Khamis, Julai 10, 2014

ABIM anjur Sidang Media mengenai Nasib Etnik Islam Uyghur.


Logo 
Presiden ABIM:
Cikgu Haji Amidi Abdul Manan.

Saudara Raimi Ab Rahim, Setiausaha
Agung ABIM. Juga mantan
Presiden PKPIM.
Seputar Sidang Media ABIM mengenai
nasib Etnik Islam Uyghur.
 I
ABIM anjur Sidang Media mengenai 
Nasib Etnik Islam Uyghur.
Alhamdulillah, pada 10hb Julai 2014 (Khamis), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah mengadakan satu ‘Sidang Media Khas Solidariti ABIM’ dan ‘Penerangan Mengenai Situasi Terkini Umat Islam Uyghur di Xinjiang, China’. Sesi penerangan telah disampaikan oleh wakil umat Islam Uyghur sendiri; iaitu Saudara Seyit Tumturk, (Presiden Persatuan Kebudayaan dan Solidariti Turkistan Timur - East Turkestan Culture And Solidarity Association). Beliau juga merupakan Naib Presiden, Kongres Uyghur Dunia (World Uyghur Congress). 
Pada ketika ini, umat Islam di wilayah tersebut yang majoritinya terdiri daripada etnik Uyghur menghadapi pelbagai cabaran untuk menjalani amalan mereka sebagai seorang Islam. Terkini, umat Islam di Xinjiang telah dilarang untuk menjalani ibadah puasa ketika bulan Ramadhan. Kejadian ini merupakan sebahagian daripada rentetan tragedi kemanusiaan yang dialami umat Islam di Xinjiang semenjak sekian lama.
Pada 2009 contohnya, 184 umat Islam dari etnik Uyghur telah dibunuh dengan kejam ekoran dari satu rusuhan kaum yang berpunca daripada prejudis dan syak wasangka etnik China Han ke atas etnik Uyghur.
Di samping itu, proses penghakisan budaya dan agama turut dilakukan secara sistematik ke atas Etnik Uyghur. Proses ini berjalan secara intensif semenjak peristiwa ‘Tragedi 911’ (11hb September 2001). Antara proses tersebut meliputi larangan memakai tudung serta menutup aurat (dalam kalangan golongan wanita) serta larangan mengamalkan adat istiadat dan ritual sebagai seorang Muslim terutama sekali dalam kalangan kanak-kanak.
ABIM melahirkan keprihatinan terhadap perintah larangan berpuasa yang dikenakan terhadap umat Islam dari etnik Uyghur di daerah Xinjiang, China. Larangan berpuasa berkenaan dikeluarkan sebagai justifikasi bagi memelihara kesihatan dan produktiviti kerja sementara kakitangan kerajaan dan kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun dilarang untuk hadir ke masjid untuk mendirikan solat jemaah selain larangan memakai tudung dan menyimpan janggut.
Naib Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim, berkata larangan dan sekatan terhadap kebebasan asasi untuk mengamalkan agama Islam di kalangan masyarakat Uyghur adalah tidak munasabah dan bercanggah dengan hak asasi mereka.
Sebagai tanda solidariti, ABIM dengan kerjasama Kongres Uyghur Sedunia sebagai badan induk etnik Uyghur di peringkat global akan mula menggerakkan kempen penerangan kepada umat Islam di Malaysia terhadap sejarah dan perkembangan terkini ektnik berkenaan.
ABIM yakin hanya melalui kempen penerangan dan informasi yang tepat terhadap masalah penderitaan Uyghur sahaja membolehkan rakyat Malaysia dan komuniti antarabangsa akan dapat membantu nasib etnik ini dengan lebih berkesan,” katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.

Katanya, kempen berkenaan akan bermula hari ini dengan kerjasama beberapa pertubuhan lain selain siri penerangan yang akan dilakukan di masjid dan surau.
ABIM melalui Global Peace Mission Malaysia (GPM) turut melancarkan ‘Tabung Prihatin Uyghur’ bagi membantu etnik ini. Sumbangan boleh disalurkan atas nama:
  • Global Peace Mission di Bank Islam (14-023-01-002922-4); atau
  • Global Peace Mission di Maybank (5642-2161-1602).

Ketua Biro Tugas-Tugas Khas
(Undang-Undang) ABIM, Saudara
Mohd Khairul Anwar Ismail.  

Antara kes khidmat guaman percuma (pro bono) Grup Peguam ABIM (GPA) ialah mewakili saudara seIslam dari Uyghur yang dituduh memiliki passport dan kad pengenalan palsu. Pihak pendakwaan telah menarik balik pertuduhan. Alhamdulillah.
II
KENALI SIAPA UYGHUR.. DAN KENALI KERAJAAN KOMUNIS CHINA
Berikut merupakan catatan Saudara Mohd Khairul Anwar Ismail yang juga dikenali dengan nama pena ‘Abu Akhyar Al-Qudsi’, seorang Peguambela dan Peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya. Beliau juga merupakan Exco Undang-Undang Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim Pusat), Pengerusi Universal Justice Network (UJN) serta Pengerusi Grup Peguam ABIM (GPA):
Ramai yang telah berkongsi kisah masyarakat uyghur di Xinjiang yang dilarang berpuasa oleh kerajaan China. Ramai yang beremosi dengan menzahirkan perasan marah, sedih, geram dan berbagai-bagai lagi.

Tapi hakikatnya, tidak ramai yang mengetahui siapa sebenarnya Uyghur? Kalau tuan puan jumpa Uyghur di depan mata mahukah tuan/puan tolong mereka?Kalau kami sedang lindungi mereka daripada kezaliman kerajaan China mahukah tuan/puan bantu kami membantu mereka dari dizalimi? 
Isu Uyghur bukan isu baru. Bukan baru tahun ini mereka dilarang berpuasa, tetapi telah berpuluh tahun, dan bukan hanya larangan berpuasa tetapi juga larangan-larangan ibadah yang lain seperti larangan memakai hijab bagi wanita, larangan bersolat dan berbagai-bagai lagi.
Tahukah tuan/puan bahawa sebenarnya kaum Uyghur itu bukanlah etnik Cina? dan Xinjiang itu sebenarnya bukanlah sebahagian daripada China?
Hakikatnya bangsa Uyghur itu ialah satu bangsa tersendiri dan istimewa tiada kaitan keturunan dengan bangsa Cina!! Mahu buktinya? Tuan/puan lihat gambar tiga orang bangsa Uyghur yang Grup Peguam ABIM (GPA) selamatkan dan melepaskan mereka daripada sebarang pertuduhan di Mahkamah Perundangan Malaysia. Rupa paras mereka tiada langsung rupa paras orang Cina! Rupa mereka hampir kepada rupa orang Turki dan mereka berbahasa bahasa Turki bukannya berbahasa Cina.
Tetapi kenapa pula Xinjiang dan China? Sebenarnya nama asal Xinjiang ialah Turkistan Timur. Turkistan bermaksud tanah orang-orang Turki. Orang Turki mereka berasal daripada sini iaitu Turkistan. Sehingga ke hari ini mereka masih berkongsi bahasa yang sama, agama yang sama dan budaya yang sama, selain wajah mereka juga hampir sama.
Turkistan adalah sebuah wilayah Islam, penduduknya ialah bangsa Uyghur beragama Islam, dan beramal dengan Islam. Turkistan telah dijajah oleh China sejak sekian lama. Namun pada tahun 1955, Parti Komunis China telah secara rasmi menukar nama Turkistan Timur kepada Xinjiang (bermaksud ‘the new territory’ iaitu wilayah baru). Hakikatnya, Turkistan itu berbeza dengan China, mereka punya bahasa sendiri, budaya sendiri, malah mereka mempunyai perlembagaan negara sendiri dan bendera sendiri. Bendera mereka berwarna biru sama seperti Turki yang berbendera merah.
Mulai tahun itu, IDENTITI ISLAM dihilangkan. Nama negara Turkistan Timur ditukar kepada Xinjiang, manakala nama penduduk turut ditukar (contohnya, Salahuddin kepada Shalayiding).
Mulai tahun itu, juga penindasan demi penindasan dialami mereka. .Identiti Islam dilarang ditonjolkan seperti dilarang menyimpan janggut bagi lelaki, dilarang memakai tudung bagi perempuan, Ajaran Islam tidak dibenarkan diamalkan di sesetangah tempat seperti dilarang solat, dilarang berpuasa, semua itu dilarang dan diharamkan.
Kaum Uyghur turut ditangkap tanpa sebab, dipenjarakan, diseksa, dan dibunuh; selain kaum wanita pula dirogol. 
Rekod kerajaan China terhadap Uyghur ini paling buruk sekali berbanding rekod layanan tentera Israel terhadap penduduk Palestin.
Nasib penduduk Uyghur pula lebih malang berbanding penduduk Palestin. Palestin hanya tinggal Gaza yang sekangkang kera, sedangkan Uygur sudah tidak bernegara. Turkistan pula sudah hilang dari peta dunia.
Kerana itu Orang Uyghur ini diibaratkan sebagai Palestin di Asia. Hakikatnya, lebih teruk dari Palestin.
Selain daripada penindasan demi penindasan, pembersihan etnik juga sedang dilakukan. Kaum Han dimasukkan beramai-ramai ke dalam Xinjiang bagi mengurangkan majoriti kaum Uyghur selain membunuh kaum Uyghur.
Zalimnya kerajaan komunis China ini lebih zalim daripada kaum Zionis. Bezanya, kezaliman Komunis China terhadap Uyghur tidak diketahui pihak antarabangsa kerana polisi tertutup kerajaan komunis China dengan menyekat akses media seperti facebook, Youtube dan internet.
Malah mengikut rekod hak asasi manusia di peringkat antarabangsa juga menunjukkan bahawa kezaliman kerajaan komunis China berada di tempat pertama diikuti oleh Zionis Israel, kemudian Amerika Syarikat.
Maka adalah menjadi tanggungjawab umat Islam seluruh dunia mendedahkan situasi sebenar masyarakat Uyghur yang ditindas, diseksa, dirogol dan dibunuh di sebuah negara mereka yang dirompak Komunis bernama Xinjiang.
Oleh yang demikian, di bulan yang mulia ini perbanyakkan doa-doa kita bagi seluruh umat agar ALLAH SWT memelihara mereka dan memberikan keamanan buat mereka selain memberikan ketabahan dan kekuatan kepada mereka menghadapi tekanan, cabaran dan rintangan dripada musuh-musuh Islam. Amin Ya ALLAH SWT.

III
Harapan dan Doa
Sepertimana yang kita sedia maklum, umat Islam di seluruh pelusuk dunia dibunuh, disiksa, ditindas, kampung halaman dimusnahkan, dibakar, serta dirampas. Tiada apa sangat yang mampu kita lakukan. Bukanlah kerana musuh-musuh Islam itu terlalu kuat, tetapi kerana umat ini terlalu lemah.
Benar sabda Nabi Muhammad SAW di dalam hadith sahih riwayat Imam Ahmad bermaksud: “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang kelaparan mengerumuni hidangan mereka. Maka salah seorang sahabat bertanya: “Apakah kerana jumlah kami yang sedikit pada ketika itu ya Rasulullah?”. Rasulullah bersabda: “Bahkan pada hari itu jumlah kamu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di lautan dan ALLAH SWT akan mencabut rasa gentar terhadap kamu dari musuh-musuh kamu. dan ALLAH SWT akan melemparkan di dalam hati kamu penyakit al-wahan”. Sahabat bertanya: “Apakah itu al-Wahan ya Rasulullah?”. Rasulullah bersabda: “Cintakan dunia dan takutkan mati.” 
Moga-moga kita dijauhkan dari penyakit al-wahan ini. Di bulan Ramadhan yang mulia ini semoga ALLAH SWT SWT memberi kekuatan kepada saudara kita di Gaza-Palestin, Syria, Myanmar, Xinjiang, Kashmir, Bangladesh, Sri Lanka, dan di seluruh dunia.

-----------------------------------------------------
Sumber dan rujukan:
  1. http://www.aljazeera.com.tr/gorus/uygur-turkleri-zulum-altinda;
  2. http://bm.selangorku.com/54814/larang-masyarakat-uyghur-amal-islam-tidak-munasabah-langgar-hak-asasi/;
  3. http://www.youtube.com/watch?v=ziSQhrQQ3Jw#t=89;
  4. https://www.facebook.com/ahmadfahmi.mohdsamsudin?fref=ufi;
  5. http://www.farwestchina.com/2010/04/capturing-uyghur-culture-in-photographs.html;
  6. http://www.theatlantic.com/china/archive/2013/09/the-uighurs-chinas-embattled-muslim-minority-are-still-seeking-an-identity/280065/;
  7. http://www.usislam.org/islam/islam_in_china.htm;
  8. https://www.facebook.com/mohdsyazwan2011?fref=ts;
  9. https://www.facebook.com/abuakhyar.alqudsi?fref=ts;
  10. https://www.facebook.com/ibnrahim?fref=ts.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan