Khamis, September 19, 2013

Sepintas Lalu: Sejarah Kolej Dar al-Hikmah (KDH).


Logo ABIM.
Dato' Dr Siddiq Fadzil, Presiden KDH.
Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman, mantan Presiden ABIM.
Tuan Haji Ahmad Azam, kini Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat (WADAH).
Tuan Haji Md Fuad Bahari, Ketua Pengarah Eksekutif (CEO), KDH.
Ahli Lembaga Majlis Tertinggi KDH.
Sekitar Majlis Konvokesyen KDH.
Kolej Dar al-Hikmah (KDH) adalah salah-satu Pusat Pengajian Tinggi Islam Swasta bertaraf universiti di DUN Bangi. Sebuah lagi ialah Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) Bandar Seri Putera, Bangi. KDH adalah jelmaan daripada aspirasi perjuangan pemuda-pemuda Islam di dalam organisasi ABIM itu sendiri yang memperjuangkan Islam syumul, termasuklah di dalam bidang pendidikan. Mereka bukan saja mahu melihat, tetapi merangka pendidikan Islam selengkapnya.
Kolej Dar al-Hikmah (KDH) dahulu dikenali sebagai Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam (IPI). Ia mula beroperasi pada tahun 1989 dan merupakan kolej swasta Islam yang terawal  ditubuhkan di Malaysia. Matlamat KDH adalah untuk membangun tradisi ilmu memugar kegemilangan Tamadun  Islam dan menjadikan Islam sebagai cara hidup.
Logo KDH.
Kepala surat dan logo IPI. Kenangan.
IPI asalnya mempunyai beberapa buah cawangan di Kedah, Perak, Kuala Lumpur, Johor, dan Kota Bharu. Sementara kampus induknya terletak di bangunan Kompleks Dar al-Hikmah, Sungai Ramal, Kajang, Selangor.
Antara cawangan IPI yang telah berkembang ialah Kolej Islam Sains & Teknologi (KIST) yang dahulunya dikenali sebagai Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam (IPI) Cawangan Kelantan. IPI ditubuhkan pada tahun 1994 dibawah naungan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Kemudiannya IPI dinaiktaraf menjadi Kolej Islam Sains & Teknologi (KIST). KIST ditubuhkan pada tahun 2003, hasil dari cetusan kesedaran tentang pentingnya usaha penyuburan pemikiran dan tradisi intelektualisma dalam membangunkan kegemilangan tamadun Islam.


Sekretariat lama ABIM, 'Anjung Rahmat' di Gombak.
Sekretariat ABIM sekarang, di Taman Cemerlang, Gombak.
Syarahan oleh Dr Mehmet Asutay di KDH.
Syarahan oleh Dr Tariq Ramadan, ilmuwan yang budiman, di KDH.
IPI yang diuruskan oleh Syarikat Bina Ilmu Sdn. Bhd. dan ABIM adalah pemegang saham utamanya, telah didaftarkan sebagai sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pada 1997. Perubahan nama kepada Kolej Dar al-Hikmah (KDH) berkuatkuasa pada 1 Muharram 1423/15 Jun 2002. KDH bernaung di bawah Syarikat Bina Ilmu Sdn. Bhd milik Angkatan  Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Koperasi Belia Islam (KBI).
Visi KDH adalah untuk menjadi institusi pengajian tinggi yang unik, cemerlang dan terbilang. Tiga misi utamanya pula adalah untuk menyediakan pendidikan bersepadu di peringkat pengajian tinggi; melaksanakan tarbiah yang lengkap dan seimbang jasmani, aqli dan rohani; serta membina generasi yang bertaqwa, berketrampilan, relevan dan komited.
Sebagai rekod, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ditubuhkan sebagai sebuah gerakan bertunjangkan ilmu dan memilih untuk mengambil sikap terbuka serta sederhana (moderate) berasaskan realiti setempat di samping memegang prinsip-prinsip Islam serta kesepaduan ilmu, iman dan amal dalam rangka pembangunan Islam.
KDH (ketika itu IPI) ditubuhkan pada dekad kedua penubuhan ABIM, iaitu tahun-tahun 1980-an, di mana kepimpinan ABIM beralih kepada Ustaz Siddiq Fadzil (Dato’ Dr) sebagai Presiden ketiga pada tahun 1983.  Pendekatan ABIM sewaktu dekad kedua ini ditandai oleh perubahan orientasi ke arah pendekatan menangani dan menyelesaikan masalah (problem-solving). Semenjak itu, beberapa institusi dakwah di bidang pendidikan dan perekonomian telah dikembangkan seperti Koperasi Belia Islam Malaysia (KBI) dan Islamic-Outreach ABIM (IOA). 

