Isnin, Oktober 19, 2015

LOGO RBS.

LOGO RBS.
Hendak buat apa dengan keping-keping logo RBS ini?
Sebelum itu, RBS hendak cerita sedikit asal-usul logo ini.
Kira-kira setahun selepas RBS diwujudkan sekitar November 2012, maka kami pun simpan hajat agar ada baiknya kalau RBS punyai logo rasmi sendiri.
Sebelum itu, RBS hanya guna imej wajah beberapa pemain bola sepak terkenal dunia, antaranya Diego Maradona, Paolo Maldini, Socratés dan seumpama mereka.
Maka bersidanglah kami, mencerna buah fikir masing-masing.
Kertas kajang sudah berhelai-helai diconteng-lakar.
Lakaran kasar kemudiannya dimuktamadkan.

Logonya harus bulat, perkataan RETRO di sebelah atas, huruf B dan S mewakili perkataan 'Bola Sepak' dan perkataan GRANDE di sebelah bawah, 'tagline' popular RBS selama ini.
Maka kami pun ketemu seorang pemuda, teman kepada sahabat kami. Katanya beliau mahir dalam bab-bab merekabentuk apa saja rekaan.
Lakaran kasar logo dipersembah padanya. Beliau kata OK, mudah menurutnya. Lalu jangka masa seminggu diberi kepada beliau.
Dari seminggu bawa ke dua minggu, dari dua minggu membawa ke sebulan, buat kami di RBS ternanti-nanti.
Bila dihubungi, katanya beliau agak sibuk sedang membuat persiapan hendak mendaki Gunung Kinabalu.
Tinggi-tinggi Gunung Kinabalu, ternanti-nanti juga kami termanggu menunggu. Orang kata 'Janji Melayu'.
Dek kerana terlalu lama, dan tiada khabar berita dari pemuda tersebut, kami rasa lebih baik perkara pembikinan logo grafik RBS itu disuakan ke orang lain.
Suatu malam, sedang duduk minum kopi di rembang malam, kebetulan seorang kenalan datang sertai kami 'mengopi'. Dia hadir dengan adik iparnya. Memang agaknya dah hendak dijadikan cerita, adik ipar kenalan kami ini katanya juga mahir menggunakan aplikasi grafik.
Terus dipanjangkan idea pembikinan logo RBS. Disuakan juga lakaran kasar kami.
Anak muda ini setuju untuk bantu. Lantas esoknya dah siap sepenuhnya, sepertimana logo RBS sekarang, cuma waktu itu imej wajah Socretés yang jadi pilihan.
Memang kami puas hati dengan hasil kerja beliau.
Terima kasih pada pemuda tersebut. Beliau tak kenakan sebarang caj. Lalu upahnya sehelai baju-T RBS kami hadiahkan kepada beliau.
Logo RBS beberapa kali diubahsuai latar tengahnya mengikut situasi semasa, sebelum bendera Malaysia, Jalur Gemilang menjadi pilihan muktamad kami.
Dari sekadar, biasa-biasa, suka-suka, Retro Bola Sepak kini harapnya akan terus kekal menyaji kisah-kisah 'grande' dalam dunia bola sepak, meski kami sedar semenjak-dua ini, amat kurang bingkisan-bingkisan dari kami lantaran masing-masing dari kami terikat dengan komitmen kerja.
Sekadar bercerita...
Padu dan grande selamanya!
'..lama itu mahal, tua itu emas..'
Tapi, keping-keping logo RBS ini mahu bikin apa sebenarnya ya?. Nantikan kelak makluman dari kami. Selamat berhujung minggu Retrorians semua...
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...