Rabu, Julai 04, 2012

Buku Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat.

Naskah yang ditandatangani oleh Ustaz Siddiq Fadzil. 
Ustaz Siddiq Fadzil, Murabbi Umat.
25hb Jun 2012 (Isnin)
Alhamdulillah, saya bersama ABIM Daerah Kuala Langat dan Grup Peguam ABIM (GPA) berkesempatan menghadiri Majlis Pelancaran dan Diskusi, Buku “Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat”; karya besar terkini hasil nukilan Ustaz Siddiq Fadzil, mantan Presiden ABIM. Dalam ucapannya, Ustaz Siddiq Fadzil menyeru agar orang Melayu bangkit dan menegaskan Melayu hanya akan maju dengan Islam. Beliau turut menegaskan agar orang Melayu menerapkan perwatakan ‘berani bersikap dan berani berkata tidak’ sambil mengetengahkan sajak Pak Saija nukilan sasterawan terkemuka Indonesia, Pak Rendra (Allahyarham).

(Untuk biodata ringkas Pak Rendra, boleh rujuk pautan ini:
http://chedinsphere.blogspot.com/2012/02/sajak-rajawali-ws-rendra.html) 

DSAI sewaktu menyampaikan pidato penghargaannya.
Majlis yang mendapat sambutan yang sangat baik ini mencapai kemuncaknya menerusi pidato penghargaan oleh sahabat seperjuangan Ustaz Siddiq, iaitu DSAI, juga mantan Presiden ABIM. DSAI, menerusi pidato apresiasinya, menegaskan kepentingan ‘wasatiyyah’, yang merangkumi keamanan, keadilan dan amanah pemerintah untuk rakyat, di samping menyeru usaha memberdayakan akhlak mulia dalam kalangan bangsa Melayu digerakkan secara proaktif dan agresif sepertimana yang dirungkai dalam buku ini. Acara diteruskan dengan deklamasi sajak oleh Saudara Rozan Azen Mat Rasip dan wakil PKPIM, Saudara Shahril Effendi.

Diskusi Buku.
Program yang dianjurkan di Hotel De Palma, Ampang ini turut diisi dengan diskusi buku oleh Prof. Mohd Nor Nawawi dan Dato’ Kamarudin Jaffar. Segmen ini dikendalikan oleh moderator, Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman (mantan Presiden ABIM). Kedua-dua panelis sependapat bahawa buku ini perlu dirujuk untuk membentuk pemikiran dan membugar semula perjuangan Islam dan Melayu dalam mendaulatkan kuasa rakyat. “Membina keunggulan bangsa bukan dengan membangun gedung pencakar langit dan berbelanja besar membeli ‘the ornaments of success’. Yang harus dibangun adalah sikap dan semangat ingin menjadi bangsa yang mulia dan bermaruah,” ujar salah seorang panelis.

Presiden ABIM, Cikgu Amidi Manan (kiri sekali) bersama Ustaz Siddiq dan DSAI.
Berikut saya salin dan tampal pendahuluan oleh Ustaz Siddiq Fadzil:
“Tidak semua khalayak akan senang dengan segala yang tersurat dan tersirat dalam tulisan ini. Memang ia bukan karya lipur lara yang dicipta untuk menghibur hati yang duka. Apabila sesuatu pendapat telah terlontar ke hadapan khalayak, maka apa pun reaksinya, diterima atau ditolak,harus disikapi dengan lapang dada. Kedua-duanya, yang menerima dan yang menolak wajar dihargai selayaknya. Justeru, di dunia wacana, lawan pendapat adalah rakan berfikir. Setiap pendapat yang terungkap, menyenangkan atau menyakitkan,semangat yang mendasarinya tetap sama: ingin jujur kepada diri sendiri. Memuji tanpa motif untuk mengampu,mengkritik tanpa maksud untuk menyakiti.”

“Memang buku ini sebuah himpunan makalah,tetapi semuanya terpadu dalam satu tema:Islam dan Melayu. Pengangkatan tema ini dilatari oleh keresahan melihat kenyataan bahawa setelah lebih lima puluh tahun merdeka, Melayu masih lemah. Jika memang demikianlah the uncomfortable truth yang harus diakui,persoalan yang berbangkit ialah bagaimana keadaan malang itu sampai terjadi? Mungkin ada yang tidak beres dalam proses pemerkasaan bangsa sepanjang dekad-dekad yang telah kita lalui. Antara yang dirasakan kurang diberikan perhatian dalam proses tersebut ialah peranan nilai-nilai keagamaan dan kebudayaan dalam pembangunan bangsa. Kesedaran tentang faktor ini, khususnya dalam pembinaan watak dan daya maju bangsa tampaknya masih sangat rendah. Pengabaian terhadap dimensi keagamaan dan kebudayaan telah mengakibatkan krisis jati diri dan keruntuhan integriti. Yang terbudaya bukan nilai-nilai murni,tetapi amalan keji seperti rasuah dan pecah amanah.”

“Sebagaimana Tuhan mengangkat martabat umat Arab dengan Islam, begitu pulalah Tuhan akan mengangkat daulat Melayu. Kerana itu pilihan Melayu hanya satu:komitmen keislaman yang serius dan tulen. Yang harus dihayati dan disemarakkan tidak hanya simbol-simbol dan syi’ar-syi’arnya, tetapi lebih daripada itu adalah esensi syari’atnya: kebenaran dan keadilan, maruah dan daulat keinsanan. Keadaan kita tidak akan berubah jika Islam (al-Qur’an dan al-Sunnah) hanya dipakai sebagai perencah dan penyedap retorik politik,tanpa pemahaman dan penghayatan.”

Dr Razak Idris, mantan Presiden ABIM. Seorang yang murah dengan senyuman. Harmonis.
Saudara Aidil Khalid, sahabat saya sedari jaman UiTM Kedah 2005.
Seorang peguam dan penulis yang berbakat besar. 
Sementelahan, berikut merupakan pengantar oleh  Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman:
Dato Dr Siddiq Fadzil merupakan  antara segelintir kecil ilmuwan yang setelah meninggalkan institusi akademik secara formal atau bersara dari universiti,terus aktif menulis dan mengemukakan idea dalam usaha mendidik umat.”

“Latar belakang pendidikan yang unik, penggabungan pendidikan pengajian Islam ,kebudayaan dan sejarah tamadun Melayu membolehkan Dato Dr Siddiq Fadzil membincangkan isu Islam dan Melayu dengan begitu meyakinkan dan penuh dengan iktibar serta saranan.”

…kekuatan yang terdapat pada Dato Dr Siddiq Fadzil yang mampu mengaitkan persoalan keumatan semasa dengan peristiwa sejarah…”

Pendedahan dalam bidang akademik semata-mata yang dikaitkan dengan dunia buku, wacana dalam bilik kuliah dan karenah pentadbiran yang tiada penghujungnya tidak memungkinkan seorang ilmuwan menghasilkan sebuah tulisan yang menyentuh secara langsung nurani, citra dan aspirasi masyarakat. Dato Dr Siddiq Fadzil mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dalam menghasilkan tulisan yang sifatnya sedemikian kerana penglibatannya dalam dunia akademik berjalan serentak dengan pembabitan sebagai seorang aktivis masyarakat atau lebih jelas sebagai seorang pemimpin gerakan Islam yang disegani dan berjaya merakyat.”

“Tidak ramai ilmuwan yang berjaya sebagai seorang ahli akademik dan pada waktu yang sama menjadi seorang aktivis masyarakat.”
  
“Dalam setiap tulisan yang dikemukakan Dato Dr Siddiq Fadzil secara objektif turut memasukkan ‘unsur harakiy’,walaupun tanpa perlu menyebut nama ABIM secara khusus.”

“Sejarah menunjukkan bahawa Dato Dr Siddiq Fadzil menjadi Presiden ABIM bukan melalui proses biasa,kerana kepimpinan ABIM yang diwarisinya adalah ketika gerakan tersebut berhadapan dengan krisis keyakinan,termasuklah dalam kalangan ahlinya sendiri sehingga menyebabkan pendukungnya berpecah kepada beberapa kelompok.Pengalaman yang diperoleh daripada kemelut yang berlaku mematangkan Dato Dr Siddiq Fadzil dan kepimpinannya sehingga mampu melahirkan idea baru berdasarkan pengalaman yang dilalui dalam menyelesaikan permasalahan yang timbul.Bagi membolehkan usaha penyatuan dan usaha pemantapan Jemaah dijadikan agenda utama,kepimpinan Dato Dr Siddiq Fadzil berjaya menonjolkan pendekatan berhemah yang menyantuni semua kelompok yang terbukti amat disenangi oleh majority pendukung gerakan.’’

‘’Sebagai seorang pemikir yang kaya dengan idea baru dan aktivis gerakan yang istiqamah,Dato Dr Siddiq Fadzil layak untuk diiktiraf sebagai seorang tokoh pemikir kepada kebangkitan Islam dan pengisiannya di Malaysia.Pemikiran beliau telah melahirkan Manhaj Maliziy,iaitu melihat pendekatan Malaysia sebagai model dan landasan kepada pemikiran dan perjuangan Islam di Malaysia.”

“Dalam suasana dunia akademik yang semakin suram dengan universiti melahirkan ramai ‘pak turut’, dunia pendidikan dijadikan bahan komoditi dan ahli akademik yang lebih mementingkan ganjaran,kehadiran ‘intelektual bebas’ seperti Dato Dr Siddiq Fadzil amat diperlukan oleh masyarakat bagi mendapatkan gagasan dan inspirasi baru.”

Bergambar kenangan, dengan sahabat Grup Peguam ABIM.
Saudara Wasif Wan (kiri), seorang aktivis belia yang aktif dan
Saudara Suhail Mohamed Kamarudin, sahabat saya dari UiTM Kedah 2005.
Saudara Suhail merupakan penerima, Anugerah Emas - Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (Malaysia).

* Bagi mereka yang terlepas mengikuti siaran langsung Majlis Pelancaran dan Diskusi Buku Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat, boleh layari:

** Juga, naskah ini boleh ditempah secara atas talian melalui laman ini:


**********************************
Entri-entri berkaitan:
1.     Untuk sejarah ringkas ABIM, boleh rujuk pautan ini: http://chedinsphere.blogspot.com/2010/12/sejarah-angkatan-belia-islam-malaysia.html.
2.     Wacana ke-15 Sinar Harian: Peranan Ulama Menasihati Pemimpin: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/10/wacana-ke-15-sinar-harian-peranan-ulama.html?spref=fb.
3.     Teks ucapan kemerdekaan oleh Ustaz Siddiq Fadzil: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/08/mensyukuri-nikmat-menginsafi-amanat.html.
4.     Peluncuran buku Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/07/buku-islam-dan-melayu-martabat-umat-dan.html.
5.     Peluncuran buku Yusuf Qaradhawi dan Kebangkitan Rakyat: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/08/sekitar-majlis-diskusi-dan-peluncuran.html.
8.     Sedikit tulisan berkenaan Grup Peguam ABIM (GPA): http://chedinsphere.blogspot.com/2012/08/abim-dilantik-sebagai-pengerusi-ujn.html.


*************************
Sumber:
  1. Siddiq Fadzil, Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat, Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang, Selangor: Akademi Kajian Ketamadunan, Kompleks Dar Al-Hikmah (Kolej Dar al-Hikmah), 2012;
  2. http://www.facebook.com/photo.php?fbid=413293858713745&set=a.413292312047233.92382.100000994028318&type=3;
  3. http://www.abim.org.my/v1/index.php/arkib-abim/36-entertaiment/204-orang-melayu-perlu-bangunkan-sikap-ingin-menjadi-bangsa-yang-mulia-dan-bermaruah; dan
  4. http://www.facebook.com/notes/wasif-wan/sedutan-islam-dan-melayumartabat-umat-dan-daulat-rakyat-karya-dato-dr-siddiq-fad/10151019977522387.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan