Rabu, Mei 14, 2014

Selangor Juara Liga Super 2010.

 Selangor Juara Liga Super 2010
31hb Julai 2010: Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali kedua berturut-turut apabila menewaskan Terengganu 2-0 di Stadium Shah Alam, selepas berbuat demikian pada 2009. Tiga mata berharga itu sudah cukup buat Selangor menafikan hajat Kelantan selepas memungut 63 mata, meninggalkan Red Warriors, lima mata di belakang dengan baki satu perlawanan.
Biarpun masih berbaki satu perlawanan menentang Kedah, barisan Selangor tetap menjulang trofi Liga Super sejurus tamat perlawanan. Kelantan berjaya menundukkan Johor 3-1 di Stadium JCorp namun kemenangan itu tidak mencukupi untuk menghalang Selangor berpesta di Shah Alam.
Permainan seimbang dipertontonkan kedua-dua pasukan yang saling bertukar serangan sepanjang aksi separuh masa pertama tetapi tiada jaringan berjaya dihasilkan. Sebaik bermula babak kedua, Selangor mula melakukan serangan bertali arus ke kubu pihak lawan. Sepakan Hardi Jaafar pada minit ke-48 ditepis keluar penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli.
Jentera serangan Red Giants kurang bermaya pada separuh masa pertama sebelum mempertingkatkan usaha sebaik babak kedua bersambung. Percubaan Amirulhadi Zainal pada minit ke-59 pula diselamatkan di atas garisan gol oleh Zubir Azmi.
Sharbinee terus cemerlang apabila sempat menepis percubaan satu lawan satu dengan Safee Sali yang menerima bola sepakan percuma pantas Amri Yahyah pada minit ke-63.
Namun, gol daripada Mohd. Amirul Hadi Zainal pada minit ke-66 dan jaringan penalti Mohd.Safiq Rahim pada minit ke-74 memastikan kira-kira 30,000 penonton setia Merah Kuning pulang gembira melihat Selangor menjulang trofi di laman sendiri. Trofi telah disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad di hadapan penyokong setia skuad Merah Kuning. Dengan kejayaan mempertahankan trofi Liga Super 2009 dan 2010, status juara itu telah melayakkan Selangor untuk sekali lagi beraksi pada saingan Piala AFC 2011.
Selaku juara Liga Super, Selangor mendapat hadiah wang tunai RM500,000 sementara naib juara mendapat RM300,000. Untuk musim 2010, Selangor berjaya mempertahankan Piala Sumbangsih 2009 dan Piala Sumbangsih 2010; serta menjuarai Piala Liga Super 2010. Piala FA 2010 menjadi milik Negeri Sembilan, manakala Piala Malaysia digondol oleh Kelantan. 
Pengaruh serta perwatakan Amri sebagai pemimpin menjadi faktor Selangor unggul dalam saingan 2010. Nama Amri terus melekat di hati Datuk K.Rajagobal untuk terus berada dalam kem skuad kebangsaan bagi menghadapi Piala AFF Suzuki. Walaupun tidak selalu berada di dalam kesebelasan utama, Amri sering memberi impak kepada pasukan apabila diturunkan sebagai pemain gantian. Hasilnya, Malaysia menjulang Piala AFF kali pertama apabila menundukkan Indonesia dengan aggregat 4-2.
-------------------------------------------------------
Sumber:
  1. Majalah Arena Bola Sepak;
  2. Akhbar Kosmo;
  3. Akhbar Utusan Malaysia;
  4. Akhbar Berita Harian;
  5. http://dzulhelmimohdrazali.wordpress.com/2014/01/21/amri-yahyah-seorang-lagenda/;
  6. http://kayimagez.blogspot.com/2010/12/final-liga-super-2010-selangor-vs.html;
  7. http://wanfelany.blogspot.com/2009/07/manchester-united-malaysia-selangor.html;
  8. http://www.glennguan.com/blog/?p=1242;
  9. http://chronohunterz.blogspot.com/2011/09/bagaimana-aku-kenal-pasukan-bolasepak.html;
  10. http://osmanadnan.com/blog/tag/selangor/;
  11. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_22.htm.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan