Rabu, Mei 14, 2014

Selangor Juara Piala Sumbangsih 2010

Selangor Juara Piala Sumbangsih 2010
Seremban, 9hb Januari 2010: Selangor yang muncul juara Piala FA 2009 dan Piala Sumbangsih 2009, membuka tirai bola sepak Liga Super musim ini dengan bergaya apabila menjulang Piala Sultan Ahmad Shah selepas menewaskan juara Piala Malaysia 2009, Negeri Sembilan, 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. 
Kedua-dua pasukan dilihat saling berbalas serangan sebaik wisel permulaan ditiup pengadil, Subkhidin Salleh. Namun, tiada percubaan yang betul-betul berbahaya dapat dihasilkan kedua-dua pasukan pada tempoh 20 minit pertama perlawanan.
Bagaimanapun, Negeri Sembilan terlebih dahulu membuka jaringan dan menggamatkan kira-kira 25,000 penonton -- setelah sepakan percuma Rezal Zambery Yahya dari sebelah kanan ditanduk masuk oleh Idris yang gagal dikawal kemas oleh pertahanan Selangor, Razman Roslan menewaskan penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad pada minit ke-27. Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Perlawanan sumbangsih itu turut disaksikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, Tunku Besar Tampin Syed Razman Syed Idrus Al Qadri, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Babak kedua bermula, jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Hassan dan jurulatih Selangor, K. Devan tidak melakukan sebarang pertukaran pemain. Pada minit ke-49, Selangor hampir menyamakan kedudukan tetapi tandukan Amri Yahyah sekadar menemui tiang gol Negeri Sembilan.
Negeri Sembilan pula nyaris menghukum Selangor apabila memperolehi peluang terbaik menambah jaringan pada minit ke-58 tetapi rembatan bahaya S. Kunanlan dari dalam kotak penalti berjaya ditepis baik penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.
Terdesak memburu gol, Devan memasukkan Surendren dan Amirulhadi pada minit ke-68 bagi menggantikan Hardi Jaafar dan Farderin Kadir. Hasilnya, Selangor berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-76 selepas Safee pantas menyudahkan bola lorongan dari sebelah kiri oleh Surendren yang bijak melepasi dua pemain pertahanan Negeri Sembilan.
Ketika perlawanan diramal akan berakhir dengan penentuan sepakan penalti, Surendren muncul wira apabila menjaringkan gol kedua Selangor pada minit ke-82 setelah menerima hantaran Safee dari sebelah kanan.
Selangor seterusnya bertemu Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam pada untuk pertemuan kedua dalam saingan Liga Super 2010 sebelum mereka bertandang pula ke Stadium MBPJ, Kelana Jaya untuk bertemu KL Plus.
  • NEGERI SEMBILAN: 22-Farizal Harun, 5-Alif Samsudin (5-Rahman Zabul), 7-Aidil Zafuan Radzak, 12-Shukor Adan, 15-Ching Hong Aik, 9-Shahurain Abu Samah (14-K.Thanaraj), 17-Idris Karim, 23-Rezal Zambery Yahya (c), 6-S.Kunanlan, 18-Norizam Salaman (28-Asyraf Al-Japri), 8-Zaquan Adha Radzak.
  • SELANGOR: 21-Hamsani Ahmad, 3-Razman Roslan, 5-Khairul Anuar Baharom, 6-Nasriq Baharom, 4-Asraruddin Putra Omar, 18-Liew Kit Kong (19-D.Surendran), 8-Safiq Rahim, 14-Hardi Jaafar (23-R.Surendren), 7-Farderin Kadir (20-Amirulhadi Zainal), 17-Amri Yahyah (kapten), 10-Safee Sali.
  • Simpanan tidak digunakan: 22-Iqbal Suhaimi, 9-Rudie Ramli, 11-Zaiza Zainal Abidin, 12-Bunyamin Umar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan