu iaitu Soberi Johar dan Veerak Run. Pada tahun 1998-1999, Perlis FA berada di bawah kendalian beberapa jurulatih berpengalaman seperti Bakri Ibni dan Haji Abdulrahman Ibrahim. Sepanjang bersama Singa Utara, Kiatisuk berjaya menambat hati penyokong setia skuad tersebut dan menjadi sandaran utama Perlis FA untuk mencapai kemenangan. Bagaimanapun, kelibat Kiatisuk dalam Liga Malaysia hanya bertahan sehingga Jun 1999. Kiatisuk yang beraksi dalam Liga Singapura pada 1997, dilarang daripada beraksi dalam Liga Malaysia memandangkan peraturan FAM mengkehendaki pemain yang beraksi dalam liga di Asia Tenggara menjalani tempoh ‘cooling period’ selama setahun sebelum beraksi dalam liga tempatan. Hal ini mengecewakan ramai peminat Perlis FA khasnya dan penyokong bola sepak tempatan umumnya, memandangkan penyertaan Kiatisuk pastinya dapat menaikkan imej Liga Malaysia. Kemudian, pada bulan November 2001, Perlis FA sekali lagi menyatakan kesediaan untuk mengambil Kiatisuk dan seorang lagi pemain Thailand, Santichaiperg Yoddanaikewgaemde sebagai pemain import mereka. Kiatisuk yang ketika itu baru berusia 27 tahun asalnya menyatakan persetujuan untuk beraksi bersama pasukan lamanya itu. Namun, impian peminat bola sepak tempatan untuk kembali menyaksikan aksi Kiatisuk tidak kesampaian, apabila Perlis FA akhirnya memilih pemain import lain.

Perlawanan bersejarah pada 1999:
Thailand menewaskan Arsenal FC.
Kiatisuk dan pasukan Thailand pernah
menjadi jaguh utama Asia Tenggara.
Ditawarkan untuk beraksi di England.
Pada bulan Julai 1999, Kiatisuk ditawarkan tempat untuk menyertai kelab Huddersfield Town FC di England. Kiatisuk turut diberikan peluang untuk menjalani sesi pemilihan dengan Middlesbrough FC di England. Kendatipun, penyertaan Kiatisuk ke dalam skuad Huddersfield dilihat umum sebagai usaha pengurus kelab tersebut, Steve Bruce untuk mendapatkan publisiti murahan, memandangkan Kiatisuk tidak pernah diturunkan sebagai kesebelasan utama kelab tersebut. Selepas hanya beberapa bulan menyertai Huddersfield, Kiatisuk kembali ke kancah Liga Thailand apabila menyertai Raj Pracha FC dari bulan Oktober 1999 hingga akhir musim 2000. Selepas itu, beliau menyertai kelab Singapore Armed Forces FC dalam Liga Singapura dari 2001 hingga 2002. Di Singapura, Kiatisuk menjaringkan 15 gol dalam 20 perlawanan liga. Di Vietnam, dari tahun 2002 hingga 2006, Kiatisuk menjuarai beberapa gelaran bersama kelab Hoang Anh-Gia Lai FC, seterusnya meletakkan status beliau sebagai bintang dalam Liga Vietnam. Kemudian, pada 2007, Kiatisuk menyarung jersi BEC Tero Sasana FC, iaitu kelab tanah kelahirannya, Thailand.

Kiatisuk Senamuang,
lagenda Thailand dan Asia Tenggara.
Kiatisuk mencipta banyak kejayaan
manis dalam Liga Thailand dan Vietnam.
Kiatisuk, Peter Withe, dan para pemain Thailand.
Menyarung jersi kebangsaan Thailand.
Pada Julai 1999, Kiatisuk yang baru berusia 23 tahun, beraksi cemerlang dalam skuad Thailand yang menerima kunjungan Arsenal FC dari England. Arsenal dimalukan oleh skuad Gajah Putih di bawah Peter Withe dengan kekalahan 3-4, di hadapan 50,000 orang penonton di Stadium Rajamangala. Malahan, Thailand ketika itu dibarisi oleh para pemain muda seperti; Virach Wangchan (penjaga gol), Tananchai Boriban dan Anurak Srikerd (pemain tengah). Arsenal pula diwakili oleh barisan utamanya seperti David Seaman, Tony Adams, Martin Keown, Patrick Viera, Emmanuel Petit, Nicolas Anelka, Nwankwo Kanu dan Mark Overmars. Ini adalah antara kebolosan paling banyak yang dialami oleh Arsenal FC ketika itu, memandangkan barisan pertahanan pasukan tersebut beraksi cemerlang sepanjang kempen Eropah dan Liga Perdana Inggeris. Arsenal FC kemudiannya menewaskan Malaysia 2-0 di Stadium Bukit Jalil. Pada 30hb Julai 2002, Kiatisuk turut beraksi bersama Bangkok XI yang tewas 1-2 kepada Leeds United FC. Skuad Bangkok XI dibarisi oleh kebanyakan pemain skuad Bawah-23 Thailand. Gol-gol Leeds dijaringkan oleh Eirik Bakke dan Robbie Keane, manakala Kiatisuk menjaringkan gol tunggal Bangkok XI. Pada 23hb Julai 2003, Kiatisuk beraksi bersama pasukan Thailand yang tewas 1-3 kepada Liverpool FC di Stadium Rajamangala, Bangkok. Dalam perlawanan yang berlangsung dalam keadaan hujan lebat itu, Kiatisuk cuba untuk menjaringkan gol kedua, tetapi dibatalkan kerana ‘offside’. Kiatisuk juga pernah dengan berani menjawab kritikan bekas Perdana Menteri Thailand yang berbangsa Cina, Thaksin Shinawatra. Kiatisuk berbuat demikian bagi membela rakan-rakannya dalam skuad Thailand yang dikritik hebat oleh Thaksin kerana kegagalan mereka dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2006. Kiatisuk menyatakan bahawa, “Beliau (Thaksin) tidak tahu bagaimana bola sepak dimainkan. Ia bukanlah semudah membeli kelab bola sepak asing.” Untuk rekod, Thaksin pernah membeli majoriti saham untuk memiliki kelab Manchester City FC di England. (Sebelum itu, iaitu pada tahun 2003 dan 2004, Thaksin cuba mengambil alih kelab Fulham FC dan Liverpool FC, tetapi gagal).

Mula mencipta nama dalam bidang
kejurulatihan di Thailand dan Vietnam.
Kehidupan selepas bersara.
Antara pemain kebangsaan Thailand yang pernah beraksi bersama Kiatisuk ialah Chaiyong Kumpiam, Surachai Jirasirichote, Dusit Chalermsan, Natee Thongsookkaew, Nived O., Sanor Longsawang, Panupong Chimpook, Pattanapong Sripramote, Choketawee Promrut, Surachai Jaturapattarapong, Krisada Piandit, Klairung Treejaksung, Thawatchai Damrong-Ongtrakul, Sunai Jaidee, Yuttapong Boonamporn, Kiatisak Senamuang, Worrawoot Srimaka, Tawan Sripan, Montri P., Jatupong Thongsukh, dan Vatcharakorn. Secara keseluruhannya, Kiatisuk menjaringkan 65 gol yang diiktiraf oleh FIFA untuk skuad kebangsaan Thailand dalam 130 perlawanan antarabangsa yang disertai olehnya. Berdasarkan statistik Persatuan Bola Sepak Thailand, Kiatisuk telah menjaringkan 100 gol untuk negaranya. Selepas menggantung sepatu bola, Kiatisuk mula mengurus kelab lamanya di Vietnam, Hoang Anh-Gia Lai FC, sebelum berkhidmat untuk kelab Thailand, Chula United FC pada tahun 2008 dan Chonburi FC pada 2009.

Nota kaki:


*********************************

2 ulasan: