Rabu, Oktober 03, 2012

Seputar Muktamar Sanawi ABIM ke-41, 2012M/1433H.

Saudara Haji Amidi Manan, Presiden ABIM, bersama isteri
yang menjadi tulang belakang kekuatan beliau.
Kelihatan Ustaz Naim dan Saudara Amidi sewaktu Muktamar berlangsung.
Para pimpinan ABIM Pusat sewaktu Muktamar berjalan.
 ***************
Kita tidak terhenti bersama gelodak masalah marhaen tetapi kita angkat suara mereka agar didengari hingga ke telinga penguasa. Kita akan pastikan walau siapapun yang memimpin negara, nasib warga kecil ini terbela.”
– Haji Amidi Abdul Manan, Presiden ABIM.

***************
Logo ABIM ciptaan Prof Syed Naguib Al-Attas.
ILSAS-UNITEN, tempat seminar berlangsung.
Saudara Raimi Ab Rahim, Setiausaha Agung ABIM,
menyampaikan ucapan aluan. 
Lagu 'Perjuangan' dilantunkan dengan penuh keyakinan.
Sebahagian daripada peserta seminar yang hadir.
Para peserta seminar bersemangat menyanyikan lagu ABIM.
Seputar Muktamar Sanawi ABIM ke-41, 2012M/1433H.
Alhamdulillah, pada 29 dan 30hb September 2012 yang lepas, saya bersama sahabat-sahabat ABIM Negeri Selangor berkesempatan menghadiri Muktamar Sanawi ABIM ke-41 dan Seminar Pemikiran Yusuf Al-Qaradhawi yang dilangsungkan di Auditorium Abu Zarim, ILSAS, UNITEN dan Kolej Dar al-Hikmah, Sungai Ramal Dalam. ABIM Daerah Kuala Langat diwakili oleh Yang DiPertuanya, Cikgu Radin Imaduddin, Saudara Anas Jaafar (Timbalan Yang Dipertua), Saudara Muslim Hashim (Penolong Setiausaha) dan saya sendiri.

Sekitar Ucapan Dasar yang disampaikan Presiden ABIM.
1.0. 29hb September 2012, Auditorium Abu Zarim, ILSAS, UNITEN.
1.1. Ucapan Dasar Presiden ABIM
Sesi pagi menyaksikan Presiden ABIM terkini, Saudara Haji Amidi Abdul Manan menyampaikan ucapan dasarnya. Semenjak penubuhan ABIM, Ucapan Dasar Presiden dianggap sebagai sesi yang ditunggu-tunggu, memandangkan ia merangkumi citra gerak kerja dan hala tuju tindakan-tindakan gerakan ABIM itu sendiri, dalam menegakkan kebenaran dan memperjuangkan keadilan. Saudara Amidi yang juga merupakan mantan Presiden PKPIM, menyampaikan ucapan bertajuk ‘Memartabatkan Karamah Insaniah, Memimpin Kebangkitan Ummah.’ Beliau menegaskan bahawa “…keberanian umat Melayu lahir daripada perubahan ‘pandangan sarwa’ yang tauhidik sifatnya. Ia membebaskan umat Melayu daripada segala pembelengguan yang merugikan. Membina pandangan hidup yang jelas fungsi dan aturannya, serta membina sistem kehidupan yang berteraskan kalimah syahadah yang akhirnya mengangkat martabat diri umat Melayu.” Tambah Saudara Amidi lagi, “…segala kekuatan pembinaan bangsa seharusnya terpusat pada memartabatkan karamah insaniah. Yang mengangkat nilai diri manusia dan dipacu oleh kemampuan akal fikiran. Bukan persoalan hak dan sentimen semata-mata, yang akhirnya memerangkap kita dalam asabiyyah sempit dan merugikan.” Kendatipun, Saudara Amidi menegaskan bahawa dalam pada masa yang sama, kita sebagai umat Islam perlu memelihara kemuliaan insan masyarakat belum Islam dari sudut hak asasi mereka. Meskipun martabat kita telah diangkat secara ruhiyyah, kata Saudara Amidi, namun tidak terdapat ruang bagi kita berbuat sesuka hati, mencabul dan menceroboh karamah insaniah, masyarakat belum Islam. Beliau mengakhiri ucapannya dengan pantun berikut:

Patah atap kerana buluh,
Atap dijalin dengan tali;
Patah sayap bertongkat paruh,
Namun undur pantang sekali.

Ustaz Siddiq dan Ustaz Hasri Harun.
Para peserta seminar mendengar Ucaptama yang
disampaikan Ustaz Siddiq dengan tekun.
1.2. Ucaptama Presiden WADAH
Dato’ Dr Siddiq Fadzil (selepas ini dirujuk sebagai Ustaz Siddiq) di dalam ucaptamanya menyatakan bahawa Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi merupakan seorang yang multi-dimensi dan mempunyai kekuatan yang pelbagai. Beliau menjelaskan bahawa Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi merupakan seorang ulamak mujtahid, pemikir berotoriti, peribadi berintegriti, pendakwah gerakan, pemimpin-pendidik, penyair dan pemidato ulung. Ustaz Siddiq turut menasihatkan agar di dalam kita menghormati Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, penghormatan yang diberikan tidak seharusnya sampai ke tahap mengagung-agungkannya. Ucaptama Ustaz Siddiq yang bertajuk ‘Pemikiran Yusuf Al-Qaradhawi dan Pengaruhnya dalam Konsep Dakwah dan Pemikiran Islam’ itu turut mengimbau nostalgia indah tatkala kedatangan Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi ke Yayasan Anda Akademik pada tahun 1985. Ustaz Siddiq turut meruntun jiwa para peserta seminar, apabila beliau menceritakan kisah hebat pejuang Islam bernama Saad bin Muadz, yang memeluk Islam ketika berusia 31 tahun dan gugur syahid ketika usianya 37 tahun.

Dr Zulkifli sedang membentangkan kertas kerja beliau.
Turut kelihatan, Dr Rumaizuddin dan moderator.
1.3. Sesi 1: Pemikiran Yusuf Al-Qaradhawi dalam Konteks Dakwah dan Pemikiran Islam.
Sesi 1 menyaksikan dua orang tokoh membentangkan kertas kerja dari USIM iaitu Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali Dr Zulkifli Hasan. Dr Rumaizuddin melalui kertas kerjanya yang bertajuk ‘Yusuf Al-Qaradhawi dan Pengaruhnya kepada ABIM’ membicarakan peranan gerakan dakwah menurut Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi dan juga sumbangannya kepada gerakan dakwah di Malaysia terutamanya kepada ABIM. Dr Rumaizuddin menyimpulkan bahawa Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi mewarnai peranan yang besar dalam mewarnai pemikiran dakwah dan gerakan dakwah kepada aliran sederhana (tayyar wasati). Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, menurut Dr Rumaizuddin, bukan sahaja mengemukakan idea dalam bentuk teori, tetapi juga berkecimpung secara praktikal. Sementara itu, Dr Zulkifli Hasan membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Yusuf Al-Qaradhawi Mujaddid Kontemporari dan Sumbangan Pemikirannya’ di atas pentas yang sama. Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Biro Antarabangsa ABIM, menyatakan bahawa umat Islam beruntung kerana berpeluang untuk merujuk dan menikmati karya-karya penting Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, seorang ulamak umat yang sentiasa konsisten mengangkat martabat umat dan ikhlas memperjuangkan Islam dan keadilan. 

