Selasa, Julai 15, 2014

ABIM anjur Forum Belia Cinta Ramadhan bersama Imam Muda Hassan Adli.


Logo 
Presiden ABIM:
Cikgu Haji Amidi Abdul Manan
Juga mantan Presiden PKPIM.
Naib Presiden ABIM merangkap 
Pengerusi MLL4S: Saudara 
Jufitri Joha. Juga Penerima Anugerah 
Perdana Belia Negara 2014.
Presiden PKPIM:
Saudara Aliemran Norasid.
Saudara Fazril Saleh
Timbalan Presiden 
PKPIM.
ABIM anjur Forum Belia Cinta Ramadhan bersama 
Imam Muda Hassan Adli.
Alhamdulillah, pada 14hb Julai 2014M, bersamaan 16hb Ramadhan 1435H (hari Isnin), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menganjurkan ‘Forum Belia Cinta Ramadhan’ bersama Imam Muda Hassan Adli (Mohd Hassan Adli Yahaya); Saudara Jufitri Bin Joha (Naib Presiden ABIM); serta Saudara Fazril Saleh (Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia-PKPIM). Program yang dijalankan mulai jam 9.30 malam (selepas Solat Sunat Tarawih) ini telah dianjurkan di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati, Wangsa Maju, Kuala Lumpur (berhampiran dengan Stesen LRT (Putra) Taman Melati, menghala ke Gombak).
Topik Bicara untuk program kali ini ialah ‘Membina Generasi Cinta Al-Quran’ dan dianjurkan sempena sambutan Nuzul Al-Quran 1435H. IM Hassan Adli merupakan Juara Program Imam Muda (Astro) Musim ke-2 pada tahun 2011. Sementelah, Saudara Jufitri Joha pula merupakan Penerima Anugerah Tokoh Perdana Belia Negara 2014 serta Pengerusi Malaysia Life Line for Syria (MLL4S). Penyertaan adalah terbuka dan percuma.
Peristiwa agung dan istimewa dalam sejarah umat ialah malam diturunkan Al-Quran (Nuzul Al-Quran) yang berlaku pada 24 Ramadhan. Ia juga disebut ALLAH SWT sebagai malam yang diberkati (lailatin mubarakah).
Firman ALLAH SWT:
  1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat.” (Surah Al-Dukhan ayat 3);
  2. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.” (Surah Al-Qadr, ayat 1);
  3. Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.”  (Surah Al-Baqarah, ayat 185).

Malam yang berkat’ yang dinyatakan ALLAH SWT dalam surah Ad-Dukhan itu adalah malam yang penuh dengan kebaikan dan rahmat, yang lebih besar keutamaannya dari amalan seribu bulan. Maka ALLAH SWT telah memilih tarikh turun kalam-Nya buat pemimpin umat sejagat Nabi Muhammad SAW yang penuh dengan kemuliaan itu untuk berlaku pada hari yang mulia iaitu malam al-Qadr itu sendiri.
Ketiga-tiga ayat ini menunjukkan penurunan berlaku pada bulan Ramadhan dan secara khususnya ia diturunkan pada malam Al-Qadr yang merupakan suatu anugerah ALLAH SWT buat mereka yang menghidupkan malam-malam pada bulan Ramadhan.
Peristiwa Nuzul Al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga  seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Quran yang ada pada kita hari ini.
‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah Al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘Al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘Al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan, segalanya terdapat di dalam Al-Quran. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW, maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia Al-Quran.
Marilah kita bersama menghayati Nuzul Al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat Al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca Al-Quran itu adalah suatu ibadah.
Sekarang, bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ Al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam Al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan. Salam Nuzul Al-Quran buat semua.
----------------------------------------------
Sumber dan rujukan:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan