Rabu, Oktober 24, 2012

Wacana ke-15 Sinar Harian: Peranan Ulama Menasihati Pemimpin.

Dalam konteks sekarang, politik wang memang kuat. Saya khuatir, sekiranya ia tidak dikawal, pemimpin tidak akan ditentukan oleh undi tetapi kapitalis (pemberi dana) yang mengangkat mereka.”
– Ustaz Siddiq Fadzil.

*********************
 
Para panelis dan pihak penganjur bergambar kenangan.
Wacana ke-15 Sinar Harian: Peranan Ulama Menasihati Pemimpin.

1.0. Mukadimah.
Alhamdulillah, pada 23hb Oktober 2012 (Selasa), jam 3.00 petang, saya bersama sahabat WADAH-ABIM-PKPIM berkesempatan menghadiri wacana yang dianjurkan oleh ‘Sinar Harian’, iaitu produk  terbitan Kumpulan Media Karangkraf. Wacana ini dianjurkan untuk kali ke-15 dengan mengetengahkan topik ‘Peranan Ulama Menasihati Pemimpin.’ Untuk mengulas isu ini dengan lebih terperinci, Sinar Harian telah menampilkan tokoh yang berpengalaman iaitu bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang juga Presiden Wadah Pencerdasan Umat (WADAH), Datuk Dr Siddiq Fadzil; bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Saudara Syahrin Md Jamaluddin, yang juga Pengerusi Biro Institut Pengajian Tinggi Malaysia. Wacana kali ini menampilkan moderator yang tidak asing lagi, Dr Maszlee Malik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Seperti lazimnya, wacana ini berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15 di Shah Alam.

Dr Maszlee berjaya mengendali dan menghidupkan suasana
wacana dengan baik.
2.0. Dr Maszlee Malek (Moderator).
Selaku moderator, Dr Maszlee Malik memulakan bicaranya dengan mengimbau pandangan Syeikh Rachid Ghannouchi, yang menegaskan bahawa peranan para ulama’ selaku suara kepada masyarakat madani (civil society). Dr Maszlee turut membuat kejutan apabila menyatakan kepada ahli panel dan hadirin bahawa format wacana kali ini adalah terbuka dan bukan seperti format biasa forum di Malaysia. Hal ini menjadikan wacana ini cukup segar dan menarik, tambahan pula Dr Maszlee berjaya menghidupkan suasana wacana dengan soalan-soalan yang membekas dan mengesankan. Beliau turut memuji Sinar dan Karangkraf kerana menjadi pelopor pembentukan politik hujah dan matang di Malaysia, dengan memberi ruang kepada semua pihak untuk bersuara. Hal ini penting, menurut Dr Maszlee, kerana media mempunyai tanggungjawab mendidik dan mematangkan masyarakat.

Ustaz Siddiq Fadzil, murabbi umat. Sedikit tulisan berkenaan beliau:  http://chedinsphere.blogspot.com/2012/10/julang-semangat-zaman.html.
3.0. Datuk Dr. Siddiq Fadzil.
Ustaz Siddiq membuka gelanggang wacana dengan menegaskan betapa perlunya dibedakan antara ‘pemimpin’ dan ‘orang besar’. Beliau memetik karya Indonesia, “Orang Kecil Orang Besar,” nukilan Gus Mus (Haji Achmad Mustofa Bisri): “Orang besar boleh bicara semaunya; orang kecil paling jauh dibicarakannya saja. Orang kecil jujur dibilang tolol; orang besar tolol dibilang jujur.” Ustaz Siddiq turut membuatkan hadirin tidak kering gusi apabila beliau memetik nukilan Buya Hamka yang menyindir golongan agamawan yang gagal berfungsi sewaktu jaman penjajahan Belanda di Indonesia sebagai “Ulamak warasatul holanda” (ulama pewaris Belanda). Selanjutnya, beliau menegaskan bahawa ulama’ perlu berperanan sebagai penasihat kerana kepimpinan itu adalah satu taklif (tanggungjawab). Para pemimpin perlu sentiasa dinasihatkan akan tanggungjawab mereka agar kepentingan ‘orang kecil’ (rakyat biasa) dapat dipelihara. Ustaz Siddiq Fadzil yang juga merupakan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) berkata, ulama’ bertanggungjawab menegakkan kebenaran dan keadilan dan tidak boleh berkompomi atau bersekongkol. Menurutnya, ulama harus berani dan bebaskan diri mereka untuk memberikan pendapat demi kebaikan semua, tanpa mengira tempat dan masa.

Ustaz Siddiq yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata, ulama’ tradisi Islam tidak merasakan mereka sebagai ulama’ tetapi diiktiraf berdasarkan ilmu, kewibawaan, intergriti moral dan penampilan dalam masyarakat. Seterusnya, Ustaz Siddiq menyeru agar ulama dapat menguasai Fiqhul Waqi’ (Fiqh Realiti -- yang berubah) dan Fiqhun Nusus (Fiqh Nas — yang tidak berubah). Ulama’, kata beliau, perlu bijak menghitung perubahan realiti. Beliau turut menasihati pemimpin dan agamawan agar berhati-hati dengan tawaran daripada kaum pemodal atau kapitalis yang mahukan balasan atau ganjaran daripada sumbangan yang ditawarkan oleh mereka. “Dalam konteks sekarang, politik wang memang kuat. Saya khuatir, sekiranya ia tidak dikawal, pemimpin tidak akan ditentukan oleh undi tetapi kapitalis (pemberi dana) yang mengangkat mereka,” katanya. Secara tegas, Ustaz Siddiq menyatakan bahawa ulama mesti takutkan TUHAN -- dan bukannya majikan -- memandangkan ulama’ adalah individu yang diiktiraf oleh umat, dan perilakunya itu menjadi tauladan. Ciri utama ulama’, menurut Ustaz Siddiq adalah ‘khasyatillah’ (takut kepada TUHAN) dan bukannya takut kepada majikan. Sebab itu ulama' adalah pewaris nabi bukan pewaris harta atau kuasa. 

Malah, betapa rapatnya ulama’ dengan pemimpin dalam sejarah Melayu banyak dinukilkan dalam sejarah Melayu tradisi, dengan mengangkat nama wibawa ‘Al-Imamul ‘Adil’. Sultan Melayu dahulu digambarkan sangat mendekati ulama’ yang soleh. Mengulas peranan ulama’ menasihati pemimpin, secara ringkas beliau menyatakan bahawa ulama’ perlu berperanan sebagai penasihat kerana kepimpinan itu adalah satu taklif (tanggungjawab) selaku pewaris para Nabi (mewarisi integriti moral dan keilmuan seperti para Nabi). Para pemimpin perlu sentiasa dinasihatkan akan tanggungjawab mereka agar kepentingan orang kecil (rakyat biasa) dapat dipelihara. Ustaz Siddiq turut menambah bahawa bukan sekadar akhlak dan kepimpinan Nabi Muhammad S.A.W. yang perlu dijadikan contoh, tetapi juga Nabi-Nabi lain seperti Nabi Musa a.s. dan Nabi Sulaiman a.s. Nabi Musa a.s., menurut Ustaz Siddiq, tidak gentar untuk menasihati Firaun, sementara Nabi Sulaiman a.s. pula begitu prihatin dalam mendengar suara rakyat; termasuklah keluhan dan teguran haiwan sekecil semut.


Dr MAZA kelihatan cukup kritikal dan tegas dalam
wacana kali ini.
4.0. Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Dr MAZA pula secara tegas menyatakan bahawa ulama’ perlu memainkan peranan yang besar dewasa ini, memandangkan kebangkitan di dunia Arab menggemparkan dunia; sehingga peranan ulama’ dibincangkan. “Pemimpin masyarakat perlu ditegur secara terbuka jika melakukan kesalahan yang melibatkan kepentingan awam dan bukannya hal-hal peribadi,” kata Dr MAZA. Kendatipun, mantan Mufti Perlis itu berkata, perkara seperti itu perlu dibahas secara terbuka dengan beradab dan bukan dengan caci-maki. “Soal kepentingan awam boleh dicakap dengan terbuka. Tetapi kita tak patut memaki, jadi orang profesional. Kritik kesalahan dan pengurusan itu tapi pilih perkataan yang elok seperti manusia yang bertamadun. Sebut perkataan yang tegas dan bermaksud. Dosa manusia ada dua. Satu antara dia dengan TUHAN. Dosa dalam kategori ini tidak patut dibahas dalam khalayak awam,” katanya lagi. Menegur pemimpin hendaklah secara berhemah dan berhikmah dan bukan secara maki-hamun, katanya. Bahasa teguran yang digunakan, menurut Dr MAZA, hendaklah bersesuaian dengan norma manusia berakhlak dan bertamadun. 

Mantan Mufti Perlis ini turut menyatakan bahawa ulama’ tidak semestinya menjadi pemimpin. Pemimpin yang baik, menurut beliau, ialah pemimpin yang mempunyai ciri kepimpinan yang baik. Beliau turut memetik Sabda Rasulullulah S.A.W. kepada Abu Dzar r.a. ketika beliau (Abu Dzar) meminta dilantik menjadi pegawai Rasulullulah S.A.W., Rasulullulah S.A.W. menepuk bahunya serta bersabda; “Hai Abu Dzar, kamu seorang yang lemah, sedangkan jawatan itu adalah satu amanah (tanggungjawab) yang kelak di Hari Kiamat menjadi hina dan menyesal, kecuali orang yang mengambilnya dengan hak dan menunaikan kewajipannya.’ Dr MAZA turut mengambil contoh Mesir dan Turki, sebagai dua buah contoh negara yang bukan dipimpin oleh ulama’. Selanjutnya, Dr MAZA juga menyeru agar ulama’ mengangkat isu keadilan sosial dalam masyarakat. Beliau mengambil contoh bagaimana Imam Nawawi yang berani menegur Al-Malik Az-Zahir dalam hal keadilan sosial bagi menjaga harta benda rakyat daripada diambil secara sewenang-wenangnya. Dr MAZA turut menggesa PAS agar tidak menjadi seperti pemerintahan Ayatullah Khomeini di Iran sekiranya berjaya memerintah Putrajaya kelak. Menurut beliau, sekiranya ada yang bermentaliti bahawa orang agama yang berkuasa tidak boleh ditegur, negara akan menjadi lebih korup dari sekarang. 

Saudara Syahrin merupakan mantan moderator Forum
Perdana Ehwal Islam di TV1. Kini beliau aktif dalam Pemuda UMNO.
5.0. Saudara Syahrin Md Jamaluddin.
Saudara Syahrin menyentuh berkenaan pendefinisian ulama’ sendiri yang masih kabur dan sering dieksploitasi di negara kita. Hal ini demikian kerana, ada yang berpandangan bahawa sekiranya seseorang itu mempunyai sedikit ilmu agama, maka individu tersebut layak digelar ulama’. Hal ini bahaya, menurut Saudara syahrin, kerana ramai yang menyalahgunakan ilmu agama bagi mengaut keuntungan dengan menipu orang ramai.  Beliau melontarkan persoalan berkenaan; apakah bentuk disiplin ilmu yang perlu dikuasai oleh seseorang sebelum layak digelar ulama’? Sebagai contoh, menurut beliau, Al-Khawarizmi yang membangunkan ilmu falak atau ilmu kaji bintang turut digelar alim ulama’. 

Beliau juga menyentuh berkenaan cabaran menjadi golongan agamawan yang memegang jawatan politik, khususnya apabila ramai ahli parti atau rakyat yang memohon sumbangan atau derma dalam bentuk wang ringgit bagi menjalankan program atau aktiviti kemasyarakatan. Hal ini, menurut Saudara Syahrin, menuntut seseorang pemimpin itu untuk mempunyai kedudukan kewangan yang stabil bagi memenuhi permintaan ahli parti dan tanggungjawab sebagai pemimpin. Selanjutnya, Saudara Syahrin turut menegaskan bahawa pimpinan UMNO cukup terbuka dalam hal menerima teguran daripada golongan agamawan di dalam parti tersebut. Ini dibuktikan, menurut beliau, apabila usul yang dibawa beliau sewaktu Perhimpunan Agung UMNO, agar diwujudkan J-QAF, telah diterima dan dilaksanakan. Menurut beliau, ini adalah contoh di mana teguran dan cadangan untuk memerkasakan pendidikan agama diterima di dalam UMNO dan parti pemerintah.

Beliau turut menyentuh Firman ALLAH SWT dalam Surah Ibrahim, “Lain syakartum la azidannakum. Walain kafartum inna ‘adzabi lasyadid;” yang menyatakan bahawa sesiapa yang mensyukuri hidup akan dikurniakan tambahan kebahagiaan melimpah. Sebaliknya, sesiapa yang menolak mengakui nikmat akan menuai penderitaan. Justeru itu, beliau menyeru kepada rakyat Malaysia agar berterima kasih dan bersyukur kerana banyak kemudahan yang sudah diberi dan disediakan di Malaysia, yang lebih baik daripada negara lain. Berkenaan isu kenyataan menghina hudud oleh Presiden MCA, Exco Pergerakan Pemuda UMNO itu mempertahankan UMNO dengan mengatakan bahawa Setiausaha Agung DAP, YB Lim Guan Eng turut melakukan perkara tersebut iaitu mempermainkan soal hudud terhadap PAS. Beliau yang juga Pengerusi Biro Institusi Pengajian Tinggi Malaysia, bagaimanapun tidak menafikan perlunya pelaksanaan hukum hudud di negara ini, dengan syarat kaedah pendekatan dan perlaksanaannya dikaji dengan teliti terlebih dahulu.