Dr Maszlee Malik ketika membentangkan kertas kerjanya.
Dari kiri: Saudara Abdullah Bade (YDP ABIM Sabah),
Dr Maszlee Malik dan Ustaz Naim Mohd Noor.
1.4. Sesi 2: Pemikiran Yusuf Al-Qaradhawi dalam Konteks Siyasah dan Kemasyarakatan.
Sesi 2 menyaksikan dua tokoh membentangkan kertas kerja masing-masing iaitu Dr Maszlee Malik (UIAM) dan Ustaz Naim Mohd Noor (Timbalan Presiden ABIM). Ustaz Naim menyatakan bahawa Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi mempunyai sumbangan besar dalam memperkembangkan wajah Islam bersesuaian dengan zamannya; memperbetulkan salah faham umat Islam terhadap beberapa perkara khilaf; dan mengangkat martabat dan karamah insaniah. Sementelahan, Dr Maszlee menerusi kertas kerjanya ‘Beberapa Pelajaran dari pemikiran Politik Al-Qaradhawi’ menegaskan bahawa “…kewibawaan Yusuf Al-Qaradhawi dalam bidang Fiqh membolehkan pemikiran dijadikan sebagai autoriti rujukan utama dalam kalangan umat Islam seluruh dunia.” Beliau yang turut mengulas beberapa pandangan Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi dalam bidang politik termasuk persoalan amalan demokrasi dalam konteks ajaran Islam menambah lagi bahawa, “…disebabkan latar belakang tersebut (sebagai seorang Faqih) pandangan Yusuf Al-Qaradhawi dalam bidang politik sering dijadikan rujukan di kalangan tokoh-tokoh gerakan Islam di Asia Barat seperti Rachid Ghannouchi.” Dr Maszlee juga turut mengetengahkan senario dihadapi oleh Yusuf Al-Qaradhawi di mana pandangan beliau ditolak dua kelompok: liberal dan ekstremis di Timur Tengah. “Sebab itu beliau dijadikan rujukan kerana ia dikemukakan secara Wassatiyyah di antara kedua-dua pandangan (liberal dan ekstremis),” jelas beliau kepada hadirin yang memenuhi Auditorium Abu Zarim ketika seminar tersebut. 

Saudara Haji Amidi Manan, Presiden ABIM, bertindak selaku moderator.
Tuan Haji Ahmad Azam, mantan Presiden ABIM dan kini memimpin WADAH
menyampaikan pidato yang tegas dan sangat membekas.
Datuk Idris Jauzi turut bersemangat menyampaikan amanatnya.
Seperti biasa, pidato Ustaz Siddiq memang ditunggu-tunggu.
Dari kiri: Saudara Amidi, Cikgu Idris, Ustaz Siddiq dan Tuan Haji Azam.
1.5. Malam Agenda Gerakan.
Pada sebelah malam, para perwakilan dan pemerhati yang terdiri daripada kalangan ahli WADAH-ABIM-PKPIM berkesempatan mendengar taklimat dan amanat khas yang disampaikan oleh Ustaz Siddiq Fadzil, Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman dan Datuk Idris Jauzi. Pidato-pidato bersemangat yang dilontarkan oleh ketiga-tiga mantan pimpinan ABIM yang kini memimpin WADAH ini berjaya membugar idealisme dan semangat hadirin. Malam yang digelar ‘malam adik-beradik’ itu menyaksikan hubungan kekeluargaan yang ikrab disemai seerat-eratnya dalam kalangan ahli WADAH-ABIM-PKPIM.

Saudara Amidi Abdul Manan, Presiden ABIM.
Saudara Amidi mendeklamasikan puisi nukilan Abah Zahidin.
YDP ABIM Negeri Sembilan berucap kali terakhir
sebagai perwakilan ABIM Negeri.
Perwakilan Kelantan, Saudara Mohd Syafiq Mohd Yaacob
yang berjaya menghidupkan suasana dengan isi perbahasannya yang padat.
Perwakilan Kelantan, Saudara Mohd Syafiq Mohd Yaacob.
Saudara Mohammad Amin, perwakilan Kelantan juga menghidupkan suasana
Muktamar dengan soalan-soalannya yang mencuit hati para perwakilan.
Saudara Mohammad Amin, perwakilan Kelantan.
Ustaz Abdullah Din, perwakilan ABIM Kedah.
Ustaz Abdullah Din, perwakilan ABIM Kedah, tegas membahaskan
berkenaan isu akidah dan syiah.
Sebahagian pserta Muktamar Sanawi ABIM ke-41.
2.0. 30hb September 2012, Kolej Dar al-Hikmah, Sungai Ramal Dalam.
Pada keesokan harinya, Muktamar ABIM telah dilangsungkan di Dewan Besar, Kolej Dar al-Hikmah. Dewan keramat ini menyaksikan para perwakilan ABIM dari negeri masing-masing melontarkan hujah masing-masing bagi membahaskan usul dan Ucapan Dasar Presiden ABIM. Antara pembahas yang menarik perhatian para perwakilan ialah Perwakilan ABIM Kelantan dan Perwakilan ABIM Kedah. Kedua-dua pemidato ini berjaya menaikkan ‘mood’ Muktamar dengan gaya bahasa yang menarik dan teknik penyampaian yang berkesan. Di samping menyelitkan isi perbahasan yang padat, perwakilan Kedah dan Kelantan turut membuatkan para peserta Muktamar tidak kering gusi dengan jenaka yang mereka selitkan dalam perbahasan mereka. Sementelahan, Saudara Amidi dalam ucapannya menegaskan bahawa ucapan dasar yang dibacakan oleh beliau bukanlah sekadar ucapan dasar Presiden, tetapi juga ucapan dasar semua ahli WADAH-ABIM-PKPIM memandangkan ia merangkumi citra pemikiran dan hala tuju perjuangan gerakan tersebut. Naib Presiden ABIM yang juga Ketua Helwa ABIM dan Sahabat Grup Peguam ABIM, Puan Fadhlina Siddiq pula menarik perhatian para peserta Muktamar apabila mengungkapkan madah yang sering diungkapkan oleh Ustaz Siddiq Fadzil bertajuk ‘Anak Jantan’ yang melambangkan dinamika kepemudaan:

Apa tanda (si) anak jantan?
Matinya di tengah gelanggang
Tidurnya di tengah gelombang
Makannya di tebing panjang
langkahnya menghentam bumi
ekornya mengipas semak
tangisnya diangkat ke langit
esaknya ditelan bumi.

Nota.
Pak Borneo Menggugat, sahabat Fb dan aktivis ABIM 
yang aktif sedari jaman belianya.
Tuan Hamdan Kepala Batas, sahabat Fb saya.
Juga senior ABIM yang kini aktif dalam WADAH.
Kenangan Muktamar Sanawi ABIM ke-8.
1997: Kelihatan (mantan) Presiden ABIM, Dr Muhammad Nur Manutty
sewaktu Wacana Khas anjuran ABIM sempena kehadiran Syeikh Yusuf al-Qaradhawi.

