Alhamdulillah, semalam -- 20-5-2012 – saya berkesempatan
menghadiri acara Borak Buku anjuran PENA dan MPR (Minggu Penulis Remaja) yang
dijalankan di Coffee Bean, Kuala Lumpur Sentral.
Pada kali ini, Ketua
Pengarah DBP, Prof Dr Awang Sariyan telah hadir untuk mengupas buku “Rihlah Ilmiah: Dari Neomodernisme Ke Islamisasi Ilmu” karya Prof Dr Wan Mohd Nor (Penerbit UTM, 2012).
Secara umumnya, “Rihlah Ilmiah” menceritakan pengalaman pengarang dalam
pengembaraan mencari ilmu di Kelantan, Pakistan, Amerika Syarikat, Arab Saudi,
Afrika, Oman, Bahrain, Iran, Jepun, Turki, Indonesia dan Rusia.
Sementelahan, pengarang dilihat berusaha membawa pengaruh pemikiran Prof
Syed Naguib dari Institut Pemikiran Antarabangsa dan Tamadun Islam (ISTAC)
di UIAM ke Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS) di UTM.
“Rihlah Ilmiah” juga menerangkan
secara ringkas berkenaan interaksi antara pengarang dan sarjana-sarjana besar
seperti Ismail Raji al-Faruqi, Amein Rais, Imaduddin Abd Rahim dan Sayyid
Hosein Nasr.
Dengan latar belakang aktivisme dan intelektualisme yang
kuat, pengarang gigih menukilkan pengembaraan hidupnya, dari alam neomodernisme;
kemudian menjadi pemikir dan penyeru gerakan Islamisasi Ilmu.
Paradoks
Di dalam “Rihlah Ilmiah”, pengarang menyingkap kehidupan
beliau yang pernah ditarbiyah oleh Prof Syed Naguib yang membawa gagasan Islamisasi
ilmu. Dan, berguru dengan Prof Fazlur Rahman yang menjadi sandaran aliran
liberal.
Kendatipun, perbedaan fahaman ini tidak menghalang Prof Fazlur
untuk menggelarkan Prof Syed Naquib sebagai ‘ilmuwan genius’, tatkala Prof
Naguib sendiri pernah mengundang Prof Fazlur untuk mengajar di ISTAC.
Menurut Prof Awang Sariyan, Prof Syed Naguib telah mempelopori
Islamisasi ilmu, di mana ianya telah membawa perubahan positif baik dari segi
pendidikan, politik, budaya dan keilmuan di Alam Melayu. Hal ini bercanggah
dengan pandangan Richard Olaf Winstedt, yang mana beliau menyatakan bahawa
pengaruh Hindu mendominasi Alam Melayu.
Pengaruh
Islam dan bahasa Melayu Baharu
Prof
Syed Naguib menggagaskan bahawa kedatangan Islam telah membentuk hakikat bahasa
Melayu baharu, sebagaimana yang berlaku dalam tamadun bangsa lain yang menerima
Islam. Dengan perkataan lain, Islam telah memperkenalkan dan memasukkan sekian
banyak kosa kata yang mewakili tasawur dan pandangan sarwa Islam dalam aspek
sistem kepercayaan dan dalam segala aspek kehidupan bermasyarakat.
Demikian
juga Islam telah memberikan acuan baharu kepada wacana bahasa Melayu dengan
pengenalan akan pelbagai bentuk wacana yang sebelumnya tidak ada dalam tamadun
Melayu, seperti wacana ketatanegaraan (seperti dalam “Tajul Salatin”), wacana
undang-undang (seperti “Hukum Kanun Melaka”), wacana pensejarahan atau
historiografi (seperti “Sulalatus Salatin”, “Hikayat Aceh”, “Hikayat Raja Pasai”)
dan pelbagai bentuk susastera prosa dan puisi.
Buku Ayam
Selanjutnya, Prof Awang Sariyan menyingkap kenangan, bagaimana pernah
satu ketika, naskah “Islam dan Kebudayaan Melayu” (yang popular dengan gelaran ‘Buku
Ayam’ kerana rekaan citra ayam jantan pada kulit luarnya) cukup popular dalam
kalangan mahasiswa dan pengkaji Islam.
Kaligrafi indah dengan khat bermotifkan ayam jantan tersebut
dihasilkan sendiri oleh Prof Naguib. Tulisan tersebut membawa maksud lafaz ‘Basmalah’.
Buku ini telah diterbitkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 1984
selepas diterbitkan sebanyak dua kali oleh Penerbit UKM.
Tulisan Jawi
Prof Awang Sariyan juga mengimbau kenangan beliau selaku
antara mahasiswa yang berpeluang menuntut ilmu terus daripada Prof Syed Naguib.
Syed Naguib, menurut Prof Awang, adalah sosok unggul cendekiawan Melayu yang
mengangkat nilai-nilai Islami dalam keseluruhan aspek kehidupan manusia.
Selain daripada menjulang tinggi kepentingan tulisan Jawi
sebagai tulisan pemersatu bangsa Jawi (Melayu), menurut Prof Awang Sariyan
lagi, Prof Naguib telah memperjelaskan kembali bagaimana keberhasilan
para pendakwah Islam silam dalam mengangkat dan mengislamkan bahasa Melayu, sehingga
berhasil menjadi bahasa persatuan di wilayah Nusantara.
Justeru
itu, Prof Awang menyeru agar tulisan Jawi kembali diperkasa dan disebarluaskan,
bagi mengembalikan fungsi ketamadunan aksara warisan tersebut.
Kuras-kuras Ilmu
Sekadar bernostalgia, Prof Awang Sariyan juga menyebut bagaimana
sehingga hari ini, masih tidak ramai yang mampu menjawab dua soalan sinikal yang mudah
ini: “Bila kita mahu mencipta basikal Islam? Dan, bilakah kita akan mampu membina jambatan Islam?”
Walhasil, saya hanya mampu tersenyum, sambil menatap tajam ke
papan menu di Coffee Bean: memilih air kopi apa yang paling murah harganya.
Aduh.
*****
Sumber:
- http://kembarabahasa.blogspot.com/;
- http://www.flickr.com/photos/ramzan/2990465175/;
- https://www.facebook.com/events/133756863424011/;
- http://www.utm.my/news-clipping/2012/05/07/kekeliruan-ilmu-buku-rihlah-ilmiah-dari-neomodernisme-ke-islamisasi-ilmu-kontemporer-perjelas-situasi/;
- http://drshafie.blogspot.com/2012/05/rihlah-ilmiah-wacana-buku-di-dbp.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2010/12/sejarah-angkatan-belia-islam-malaysia.html; dan
- http://ikantongkol09-buku.blogspot.com/2009/08/islam-dalam-sejarah-dan-kebudayaan.html.
*****
Tiada ulasan:
Catat Ulasan