Rabu, Ogos 08, 2012

Seorang lagi Wira Olimpik Malaysia: Azizulhasni Awang.

Mohd Azizulhasni Awang, jaguh lumba basikal negara.
The Pocket Rocketman.
Bukan sahaja pelumba Barat, pelumba Asia dari Korea Selatan dan China juga mempunyai 
saiz tubuh badan yang tegap dan tinggi. Namun, Azizul berjaya juga menewaskan mereka, 
seperti di Kejohanan Berbasikal Asia 2008 di Velodrom Nara, Jepun.
Datuk Ng Joo Ngan, Olahragawan Kebangsaan 1970 dan jurulatih lumba basikal negara. Beliau dianggap sebagai antara pelumba basikal terbaik kelahiran negara. Pada 1970an, beliau diangkat sebagai jaguh lebuh raya dan merupakan pemenang pingat emas Sukan Asia. Anak beliau, Edward Ng, turut menuruti jejaknya dalam mengharumkan nama Malaysia menerusi sukan berbasikal. 
Rosman Alwi, mencurahkan bakti selaku pelumba basikal negara dari 1970an sehingga persaraannya sekitar tahun 2002. Beliau memenangi acara pecut 200m di Kejohanan Berbasikal Asia 1987 di Bangkok. Pencapaian ini hanya dapat disamai oleh Rizal Tisin pada 2006 melalui acara keirin. Ayah beliau, Allahyarham Alwi Ahmad juga merupakan tokoh dalam sukan berbasikal negara.  
Murugayan Kumaresan, Olahragawan Kebangsaan 1987. Beliau turut membuat penampilan bersejarah di Sukan Olimpik 1988 di Seoul dan 1992 di Barcelona. Antara atlet veteran negara yang masih diingati sehingga ke hari ini.
 

*****
Saya bersukan pun sebenarnya bukan untuk mengejar wang ringgit tetapi ini adalah bidang yang saya minati dan saya buat secara ikhlas.”
-- Azizulhasni  Awang, The Pocket Rocketman.

*****

Seorang lagi Wira Olimpik Malaysia: Azizulhasni Awang.
Baik acara trek mahupun lebuh raya, sukan lumba basikal tidak pernah sunyi melahirkan jaguh-jaguh sukan yang dikenang dalam lipatan sejarah sukan tanah air. Nama-nama seperti Daud Ibrahim, Ali Hassan dan Datuk Ng Joo Ngan (era 70an); Rosman Alwi dan Ishak Amin (80an); serta M. Kumaresan, Edwin Ng, Nor Effandy Rosli dan Shahrulneeza Razali (era 90an) – sekadar menyebut beberapa nama -- seringkali meniti di bibir para pendokong sukan tanah air.

Sementelahan, abad ke-21 menyaksikan kebangkitan beberapa nama besar sukan lumba basikal negara seperti Josiah Ng, Suhardi Hassan, Rizal Tisin, Anuar Manan dan pastinya jaguh antarabangsa kelahiran Dungun, Azizulhasni Awang. ‘The Pocket Rocketman’ -- gelaran unggul buat Azizul -- mencipta gemilang tersendiri apabila memenangi pingat emas acara keirin dan pecut 200m Kejohanan Trek Asia 2008 dan Kejohanan Lumba Basikal Dunia 2009 di Melbourne.

Sewaktu acara keirin pada Siri Piala Dunia Klasik Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2011 di Manchester, Azizul mempamerkan kekentalan iltizamnya, apabila meneruskan kayuhan, meskipun serpihan kayu sepanjang 20sm menusuk betisnya selepas terjatuh ketika berlumba. Beliau menamatkan perlumbaan itu di tempat ketiga. Untuk rekod, sahabat sepelatih Azizul, Josiah Ng juga pernah mengalami kecederaan teruk pada bahagian tulang selangka (collarbone) sewaktu Kejohanan Dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2007 di Mallorca, Sepanyol.  

Sepertimana kita sedia maklum, Azizul menduduki tangga keenam keirin, selepas dikepung oleh beberapa pelumba, meski mendahului pada peringkat awal. Azizul telah sedaya-upaya mengerah keringat bagi mengharumkan nama negara di Olimpik London 2012. Beliau terpaksa bersaing hebat dengan pelumba-pelumba bertaraf dunia sepertu Chris Hoy (Britain), Teun Mulder (Belanda), Maximilian Levy (Jerman), Shane Perkins dan Simon Velthoozen (New Zealand).

Penting untuk disebut di sini, bahawa Azizulhasni merupakan satu-satunya pelumba benua Asia yang berjaya melangkah  ke peringkat akhir acara keirin, Olimpik London 2012 kali ini. Tahniah, Azizul. Terima kasih atas pengorbanan dan bakti yang tercurah. Perjalanan masih jauh. Bertabahlah.

Hidup Malaysia kita.

*****

Entri-entri berkaitan:
***************************************************

Tiada ulasan:

Catat Ulasan