Antara program anjuran KDH.


Almarhum Ustaz Niamat Yusof, Yang Dipertua ABIM Kedah yang 
pertama dan antara pengasas terawal Taski ABIM dan Maahad Derang. 
Selain Ustaz Niamat, turut terlibat ialah Dr Abdul Rahman Kurais, Tuan Haji Ahmad Said, Dr Ghazali Basri, Dr Abdul Halim El-Muhammady, Saudara Ismail Yusof, Saudara Che Yob  Mahmood, Saudara ‘Abah’ Zahidin Mahmood, Saudara Anuar Tahir, 
Saudara Annuar Salleh dan ramai lagi. Al-Fatihah.

Penubuhan KDH adalah sebagai penerusan program tarbiyah dan dakwah ABIM yang bermula daripada Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (TASKI-1979); Kelas Tahfiz yang bermula di Taiping Perak (1985); Sekolah Rendah Islam (SERI-1989); Sekolah Menengah Islam (SEMI-1985); Pusat Latihan ABIM, Sungai Ramal, Kajang (1980an) sehinggalah IPI dan seterusnya KDH. Lantaran itu selepas tertubuhnya ABIM, bahagian pendidikan diberi tugas merangka dan melaksanakan pendidikan Islam menerusi penubuhan institusi-institusi tersebut.
Perjalanan pusat-pusat pengajian di atas dan cawangan-cawangan adalah secara swasta, termasuklah KDH. Penubuhannya adalah hasil cetusan kesedaran tentang pentingnya usaha penyuburan pemikiran dan tradisi intelektualisme dalam membangun semula kegemilangan tamadun Islam. Institut ini diharap dapat menyumbang ke arah mengisi aspirasi tersebut menerusi gerakan keilmuan yang bertujuan memecah kebekuan intelektual, pengislaman ilmu dan pembebasan umat dari belenggu tradisi intelektualisme Barat.

Antara naskah terbitan ABIM.
Koleksi Jurnal Pendidikan Islam, terbitan IPI dan KDH.
KDH turut menghasilkan penerbitan-penerbitan ilmiah dan Jurnal Pendidikan Islam. Disamping mengambil pendekatan perbandingan antara keilmuan Islam dan pengetahuan moden, KDH berusaha menggabungkan pemikir-pemikir bernas yang bermanfaat dari pertubuhan intelektualisme sejagat.
Bagi memenuhi hasrat itu, KDH menyediakan kursus-kursus asas Islam sebagai subjek wajib kolej dan menggabungkannya dengan program profesional/akademik untuk  melahirkan sumber manusia yang beriman, berilmu, berketrampilan, berakhlak, komited dan berdaya maju.

Pidato Ustaz Siddiq Fadzil dalam sebuah majlis.
Panji ABIM: Kobar jiwa semangat.
Sekitar Kompleks Dar al-Hikmah.
Maklumat berkenaan KDH.
Liputan berkenaan KDH dalam akhbar Berita Harian.
KDH sedang, telah dan akan terus menyahut cabaran dalam bidang pendidikan. Ini terbukti dengan langkah institusi itu yang turut merangkumkan bidang pengajian teknologi maklumat (IT) sebagai mata pelajaran wajib ke atas semua pelajarnya, selain mata pelajaran teras iaitu ilmu-ilmu Islam untuk memastikan mereka mampu memenuhi keperluan sumber tenaga manusia negara.
Hal ini demikian bagi memastikan bahawa lulusan KDH mampu bersaing dengan graduan daripada mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) lain di negara ini dalam menempatkan diri mereka dalam sektor pekerjaan.
Sehingga kini, KDH telah pun melahirkan ribuan graduan dalam pelbagai bidang seperti Pengurusan Islam, Perakaunan Islam, Syariah, Usuluddin, Ijtima’i, Bahasa Arab, Pengajian Islam, Pengajian al-Quran, Pengurusan Perbandingan dan Undang-Undang Perbandingan di peringkat diploma.
Di atas sumbangan dan kemampuannya, KDH seharusnya terus diberi mandat oleh banyak pihak sama ada sektor kerajaan dan swasta, untuk melahirkan lebih ramai intelektual Islam yang bukan sahaja menguasai ilmu-ilmu Islam, tetapi pada masa yang sama mampu menguasai ilmu dunia moden sarwajagat.
------------------------------------------
Sumber dan Rujukan:
  1. http://institute-ipi.tripod.com/pendahuluan.htm;
  2. http://chedinsphere.blogspot.com/2010/12/sejarah-angkatan-belia-islam-malaysia.html;
  3. http://drshafie.blogspot.com/2010/03/bersama-mengisi-tabung-dana-darul.html;
  4. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz2fJRF5AJT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan