Selasa, Ogos 21, 2012

Megat, ACAB dan But DocMart: Satu Kenangan.

Bukan but DocMart, tetapi sekadar selingan. 
Gambar kenangan sewaktu mengikuti kuliah di 
Fakulti Undang-Undang, UiTM Shah 
Alam, tahun 2010.

******************************************************

Megat, ACAB dan But DocMart: Satu Kenangan. 
Menyebut nama kugiran A.C.A.B., pastinya kita tidak boleh melupakan vokalis utama dan pengasas bersamanya, iaitu Megat Hafiz (magskin/maxhafidz). A.C.A.B. ditubuhkan oleh dua orang anak muda dari Kuala Lumpur, iaitu Megat dan Eddie (Edy J. Herwan). Kugiran ini digelar sebagai “The Godfather of Streetpunk/Oi of Malaysia” dan lagu-lagu mereka diangkat sebagai ‘lagu rasmi’ pengikut Skinhead Malaysia yang agak ramai tidak berapa lama dahulu.

‘Budaya’ Skinhead, sebagaimana Punk -- yang popular dalam kalangan pelajar sekolah serta anak muda sekitar pertengahan 90an sehingga awal Abad ke-21 -- mendapat maklum balas negatif daripada kalangan media dan masyarakat Malaysia secara umumnya. Namun, imej A.C.A.B yang memakai kasut but Dr Martin (digelar But DocMart), berseluar ketat dan kecil di bahagian bawah, serta berkepala botak, tetap menjadi ikutan sebilangan anak-anak muda ketika itu.


A.C.A.B.
Kugiran ini ditubuhkan sekitar 1994, dan asalnya dianggotai oleh Megat, Eddie, Black (dram), Anas (gitar) dan Sham (bass) yang menerokai muzik ‘Oi!’. Bersama A.C.A.B., Megat dan rakan-rakannya terbabit dalam penerbitan dan proses rakaman beberapa single, E.P, L.P dan album studio. Antaranya, We Are The Skin; Streets of Uptown (single); Eastern Oi! (L.P);  Unite & Fight (E.P.); Skinhead 4 Life; This is The A.C.A.B. (album studio). Untuk rekod, nama A.C.A.B. digunakan dari 1994 sehingga 2003. Selepas persembahan terakhir Megat bersama A.C.A.B. pada 2003, beliau (Megat) melanjutkan pelajarannya ke United Kingdom. Eddie meneruskan kerjayanya bersama Gerhana Ska Cinta manakala Irfan bersama The Times.

‘Tribute to A.C.A.B’
Pada tahun 2004, ‘Tribute to A.C.A.B’ diterbitkan dengan menampilkan beberapa kugiran indie, sebagai penghormatan kepada sumbangan A.C.A.B terhadap muzik Oi!, Streetpunk dan Ska di Malaysia. Antara artis yang terlibat ialah The Times dan Roots N’ Boots.

 
 

The A.C.A.B.
Sekitar tahun 2004, penambahan nama ‘The A.C.A.B.’ dibuat, memandangkan penukaran muzik yang dibawa oleh Megat dan rakan-rakannya, daripada Oi! kepada rock indie (independent rock). Megat yang ‘menghilangkan diri’ selama dua tahun, mula menggunakan gelaran baru, Max Hafiz, dan berjuang bersama rakan-rakan The A.C.A.B: Eddie (gitar), Mono (bass) dan Irfan (dram). Album ‘This is The A.C.A.B’ dikeluarkan sekitar 2006. The A.C.A.B. membawa muzik rock indie, yang mencampurkan nilai muzik rock Asia dan Barat. 

Addukhan
Sekitar Januari 2012, Megat merakamkan single berjudul ‘Purnama’ bersama sebuah kugiran baru, bernama ‘Addukhan.’ Lagu ini dirakamkan di sebuah studio di Sri Damansara oleh Addukhan yang bermaksud ‘asap’ dalam istilah Arabnya. Megat yang menggunakan nama Max Addukhan berperanan bersama Wan Barat sebagai vokalis dan pemain gitar; tatkala Hanna Hamdan beraksi selaku vokalis dan pemain bass. Irfan Iskandar pula bermain dram.

Melanjutkan pelajaran ke Syria
Berdasarkan laporan pelbagai sumber, Megat dilaporkan melanjutkan pelajaran ke Syria. Beliau menuntut dalam bidang bahasa Arab dan Syariah. Beliau mula tampil dengan imej berserban dan berjubah selepas mendalami ilmu agama Islam di Jenderam Hilir. Di dalam satu temubual yang disiarkan dalam Majalah Mastika pada Disember 2009, Megat menyatakan bahawa beliau sudah membuang tatu di tangan dan dadanya.

Khatimah
Tatkala ingatan kita masih segar dengan pelbagai laporan serta kupasan negatif oleh media massa berkenaan ‘budaya’ Skinhead sekitar awal dan pertengahan alaf baru yang lalu, Megat tampil mengejutkan kita dengan gaya berserban dan berjubahnya. Semoga apa yang baik dijadikan tauladan; yang sebaliknya kita jauhkan. Bersamalah kita saling tegur-menegur dan nasihat-menasihati. Kita melihat apa yang dicakap; bukan siapa yang bercakap. Selamat berfikir. Salam.

------------------------------------------- 
Sumber:

4 ulasan:

  1. namun sayang mahu berubah...,tapi balik jadi syiah..

    BalasPadam
  2. Dah elok berubah pergi oversea terjebak pulak dgn ajaran syiah,,adoiii..pishang tol .. terutama skali pda mmbe2 seangkatan acab khususnya ,pegi lah tegur and nasihat si megat tu sikit tuk berubah..berbalik pda ahli sunnah waljamaah,,itu yg terbaik,,lagu and ACAB mereka masih terpahat dlm ingatan aku smpai bila2,,hrap dia dpt perform di masa akan datang,,,hehe,,salutee dan respect ACAB !!!

    BalasPadam

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...