Exco ABIM, Ustaz Hasri Harun dan Presiden, Cikgu Amidi Abdul Manan turut hadir.
Sedikit sejarah ABIM di sini:
http://chedinsphere.blogspot.com/2010/12/sejarah-angkatan-belia-islam-malaysia.html.
Di balik cahaya: Presiden PKPIM, Saudara Fahmi dan Exco ABIM, Dr Zulkifli.
Tulisan mereka di sini: http://fahmisamsudin.blogspot.com/
dan sini: http://zulkiflihasan.wordpress.com/author/zulkiflihasan/.
Antara sahabat WADAH-ABIM-PKPIM yang hadir. 
Alhamdulillah, jumpa Brader Black, aktivis yang sempoi.
Tulisan beliau di sini: http://www.aminiskandar.net/.
6.0. Khatimah.
Tuntasnya, wacana ini berjaya memberikan sedikit pencerahan kepada hadirin yang menyaksikannya secara langsung ataupun atas talian (online); berkenaan peranan ulama’ dalam menasihati pemimpin. Memetik kata-kata Ustaz Siddiq Fadzil, ulama’ itu mesti bebas, kuat dan berani; kerana kekuatan itu sendiri memerlukan keberanian. Molek kiranya jika kita mengulang kembali kisah seorang ulama’ Mazhab Maliki di Qairawan yang bernama Sahnun, yang mengekalkan tatacara hidupnya dengan hanya makan roti kering bercicah air garam. Ketika ditanya mengapa beliau hanya memakan itu, beliau menjawab; ini bukan zuhud, tetapi beliau sedang menjalani kehidupan sederhana supaya tiada halangan untuk berkata yang benar terhadap pihak pemerintah. Betapa ciri ‘independent’ (bebas) akan mengembalikan watak ulama’ dalam umat.  Jelasnya, harapan dan kemahuan rakyat begitu tinggi kepada kelompok ulama’ agar mereka berperanan secara berintegriti dalam menasihati pemimpin. Semoga lebih ramai ulama’ kita akan menjadi ulama’ yang independent dan berani untuk bangkit menegakkan kebenaran dan memperjuangkan keadilan. Juga, semoga wacana ini akan melata dan mengakar, dan mesejnya sampai ke seluruh pelusuk umat. Kobar jiwa semangat. Salam.

*********************
Sumber dan rujukan:
  1. https://www.facebook.com/ahmadfahmi.mohdsamsudin?ref=ts&fref=ts;
  2. http://www.facebook.com/fadhlinasidek.sidek?ref=ts&fref=ts;
  3. http://www.facebook.com/photo.php?fbid=4402544033710&set=a.4173333383587.2161662.1591878469&type=1&relevant_count=1;
  4. http://www.sinarharian.com.my/nasional/dr-siddiq-fadzil-ulama-perlu-berani-tegakkan-kebenaran-1.97483#.UIalsseguB0.facebook;
  5. http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/dr-mohd-asri-ulama-perlu-tegur-pemimpin-dalam-permasalahan-awam/;
  6. http://idaman78.blogspot.com/2012/10/isu-soi-lek-mufti-di-bidas.html; dan
  7. http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/wacana-sinar-harian-peranan-ulama-menasihati-pemimpin-1.97410.

**********************************
Entri-entri berkaitan:
  1. Untuk sejarah ringkas ABIM, boleh rujuk pautan ini: http://chedinsphere.blogspot.com/2010/12/sejarah-angkatan-belia-islam-malaysia.html.
  2. Wacana ke-15 Sinar Harian: Peranan Ulama Menasihati Pemimpin: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/10/wacana-ke-15-sinar-harian-peranan-ulama.html?spref=fb.
  3. Teks ucapan kemerdekaan oleh Ustaz Siddiq Fadzil: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/08/mensyukuri-nikmat-menginsafi-amanat.html.
  4. Peluncuran buku Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/07/buku-islam-dan-melayu-martabat-umat-dan.html.
  5. Peluncuran buku Yusuf Qaradhawi dan Kebangkitan Rakyat: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/08/sekitar-majlis-diskusi-dan-peluncuran.html.
  6. Muktamar ABIM ke-41 (2012M): http://chedinsphere.blogspot.com/2012/10/seputar-muktamar-sanawi-abim-ke-41-2012m.html.
  7. Pelancaran Tabung bosnia ABIM pada 1992: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/10/9hb-jun-1992-pelancaran-tabung-bosnia.html.
  8. Sedikit tulisan berkenaan Grup Peguam ABIM (GPA): http://chedinsphere.blogspot.com/2012/08/abim-dilantik-sebagai-pengerusi-ujn.html.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan