Ahad, Disember 26, 2010

Loceng kecemasan telah dibunyikan!


Saya pasti, sambutan Tahun Baru Masihi 2011 yang akan dilangsungkan tidak berapa lama lagi, pastinya dianjurkan jauh lebih meriah dari tahun baru Hijrah. Sebagai Muslim, kita seharusnya lebih mengutamakan tarikh 1 Muharam berbanding dengan 1 Januari.

Namun begitu, tidaklah salah sekiranya diucapkan selamat menyambut tahun baru kepada semua yang meraikan tahun baru 2011 Masihi.

Banyak sebenarnya yang telah berlaku sepanjang 2010 ini. Kendati, apa yang lebih penting adalah segala yang keruh hendaklah kita jernihkan dan jangan ulangi kesilapan yang sama.

Sebagaimana lazimnya, tiap kali menjelang tahun baru maka kita akan memperbaharui iltizam dan tekad demi menggapai impian dan matlamat yang dicita-citakan. Sesuatu azam itu tidaklah semestinya dibuat dengan menanam cita-cita atau impian yang terlalu besar.

Ya, memang tidak salah menanam impian setinggi langit.

Tetapi, sesuatu kejayaan itu tidak semestinya apa yang orang lain rasa kejayaan. Sekecil mana pun kejayaan yang kita kecapi, ia mungkin satu langkah besar dalam hidup kita.

Perkara kecil seperti kejayaan berjaya belajar menunggang basikal, berjaya berenang, berjaya bertutur dalam bahasa Inggeris mungkin adalah satu kejayaan kecil untuk sesetengah individu.

Sebaliknya, ia mungkin satu kejayaan besar untuk sesetengah kelompok individu yang lain pula. Apa yang penting, berubahlah ke arah kebaikan, pembaharuan, kesedaran dan pencerahan. Jadi, bila kita sudah mencapainya, hargai, bersyukur dan raikanlah.

Kendati pun, adalah kurang wajar jika kita memasang impian jika akhirnya kita tidak berusaha untuk merealisasikannya. Sementelah, adalah kurang patut jika kita menanam azam yang telah pasti. Misalnya, “saya berazam untuk makan seberapa banyak yang boleh sepanjang tahun baru ini” atau “saya berazam untuk tidur di mana sahaja yang saya suka.” Ini bukan azam. Ini mengabihkan bogheh namanya!


Azam-azam merepek:
Di sini saya senaraikan azam-azam yang tak perlu kita tanam dalam jiwa --
1. “Saya berazam untuk tidak lagi membuang masa saya mengenang masa lampau. Sebaliknya, saya akan mengisi masa lapang saya dengan duduk di atas kerusi malas dan risau memikirkan masa hadapan saya”;

2. “Saya berazam untuk tidak lagi memberikan alasan yang sama kepada majikan setiap kali saya tidak hadir ke tempat kerja. Saya akan mempelbagaikan alasan untuk mengelakkan beliau merasa bosan”;

3. “Saya akan mengurangkan penggunaan elektrik dengan kurang menggunakan mesin basuh. Saya juga hanya akan sekali-sekala sahaja membasuh baju. Saya akan selalu menggunakan deodran dan minyak wangi”;

4. “Bagi menjimatkan penggunaan air, saya berazam untuk jarang mandi dan menggosok gigi”;

5. “Saya berazam untuk memikirkan password selain daripada ‘password’ ”;

6. “Saya berazam untuk kurangkan masa melayari Internet (errr saya juga berazam untuk tidak memakai jam tangan atau meletakkan jam dinding di bilik kerana saya lebih selesa dengan penentuan waktu berdasarkan kedudukan matahari);

7. “Saya berazam untuk memiliki azam yang tidak terlalu banyak pada tahun ini (errr ada tak azam yang kurang daripada satu – negatif satu ke?”; dan

8. “Saya berazam untuk mempunyai azam pada tahun ini!”


Janganlah Bertangguh
Sesuatu kerja penting yang boleh disiapkan hari ini perlu disiapkan hari ini perlu disiapkan hari ini juga. Hindarkan tabiat menunda-nundakannya ke hari esok. Untuk berjaya pastikan agar apa jua kerja penting yang boleh dibuat hari ini diselesaikan secepat mungkin supaya kita sempat membuat sesuatu kerja sebaik mungkin.

Sejelasnya, pengurusan masa merupakan kunci kepada kejayaan hidup seseorang individu. Jika rahsia pengurusan masa ini dijadikan sebagai prinsip dan amalan hidup kita, in sya ALLAH kita akan akhirnya tergolong dalam golongan orang-orang yang amat berkesan, progresif dan dinamik. Amin.

Tuntasnya, janganlah bertangguh untuk membuat amal kebaikan kerana hidup kita tidak dijamin akan sampai kepada masa tua. Mungkin esok ataupun lusa, kematian akan menjemput kita tanpa mengira berapa usia kita. Kita mungkin tak punya banyak masa lagi.

Justeru, jom berubah -- mulai hari ini; sekarang -- kerana loceng kecemasan hidup telah dibunyikan!

Salam! :)






Nota kaki :: Terdapat ramai pejuang serta pemimpin dunia yang merokok. Obama, Che Guevara dan Fidel Castro, tidak terkecuali. Sejelasnya -- antara azam tahun baru yang paling popular ialah azam untuk berhenti merokok. Di zaman kegawatan ekonomi dan kenaikan harga barangan ini, adalah molek kiranya para perokok untuk cuba berhenti merokok. Sepertimana yang kita sedia maklum, asap rokok mengandungi lebih daripada 5000 jenis zat yang berbahaya bagi tubuh manusia. Ia juga bisa membahayakan kesihatan passive smoker; iaitu orang yang tidak merokok, tetapi terjejas kesihatan akibat menyedut asap rokok. Berikhtiarlah untuk berhenti merokok, atau sekurang-kurangnya kurangkan kekerapan merokok. In sya ALLAH, masyarakat sihat, poket pun selamat. Semoga cita-cita besar kita semua untuk membina sebuah bangsa yang bersatu padu dan negara yang makmur dan berkebajikan akan tercapai. In sya ALLAH dan Amin! :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...