Ustaz Siddiq Fadzil, sewaktu memimpin ABIM.
Ustaz Siddiq Fadzil, 1985.
Tayangan video kedatangan Syeikh Qaradhawi ke Yayasan Anda pada 1985.
1985: Syeikh Qaradhawi menyampaikan ucapannya,
sambil diterjemahkan oleh Ustaz Ghani Shamsuddin.
1985: Ustaz Siddiq Fadzil di Yayasan Anda, bertindak selaku pengerusi majlis.
Ustaz Ghani Shamsudin sedang menterjemahkan ucapan Syeikh Qaradhawi.
Naskah Risalah terbitan ABIM yang membuat liputan berkenaan
kedatangan Syeikh Qaradhawi.
3.0. Khatimah
Sesungguhnya, Muktamar ABIM kali ke-41 ini memberikan ruang yang besar untuk ahli PKPIM-ABIM-WADAH berkongsi pandangan dan merapatkan hubungan silaturrahmi sesama mereka. Antara yang paling membekas, pastinya tayangan video yang memaparkan ucapan Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi sewaktu ulamak besar tersebut hadir ke Yayasan Anda pada 1985. Video tersebut menunjukkan Ustaz Ghani Shamsuddin yang merupakan pimpinan ABIM ketika itu menjadi penterjemah ucapan Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, tatkala Ustaz Siddiq Fadzil, Presiden ABIM ketika itu menjadi pengerusi majlis. Sebelum mengakhiri Muktamar, Saudara Amidi menekankan soal kaderisasi serta tumpuan kepada pengukuhan teras dalaman ABIM. Beliau menyentuh hati para peserta Muktamar apabila mendeklamasikan sebuah puisi nukilan Abah Zahidin Mahmood, mantan pimpinan ABIM yang aktif meski dilanda keuzuran. Semangat pemimpin dan ahli senior ABIM yang kini bersama WADAH, menurut Setiausaha Agung ABIM, Saudara Raimi Ab Rahim, sewajarnya dijadikan iktibar oleh generasi muda dalam PKPIM dan ABIM. Semoga berjumpa lagi pada muktamar akan datang, in sya ALLAH. Kobar jiwa semangat. Khalas.   
  
*****************
Sumber: 
  1. http://www.facebook.com/photo.php?fbid=4285830715950&set=a.4173333383587.2161662.1591878469&type=1&theater;
  2. http://www.facebook.com/photo.php?fbid=4285965959331&set=a.3405499868229.2145775.1591878469&type=1&relevant_count=1;
  3. http://www.facebook.com/media/set/?set=a.4791013662031.188983.1496566700&type=3;
  4. http://www.facebook.com/photo.php?fbid=446816268703810&set=a.446786105373493.135542.100001263232454&type=1&relevant_count=1;
  5. http://www.facebook.com/photo.php?fbid=4598795366965&set=a.1336602134173.2050877.1204682730&type=1&relevant_count=1;
  6. http://www.facebook.com/media/set/?set=a.476902225673780.111301.100000620200542&type=1;
  7. http://www.facebook.com/photo.php?fbid=10151178953167332&set=a.10150748121752332.423913.668902331&type=1&relevant_count=1; dan
  8. http://www.facebook.com/photo.php?fbid=4175170489934&set=a.1284756231384.2043632.1004475090&type=1&relevant_count=1.
*****************



**********************************
Entri-entri berkaitan:
1.     Untuk sejarah ringkas ABIM, boleh rujuk pautan ini: http://chedinsphere.blogspot.com/2010/12/sejarah-angkatan-belia-islam-malaysia.html.
2.     Wacana ke-15 Sinar Harian: Peranan Ulama Menasihati Pemimpin: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/10/wacana-ke-15-sinar-harian-peranan-ulama.html?spref=fb.
3.     Teks ucapan kemerdekaan oleh Ustaz Siddiq Fadzil: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/08/mensyukuri-nikmat-menginsafi-amanat.html.
4.     Peluncuran buku Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/07/buku-islam-dan-melayu-martabat-umat-dan.html.
5.     Peluncuran buku Yusuf Qaradhawi dan Kebangkitan Rakyat: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/08/sekitar-majlis-diskusi-dan-peluncuran.html.
7.     Pelancaran Tabung Bosnia ABIM pada 1992: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/10/9hb-jun-1992-pelancaran-tabung-bosnia.html.
8.     Sedikit tulisan berkenaan Grup Peguam ABIM (GPA): http://chedinsphere.blogspot.com/2012/08/abim-dilantik-sebagai-pengerusi-ujn.html.

**********************************

2 ulasan:

  1. Balasan
    1. Semoga ada manfaatnya, Abang Midi. Tahniah atas penganjuran Muktamar dan Seminar yang cukup mengesankan. :)

      Padam